Bab 15
"MANDI ya, Fan?" Reza berkata sambil menolak kerusi roda masuk ke dalam bilik air. Begitu hati-hati, dia membopong tubuh Alfan, mengalihkannya duduk ke kerusi plastik. Dengan gerakan lembut tapi terlatih, Reza menanggalkan satu persatu pakaian Alfan. Ketika itulah dia nampak kulit dahi Alfan berkerut dan kedua-dua lengannya mengeras.
Spontan Reza tertawa perlahan. "Rilekslah, Fan... macam tak biasa?" Dikenyitkan matanya sambil tangan melempar pakaian Alfan masuk ke dalam baldi.
Kemudian Reza menadah air ke dalam gayung dan membasahkan mulut Alfan. Sambil membongkok, sebelah tangan memegang kepala Alfan, sebelah lagi memberus gigi Alfan perlahan-lahan, begitu hati-hati agar tidak tertonyoh ke gusi.
Selesai membersihkan mulut Alfan, baru Reza membuka pili paip dan membawa hos, mencucurkan air bermula dari kaki sampai naik ke kepala Alfan. Disabun, disyampu dan digosoknya tubuh Alfan dengan teliti. Sebelum membilas, Reza membuka plastik pisau cukur yang baru.
"Aku tahu, kau mesti rasa nak tendang aku, kan?" Reza tergelak seraya bertinggung depan Alfan. Kembarnya itu mula mengeluarkan suara menggumam tanda protes.
"Untuk kebersihan kau, Fan...," pujuk Reza. "Seminggu sekali aku kena cukur manscaping kau. Tak ada niat nak ambil kesempatan. Jangan marah aku ya? Bismillah..."
Selesai mencukur dan membilas bersih tubuh Alfan, Reza mengelap dengan tuala bersih. Kemudian mengangkat Alfan dan didudukkan semula ke kerusi roda.
Tanpa berkeluh walau sikit pun, Reza menyiapkan Alfan. Tugas yang diambil alih dari penjaga Alfan setiap kali dia berkunjung ke situ. Rutin yang membuatkan dia menjauh dari rakan-rakan dan duniawi...
+++
"YA ALLAH... aku tak tahu apa yang akan berlaku esok hari, tapi Engkau Maha Mengetahui.
Oleh itu Ya Allah... padaMu aku bermohon,Ya Allah, hapuskan segala dosaku dan Alfanshah. Tunjukkanlah kami ke jalanMu yang lurus dan benar...
Limpahkanlah rahmatMU kepada kedua ibubapaku di sana. Semoga mereka tahu bahawa aku tetap menyayangi dan selalu merindukan mereka...
Ringankanlah hatiku agar selalu melakukan kebaikan. Berilah aku ketulusan hati ketika memberi pertolongan kepada sesiapa pun.
Berikanlah aku kekuatan dan rezeki yang cukup. Jauhkanlah aku dari perbuatan yang tidak Engkau redhai...
Berikan aku kesabaran agar aku tak mengeluh pada nasib. Bantulah aku mengikhlaskan hati untuk menerima dan menghadapi setiap ujian dariMu.
Tuhanku, ampuni aku, sayangi aku, tutuplah aib-aibku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku petunjuk, sihatkan aku, maafkan aku... Amin...
Reza meraupkan tangan ke muka sebelum menghela nafas panjang. Sejurus kemudian, dia berpaling ke belakang. Mengesot mendekati kerusi roda. Alfan sedang memandang lurus kepadanya. Ada air jernih mengalir dari sudut mata Alfanshah.
Reza tersenyum lalu bangun menghapuskannya dengan hujung jari. "Kenapa kau menangis, Fan? Janganlah sedih-sedih. Aku ada ni temankan kau..." Kemudian Reza berlutut menghadap Alfan.
Kedua belah tangannya menggenggam tangan Alfan. Terasa balasan daripada Alfan, matanya juga ikut mengerdip, membuat Reza tersenyum panjang. Genggaman tangan Alfan semakin hari makin kuat.
"Kau tahu kan Fan, aku tak pernah putus harap nak tengok kau sembuh. Walaupun kita dah tak boleh contact guna telepati macam dulu, tapi aku tahu, aku percaya... sebenarnya kau faham... kau dengar. Makanya, aku nak ajak kau mengaji. Kita doa sama-sama supaya Allah bagi peluang kau sembuh. Lepas tu baru kita makan malam, ya?"
Reza bangun mengambil naskah Al-Quran dari rak dinding. Kemudian, menarik kerusi lalu duduk sebelum memutar kerusi roda Alfan supaya menghadapnya.
Dengan sebelah tangan kiri menggenggam tangan kanan Alfan, Reza memulakan bacaan, dari juzuk baru selepas bacaan terakhirnya sebelum ini.
Sampai habis dua juzuk, baru Reza menghentikan bacaan. Naskah Al-Quran ditutup dan dijunjung sebelum diletakkan kembali ke tempat asalnya.
Menyedari ada air mengalir lagi dari sudut mata Alfan, Reza mengeluh panjang. Baru sahaja Reza duduk semula di birai katil, terdengar pintu bilik diketuk.
"Masuklah..."
Sekejap kemudian, terpacul wajah Ustaz Noh masuk sambil menatang dulang makanan. "Makan, Reza."
"Susah-susah aje abah bawa sampai ke bilik. Segan saya." Reza berkata bersama wajah memerah.
"Tak apalah... bukan berat pun. Dengar kamu mengaji tadi, tak tergamak pula nak potong line ajak makan," gurau Ustaz Noh seraya meletakkan dulang ke atas meja kecil di tepi dinding.
Reza tersenyum tawar.
"Kenapa ni? Apa yang mengganggu fikiran kamu?" tanya Ustaz Noh, cepat menyedari kesuraman wajah Reza.
"Entahlah... Dulu doktor kata, Alfan dah tak ada peluang hidup. Kemudian doktor sahkan dia vegetative seumur hidup. Tapi, abah sendiri dah saksikan perkembangan dia dari hari pertama dia dihantar di sini. Bila Fan balas genggaman tangan saya..." Wajah Reza mula berkerut-kerut menahan sebak.
"Bila saya tengok Alfan menangis setiap kali saya solat dan mengaji depan dia... saya tahu dia masih kenal saya. Sungguh.., saya berharap... Allah akan berikan sedikit keajaibanNYA pada Alfan." Kata-kata Reza terpatah-patah.
"Kalau pun Alfan memang tak dapat bergerak lagi macam dulu, saya dapat dengar dia bercakap semula pun jadilah. Saya... rindu nak bergurau... dengan dia..."
Bila berdepan dengan Ustaz Noh yang penuh sikap kebapaan, Reza selalu kalah dengan emosi sedihnya. Akhirnya benteng hati Reza luluh lantak. Kolam matanya pecah dan dia terpaksa membiarkan airmata membanjiri pipinya.
"Reza..." Ustaz Noh melabuhkan punggung di sisi Reza. "Doktor cuma boleh buat jangkaan secara medik. Tapi Kun Fayakun adalah hak Allah. Selama menjaga Alfan, abah pun percaya dia sebenarnya kenal orang sekeliling cuma dia hilang upaya nak bertindak balas. Tapi dengan kamu, tindakbalasnya lebih sebab kamu dan dia adalah kembar. Jadi, hubungan kinetik tu lagi kuat."
Reza tersenyum tawar mendengarnya. Walaupun sikap mereka berbeza, tapi hubungan dia dan Alfan memang sangat kuat. Boleh berkomunikasi tanpa perlu bercakap. Tengok mata pun dah boleh faham isi hati masing-masing... tapi sejak Alfan jadi begitu, Reza tidak dapat lagi mengesan perasaan Alfan.
"Apapun, abah harap kamu jangan hilang asa. Jangan berhenti berdoa. Ingat, doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama serta cahaya langit dan bumi." Ustaz Noh mengakhiri kata-katanya dengan menepuk-nepuk sayang belakang bahu Reza.
Reza hanya mampu mengangguk sambil mengesat tubir matanya dengan hujung jari. Sebentuk senyum muncul di mata sedih Reza bila dia menatap Ustaz Noh.
"Terima kasih, sebab abah selalu ingatkan saya."
"Dah... jangan sedih... makanlah dulu. Ha, malam ni kamu nak berjaga ke?"
Reza mengangguk. "Ada kerja nak kena siapkan. Kalau saya tertidur, tak sedar, abah kejutkan saya Subuh nanti ya?"
"Ha, iyalah... jangan berjaga lama sangat. Kerja, kerja juga tapi kesihatan kamu tu pun kena jaga juga." Ustaz Noh meninggalkan pesan sebelum keluar bilik.
Reza bangun mencuci tangan dan mengambil dulang makanan.
"Sorilah, Fan... aku emo sikit. Mesti dalam hati kau cakap aku cengeng, kan?" Reza tergelak sendiri sambil menyandarkan kepala Alfan ke belakang bagi memudahkannya menelan.
Tangannya melenyek nasi panas dengan kuah lemak bersama isi ikan tenggiri.
"Makan, Fan... Bismillahirahmanirrahim..." Reza menolak suapan kecil ke dalam mulut Alfan. Abangnya boleh mengunyah sendiri tapi terlalu perlahan dan Reza harus sabar menanti sampai makanan dalam mulut Alfan habis.
Selepas beberapa suapan, Alfan tidak lagi mahu menelan. Reza sedia maklum, itu isyarat Alfan tidak mahu lagi menerima suapan dan Reza harus akur. Nasi dalam pinggan, dia sendiri habiskan tanpa rasa jijik.
Selesai makan dan mencuci tangan, baru Reza menyalurkan air menggunakan straw ke mulut Alfan. Selepas menyuap beberapa jenis supplements, Reza menanggalkan beanie dari kepala Alfan. Dengan tenaga yang ada, Reza mengangkat Alfan dari kerusi roda dan membaringkannya di atas katil.
Mata Alfan lurus memandang Reza.
"Fan... aku tak tahu sampai bila aku mampu simpan rahsia pasal kau. Dengan kawan-kawan kita, aku tegar lagi. Tapi bila tengok muka Qai dan Is, sumpah... aku rasa bersalah sangat sebab terpaksa sembunyikan pasal kau." Reza diam sejenak, merenung wajah Alfan. Nampak Alfan mata berkaca-kata dan bibirnya bergerak-gerak seperti ingin mengatakan sesuatu.
"Aku tahu kau sedih. Tapi aku lagi sedih, Fan. Kalaulah papa tak..." Reza menggantung kalimat bila tersedar sesuatu. "Buat apa aku salahkan papa yang dah tak ada, kan? Bukannya aku boleh putar balik masa, betulkan keadaan."
Selepas menghembus nafas panjang, Reza kembali menyambung dengan nada getar, "Qai dan Is tu selalu sangat bandingkan kau dengan aku. Ya... aku tahulah... aku ni tak macam kau. Aku tak pandai nak manja-manjakan mereka. Serius, aku rasa nak surrender! Tak nak jaga mereka. Aku tak rasa aku mampu pikul tanggungjawab ni. Berat, Fan... Cepatlah sembuh Fan, tolong aku hadapi semua ni."
Pada ketika itu, Reza merasakan jari-jemari Alfan begitu erat menggenggam tangannya. Reza tersenyum pahit. Hakikatnya Alfan masih bernafas di hadapan mata, tapi hati Reza terlalu sepi. Muram. Kosong. Rindu.
"Aku teringin nak bawa mereka jumpa kau. Tapi keadaan tak mengizinkan. Aku takut mereka terkejut dan tak dapat terima hakikat. Kau kena sembuh Fan, supaya kita sama-sama dapat ceritakan hal sebenar pada mereka." Reza tunduk terdiam beberapa detik. Kesedihan menyerangnya lagi. Dia menghulurkan tangan kanannya, mengusap sayang kepala Alfan.
Dentingan dari telefon bimbit menarik perhatian Reza. Bunyi khas itu menandakan ada email masuk. Bibir Reza mengorak senyum saat membaca email tersebut. Secepatnya dia bangun menyalakan komputer. Kemudian membuka laman HSBC dan log masuk ke Foreign Currency Account miliknya.
Sejumlah 4,480,000 dalam nilai matawang Jepun, baru sahaja masuk ke akaunnya itu. Setelah pasti jumlah tersebut sama dengan penyata yang diterimanya melalui email, Reza segera log off dari laman HSBC.
"Alhamdulillah, Fan!" Reza meloncat bangun dan melompat naik ke katil Alfan. "Aku dah dapat payment untuk kerja 80 minit yang aku buat tiga bulan lepas!" Digoncang-goncangnya lengan Alfan. "Mereka nak aku buat lagi untuk project baru bulan depan. Kali ni mereka setuju dengan anchor price aku. 1500USD per minute!"
Mata Alfan mengerdip beberapa kali bersama suara erangan panjang. Reza terkekeh.
"Aku tahu... kau bengang sebab aku dah berjaya capai cita-cita aku. Itulah, siapa suruh kau rest lama sangat? Cepat bangun, Fan... boleh kita buat kerja sama-sama. Mesti hasilnya lagi gempak. Sekarang ni, kau tidur dulu, Fan. Aku nak siapkan kerja sikit."
Hampir lima minit Reza menepuk-nepuk bahu Alfan, baru kelopak mata Alfan merapat. Tidur juga dia akhirnya...
Reza diam mengamati wajah Alfan yang mirip wajahnya. Bila Alfan menutup mata, dia nampak normal. Tapi bila jaga, Alfan tidak ubah macam bayi... yang memerlukan bantuan orang lain untuk menguruskan dirinya.
Reza bangun dengan semangat.
Setelah duduk di hadapan komputer, dia mengenakan headphone jenama OSSIC X dan mula melakukan kerja. Sesekali dia menoleh ke sisi, memastikan keadaan Alfan. Menjelang hulu dinihari, baru Reza mengalah kepada rasa mengantuk.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co