Bab 1
PROLOG
LANGKAHNYA perlahan menginjak laluan tersebut, menghala ke kawasan yang agak sunyi di belakang rumah lama itu. Terdapat sebatang pokok sebesar tiga pemeluk manusia dewasa, berdaun rimbun dan setiap daunnya mempunyai kelebaran berbeza. Daun-daun kering gugur melayang menutupi lantai tanah. Salah satu daun yang gugur itu jatuh lemah di atas pusara lama.
Matanya bergelintar mengamati pusara berkenaan. Bukan satu tetapi dua pusara yang menyimpan rangka manusia berlainan jantina. Dia bertinggung di antara dua pusara tersebut lalu menadah tangan, menjulang langit untuk melabuhkan doa selepas bacaan ayat suci al-Fatihah disedekahkan kepada kedua-dua si mati.
Rerumput halus tumbuh di atas timbunan tanah rata kedua-dua pusara dibersihkan. Rumput-rumput itu dikumpulkan di satu tempat sebelum diangkat dan dibuang ke dalam semak belukar. Pusara itu kelihatan lebih bersih berbanding tadi.
Tapak tangan meleret di atas kepala lantas membawa helaian anak rambut yang jatuh mengatapi dahi. Pergerakannya dalam skala perlahan menuruni belakang tengkuk sebelum ia mati di situ.
Berlokasi agak jauh dari dua buah pusara tadi, terdapat satu kawasan kecil yang ditanam dengan rerumput tirus berbunga putih. Mata bergelintar liar.
"Anak kau masih hidup."
Dia berkata perlahan.
"Aishah masih hidup."
Tiada senyuman berpaut di muka.
BAB 1
SEBUAH kereta tempatan keluaran Perodua meluncur dengan kelajuan sederhana mengharungi jalan raya yang sedikit sesak. Kelihatan beberapa buah kenderaan lain yang mengekor di belakang turut dipandu laju oleh pemiliknya. Saat mendekati laluan yang dihalangi oleh lampu isyarat berwarna kuning, serta-merta hujung kaki menekan perlahan pedal brek. Cuma terdapat sebuah kereta merah entah dari buatan mana, tiba-tiba sahaja pantas membelah laluan tersebut, yang mana rata-rata telah memberhentikan kereta masing-masing.
Kepala tergeleng-geleng tanda simpati. Simpati kepada sejenis bangsa manusia yang membawa kereta besar dan mewah tetapi tidak pernah tahu peraturan di atas jalan raya. Kuning sebagai tanda bersedia untuk berhenti sebelum ia bertukar menjadi warna merah namun kebanyakan pengguna jalan raya memilih untuk terus menekan pedal minyak bagi menggerakkan kenderaan masing-masing selaju mungkin, seolah-olah mengatasi lampu kuning itu merupakan satu kehebatan yang harus dipamer kepada umum. Hakikatnya ia mengundang ancaman kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
"Saya dalam perjalanan ke sana." Suaranya jelas lembut menyambut panggilan daripada seseorang yang sangat disenangi. Kemudian dia tersenyum kecil mendengar gurauan yang datangnya dari celah-celah earphone yang disumbat ke dalam telinga.
"ASSALAMUALAIKUM..."
Kepala menjengah ke ruang yang kelihatan serba sunyi. Aneh... Entah ke mana perginya semua penghuni kediaman ini? Perlahan-lahan dia menginjak lantai. Dingin.
"Assalamualaikum... Umi, walid." Dia bersuara lagi. Kali ini lebih lantang.
Muka jadi berkerut. Perasaan dihambat keanehan yang sangat nyata. Selain umi dan walid, penghuni lain juga tidak ada. Dia berpusing di sekitar kawasan ruang tamu sebelum mengayun langkah menuju ke ceruk dapur. Andai kata seisi kediaman keluar beriadah, tidak mungkinlah pintu utama terbuka seluasnya seolah-olah menjemput sesiapa pun datang bertandang. Bagai mengundang bala sendiri.
"Umi... Walid?" Ragu-ragu dia menapak ke ruang paling digemari Puan Hajah Imani.
Dia terdiam sejenak. Fikiran sedang ligat berpusing. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu sedang dirancang buatnya. Lantas mata melikas liar. Bergelintar menembak ke serata pelosok kediaman ini. Bibirnya mengulum senyum. Bukan sekali dua dia dikenakan begini. Dia sudah lali. Cuma terkadang dia lupa.
Bunyi derap kaki mengekor dari belakang mengundang sengihan lebar. Dalam kiraan tiga, tubuh berpusing dengan aksi bersiap sedia hendak menangkap si nakal yang sedang mempermainkan dirinya. Tetapi tiada sesiapa pun melainkan hembusan angin lembut menyapa muka.
"Ha!"
Nurul Ain tersentak. Jantungnya berdegup pantas seumpama sedang mengejar kemenangan ke garisan penamat. Allahu... Dia mengusap dada sebelum berpaling.
"Aulia!" Suaranya berdesit geram.
Kanak-kanak tersebut lekas memecut larian meski kelajuannya tidak sepantas mana. Mengekek suara kanak-kanak itu tertawa diiringi suara-suara kecil lainnya. Di celah-celah kegamatan itu, dia menapis lontaran tawa garau seorang lelaki. Keningnya nyaris bercantum. Mukanya berkerut.
"Badri!" Oktaf suara tinggi.
Badri tertawa lagi sambil menjongket kening.
KENING Tengku Hanif terjongket sedikit tinggi. Renungannya tidak sedikit pun memuja keindahan paras si jelita yang sering diangkat-angkat darjatnya oleh Sabrina. Menurut Sabrina, pada gambaran melalui patah bicara sebelum ini, cantik si gadis bernama Puteri Rania itu seumpama bidadari. Namun setelah bertemu empat mata, baginya kecantikan Puteri Rania tidak mampu menggegarkan jantung sendiri. Ya... Paras itu diciptakan indah sepertimana namanya tetapi auranya tidak pun mencuit hati.
"Saya keluar sekejap." Tengku Hanif separuh berbisik dan lekas hendak bangun tetapi Sabrina sempat merentap hujung kemeja yang dipakai. Maka punggung tidak jadi menjauhi kerusi.
Saat mata bertembung pandang dengan Puan Juhana, Sabrina mengulum senyum. Anak teruna yang seakan-akan sedang disalai punggung dikerling tajam.
"Cantik dan manis orangnya." Sabrina memuji dengan senyumannya kekal menduduki bibir.
Puteri Rania terkidum-kidum menyembunyikan perasaan malu. Apatah lagi ketika kata pujian itu terucap dari mulut Sabrina, dia menyedari lirik mata Tengku Hanif menyelinap ke arahnya.
"Kalau jadi suri hidup Hanif ni, memang sesuai sangatlah." Sabrina memaniskan muka.
Kembang dada Puan Juhana. Bukan sedikit pujian yang diterima atas dasar paras rupa dan kebijaksanaan Puteri Rania. Bahkan sudah ramai yang bertanya, ada yang merisik hendak dijadikan menantu tetapi dia belum bersedia untuk melepaskan Puteri Rania. Baginya jodoh anak perempuan tunggalnya itu belum muncul meski dia sedia tahu Puteri Rania ligat berkawan dengan beberapa orang lelaki di luar sana.
Bagaimanapun apabila salah seorang kenalan di dalam persatuan bertanyakan tentang Puteri Rania, lekas dia bersetuju kerana kenalan itu merupakan isteri kepada seorang lelaki yang megah dengan status ahli perniagaan berjaya di dalam negara. Apatah lagi anak lelaki pasangan hartawan itu merupakan satu-satunya pewaris kekayaan sedia ada.
"Eh, jangan cakap macam tu, Datin Sabrina. Anak saya ni biasa-biasa sahaja kalau nak dibandingkan dengan Hanif." Puan Juhana merendah diri walhal dia cukup bangga ketika menerima pujian-pujian dari mulut orang sekeliling. Jika ada yang mengatakan Puteri Rania itu biasa-biasa, ternyata mereka buta.
"Tengok Hanif... Kacak, segak." Giliran wanita bertahi lalat di hujung bibir belah atas mengeluarkan bunga-bunga pujian.
Datin Sabrina mengulum senyum tetapi ekor mata melekat sejenak ke wajah Tengku Hanif. Meski tidak selesa, anak lelakinya kekal menyantuni tetamu depan mata.
"Helo." Tiba-tiba Tengku Hanif bersuara perlahan. Dia mengengsot menjauhi Sabrina. "Okey. I datang sekarang."
Telefon bimbit sudah jauh dari telinga. Lirik mata membaham permukaan jam tangan. Kemudian dia melepas pandang ke arah Puan Juhana dan Puteri Rania sebelum renungannya menentang sepasang mata yang tajam memerhati iaitu Sabrina.
"Maaf, saya tak boleh lama-lama di sini." Wajahnya kekal tenang walaupun sudah terlihat dari ekor mata bahawa roman Sabrina mula berubah riak.
"Hanif nak pergi mana, sayang?" Sabrina mengelus paha pemuda itu. Isyarat amaran telah dizahirkan oleh Sabrina. Isyarat yang menunjukkan dia bakal dijatuhi hukuman penggal kepala barangkali.
Ketenangan Tengku Hanif tidak goyah. "Pembantu Lufiya telefon."
"Pembantu Lufiya?" Berkerut dahi Sabrina. Sedangkan nada dering pemuda itu tiada menjengah pendengaran, tiba-tiba pula ada panggilan diterima masuk. Aneh. Dia mengesyaki sesuatu. Panjang akal Tengku Hanif mahu meloloskan diri.
"Maaf ya, Puan Juhana... Rania. Saya terpaksa balik dulu." Lekas dia berdiri. Tangan Sabrina dicapai. Dia menciumi tangan itu seperti kelaziman.
"Maafkan saya, mama." Dia berbisik halus ketika memeluk tubuh wanita itu. Sejurus, dia menempel senyuman.
"Hati-hati." Suara Puteri Rania melantun lembut. Senyum sang perawan sekadar tertempel sementara sahaja di mata Tengku Hanif. Baginya, ada senyuman yang lebih mekar dan manis, malahan lebih indah berbanding lenturan otot muka Puteri Rania.
"PUTERI RANIA." Ringkas dia menjawab.
Ketika Tengku Hanif menyatakan rancangan Sabrina hendak memperkenalkan seseorang kepada lelaki itu, dia tertawa geli hati. Sudah tidak ada daya hendak menghitung berapa ramai perempuan yang diperkenalkan kepada Tengku Hanif. Dan pengakhiran setiap satu pertemuan menemui titik noktah yang sama. Namun ternyata Sabrina bukanlah seorang yang mudah mengalah. Dia percaya, dalam masa terdekat tentu sahaja wanita itu akan mengusulkan aturan janji temu yang baharu.
"Cantik?" Suhaimi menyoal penuh minat.
Ekor mata mengerling sedikit. Kemudian Tengku Hanif tersenyum sumbing. "Berminat?"
Galak Suhaimi melepas tawa.
"Aku tanya tu bukan bermakna aku berminat nak kenal."
Otot muka Tengku Hanif melentur lagi. Dia menekan kuat pedal minyak sehingga memaksa kereta merah miliknya membelah laluan yang mana rata-rata pengguna lain sudah mula memperlahankan kenderaan masing-masing.
"Hoi, bahaya!" Suhaimi menjerkah. "Kau nak kejar apa laju sangat macam ni? Tu, lampu merah tadi."
"Alah, macamlah kau tak pernah buat." Tengku Hanif memusingkan stereng lantas memasuki sebuah kawasan yang tersergam deretan bangunan premis perniagaan.
Suhaimi menarik nafas panjang.
"Aku ni... Ada banyak benda belum settle tau. Tak mahulah mati awal gara-gara langgar lampu merah. Kahwin pun tak lagi." Suhaimi yang terkenal dengan jolokan 'kaki bebel' oleh Tengku Hanif, tanpa henti menghambur keluhan yang terbit dalam kepala.
Pertuturan akhir sahabatnya mengundang tawa yang bergegak-gempita dalam ruang berkapasiti lima orang.
"Kahwin? Calon mana? Calon?"
"Lagi mahu tanya ke?"
Lantunan gelak Tengku Hanif berlarutan sehingga menyebabkan Suhaimi malas hendak bertutur lagi. Mereka berdua kemudiannya menjulur kaki keluar, memijak lantai tanah berturap kehitaman apabila sudah tiba ke destinasi yang dituju. Tiada lagi perbahasan tentang jodoh. Tidak ada leteran Suhaimi tentang perlakuan Tengku Hanif di atas jalan raya. Kedua-dua mereka sekadar mencedok hal semasa berkenaan dunia bola sepak antarabangsa yang bakal hangat dalam saingan Piala Dunia di Rusia nanti. Bagi Suhaimi, tentulah dia menghikayatkan dengan jitu pasukan bola yang menjadi siulannya sejak dahulu lagi, Sepanyol.
"MASA Sepanyol menang, kan sotong kurita tu yang jadi pak nujum." Nurul Ain tersengih-sengih. Teringat akan seekor sotong kurita yang tiba-tiba sahaja menjadi fenomena ketika Piala Dunia 2010 bertempat di Afrika Selatan. Sotong yang diberi nama jolokan Paul, si sotong peramal telah meramalkan bahawa Sepanyol akan menjulang piala berprestij itu sekali gus menghapuskan impian Belanda selaku pasukan lawan.
Badri tersenyum halus. Dia mencapai segelas minuman lalu diteguk sedikit. Bibirnya terbuka memuntahkan bicara. "Sotong tu pun dah bersara," tambahnya.
"Tengok... Paul si sotong pun kerja. Terkenal satu dunia. Agak-agak dia bersara ada dapat pencen?" Pipi si gadis sudah timbul naik ke atas. Ada ulas senyum cuba disembunyikan.
Berderai tawa Badri. Kepalanya tergeleng-geleng.
"Awak ni, Ain." Suara garaunya meleret panjang.
"Oh, cakap fasal kerja..." Dia berjeda sejenak.
Sesekali mata Nurul Ain mencerun ke wajah lelaki itu. Tenang sahaja air mukanya dengan jambang yang kemas melatari dagu dan rahang muka. Seketul tahi lalat halus di pipi kanan seolah-olah membangkitkan seri wajah pemuda budiman tersebut. Manis dipandang mata.
"Macam mana kerja sekarang? Okey?"
Nurul Ain mengangguk dalam senyuman kecil.
"OKEY tak ni?"
Nurul Ain tersentak. Langsung ghaib dengung-dengung bicara Badri beberapa jam lalu sewaktu mereka berdua berada di Rumah An-Nur. Bayang wajahnya ikut sama pecah berderai lalu naik ke udara dan bergumpal bersama deru angin yang dihasilkan daripada putaran kipas siling.
Kepala mendongak. Sorot mata menjaring susuk tubuh seorang wanita yang tampak begitu anggun dalam persalinan kurung moden berwarna ungu tua, dipadankan dengan tudung instant berona coklat dan krim.
"Ibu nak ke mana?" Terkebil-kebil matanya melawan renungan Suriani.
"Ibu baru balik kenduri dekat rumah Haji Siak."
Punggung berlabuh hampir di sisi anak perempuannya. Tangannya ligat menanggalkan pin kecil yang melekat di kiri dan kanan bahu. Kemudian wajah Nurul Ain diterpa kembali.
"Tadi menungkan apa? Bibir tu tersenyum-senyum."
Wajah Nurul Ain berkerut seribu. Dia meraba bibir.
"Mana ada, ibu."
Suriani mencebik. Bukan tidak nampak akan kelakuan ganjil anak sulungnya. Puas dipanggil nama, namun reaksi Nurul Ain kekal serupa.
"Kata orang, kalau dah sampai tahap senyum sorang-sorang tu tanda mabuk cinta." Suriani memuntahkan rasa atas dasar menduga-duga.
Bagai mahu tercabut jantung dari tubuh. "Ke situ pula ibu ni." Lekas dia menidakkan dengan suara yang melantun perlahan.
"Habis tu?"
"Ain bukan apa, teringat budak-budak dekat rumah tu." Kaki yang melunjur ke bawah dibawa naik ke atas kerusi. Dia duduk bersimpuh menghadap Suriani yang masih mahu mengusik si gadis.
"Really?"
"Ibu ni kenapa?" Nurul Ain mulai jengkel.
Berderai tawa Suriani memecahkan kesunyian ruang tamu kediaman mereka. Cemberut muka Nurul Ain menambah rasa geli hati.
"Alah, ibu bergurau aje pun."
"Ibu punya siasat tu, macam audit apa aje. Tahulah ibu ni juruaudit. Takkan nak audit anak sendiri."
Suriani bangun. Badan terasa berlengas. Dia perlu mandi sebelum mengerjakan tuntutan agama. Kurang lebih sepuluh minit lagi akan kedengaran azan yang menandakan masuknya waktu solat fardu asar.
"Ibu nak kena audit juga. Audit bakal menantu." Bersahaja dia menutur kata. Ketika dia memandang Nurul Ain, sengaja dia menggerakkan bibir, menyebut nama seseorang tanpa suara.
Enggan melayani gurauan ibunya, Nurul Ain terus membalas. "Kalau jodoh, kita terima dengan hati yang terbuka." Setelah itu, dia tertawa apabila menyedari anak mata ibunya sudah bergelintar merenung siling tanpa arah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co