Bab 13
"AMBIL duit ni. Tolong pulangkan pada Akid."
Berkerut dahi Elviana melihat sampul surat kecil yang Reza hulurkan kepadanya.
"Duit apa?" tanya Elviana, enggan menyambutnya.
"Semalam kau beli barang, guna duit yang Akid bagi. Jadi, ambil duit ni dan bagitahu dia, aku ganti balik duit dia."
Elviana terkedu. Ingatkan hal penting apalah yang buat Reza mahu berjumpa dengannya pagi-pagi. Malam tadi dia terkejut ketika menerima mesej dari Reza tapi dia malas mahu membalasnya. Acah-acah jual mahal. Kut-kutlah jejaka itu mengirim mesej lagi tanya dia dah tidur ke belum. Tapi dalam mimpilah. Betul kata Encik Akid, Reza hati kering!
"Tapi Encik Akid cakap, awak tak...ber...du..." Elviana terbata-bata, langsung tak sanggup menghabiskan kata-katanya bila mata Reza mulai nyalang.
"Dia cakap aku tak berduit?" Reza tersenyum sinis.
Malas mengiyakan, Elviana cuma diam dengan rasa bersalah.
"Ambil duit tu!" desak Reza. Rasa sabarnya seperti mahu tergelincir. Malam tadi, gigih dia mengorek tabung dan cari duit terselit dalam buku, dalam laci untuk cukupkan dengan duit dalam dompet, gara-gara malas keluar lewat malam mencari mesin ATM.
"Kenapa awak tak pulangkan sendiri? Awak kan kawan baik dia?" Elviana menduga.
"Aku sibuk! Ambil ajelah, jangan banyak tanya!" Reza mengunjuk sampul surat itu makin dekat ke depan Elviana.
"Yelah!" Elviana mencebik sambil menyambutnya.
"Kau pun satu, mentang-mentang Akid bagi duit banyak, kau beli stok macam nak makan sebulan!" Reza menggerutu sambil balik tubuh mendapatkan motornya.
"Memang saya beli untuk stok sebulan pun. Senang. Adik-adik awak tu tengah membesar dan diorang perlukan makanan berkhasiat, gizi seimbang... kaya mineral. Maka, eloklah saya sediakan jadual makan lima kali sehari macam budak duduk hostel."
Reza mencerunkan matanya dengan kedua-dua belah tangan dicekak ke pinggang. Banyak cakap sungguh dia ni... terlebih peramah ke atau memang sikap semulajadi dia?
Secepatnya, Elviana mengetap bibir bawah supaya mulutnya segera berhenti bercakap.
"Lain kali, kalau Akid bagi duit suruh kau beli makanan untuk rumah ni, jangan ambil! Minta dengan aku. Setakat nak bagi makan dua orang budak, takkan buat aku jadi papa kedana!" Keras suara Reza memberikan amaran.
"Habis tu, kenapa sebelum ni bila saya nak ajak bincang pasal hal diorang, awak kata awak tak ada kena-mengena? Terang-terang juga awak tunjuk sikap tak peduli depan saya."
Pertanyaan Elviana buat Reza rasa terpukul. Ternyata Elviana memiliki nyali besar untuk menantangnya.
"Kau baru kerja dua hari!" Reza mengingatkan. "You don't know me... so stop judging me with your misplaced assumptions!" Getusnya dengan hati mendongkol.
Melihat air muka keruh Reza, jantung Elviana jungkir-balik dengan perasaan bersalah. Dia mendesah lalu memohon setulus mungkin, "saya minta maaf. Tak terniat pun nak bersikap lancang. Tapi semalam saya terharu tengok adik-adik awak. Saya goreng kuetiow sebungkus aje, tapi diorang beriya-iya simpankan sepinggan untuk awak, risau awak lapar bila balik. Tapi sikap awak pada diorang? Oh lupa, saya baru dua hari kerja. Maaf ya, saya dah ceroboh."
Reza terkejut mendengar kata-kata Elviana yang berbaur sarkastik namun ada jua kebenarannya. Sudahnya Reza terdiam. Semua rasa jengkel perlahan-lahan meluntur dari hatinya, diganti dengan rasa bersalah paling dalam.
"Tak apalah..." Reza mengendurkan suara. "Aku yang salah. Aku tak patut marahkan kau. Kau... tak tahu apa-apa pun pasal kami," katanya perlahan, sama sekali tidak ada lagi nada kesal apalagi marah dalam suaranya.
"Tak! Awak salah. Pasal diorang, saya tahu. Tapi kalau pasal awak, saya memang tak tahu apa-apa sebab tu saya tak faham pun sikap awak. Oh, lupa... saya baru kerja sebab tu tak faham awak!" Bidas Elviana dalam sindiran.
Reza mengerling, namun tiada hati mahu membalas.
Lazimnya, Elviana tidak sukakan lelaki yang berkulit cerah macam Reza. Tapi penampilan rugged Reza dan aura yang dibawanya, sedang menyerang ketahanan hati Elviana. Tambahan pula bila dia menyedari bahawa Reza mempunyai sepasang mata yang unik. Bentuk mata Reza kelihatan seperti outline bentuk burung merpati! Alhasil, Elviana tidak berdaya mengalihkan pandangan dari wajah Reza.
Elviana dan Reza sama-sama terdiam. Saling pandang selama beberapa detik. Mereka hanya tersedar dari keterpakuan bila deringan telefon bimbit milik Reza memecah suasana.
Secepatnya Reza menarik keluar dan membaca mesej yang diterimanya. Mesej peringatan dari boss tentang mesyuarat pagi yang perlu dia hadiri di pejabat client di Bangsar. Dia akan membentangkan storyboard kepada CEO syarikat berkenaan.
"Aku pergi kerja dulu." Reza tidak tahu kenapa dia mengatakannya kepada Elviana. Macam minta diri dari isteri!
Namun hatinya sempat berbunga bila melihat Elviana mengangguk bersama senyum manis. Hanya saja mulut Reza berat mahu membalasnya. Cepat-cepat dia menyarungkan helmet, menyembunyikan wajah yang mulai terasa membera. Dengan menggunakan kekuatan kedua-dua belah kakinya yang panjang, Reza mula mengundurkan motornya dari driveway depan pagar ke jalan tar sebelum menghidupkan enjin.
Elviana memerhatikan setiap pergerakan Reza dan spontan membuat inventori. Dari dulu, dia memang suka melihat lelaki menunggang superbike. Tidak kiralah dari semahal-mahal Ducati atau pun semurah jenama tempatan seperti Redza Velocita mahupun Demak. Pada pandangan Elviana, postur tubuh lelaki yang condong ketika mengendalikan superbike adalah sangat seksi. Apalagi lelaki bertubuh tinggi seperti Reza.
Lelaki dengan superbike ada ekstra umph! Lebih maskulin kerana menunggang superbike seakan memberi ilusi bahawa seseorang lelaki itu berani merangkul risiko dan memiliki semangat besar untuk hidup. Itu yang Elviana nampak pada Reza, bebas, berdikari dan berani dengan Blade hitamnya itu!
Sebelum memecut pergi, Reza sempat menoleh ke arah Elviana. Tanpa Elviana sangka, Reza angkat tangan kanannya yang berbungkus dengan half finger glove, menampakkan jari-jemari panjangnya. Reza pamit ala tabik sebelum memecut pergi.
Elviana terpaku di tempatnya berdiri.
Oh my gosh! He's a real hunk!
REZA sengaja memberhentikan motornya di simpang jalan. Dari situ, dia menuntun motor sampai ke depan rumah. Nampak kereta comel Elviana diparkir elok bawah porch. Hati-hati, Reza membawa motornya masuk ke laman. Sayup-sayup terdengar gelak tawa dari dalam rumah.
Huh? Happy sangat nampaknya? Apa mereka buat? Tergerak hati Reza untuk mengintip kegiatan mereka. Lalu, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi, Reza melangkah masuk ke dalam rumah.
Bunyi suara datangnya dari arah dapur. Reza mendekati.
"Sayang betul, Abang Reza berhenti main muzik macam tu saja. Kan best kalau dapat bergabung dengan dia."
"Ah ah... teringin nak tengok abang Reza main drum. Dulu, Abang Fan suka main gitar depan kitorang. Macam-macam lagu kitorang nyanyikan termasuk lagu Doraemon, Crayon Sin Chan."
Reza tersentak mendengar suara Uwais dan Qaira mengaitkan namanya dengan Alfan. Ikutkan hati, Reza ingin menerjah, tapi bila suara Elviana berkumandang, dia menyandarkan semula tubuh pada dinding.
"Korang tak bolehlah nak paksa Abang Reza. Mungkin ada sebab konkrit yang buat dia tak nak main muzik lagi dah."
Yes, Elviana... terima kasih sebab faham. Alasan aku malah lebih kukuh dari konkrit. Sahut Reza dalam hati.
"Rugilah, sebab Qai rasa, macam Abang Reza dah mensia-siakan bakat dan peluang untuk popular."
"Kenapa Qai cakap macam tu?" Elviana mengerutkan dahi.
"Yelah, abang Reza kan hensem? Kalau dia masih main muzik, tentu ramai giler peminat dia. Zaman sekarang ni, popular tu sama dengan peluang buat duit. Kalau abang Reza jadi artis, Qai berani jamin, mesti ramai pengusaha produk dan butik nak jadikan dia jadi duta dan model!"
"Amboi, kecik-kecik dah fikir pasal buat duit aje!"
Ya, Reza sendiri tergamam dengar pendapat Qai. Popular dan buat duit? Kau masih mentah, Qai... jangan cepat gelap mata dengan dua perkara tu...
"Yelah Kak Vi, kalau Abang Reza masih jadi artis, dia adalah ikon ikemen!"
"Ikemen?" Tiba-tiba Elviana tertawa.
"Kenapa Kak Vi ketawa? Kakak tahu tak ikemen tu apa?" soal Qaira dengan pandangan meremehkan.
"Of course tahu. Ikemen tu istilah Jepun yang bermaksud hot guy, kan?"
"Wah! Kak Vi tahu maksud ikemen!" Qaira jadi teruja.
"Yeap... Abang Reza korang tu memang ada ciri ikemen kalau dia jadi artis sebab rupa dia agak kakkoii."
Qaira makin teruja. "Wauuu... sukanya! Kak Vi memang awesome, tahu istilah Jepun dalam dunia muzik!"
"Ah, kau sukalah sebab ada geng bercakap pasal hot guy?" Uwais menyindir, pura-pura jengkel.
"Of course! See? Kak Vi pun setuju dengan pendapat aku yang abang Reza tu ikemen!"
"Not really, sayang..." Elviana menggeleng. Sempat tersenyum melihat muka bingung Qaira kepadanya. "He's more than just a mere ikemen. With that kind of height... with his slenderness... with his model-like stature... he's actually a hunk."
"Tapi, Abang Reza memang ada ciri-ciri ikemenlah. Dia bau wangi tapi bukannya sebab bau perfume yang menyengat. Bau dia kombinasi fabric softener, sabun mandi dan syampu. Suara dia ada range tenor. Abang Reza kurus tapi strong-boned look... macam Edward Cullen!"
Berkerut-kerut dahi Reza mendengar pendapat Elviana dan bersambung pula komen dari Qaira. Rasa pelik memikirkan mengapa dirinya menjadi topik perbualan mereka.
"Kau ni, Qai... tak habis-habis nak samakan lelaki hot dengan pontianak lembik perasan hensem tu!" kutuk Uwais. "Daripada Edward... jauh lagi hebat Four!"
"Ya betul! Four is a perfectly imperfect warrior!" sampuk Elviana.
Semerta Uwais membulatkan mata. "Ooo...emmm...jiii..." Uwais pura-pura meniru gaya Qaira bila terkejut, mata bulat, dua tangan di pipi. "Kak Vi pun layan dystopian trilogy ke?"
"Tengok filem dan baca novel juga. Dystopian wayyyyy... better than vampire trilogy!"
"Wow! Kita genglah Kak Vi!" Uwais bangun, hulur tapak tangan, minta high five. Dan Elviana senang membalasnya... dengan sudu, sekaligus membuatkan Uwais ketawa lucu.
"Kak Vi cool!" Puji Uwais.
Tapi Qaira memandang dengan muka berkerut. "Errkkk... Qai tak faham macam mana kak Vi boleh handle intense violence dalam filem dan novel macam tu? Disgusting!"
"So... kau sukalah tengok si Bella yang macam lalang tu? Dengan Edwards pun cinta, tapi dalam masa yang sama mainkan perasaan Jacob juga. Kecurangan dia sangat disgusting! Werewolf bunuh vampire... vampire hisap darah orang tu tak violent ke?"
"Sorry... Qai sayang. Kali ni, Kak Vi team Is."
"Iiihh... Kak Vi... mana aci!" sungut Qaira.
Elviana tertawa halus. "So, cuba Is bagitahu Kak Vi, kenapa Is yang masih kategori remaja bawah umur ni, suka tengok cerita dystopian thriller? Manalah tahu lepas ni Qai pun nak beralih arah?"
"Sebab... walaupun cerita dystopian thriller orang kata ganas, tapi tak ada pun adegan atas katil melampau macam Twilight. Sebab tu Qai ni bengap sikit... sebab dia suka tengok cerita ada scene romen!"
"Eeee! Suka hati mulut kau aje kutuk aku! Kau pun samalah suka tengok gambar perempuan seksi!"
"Itu normal... semua lelaki suka tengok perempuan seksi buat cuci mata." Uwais angkat dagu.
"Ah ah! Sebab tu mata kau dah nak rabun!" cemuh Qaira.
Reza yang gigih bersembunyi di balik dinding, nyaris tertawa mendengar perbalahan itu. Paling tidak menyangka, boleh pula Elviana tadah telinga dan ikut sama berbahas.
"Wey... seksi tu tak semestinya kena buka baju macam Bella dan Edward pasangan pujaan hati kau tu. Aku suka perempuan seksi tapi macam Katniss yang nampak awesome dengan panah... macam Tris yang badass bila fight. Tak murah dan selalu depressed macam Bella. Sedangkan Tris pun ada cakap, lepas scene kissing dengan Four, 'I don't want to go too fast.' Dan Four yang gentleman, sanggup tidur atas lantai walaupun diorang sebilik. Hah, itu contoh pasangan yang patut kau puja!"
Mendengar kupasan Uwais, Reza tersenyum panjang. Sekarang dia tahu... Uwais tak ikut sikap Alfanshah yang terlampau mesra alam dengan perempuan sampai hanyut!
"Setuju lagi!" Elviana bersuara. "Qai kena tengok cerita macam tu... tolak tepi violence tu semua. Cerita-cerita macam tu sebenarnya ada value yang tunjukkan usaha remaja nak dapatkan kemerdekaan diri, pengorbanan dan tanggungjawab moral."
"Betul tu Kak Vi! Zaman macam sekarang ni, eloklah baca atau tengok cerita yang fresh sikit dari cerita cinta. Memanglah cerita dystopian selalu guna latar futuristik tapi tak mustahil satu hari nanti, kita akan jadi macam tu. Walaupun ramai orang tua kata, cerita macam tu bawa negative mindset pada remaja, tapi pada Is, tak pun. Orang dewasa kena rajin baca atau tengok cerita dystopian sebab... kebanyakannya diceritakan ikut point of view remaja yang nak betulkan society yang bermasalah.
So, boleh bagi reminder pada orang dewasa, macam mana remaja berfikir sebenarnya. Kisah-kisah dystopian ni sebenarnya bagi kita peluang tengok dunia melalui mata orang lain... dan belajar timbang guna perspektif sendiri. Semua tu penting untuk kita empati terhadap pandangan dan hak orang lain. Salah satu pengajaran sama yang Is dapat dari cerita-cerita macam ni, jangan pernah gila kuasa. Sebab kuasa ibarat virus yang boleh merosak kehidupan. Orang dewasa kena ingat, kadang diorang sendiri yang rosakkan masyarakat, bila yang berkuasa cuba menindas orang bawah..."
Penjelasan panjang lebar Uwais, mendapat tepukan dari Elviana. "Wah, Is... nampak aje macam budak nakal... tapi bila buat kupasan, fikiran jauh ke depan. Bagus...bagus... macam ni baru pemuda harapan bangsa! Markah BM dan English mesti A plus ni."
"Euuww... berdarah-darah... potong sana, tembak sini... brutal...memberontak, apa yang bagusnya, kak Vi?" soal Qaira tak puas hati bila Elviana terlalu menyebelahi pendapat Uwais.
Belum sempat Elviana buka suara, Uwais dulu beri jawapan, "bagus sebab dalam cerita macam tu, heroin is a hero. Mereka berontak sebab yang berkuasa jelas salah guna kuasa, cuba nak kontrol orang lain. Serious knock-out fights antara perempuan dengan lelaki. Tak lembik, menunjukkan perempuan tahu bela diri, tak payah mengada-ngada dilindungi oleh sekawan serigala dan sekumpulan vampire."
Elviana tak dapat menahan ketawanya mendengar ocehan Uwais. "Ya ampun... Is ni kan... suka betul mengenakan Qaira."
"Biar kak... Is tak nak dia jadi macam Bella tu... obses sangat dengan Edward. Itulah, masuk taekwondo, Is suruh join sparring team, tapi Qai nak buat poomsae aje. Tak mencabar langsung!"
"Laa... rugilah Qai. Masuk sparring baru power!"
"Eee... Kak Vi ni... tak feminin langsung!"
"Hey... Kak Vi feminist okey. Tapi Kak Vi nak jadi badass feminist macam Katniss bukan spoiled little girl macam Bella. Bella is a feminist's nightmare!"
Terkekeh-kekeh Uwais gelak bersama Elviana.
Sedangkan Qaira cemberut tak habis. Tak aci betul! Kak Vi langsung tak menyokongnya! Padahal mereka sama jantina!
Reza sendiri senyum tidak putus. Dari perbualan itu, dia sedar, Elviana telah menjadi rapat dengan adik-adiknya dalam sekejapan waktu. Mungkin itulah yang Qaira dan Uwais mahukan... seorang kakak yang sudi mendengar dan boleh berinteraksi dengan mereka tanpa sempadan.
"Qai, nanti aku bagi kau pinjam novel Hunger Games. Aku suka cerita tu sebab Katniss bukan watak gadis stereotaip. Hero dalam cerita tu pun tak stereotaip, badan tak sado pun tapi dia berani, kuat dan melindungi. Kalau kau baca Divergent, lagi power. Baru kau tahu nak pilih lelaki macam mana jadi hero dalam hidup kau... bukannya pilih lelaki seputih salju macam gay!"
"Habis tu, Abang Reza pun putih apa! Maknanya dia gay ke?" getus Qaira, agak bengang.
Nyaris tersedak Reza mendengarnya. Kenapa mesti aku masuk dalam kajian kes mereka?!
"Habislah kalau Abang Reza dengar. Qai ni... masih tak reti nak bezakan lelaki rupanya. Macam yang Qai sendiri cakap tadi, abang Reza strong-boned look. Sebab tu, walaupun dia kurus tinggi, putih tapi badan dia manly build. Tolak tepi muka garang dan payah nak senyum dia tu! So, obviously, he's not a gay."
Reza merasakan pipi dan telinganya memanas bila dengar ucapan Elviana. Selamba badak aje dia buat ulasan pasal aku depan budak-budak tak cukup umur! Argh...
Lalu Reza pun memunculkan diri. Baru nampak mereka bertiga duduk bersama buku-buku sekolah bersepah atas meja makan, dan pinggan berisi pisang goreng serta keropok lekor.
"Kau ajar budak-budak ni buat kerja sekolah atau bergosip?"
Elviana tertegak memandang Reza. Alamakkk... sejak bila dia balik? Kenapa tak sedar pun... aaa... janganlah dia dengar apa aku cakap tadi, doa Elviana dalam hati.
Qaira dan Uwais terus menciut di tempat duduk masing-masing. Pura-pura menekuni buku di hadapan mereka. Semerta, keadaan jadi hening, sehening suasana di gurun. Tiada siapa pun yang berani bersuara. Apatah lagi bila melihat Reza menarik kerusi, duduk di kepala meja bagai mahu mempengerusikan mesyuarat.
"Kak Vi balik dululah ye." Elviana berkata akhirnya kepada Qaira dan Uwais.
Reza mengerling. "Tak nak tumpang mandi, rehat dan solat dulu kat sini? Dah nak masuk waktu maghrib ni..."
Sumpah Elviana terkejut mendengar pertanyaan Reza. Sontak matanya jatuh pada Qaira. Gadis sunti itu mengernyitkan muka bersama pandangan minta ampun. Namun Elviana tidak ada hati mahu memarahi Qaira.
Tidak menghiraukan renungan Reza, Elviana bingkas bangun dan beredar meninggalkan meja.
"Nanti dulu... Katniss!"
Langkah Elviana semerta mati. Dia ternganga dengan mata melebar, namun tak berani memusingkan tubuh. Qaira dan Uwais di meja sama-sama terkejut.
Arghh... nampak gayanya Reza dah dengar apa aku sembang dengan adik-adik dia! Mana aku nak letak muka ni? Jangan-jangan dia curi dengar dari awal! Desah Elviana.
Tanpa menoleh ke arah Reza, Elviana berkata setenang mūngkin, "kalau awak ada hal nak bincang, kita cakap kat luar." Kemudian, Elviana buru-buru meninggalkan ruang dapur.
Reza mengulum senyum sinis lalu mengangkat punggung mengekori Elviana. Gadis itu terus menonong keluar rumah bersama beg yang diambilnya dari tepi sofa di ruang tamu.
Sementara Elviana menyimpan beg ke dalam kereta, Reza ambil tempat duduk, bertenggek atas motor.
"So, kau nak jadi badass macam Katniss ya?" kenen Reza bila Elviana tutup pintu kereta nak menoleh padanya.
Elviana berdecit bersama muka merah padam. "Tak malu ke curi dengar orang bersembang?" tuduh Elviana.
Reza mencebik bersama senyum sinis. "Well at least, aku tahulah perangai kau macam mana bila di belakang aku. Memang sesuai sangat kau jadi P.A budak-budak tu. Kau tak salah alamat."
Elviana tercengang sendiri. Tidak tahu samada kata-kata Reza itu berupa sindiran atau pujian tulus ikhlas. Lalu Elviana menoleh ke arah Reza tanpa menyangka Reza juga sedang menatapnya dengan saksama. Jejaka itu tersenyum nipis bersama sorot mata berterima kasih.
Elviana tergamam. Reza kelihatan berbeza. Tidak kelihatan dingin dengan muka kejung. Segala ketegangan pada wajah Reza melunak. Buat pertama kali dia melihat Reza dalam ekspresi santai begitu. Kekok, bibir Elviana mengorak senyum sebagai balasan.
Tiba-tiba Reza bangun dari motor dan mendekati Elviana di kereta. Berganda rasa panas dingin menyerang Elviana bila Reza berdiri menjulang di hadapannya.
"Weekend ni budak-budak tu ada aktiviti?"
"Ada... Sabtu jam 10 pagi, diorang ada live studio session. Petang, saya kena bawa diorang pergi studio, ada latihan untuk konsert debut nanti. Ahad pagi, diorang ada training taekwondo."
"Kalau macam tu, malam minggu nanti kau tidurlah di rumah ni. Boleh temankan mereka..."
Pelawaan Reza itu mengundang kerut seribu di dahi Elviana. "Kenapa saya kena tidur kat sini?"
Ayat itu bersambung dalam hatinya, 'gila ke apa nak tidur serumah dengan awak?! Temankan diorang atau awak ada niat jahat pada saya?'
"Sebab aku tak ada di rumah weekend ni."
"Oh..." Hanya itu yang keluar dari mulut Elviana saat menyedari segala prasangka buruknya terhadap Reza, menyimpang jauh dari sasaran! Dia termalu alang sendiri. Sekarang, harus Elviana akui, Reza memiliki aura misteri di sekelilingnya. Sikap tak acuhnya, sikap yakin dirinya, boleh disalah tafsir sebagai angkuh!
"Esok, lepas kerja, aku terus pergi dari ofis. Maknanya malam esok pun kau boleh tidur sini. Ahad baru aku balik."
"Outstation?"
"Aku nak tidur di rumah kawan." Reza membohong.
"Kalau macam tu, okeylah. Saya tumpang tidur sini." Elviana memberi kata putus.
Reza menghembus nafas lega dan tanpa berkata apa-apa, dia beredar masuk ke dalam rumah.
That's it? Dia blah masuk rumah macam tu aje? Elviana mengernyit. Entah mengapa, jauh di sudut hatinya, mengharapkan sikap gentleman Reza. Paling tidak, tunggu keretanya keluar porch barulah masuk rumah! Ini tidak...
Namun bila mendengar suara Reza melantang dari dalam rumah, Elviana terkedu di tepi pintu kereta.
"Qaira! Uwais! Kakak kau orang nak balik dah. Cepat pergi salam!"
Reza telah melakukan tindakan prediktif tidak terduga.
Dan hati Elviana pun cair bila melihat Qaira dan Uwais berlarian anak, berebut-rebut mendapatkannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co