Bab 9
CAHAYA setuju untuk berjumpa dengan Safri buat kali terakhir. Dia tak mahu terus diganggu lagi oleh bekas tunang anak emak tu. Hairan sungguh dengan sikap Safri... Dia mengutuk, pandang hina pada Cahaya, tapi masih ada hati ajak jumpa. Cahaya menolak, namun dia tak tahan dengan gangguan demi gangguan daripada Safri. Dalam sehari berpuluh-puluh kali Safri menefonnya. Ada yang disambut, tapi kebanyakan dibiarkan saja menyepi. Mesej jangan dikata, beratus-ratus walaupun tak dibalas.
Ingatkan orang bercerai aje ada gila talak. Orang putus tunang pun ada juga, ya? Cahaya nak hentikan semua ini. Dah orang tak suka sudahlah... Tak perlu lagi nak teruskan hubungan. Hari tu bukan sedikit Safri dan orang tuanya menyakiti hati Cahaya dan keluarganya. Tak puas hati lagi ke?
Apakah tujuan Safri merayu-rayu nak jumpa dia? Tak Faham Cahaya. Dah putus, kira putuslah... Nak jumpa lagi kenapa?
"Tak apa, Cahaya... Kak Anggun temankan. Dia belasah you, Kak Anggun belasah dia balik. Janji ini yang terakhir untuknya, lepas ni jangan dia berani lagi kacau-kacau Cahaya. Lelaki anak mak ni, memang macam lalang, depan mak pijak semut tak mati, belakang mak dia buat lain."
"Ala... Kak Anggun, please behave... Tak mahu la gaduh-gaduh. Tempat publik kut, nanti jatuh saham Kak Anggun. Ditambah kalau kena viral. Tak laku terus Kak Anggun nanti sebab tak ada orang nak jadikan menantu. Dah la Cahaya ni gerenti orang tak mahu dah, perempuan tak sah taraf!"
"Okey, Kak Anggun behave tapi tak janji."
"Hah... Ni yang tak boleh percaya! Tak janji pula! Lidah belit-belit, macam Nik Safri juga." Cahaya ketawa di hujung katanya.
"Dah tu, you ingat Kak Anggun ni nak biarkan aje kalau orang pijak-pijak you? Jangan harap la. You tu adik I Cahaya, darah daging I... I takkan bagi orang buat macam-macam dekat you depan mata I! Jadi perempuan zaman sekarang tak boleh lembik-lembik dah, nanti orang buat macam timun, boleh baling sesuka hati."
Cahaya angguk. Yalah-yalah, Kak Anggun... You win! Anggun dah setuju nak pergi sama pun syukur sangat. Lega hati Cahaya. Harapannya, lepas ini Nik Safri tak buat hal lagi.
"Lagi satu, Cahaya... You jangan merendah diri sangat. Tak semua jantan macam Safri pengecut, bajet bagus tu. Setiap dari kita sama aje, lahir tanpa dosa. Tak ada bayi yang baru datang ke dunia ni sedia dengan dosa berbakul-bakul. Biarpun mak bapak kita berdosa, kita yang keluar masa baby tu semua suci murni, tak bawa dosa dia orang sekali, aih. Yang nak menentukan kita ni hina atau tidak... Ni, hati yang di dalam!" Anggun tepuk-tepuk dadanya dengan begitu bersemangat sekali.
"Yang nak tentukan darjat kita ni lebih tinggi atau tak adalah iman dan takwa kita pada Allah. Bukan keturunan kita," sambung Anggun lagi.
Cahaya angguk lagi. Sangat setuju.
"You always right, kakak kesayanganku. Thank you and I love you."
Pada waktu-waktu getir yang dihadapi Cahaya, Anggun lebih banyak menjalankan tugas seorang tugas-tugas seorang ibu berbanding mama mereka sendiri. Puan Wahidah lebih banyak mengasingkan diri dan tak banyak bercakap. Mungkin dia perlukan ruang untuk diri sendiri. Yalah, memang tak mudah untuk dia hadapi semua ini. Segala aibnya dah terbongkar kut. Malu dengan semua orang, lebih-lebih lagi malu dengan anak-anak. Pada Allah SWT, malu tak Puan Wahidah?
NIK SAFRI datang tepat seperti masa yang dijanjikan. Tak terlewat walau seminit. Dia juga tak datang seorang. Ada seorang gadis di sebelahnya. Cantik persis seorang model catwalk. Jalan rapat-rapat di sebelah Nik Safri, bersentuh kulit la gayanya. Relaks saja Safri buat kelakuan lain macam. Dengan Cahaya, jangan harap nak dapat cenggitu. Sekelip mata Nik Safri berubah. Ke memang selama ni teringin nak jalan berhimpit-himpit, tapi Cahaya yang tak nak? Dapat perempuan lain, terus on belaka.
Cahaya bertatapan mata dengan si kakak. Pelik dia orang.
"Motif?" soal Anggun pada adiknya.
Cahaya jongket bahu sedikit. Sumpah dia tak tahu apa tujuan Nik Safri datang bersama perempuan cantik jumpa dengannya.
"Itulah contoh lelaki tak guna. Nasib baik dah putus!" bisik Anggun dengan gaya meluat.
Nik Safri hampiri meja Cahaya dan Anggun, lalu menarik kerusi untuk gadis cantiknya. Lepas tu dia duduk di atas kerusi sebelah. Rapat-rapatkan kerusinya ke sisi si gadis. Jongket kening pada Cahaya dan Anggun yang sedang memerhati, dengan senyum sinisnya.
"Hah... Nak sangat jumpa Cahaya, nak bincang apa?!" sergah Anggun, gaya bengkeng. Meluat sungguh dia tengok gelagat Safri. Macam kera, desis hatinya. Hairan dekat si adik yang nampak tenang dan relak saja.
"Saja nak jumpa. Tak adalah rindu pun. Ingatkan Cahaya datang sorang, rupa-rupanya bawa si garang ni. Patutlah tak kahwin-kahwin. Nanti Cahaya pun akan jadi macam tu la juga," ujar Safri selamba.
Tersentak Cahaya. Cara Nik Safri memprovokasi sangat menyakitkan hatinya. Jika Safri mengejinya dia dapat terima, tetapi sekarang lelaki ini mengata Kak Anggunnya sekali. Sikap Nik Safri memang sudah berubah 180 darjah. Mendadak sangat.
"You ni kenapa, Saf? You pun datang berteman, kan? Kenapa nak sound Kak Anggun pula?" soal Cahaya. Gadis di sebelah Safri dikerling.
Nik Safri senyum sinis.
"Cemburu ke?"
"Tak. Nak cemburu pasal apa pula? Kita pun bukan ada hubungan apa-apa dah." Bersahaja Cahaya balas. Sungguh, dia memang dah reda tak berjodoh dengan Nik Safri.
"Baguslah kalau dah move on. I bukan apa, takut ada yang derita sebab kehilangan I."
"Insya-Allah tak. Tuhan akan ganti yang lain nanti... Mungkin yang lebih baik budi pekertinya," ujar Cahaya bersahaja.
Tetap lembut dan relaks suara Cahaya. Ni yang buat Nik Safri bertambah sakit hati. Cahaya sedikit pun tak bersedih dengan perpisahan mereka.
"Ya ke? Ada ke lelaki bodoh yang nakkan you, Cahaya?" soal Nik Safri dengan suara sinis.
Anggun tepuk meja di hadapan Nik Safri. Perlahan saja sebab dia masih waras.
"Hoi, lelaki tak sedar diri! Sebenarnya kaulah jantan paling bodoh tau tak? Aku tanya lagi, apa tujuan kau nak jumpa Cahaya? Tak puas-puas ke hina dia? Apa dosa dia pada kau? Tak ada, kan?" tempelak Anggun. Bulat matanya pandang Nik Safri.
Pucat muka teman wanita Safri di sebelah. Takut kena pelempang dengan Anggun agaknya. Anggun tak tahan terus berdiam dan beri peluang Nik Safri bercakap sesuka mulutnya saja. Adiknya Cahaya mana reti marah orang. Dua puluh empat jam lembut aje bahasanya. Perangai dia dan Cahaya memang kontra. Tapi mereka serasi jadi adik-beradik.
"Ikut hati tak ingin la aku nak jumpa lagi perempuan taraf rendah ni."
"Habis tu?" Sekali lagi Anggun tepuk meja di hadapan Safri. Cahaya terus pegang lengan kakaknya, bimbang Anggun tak dapat kawal perasaan. Tak pasal-pasal kecoh nanti satu restoran.
"Ni ha, bakal tunang baru aku, nak sangat jumpa Cahaya. Nak tengok dan dengar sendiri yang aku ni tak teringin untuk balik dengan perempuan ni. Aku cakap dia tak percaya. Dia nak tengok dengan mata sendiri yang aku reject adik kau! Memang tak la aku nak gila semula dengan perempuan yang tak tahu bapaknya ni," jawab Safri selamba.
Tiba-tiba ada bunyi kerusi ditolak kasar ke belakang. Seorang lelaki berdiri hampir di meja mereka.
"Amboi, sedapnya mulut kau bro hina ex kau! Memang kau tak layak pun untuk dia. Dia cantik macam bidadari syurga... Kau pula macam mamat cuci longkang! Cerminlah diri dulu sebelum menghina orang. Awek sebelah kau pun ketiak berkerak. Itu pun nak bangga sangat ke?" Maki lelaki tu sambil matanya gilir-gilir pandang antara Nik Safri dan Cahaya.
Dari tadi lelaki itu memerhati dan pasang telinga pada manusia di meja sebelahnya. Dekat aje pun, semua butir kata boleh dengar dengan jelas dan hadam kat kepala. Kasihan sangat pada perempuan yang wajah manis dan tenang tu kena hina macam-macam dengan lelaki bajet bagus tu.
Bulat mata Nik Safri pandang lelaki itu. Berlaga-laga rahangnya, marah sangat sebab dikata mamat cuci longkang bawa awek ketiak berkerak.
Sedangkan Cahaya dan Anggun terkedu tak terkata apa sebab ada hero yang tiba-tiba muncul jadi penyelamat mereka. Penyokong lebih tepat lagi. Mengangkat balik maruah Cahaya yang dah dipijak-pijak mulut jahat Nik Safri.
"Kau siapa?!" jerkah Nik Safri.
"Siapa-siapa sajalah," balas lelaki tu bersahaja.
"Kalau siapa-siapa sajalah jangan masuk campur hal orang boleh tak?"
"Suka hati akulah! Aku suka kat awek tu, dia cantik dan cool aje," jawab lelaki tu selamba, sambil mata mengerling pada Cahaya. Dia kasi senyuman manis untuk Cahaya sebelum blah dari situ bersama seorang kawan lelakinya.
Bertambah bengang la Nik Safri. Aweknya gesa-gesa ajak pergi sebab dah malu dikatakan perempuan ketiak berkerak. Mahu tak malu, ramai pandang-pandang arah dia kut bila lelaki penyibuk tu mencarut tadi. Nik Safri merengus dan pergi juga dari situ dengan muka marah serta tak puas hati. Lain yang dia target, lain yang dapat!
"Hah... Berambus dah! Tahu pun malu. Ingat nak sangat jumpa sebab ada tujuan murni, rupa-rupanya nak tunjuk perempuan ketiak berkerak." Anggun gelak terkekeh-kekeh.
Hilang perasaan marah Anggun bila teringat pasal ketiak perempuan tadi. Sungguh, betul kata mamat tadi. Anggun pun perasan pasal tu. Agak-agak la kan nak pakai baju tak berlengan pun. Sental dulu mana-mana yang patut.
"Udah-udah la gelak tu, Kak Anggun. Jangan pandang rendah pada ketiak berkerak tu, sebab kejelikannyalah mulut Safri jadi terdiam, dan pergi terus. Jika tak, lagi teruk cahaya kena hina dan Kak Anggun terus gaduh-gaduh dengan dia kat tempat awam ni."
"Eee... Mana ada ketiak hitam tu selamatkan Cahaya? Abang handsome tadi tu yang jadi hero. Cahaya kenal ke dia?"
Laju Cahaya geleng.
"Elok rupa dia, kan? Terpegun Kak Anggun tadi tau. Berani pula tu dia puji you cantik dik, padahal dia dah dengar si bahalol tu hina you. Lepas tu teliti pula, sampai perasan ketiak orang tak bersih. Padan muka minah tu, pakai seksi tapi kantoi. Macam itulah ciri-ciri calon suami yang baik!" Anggun angkat-angkat kening pada Cahaya.
Cahaya hanya mampu geleng kepala. Kadang-kadang Kak Anggun ni gediknya melampau kalau terus dilayan. Logik ke menilai orang bagus dalam sekelip mata jumpa? Nik Safri tu, bertahun-tahun Cahaya kenal... Sekarang baru tahu perangai jeliknya di tahap teruk.
"Ada tak pertemuan kali kedua dengan lelaki tu, Cahaya? Kalau you reject nanti I terus sambut!"
"Eee... Merenyamnya Kak Anggun!"
Anggun lepas tawa.
"Inilah yang dikatakan jatuh suka pada pandang pertama."
"Tak kuasalah, jangan libatkan Cahaya. Masalah Nik Safri pun belum selesai."
"Alah... Mamat muka longkang tu you kuburkan terus. Jangan ingat lagi, buat you sakit hati aje."
Cahaya senyum pahit. Memang pun!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co