Truyen3h.Co

HATIKU UNTUK DIA

Bab 9

karyaseni2u

"WEH! Kita pergi sekolah macam biasa ajelah. Tak payah kejutkan dia," kata Uwais setengah kecut apabila melihat Qaira beria-ia berdiri di hadapan pintu bilik Reza.

"Tak boleh. Mulai hari ni, kalau kita nak Abang Reza layan kita baik-baik, kita kenalah hormat Abang Reza."

"Aku rasa lagi hormat kalau kita tak ketuk pintu bilik dia pagi-pagi buta ni. Entah-entah dia tidur lagi ke? Dah, jangan kacau dia. Jom kita pergi sekolah!" Uwais menarik tangan kiri Qaira tapi tangan kanan kakak kembarnya itu sudah pun mendarat di permukaan pintu.

Dua kali ketuk dan terdengar bunyi klik dari dalam. Pergerakan Uwais terhenti. Pintu bilik dibuka dari dalam. Terpacul wajah Reza yang membuat Qaira dan Uwais sama-sama ternganga.

Tidak berkelip mata mereka berdua melihat Reza bersongkok dengan t-shirt Pagoda, berkain pelekat.

"Nak apa?" tanya Reza sambil menatap wajah Qaira dan Uwais silih berganti.

"Errr... Nak pergi sekolah!" jawab mereka serentak.

"Nak duit belanja ke?"

"Eh... Tak! Bukan!" Uwais mengibas-ngibaskan tangan.

"Abang Reza dah solat ke baru nak solat?"

"Dah habis tapi tak sempat berdoa sebab dengar suara bising kau orang." Reza menjawab dengan muka selamba.

"Errr... Sorry, tak ada niat nak kacau. Qai ni sibuk sangat nak jumpa abang sebelum pergi sekolah!" Uwais sigung lengan Qaira.

Dahi Reza berkerut. "Nak jumpa buat apa? Pergi ajelah."

"Nak ni!" Qaira bertindak menarik tangan kanan Reza lalu tunduk menciumnya.

Reza terkesima.

Belum sempat bersuara, Uwais pula menarik tangannya dan melakukan perkara yang sama.

Reza tergamam. Rasa suasana sekitarnya membeku dengan hawa sejuk menyusup ke jantung.

"Kita orang pergi sekolah dulu!"

Suara Qaira dan Uwais mengejutkan Reza. Mereka berdua sudah mahu menuruni tangga.

"Tunggu!" Reza menahan dengan suara tegas.

Sontak, langkah Qaira dan Uwais terhenti lalu mereka sama-sama berpaling menghadap Reza dengan wajah cuak.

Tanpa berkata apa-apa, Reza menghilang ke dalam bilik. Muncul semula beberapa saat kemudian. Melihat Reza mendekati mereka, debar dalam dada Qaira dan Uwais makin menghentak. Takutnya kalau Abang Reza marah...

"Ada apa, Abang Reza?" tanya Uwais.

Tidak menjawab pertanyaan itu, Reza tiba-tiba memasukkan sesuatu ke dalam poket kemeja Uwais. Lebar mata Uwais melihat wang kertas warna hijau.

Pada Qaira, Reza letakkan duit dengan jumlah yang sama ke atas tapak tangan. Qaira mendongak pandang Reza dengan wajah terkejut.

"Duit apa ni, Abang Reza?"

"Belanja sekolah. Itu aje yang aku mampu bagi," ujar Reza dengan nada datar.

Sebentuk rasa terharu melanda hati Qaira dan Uwais. Dapat lima ringgit seorang dari Reza rasa macam dapat lima puluh ringgit! Tapi bukan nilai yang meruntunkan tapi keprihatinan Reza yang mereka tidak jangkakan langsung.

"Terima kasih, abang... Sebab peduli," ucap Uwais. Perit rasa tekaknya menahan sebak.

Reza menelan liur.

"Dengar sini..." Suara Reza memaksa Qaira dan Uwais memandangnya. Mata mereka berkaca.

"Aku mungkin tak sebaik Alfanshah kesayangan kau berdua tu. Aku dah kehilangan dia, mama dan papa. Seluruh hidup aku sunyi sejak mereka tak ada. Aku tak pandai nak sayang kau orang macam Alfan pernah buat. Jadi, aku mohon supaya berhentilah berharap aku jadi macam dia. Aku bukan macam dia." Reza menamatkan kalimatnya di situ. Tidak sanggup lagi meneruskan kata apabila melihat bibir Qaira menggeletar, Uwais pula nampak nanar.

Tiba-tiba Qaira melonjak, memaut tengkuk Reza sebelum meninggalkan satu ciuman ringan di pipinya. "Tak kira apa pun yang berlaku, Abang Reza tetap abang kami!"

Belum pun Reza sempat pulih dari rasa gugup setelah Qaira menjauhkan diri, Uwais mengambil giliran, merangkul dirinya ketat-ketat. "Thanks, abang!"

Reza melongo. Tidak berkelip matanya melihat Qaira dan Uwais berlari menuruni tangga bagai kanak-kanak riang baru lepas dapat Sugus.

"Kita orang pergi sekolah dulu! Bye, abang! Assalamualaikum!" Serentak Qaira dan Uwais mengucapkannya bagai sudah berjanji.

Reza membeku di tempatnya berdiri. Sampai kelibat Qaira dan Uwais hilang dari pandangan, baru Reza terhenyak ke dinding bersama perasaan libang-libu.

Dicium... Dipeluk oleh Qaira dan Uwais. Rasanya cukup janggal namun itulah perasaan yang paling indah pernah Reza rasakan setelah lapan tahun berlalu tanpa curahan kasih sayang daripada sesiapa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co