Bab 11
TANGAN yang berbalut dipandang. Luka tak sampai seinci pun tapi dalam jugalah apabila kulit di atas sendi jarinya koyak. Wajah Aatiq menari balet di dalam kepalanya. Cuba dihalau, tapi semakin kerap wajah tangis itu menemani. Mata Raqib menjeling pada Johan di sisi.
"Jo?"
"Ya, bos?"
"Dah siap tukar cermin kereta?"
Johan angguk.
"Cuma tak sempat nak tinted aje, bos."
Kepala Raqib bergerak beberapa kali tanda faham. Diusap misai dan janggut yang mula tumbuh menipis. Kemudian dia urut belakang leher. Dapat dia rasa rambutnya dah panjang mencecah kolar.
Dipandang menu baru yang dicadangkan oleh pekerjanya. Boleh tahan. Entahlah. Sehari dua ni - sejak Aatiq kembali, fikiran dia bukan pada kerja. Dia terlalu sibuk memburu tapi saat buruan ada di depan mata, begitu sukar dia mahu lepaskan anak panah tepat pada sasaran. Sepatutnya, hanya sekali dia perlu tegangkan tali busur untuk lepaskan anak panah. Sasarannya pasti tepat mengena. Tapi, bukan masanya lagi.
"Jo?" Tiba-tiba teringat juga dia pada kata-kata Aatiq. Nak cari kerja. Dia dah tahu sebelum tu. Cumanya...
"Kau dah tahu dia ada sijil apa?"
"Dia ada sijil masakan daripada sekolah tu."
"SPM?"
"Maaf, bos. Dia tak sempat ambil masa tu. Atau boleh jadi tak layak. Saya kurang pasti apa yang buatkan dia tak dapat nak ambil periksa tu, bos."
Bibir Raqib tersungging dengan senyuman senget mendengarkan perkataan maaf daripada Johan.
"Kau tak salah apa, Jo. Tak payah minta maaf sebab dia tak dapat ambil periksa. Sepatutnya dia tu tak patut ada dalam muka bumi ni," luah Raqib tanpa sedar.
"Kalau aku jadi pengetua dekat sekolah tu pun, aku tak bagi dia ambil periksa dan aku tak akan bagi dia belajar apa-apa. Biar dia keluar dari Henry Gurney tu, dia mereput di tepi jalan." Pen di tangan digenggam. Mujurlah keras. Kalau pensel ni, dah lama patah empat.
Dia dilahirkan kidal. Walaupun tangan kanan berbalut, tangan kiri masih boleh digunakan.
"Tapi, bos..."
"Tapi apa, Jo?" Mata Johan dipandang tepat.
Lama Johan diam.
"Tak apa, bos. Ini..." Diletakkan satu sampul surat berwarna coklat cerah di depan Raqib.
"Shella bagi dekat saya untuk bos calon cef baru. Dan..."
Makin berkerut dahi Raqib. Seperti dapat dia agak apa yang bermain di dalam kepala Johan. Cepat-cepat dia tarik beberapa helai kertas putih itu dan dibelek muka surat kedua, wajah itu muncul lagi.
Nampaknya, takdir juga tak nak kau jauh dari aku, Aatiq! Senyumannya makin menggerunkan.
SETELAH apa yang terjadi semalam, takut juga dia nak keluar rumah namun digagahkan jua langkah. Semangat diseru. Apabila terasa lumpuh, wajah dan kata-kata ibulah yang jadi penyembuh.
Besar harapan moga tak bersua dengan Raqib hari ni dan selamanya. Dia tak tahu dari mana lelaki itu muncul. Dibawa angin lalu. Apabila tiupan itu terhenti, Raqib jatuh di depan dia. Harapnya, angin itu kembali berhembus dan membawa Raqib pergi. Sejauh-jauhnya.
Tadi dia dah bagi sijil dan resumenya kepada wanita yang dipanggil Cik Shella oleh pekerja The Rebung. Tak tahulah Cik Shella dah koyak atau helaian resume dan sijilnya masih elok tersimpan. Dia cuma diberitahu, jawapan pada permohonannya akan dihantar melalui e-mel nanti.
Dalam hati, rasa tak sabar itu hadir. Tapi, tak sabar menanti satu berita baik bukanlah sesuatu yang salah. Nafas lega dilepaskan perlahan. Dia duduk di stesen bas semalam. Manalah tahu, pak cik yang baik hati itu muncul lagi. Dia akan ucapkan berbanyak terima kasih biarpun belum pasti dia diterima. Jika tidak diterima pun, dia dah usaha.
Malam tadi, lena dia tetap terganggu. Dia bangkit daripada perbaringan dengan peluh lebat membasahi seluruh tubuh. Cumanya, bukan lagi wajah Raisya tapi diganti dengan gelak tawa Raqib.
"Okey ke tak tangan dia, ya?" Teringat kejadian semalam, hati dia tak boleh lari daripada berasa risau biarpun secubit. Memang tangan Raqib luka semalam. Tapi, lelaki itu bijak menyorokkan. Harap sangat Johan bawa ke klinik. Kalau tak dibersihkan, luka tu akan terkena jangkitan walaupun luka kecil.
"Kalau dah betul aku buat salah, tumbuk ajelah aku. Biar puas hati dan lepas tu jangan jumpa lagi. Dah kenapa nak sakitkan diri sendiri?" Sempat dia membebel sendiri.
Bukan apa... Geram dia dengan manusia yang tak sayang diri sendiri ni. Andai kata dia yang bersalah pada lelaki itu, hukumlah dia dengan cara mana yang disukai. Biar jelas segala hutang dan saling tak berhutang lagi. Biarkan dia kemudikan hidupnya tanpa dibadai apa-apa lagi. Namun dia tahu... Aatiq lepaskan nafas lelah.
Lautan manalah yang tak bergelora? Lautan mana yang selamanya tenang?
"Seribu tahun tak akan mampu aku balas hutang aku kepada dia?" soalnya kepada diri sendiri sambil menatap langit yang sedikit kelabu hari ini. Kualiti udara tak elok atau hari nak hujan, kedua-duanya ada kemungkinan.
"Hutang nyawa ke? Tapi, selain Raisya rasanya tak ada sesiapa lagi dah. Ke aku dah sakitkan hati dia? Mainkan perasaan dia? Bila? Mana pernah kenal?" Soalan itu, kekal tiada jawapan.
Tiada Raqib di depan mata. Tiada sesiapa yang sudi memberi jawapan melainkan hanya dia yang semakin berselirat dengan teka-teki. Ditinggalkan dalam pagar sesat oleh seorang lelaki bernama Raqib - moga dia akan temui jalan keluar.
SEMPAT dia melangkah ke pintu restoran, melalui meja yang dipenuhi pelanggan tengah hari ini. Sempat juga dia lihat kelibat susuk tubuh itu berlalu di bawah terik mentari. Raqib berpaling kepada Johan.
"Shella mula cuti esok sampai bila?"
"Hari Khamis, bos."
Hari ini baru hari Selasa. Raqib angguk. Patutlah Shella serahkan kepada dia. Biasanya, Shella akan uruskan sendiri semua ini. Yang tiba di depan dia adalah yang sah-sah akan digaji. Tapi, dia rasa elok juga begitu. Jika Shella terbaca permohonan Aatiq, rasanya semua ini tak akan sampai di atas meja dia. Shella bukan suka benda-benda macam ni.
"Pukul berapa dia sampai sini?"
"Tak pasti, bos. Masa Shella bagi sampul tu dekat saya, dia ada lagi tapi dah dekat nak keluar."
"Dia nampak kau?" Kening Raqib naik.
Buatnya Aatiq perasan figura Johan, dah tentu-tentu gadis itu buka langkah seribu. Setelah pertemuan mereka semalam, ayat akhir Aatiq melekat padu dalam kepala.
"Saya tak akan muncul depan awak. Selamanya!" rayu Aatiq perlahan.
Bibir Raqib terukir sengih senget seperti biasanya. Tak akan muncul depan aku selamanya? Habis tu, hari ni tiba-tiba muncul lebih dekat dengan aku? Mana kau nak lari, Aatiq... Bila takdir sendiri bawa kau dekat dengan aku?
"Dia tak nampak, bos."
Terkejut juga Raqib dengan jawapan Johan yang tiba-tiba. Dia mengerling tajam dan menderam kasar. Tangan diseluk ke dalam poket seluar. Masih memandang dari kejauhan gadis yang sedang menanti bas.
"Berapa lama dia duk situ?"
"Sejak keluar tadi lagi, bos."
Dahi Raqib berkerut. "Hai, bas banyak. Teksi banyak. Dah kenapa dia tak naik? Dia tunggu siapa?"
"Tak pasti, bos." Johan tunduk. Memang dah hampir sejam lebih Aatiq duduk di situ tanpa ada tanda hendak berganjak.
"Perlu ke saya hantar dia balik, bos?"
"Kau gila?!" Johan ni buang tabiat apa pula tengah hari buta ni?
"Kau ngigau ke apa tanya aku soalan gitu, Jo?"
Tersengih janggal Johan dibuatnya. Tapi, jika dijawab Raqib nampak risau tentang Aatiq, dia pasti akan dimarahi.
"Sorry, bos."
Raqib berdecit. Tangan dikeluarkan dari poket seluar.
"Mari masuk. Biarlah dia terbakar bawah matahari tu. Tak hadap aku nak tengok dia lama-lama." Tubuh dipalingkan. Baru nak melangkah, Shella muncul. Tersenyum seperti biasa.
"Bos, esok saya cuti. Nanti bos tengoklah cef-cef baru tu. Sini saja nak pakai dua orang, bos." Jari runcing Shella tegak dua batang.
"Ramai sangat buat apa? Pembantu kan dah ramai?"
Dahi Shella berkerut. Dia pandang Johan. Kenapa dengan bos ni? Padahal dia juga yang katakan sini yang paling sibuk.
"Sebab dekat sini yang paling sibuk. Lagipun, bos juga yang cakap kena ada dua orang dekat sini. Bos dah lupa ke?"
Raqib ketap bibir. Dia tak lupa. Tapi, entahlah. Buntu seketika.
"Yalah. Nanti saya fikirkan." Dia terus berlalu tak menoleh lagi.
Johan mengikut. Shella yang berkerut kening. Apa yang tak kena sekarang ni? Sejak akhir-akhir ni, Encik Raqib lain macam sangat, desis Shella dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co