Truyen3h.Co

HATIKU UNTUK DIA

Bab 7

karyaseni2u

AKID menepuk dahi bila melihat notification itu.

"Ha sudah, Kid! Kau punya pasal, Reza sampai keluar grup WhatsApp. Sentap sangatlah tu!" One membakar.

"Aduh! Si Reza ni pun, sejak bila hati mudah koyak ni?" Akid merungut sambil garu kepala.

"Dah sampai tahap keluar grup ni. Baik kau pergi jumpa dia, bro. Aku takut dia halau Si Qaira dan Uwais pula keluar rumah. Naya aje nanti..." Bukan niat One mahu memprovokasi. Tapi dia benar-benar tidak sedap hati memikirkan sikap Reza. Cakap kasarnya, dah tua bangka, takkan masih nak buat perangai merajuk macam budak sekolah?

"Reza ni pun satulah... Kalau Alfan masih ada, aku rasa dia tak mental macam ni kut," sungut Akid.

"Hah, tu kalau dia dengar kau cakap dia mental, harus putus kawan terus!"

Akid berdecit. Terus menyimpan telefon bimbit dalam poket jean. "Aku keluar sekejaplah. Nak pergi jumpa dia."

"Mana? Ofis?"

"Habis tu... Mana lagi?" Akid pandang jam di tangan sekilas. Kemudian dengan kerut di kening dia memandang One. "Office hour ni, kan? Kat mana lagi dia ada waktu macam ni?"

"Memanglah dia kat ofis. Tapi kalau dia mengamuk kat ofis, macam mana?"

"Peduli apa aku dengan amukan Reza tu?" Akid mencebik. "Walaupun dia tu tinggi menggalah dari aku, kau fikir, aku takut? Dia tu, aku rasa ada masalah kejiwaan. He is never jovial in his cups and so utterly maudlin!"

"Dahlah... Pergilah kau jumpa dia. Tapi, tak usahlah membebel pula. Kau telan aje perangai dia tu... Dia kan kurang kasih sayang..." Walaupun dia menasihat, One tergelak juga memikirkan omelan Akid.

"TAK baiklah kalau kau nak lepas tangan macam tu saja, Za!" keluh Akid. Tak terkata melihat reaksi acuh tak acuh Reza.

"Oh? Kau buruk sangka pada aku, baik sangatlah?" Reza mengerling tak puas hati.

"Aku dah minta maaf, kan? Manalah aku tahu kau lambat balik sebab beli barang dapur..."

Belum sempat Akid menghabiskan ayat, Reza angkat tangan, beri isyarat agar Akid diam. "Dengar sini, Kid!" Reza tegakkan badan, merenung Akid dengan mata tajamnya.

"Aku tak boleh tanggung budak-budak tu. Atau cakap kasarnya, aku tak mampu nak bagi mereka makan dengan sempurna! Apa lagi nak bagi perhatian pada mereka." Reza berkilah.

Dahi Akid berkerut hairan. "Seriously? Takkan creative director tak mampu nak tanggung adik-adik sendiri?"

Reza berdecit. "Bro! Kau ingat company tempat aku kerja ni international level ke? Company tempat aku kerja ni bukan tahap Leo Burnett yang mampu bagi gaji berbelas, puluh ribu sebulan pada CD! Nama aje creative director tapi gaji aku kat sini bukan besar mana pun!"

"Gaji kau kat sini bukan ke lebih enam ribu?"

Mata Reza mencerun. "Kau siasat gaji aku?"

Akid tersenyum kemenangan. "Kenalah siasat tengok kau mampu ke tidak. Untuk bujang trang tang tang macam kau, yang cuma pakai motor, dapat rumah besar peninggalan orang tua, free tak ada monthly installment... Duit EPF, insurans dia orang semua dapat kat kau seorang tambah lagi gaji dekat tujuh ribu sebulan tu sebenarnya lebih dari mampu sangat setakat nak tanggung adik dua orang!"

Bila mendengar congakan Akid itu, Reza merasakan darahnya menyirap tiba-tiba. "Kau fikir, aku tak ada bil bulanan ke nak kena bayar? Tak ada tanggungjawab lain?"

"Kau bukan ada bini nak ditanggung. Setakat bil elektrik, air, handphone, cukai pintu? Berapa sangat? Aci kerat jari, tak sampai lima ratus pun, kan? Unless kau bayar bil lain..." Akid mengerling curiga.

Reza mengecilkan mata. "Apa maksud kau?"

"Kau ada main dadah ke?"

"Bullshit!" Maki Reza seraya menepuk meja. "Apa hal kau fikir sampai ke situ? Sebab aku ni kurus kering?" Merah padam muka Reza menahan kemarahan. Dia memang sedar tubuh badannya merunjau dan kulitnya termasuk kategori agak cerah, walaupun dia menunggang superbike setiap hari.

"Habis tu mana pergi duit kau?"

"Apa hal kau sibuk pasal urusan duit aku? Takkan aku kena tunjuk penyata kewangan pada kau pula?" tingkah Reza sakit hati.

"Kau ada sembunyikan sesuatu dari kita orang ke?" Akid makin menyelidik.

Reza tidak menjawab, sebaliknya segera mengalihkan pandangan, pura-pura menatap skrin komputer.

Dari gaya diam Reza itu, Akid yakin Reza sedang menyimpan rahsia! Tapi dia tidak pasti besar atau kecil rahsia itu.

"Kalau kau ada masalah duit, bagi tahu aku. Apa guna kau ada kawan kaya-raya macam aku ni kalau tak mampu bantu kau?"

Reza mengerling. Bunyi cakap Akid macam membongkak tapi memang hakikat, sahabatnya yang seorang itu keturunan kaya-raya. Lahir dalam dulang emas. Minta apa saja, semua dikabulkan orang tua walau sudah beranak-pinak.

"Aku bukan macam kau. Aku ni, semua kena usaha dapatkan sendiri. Dapat gaji kena pandai berjimat cermat. Kena rajin kerja. Tapi soal ke mana duit aku dibelanjakan, kau tak patut tahu. Tak perlu tahu pun!"

"Susahlah cakap dengan kau ni." Akid berkeluh.

Reza tidak menyahut tapi matanya menjeling tajam.

"Kalau kau rasa payah sangat nak jaga, biar aku cari PA untuk budak-budak tu."

Dahi Reza berkerut seketika. "Lepas tu kau expect aku yang bayar gaji PA tu? No way! Aku tak mampu!"

"Aku tak minta pun kau bayar! Aku yang akan tanggung semua tu. Kau tu penjaga sah Qaira dan Uwais jadi, aku harap kau izinkan aku dapatkan seorang PA untuk dia orang."

Reza terus tersandar dan terdiam, memikir-mikir. Tangan kanan mula mengetuk pen ke permukaan meja. Tangan kiri pula bertahan pada pemegang kerusi, menopang dagu.

Mendengar ketukan pen Reza yang semakin berirama, Akid kulum senyum. Kalau dah namanya drummer sejati, muzik dah mendarah mendaging dalam diri... Ketuk meja pun bunyi berlagu!

"Okey, aku izinkan." Reza berkata akhirnya.

Terlepas keluhan lega dari mulut Akid.

"Tapi dengan syarat!"

Hilang lega, timbul rasa rengsa dalam hati Akid. Bab kenakan syarat yang dia tak gemar! Apa lagi kalau yang mengenakan syarat itu adalah Alfareza. Boleh hantuk kepala ke dinding jawabnya...

"Okey, apa syarat kau?" Akid mengalah akhirnya.

Bibir Reza menggariskan senyum sinis sementara tangannya laju menuliskan sesuatu pada kertas. Berdebar juga Akid menantinya.

"Ini syarat aku..." Reza menghulur kertas tersebut, setelah beberapa minit menulis.

Bersama kerut di dahi, Akid menyambutnya. Tambah berkerut bila membaca syarat yang dikenakan Reza.

"Kenapa mesti perempuan? Lelaki tak boleh ke?"

"Sebab perempuan lebih senang dengar cakap."

Akid angguk setuju. "Mesti ada degree ke?"

"Harus! Supaya dia boleh jadi cikgu tuisyen untuk budak-budak tu juga."

Akid tercengang memandang Reza. Dia tak terfikir pun sampai ke situ. "Gila, ambil kesempatan namanya ni!"

"Lebih senang kalau PA tu yang uruskan hal persekolahan budak-budak tu juga. Kena ada kenderaan sendiri supaya dia boleh jemput dan hantar budak-budak tu ke mana pun mereka nak pergi." Reza menjelaskan.

"Okey, itu memang wajib." Akid akhirnya bersetuju juga dengan syarat itu. "Tapi, kena celik IT ni, apa maksud kau?"

"Supaya dia boleh pantau segala aktiviti Internet Qaira dan Uwais. Aku tak mahu budak-budak tu terdedah dengan unsur negatif media sosial."

Akid mengangguk. Tanda menyetujui pendapat Reza.

"Habis, waktu kerja flexible ni, kenapa pula?"

"Dia boleh kerja lebih masa. Sebab aku ni balik kerja tak menentu masa. Jadi, dia kena ada di rumah jaga budak-budak tu sampai aku balik. Boleh kerja Sabtu dan Ahad juga sebab weekend aku tak ada kat rumah."

"Kau pergi dating ke apa?" tanya Akid sebelum sempat Reza menyudahkan penjelasannya.

"Aku pun ada life aku sendiri." Reza mengelak dari bertentang mata dengan Akid. Terus menyambung kalimatnya yang dipotong Akid tadi. "Lagipun, selagi budak-budak tu duduk di rumah aku, takkan aku benarkan mereka keluar tanpa penjaga."

Akid mendesah. Gila strict! Mengalahkan mak bapak zaman 80-an! Kerut di dahi Akid makin berlipat bila membaca syarat berikutnya.

"Mesti pandai memasak?" Akid angkat muka sambil mencerunkan mata. "Hey, Reza! Kau nak suruh aku cari PA ke bibik? Atau kau yang nak cari calon bini sebenarnya ni?"

Tajam mata Reza melibas pandang ke wajah Akid. Serta-merta Akid angkat tangan tanda surrender dengan senyum kelat.

"Dia kena tahu masak. Sebab Uwais ada gastrik. Kalau Uwais lapar, boleh suruh dia masak! Nama pun PA, kan? Dia mesti assists budak-budak tu sama ada dalam daily business atau personal tasks. Dia kena kerja multitasking."

"Ada satu kau lupa tulis. Tahan kena maki dengan kau!" sindir Akid begitu pedas.

Dan Reza menanggapinya secara sarkastik. "Itu wajib, sebab kalau aku tak puas hati, memang aku maki aje terus!"

Akid mendesah. Mana nak cari PA tahan dibanting hati dan perasaan macam tu?

"Ada apa lagi? Aku nak sambung kerja ni."

Tidak menjawab pertanyaan Reza, Akid bangun. Kertas tulisan Reza dilipat masuk ke dalam casing tablet. Dia geleng kepala memandang Reza. Bengang pula rasanya mengenangkan sederetan syarat ketat yang Reza kenakan. Mengalahkan nak cari PA untuk perdana menteri!

Belum pun sempat Akid mengatur langkah meninggalkan kubikel, suara Reza menahannya.

"Lagi satu!"

Akid menoleh dengan muka tak puas hati.

"Bila kau dah jumpa calon yang sesuai, aku nak join interview dia. Lepas tu, baru aku buat decision sama ada dia layak atau tak jadi PA Qaira dan Uwais."

Akid merengus. "Suka hati kaulah, Reza! Asalkan kau bahagia!"

Reza menyambut kata-kata itu dengan bibir mengembangkan senyum kemenangan, dagu terangkat. Puas hatinya dapat menguji kesabaran Akid!

REZA tiba di rumah jam enam petang. Suasana rumah sunyi sepi. Pintu pagar pun elok berkunci. Terpaksalah Reza turun dari motor dan membuka sendiri mangga. Sambil menolak superbike masuk ke pekarangan rumah, mata Reza meliar. Nampak kasut sekolah Qaira dan Uwais elok tersusun atas rak.

Lepas menongkat superbike di bawah porch, Reza masuk ke dalam rumah sambil memberi salam. Tak ada yang menyahut. Tapi terdengar suara Qaira sayup-sayup menyanyi riang di tingkat atas.

Selepas meletakkan helmet ke atas kabinet tepi pintu, Reza mendekati tangga, mengamati suara Qaira yang menyanyi mengikuti muzik minus one. Sedap juga suara budak ni... Tapi tak dengar pun suara Uwais.

Reza berjalan menuju ke dapur. Niat hati mahu membasahkan tekak dengan air sejuk. Tapi baru masuk ke ruang dapur, hidungnya menangkap bau yang sangat familiar. Reza mengendus-ngendus udara.

Sah! Itu bau rokok!

Melihat pintu dapur yang terbuka lebar dan asap nipis bertebaran di udara, Reza pantas meluru. Dari tepi pintu, dia melihat Uwais sedang duduk mencangkung, asyik menghisap rokok di tepi kaki lima.

Tanpa sebarang amaran, Reza menerpa lalu mencekak kolar baju Uwais. Terperanjat Uwais dibuatnya.

"Kecik-kecik dah pandai merokok!" Rokok ditarik kasar dari mulut Uwais.

"Macamlah abang tak merokok!" balas Uwais.

"Aku memang tak merokok!" bentak Reza.

Uwais mencebik tidak percaya.

Reza mengunjukkan rokok yang makin malap baranya ke depan muka Uwais. "Kau nak tahu kenapa aku tak merokok? Sebab aku tengok mama aku menderita dan mati akibat benda ni, tahu tak?"

Dahi Uwais berlipat kerut. "Takkanlah mama abang pula yang merokok?"

"She's a second hand smoker!" Reza baling puntung rokok ke tanah dan melepaskan tangan dari kolar baju Uwais.

Mata Uwais terkebil-kebil tanda tidak mengerti. Ketika itu juga, Qaira muncul di muka pintu.

"Hari-hari dia hidup dengan asap rokok dari papa. Kau tahu tak, bahaya second hand smoke? Asap yang kau hembus tu, bukan semuanya masuk ke jantung kau! Asap yang bebas tu, orang lain ikut sedut. Kau tahu apa akibatnya? Darah jadi pekat, kolestrol meningkat... Paling parah, orang yang hidu asap rokok tu boleh kena strok, sakit jantung, tak pun kanser. Dan untuk pengetahuan kau, mama aku meninggal lepas kena kanser paru-paru sebab hari-hari terpaksa hidu asap rokok dari suami dia! Kau hisaplah rokok selalu kalau kau nak Qai pun mati disebabkan asap rokok kau!"

Hamburan kata-kata berbaur nasihat tapi tajam dari Reza, buat Qaira dan Uwais pegun. Jadi, ada hal yang tidak pernah mereka tahu tentang papa dan mama abang Reza.

"Tapi kita orang tak pernah pun nampak arwah papa merokok?"

"Well... Itu tandanya dia lebih sayangkan kau orang dari mama aku! Dia tak nak keluarga baru dia mati macam mama aku!" Reza balik tubuh dan berlalu pergi.

Qaira dan Uwais terdiam berpandangan sesama sendiri. Merasa terpukul mendengar ayat terakhir Reza.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co