Truyen3h.Co

Jagakan Aku

Bab 1

karyaseni2u

PROLOG 1

BUDAK lelaki berusia sembilan tahun itu menangis dan merengek. Raungannya membingitkan telinga yang mendengar. Pipi basah lencun, muka merah padam manakala mata mulai memerah.

Sedari tadi ibunya membiarkan dan memerhati sahaja namun sekarang dia mula mengorak langkah. Didekati si anak lalu tangannya membelai ubun kepala. Lembut. Bibir mengukir senyum sewaktu dia berdiri semula. Tangan dipanjangkan lalu dia tadah telapak seraya jari-jemari digerak-gerakkan.

Mengerti apa maksud si ibu, si anak sambut huluran tangan. Beriringan mereka berjalan menuju ke sebuah bilik, jauh dari semua orang. Genggaman dilepaskan. Si ibu melutut di hadapan si anak.

"Kenapa buat macam tu?"

"It wasn't me!"

Si budak lelaki membentak.

"Don't lie, I know you did it."

Si anak menjawab dalam bahasa Inggeris maka si ibu membalas dengan bahasa itu juga. Muka lembut si ibu semerta bertukar. Dia senyum sinis. Senyuman mengejek. Kening kanan sengaja dia angkat tinggi sewaktu dia serahkan sesuatu kepada si anak.

Sekilap, air mata si budak lelaki berhenti menumpahkan diri. Daripada muka sedih, ia jadi tegang. Daripada perwatakan seorang budak cengeng, tiba-tiba dia bertukar karakter. Cara renungannya kini tidak menampakkan renungan polos seorang kanak-kanak. Tetapi renungan yang seakan-akan berkuasa sebagai sebilah pisau. Tajam. Menusuk. Menyakitkan. Sama seperti objek tajam yang ada di dalam plastik lut sinar itu.

"Macam mana mama tahu?" tanyanya, senada.

"Adalah..." kata mama.

Si budak kecil kekal membatu di tempatnya. Takut? Tak. Perasaan itu tak menjengah hatinya walau untuk sesaat. Peduli apa dia kalau mama tahu apa yang telah dia lakukan?

Tak disangka-sangka, si budak kecil rasakan kepalanya dibelai-belai oleh mama. Kemudian tangannya ditarik dan plastik berisi objek tajam itu diletakkan di atas telapak kanan.

"Just don't do that again, without any good reasons."

"Maksudnya... Kita boleh buat macam tu kalau kita ada sebab yang bagus?"

Mama senyum.


PROLOG 2

KALA bumi disimbahi hujan lebat, dia berdiri kaku di tempatnya tanpa ada payung yang melindungi atau baju hujan disarung ke tubuh. Dibiarkan saja seluruh tubuhnya basah. Akal tak mampu menyuruhnya cari tempat untuk berteduh pun. Kerana sesungguhnya, kini seluruh otot dan urat nadi telah mengeras. Mata pula terus-terusan terbeliak, memerhatikan dua insan di hadapannya.

Seorang sedang terbaring lemah, sesekali bergerak ke kanan dan ke kiri.

Seorang lagi sedang menghimpit tubuhnya sambil tangan tergerak-gerak melakukan sesuatu.

Detik ini, dia hanya mampu berharap ini ialah halusinasi. Atau mimpi ngeri. Atau babak itu hanyalah fiksyen semata-mata. Namun malangnya, ini ialah satu realiti yang perlu dia hadap. Kerana kini... Dia sedang menyaksikan satu babak pembunuhan.

Pisau di tangan, si pembunuh gunakan untuk menikam mangsa. Ditarik keluar. Tikam lagi. Ditarik keluar lagi. Tikam lagi. Lagi. Lagi. Dan lagi.

Jelas di mata dia, percikan darah menjadi props utama. Lambat-lambat dia tundukkan kepala. Darah si mangsa telah mengalir dibawa air hujan, hingga ke hujung kasutnya. Dia menengadah semula, menghunus pandangan tepat ke arah kedua-dua insan itu.

"Berhenti!!!"

Akhirnya, jeritan yang sedari tadi berkumandang dalam hati terlepas jua secara lisan.

Tangan si pembunuh yang baru hendak dilayang semula ke anggota tubuh si mangsa, tiba-tiba terhenti di udara. Beberapa saat si pembunuh statik, sebelum perlahan-lahan si pembunuh berpaling ke belakang lalu fokusnya tertancap pada dia. Si pembunuh mengangkat tubuh dan meninggalkan mangsa menggelupur sendirian di situ. Lalu setapak demi setapak, si pembunuh melangkah ke arah dia.

Semakin membulat mata dia. Nafas sudah tidak teratur. Kiraan jantung sudah melebihi kadar normal. Darah terus-terusan berderau. Apabila mereka berdiri tepat-tepat bertentangan, barulah si pembunuh berhenti menapak. Automatik dia sekat nafas, seolah-olah bimbang si pembunuh mampu meragut nyawa hanya dengan menyedut hembusan nafasnya.

Kilat memancar di dada langit, secara tidak langsung membolehkan dia melihat sepasang mata si pembunuh dalam kegelapan.

Sedarlah dia akan sesuatu.

Tiada sebarang sesalan atau empati sama sekali pada sepasang mata itu. Yang ada hanyalah kepuasan. Kebanggaan.


PROLOG 3

BESAR langkahnya berlari. Nafas sudah tercungap-cungap. Sesekali kakinya terasa lembik tetapi diri tetap digagahkan jua. Berkali-kali dia menoleh ke belakang, bimbang ada figura muncul secara tiba-tiba.

Dia daki setiap anak tangga di bangunan lima tingkat itu. Dua tingkap berkaca yang dia lihat di aras atas sekali, dia dekati dan ketuk sekuat hati. Setiap tingkap kecil yang sekadar diwujudkan untuk membekalkan udara dari luar, dia cuba selitkan tangan untuk melambai. Malangnya, setiap usahanya tidak membuahkan hasil. Dia sambung berlari, menuruni anak tangga dengan tergopoh-gopoh hinggalah...

"Ah!"

Dahi terhantuk pada lantai dan serta-merta dia rasakan cecair hangat mulai mengalir. Daripada jatuh tertumus, dia mulai bangkit. Darah dibiarkan saja mencemari bahagian wajahnya. Tubuh lemah disandar pada dinding sebelum kaki dilipat dan dibawa ke bahagian dada lalu dipeluk erat. Gigi menggigit bibir dengan kuat.

Sebenarnya, wujudkah jalan keluar untuknya? Pintu utama tidak dapat dibuka. Tingkap berkaca tidak dapat dipecahkan. Tingkap kecil itu pula terlalu kecil, tak muat pun untuk dia selitkan walaupun sekadar hujung jari. Jeritan yang keluar dari mulutnya hanya akan menerobos masuk ke dalam telinganya semula.

Sukar untuk dia akui tapi... Tiada jalan keluar untuknya. Menyedari hakikat itu, lambat-lambat dia berdiri semula. Dia berjalan tanpa hala tuju dan tahu-tahu saja dia sedang berdiri di depan sebuah pintu bilik. Tolak saja daun pintu, satu bau menusuk hidung.

Bau hanyir.

Spontan, matanya jatuh pada satu tubuh. Atau lebih spesifik, satu mayat dalam keadaan mengaibkan sedang dikelilingi darah yang kian mengering.

Zloppp!

Dia jatuh terjelepok ke atas lantai, terus terduduk. Seluruh perhatian hanya fokus pada mayat itu. Air mata berjuraian keluar tanpa sempat dihadang.

"Syaitan..." Seluruh tubuh menggigil dengan maha hebat tika ini. Pada saat sebaris nama wujud di dalam kepala, dia terus menggumam menyebut 'syaitan' berkali-kali.

"Lepaskan akulah, syaitan!!!"


BAB 1

MATA tekun membaca perkataan demi perkataan yang tercetak. Bukannya untuk mengeja atau menterjemah setiap satu tetapi untuk dia pastikan tiada satu informasi keciciran. Terentang kerutan di dahi bilamana akal membentuk imaginasi yang terhasil daripada bacaannya. Jantung kian dup-dap, dup-dap. Peluh mula membasahi tubuh.

Tak sanggup lagi meneruskan bacaannya lalu dia katup buku itu dengan kuat sebelum menolak ia menjauhinya. Berapi saja anak mata sewaktu memandang kulit buku tersebut. Namun emosinya berubah beberapa minit kemudian. Mata mulai berkaca-kaca. Perasaan marah bertukar menjadi sayu.

"Macam mana kau boleh tergamak sakitkan manusia lain? Apa dosa dia orang? Kenapa kau tegar bunuh dia orang?" Lirih soalan itu dilontarkan tetapi hanya keheningan yang menyambut.

Nafas dilepaskan berat. Lambat-lambat buku itu dicapai semula lalu dibawa ke satu rak putih. Buku itu kembali ke tempat asalnya, bersatu semula dengan ratusan buku yang tersergam indah di atas rak.

"Doktor Ana Zahirah."

Satu suara menyeru dari belakang. Automatik Zahirah menoleh dan tahu-tahu saja seraut wajah memenuhi kornea matanya. Seorang lelaki sedang bersandar pada dinding sambil berpeluk tubuh.

"Dah habis baca?"

"Dah. Tak payah nak acah-acah doktor sangatlah dengan aku. Bila kau balik? Aku tak dengar pun," kata Zahirah seraya berjalan mendekati sofa. Lelaki itu kulum senyum seraya melabuhkan duduk bertentangan Zahirah.

"Lebih kurang sepuluh minit." Jujur saja jawapan diberi.

"Seriuslah? Aku tak perasan langsung!"

Zahirah sudah ternganga. Larut benar dia dalam dunia bacaan, sehingga dia tak sedar langsung apa yang jadi di alam nyata. Ekor mata Zahirah menangkap kesan basah di hujung seluar lelaki itu. Ringan saja mulutnya menegur.

"Kenapa seluar kau basah, Zaf? Kau pergi mana tadi? Sorry, aku masuk aje ke dalam, tak tunggu kau balik dulu."

Zahirah bertanya sebelum meminta maaf. Sengaja tayang sengihan kambing di hadapan Muzaffar, jiran satu blok dengannya.

Anak mata Muzaffar mengerling hujung seluarnya sekilas sebelum dia tetapkan fokus pada Zahirah semula.

"Aku ada urusan di luar. Hujan pula tu. Tak apalah, aku memang sengaja bagi kau kunci jadi senang nak keluar masuk," jawab Muzaffar. Sekali dengar, mungkin jawapan Muzaffar kedengaran sarkastik namun bukan itu niatnya. Muzaffar ikhlas memaksudkannya. Dia memang memberi Zahirah akses penuh kepada apartmennya ini.

"Ayat kau... Kalau orang dengar dan salah faham, mesti dia orang dah label kita bukan-bukan," kata Zahirah disudahi tawa kecil.

Muzaffar hanya senyum tipis. Pada zaman moden ini, jiran-jiran tak lagi ambil peduli tentang satu sama lain. Muzaffar sendiri tak pernah berkenalan dengan jiran searasnya. Jika mereka terserempak pun, Muzaffar hadiahkan senyuman saja. Tak pernah terfikir langsung untuk menegur mereka, berbasa-basi menanyakan nama atau bertanya mereka menetap bersama siapa. Tetapi Ana Zahirah ialah satu pengecualian.

"Kau baca buku apa?"

Soalan Muzaffar menarik perhatian Zahirah pada rak buku. Air muka yang tadinya sedikit cerah sewaktu berbual ringkas dengan Muzaffar, kini jadi mendung.

"Psychopaths: Up Close and Personal." Zahirah menjawab dalam julat terendah.

"Christopher Berry-Dee?"

Muzaffar menebak nama si pengarang yang kemudiannya disambut dengan anggukan Zahirah. Dua pasang mata kembali tertancap pada satu sama lain. Keruh riak wajah Zahirah kala mengingati semula hasil tulisan yang dia baca tadi. Jantung serasa disiat-siat.

"Aku masih tak faham walaupun dah pinjam buku-buku kau. Apa yang buatkan dia orang tergamak membunuh? Masalahnya, dia orang bukan sekadar membunuh. Dia orang seksa mangsa juga. Apa yang dia orang dapat?" Terus Zahirah ajukan soalan-soalan itu kepada Muzaffar.

Kepada Muzaffar, Zahirah langsung tak sorokkan rasa ingin tahunya. Zahirah anggap Muzaffar ialah perpustakaan bergerak. Lelaki itu tahu banyak perkara. Sebut saja kategori apa. Politik? Agama? Business? Muzaffar tahu semuanya, yang semestinya datang daripada minat membaca. Tidak terkecuali, Muzaffar juga tahu tentang...

Psikopat dan pembunuh bersiri.

"Kau dah baca dalam buku tu. Scientifically, masih belum ada satu sebab spesifik macam mana seseorang boleh jadi psikopat. Mungkin frontal lobe yang mainkan peranan penting dalam behaviour regulation, bermasalah atau rosak. Kekurangan serotonin pun boleh jadi punca. Atau kewujudan satu kromosom ekstra yang boleh sebabkan violent psychopathy, macam Arthur Shawcross."

Zahirah melirik pandangan pada buku tersebut sebelum mengangguk perlahan. Ya, dia ingat. Fakta itu baru dia baca tadi.

"Kau nak jawapan peribadi aku pula?"

Laju Zahirah mengangguk.

"Kononnya ada yang membunuh sebab marah, cinta, financial gain, ideologi yang kaum dan etnik tertentu tak sepatutnya wujud dalam dunia. Dia orang boleh bagi sejuta alasan untuk justify kenapa dia orang membunuh tapi sebenarnya, kita tahu itu semua tak masuk akal. Kalau kau marahkan seseorang, kenapa perlu membunuh? Apa pula definisi cinta pada kau sampaikan kau sanggup bunuh orang yang tak penuhi kehendak dan nafsu kau? Kau kata golongan pelacur tak layak hidup, jadi kau bunuh. Tapi kenapa kau seksa dia, sebelum dan selepas kau bunuh dia?"

Zahirah meneguk liurnya berkali-kali. Memanglah dia tahu kata ganti nama diri 'kau' bukan ditujukan kepadanya tapi tidak dapat tidak, berderau rasa jiwa!

"So, at the end of the day... Screw all those reasons. Kau membunuh sebab kau seronok membunuh. Itu aje."

Sepi saja yang menyambut kata-kata Muzaffar. Sekarang mata Zahirah terarah pada Muzaffar tapi dia tidak melihat lelaki itu. Di dalam kepalanya, ada satu lagi soalan.

"Macam mana kita nak tahu seseorang tu psikopat?" Mendatar saja suara Zahirah bertanya. Kurang sesaat, Muzaffar sudah menjawab.

"For all we know, there's one here."

Tersentak Zahirah daripada lamunannya. Terus dia pandang Muzaffar dengan muka tak puas hati.

"Zaf... Seriuslah," katanya geram. Dapat Zahirah tangkap hujung bibir Muzaffar menjongket namun hanya untuk sesaat sahaja. Ekspresi kosong lelaki itu terserlah semula.

"I'm being serious, Ira. We won't know someone is a psychopath, until we do."

"And when that happens?"

"Dah terlambat."

Mudah saja jawapan itu meluncur keluar dari mulut Muzaffar, menyebabkan Zahirah rasa kepalanya dihentak kuat dengan sesuatu.

"Tapi... Mesti ada sesuatu yang kita boleh buat, kan?"

Dari duduk tegak, Muzaffar kedepankan tubuh dan membongkok sedikit. Kedua-dua lengan mendarat di atas paha lalu jari-jemari saling menggenggam. Pada Zahirah, Muzaffar tetapkan fokus. Beberapa detik dia menyepi dan saling bertatapan dengan Zahirah hinggalah...

"Jangan percayakan dia. Jangan cuba jalin hubungan emosi dengan dia. Cuba sorokkan ketakutan kau, jangan bagi dia nampak walau sedikit pun. He'll try to twist your mind so you need to step up the game. Twist his mind back. Selagi dia cuba untuk buat kau mengalah dan jatuh, selagi itulah kau kena bertahan dan jatuhkan dia."

Sepatah demi sepatah dicerna akal Zahirah. Semua itu cuba difahaminya satu per satu, hingga akhirnya Zahirah mengangguk. Diam-diam Zahirah semat kesemua pesanan itu di dalam kepalanya. Bukan dia pinta dipertemukan dengan psikopat tapi andai itu benar-benar terjadi, sekurang-kurangnya Zahirah akan berpegang kejap pada kesemua pesanan tersebut.

Namun... Tiba-tiba mata Zahirah terkelip-kelip sendiri. Kemudian dia mengeluh berat pula.

"Kau fikirkan apa?"

Muzaffar terus bertanya.

"Orang tu... Kau rasa kenapa dia buat apa yang dia dah buat? Dia seronok buat benda tu? Dia memang psikopat?" soal Zahirah lambat-lambat. Mata menekur lantai walaupun tiada apa yang menarik perhatian. Detik ini fikirannya melayang mengingati peristiwa dua bulan lalu, pada tarikh 14 Januari.

Itulah hari bersejarah untuk seorang Ana Zahirah. Dia lihat dengan mata kepalanya sendiri, seseorang sedang menikam-nikam seorang wanita. Ketika orang lain berlindung daripada hujan di dalam rumah atau di tempat-tempat berbumbung, si bedebah pula ralit menikam seorang wanita di belakang rumah kedai. Zahirah yang tika itu baru pulang dari rumah kawannya dan sedang berlari menuju ke kereta, tiba-tiba saja menjadi saksi pada babak itu.

"Kau rasa kenapa dia tikam-tikam dia orang?" soal Zahirah lagi, kali ini anak mata sudah tertumpu pada Muzaffar. Tidak diluahkan secara jelas tetapi Zahirah tahu, Muzaffar mengerti maksud soalan-soalannya.

"Apa yang mangsa-mangsa dia buat bila berhadapan dengan dia? Dia orang tunjukkan ketakutan? Atau dia orang cuba jalin hubungan emosi dengan dia?" Lagi, Zahirah bertanya.

"Kau rasa?" Ringkas saja balasan Muzaffar. Bukan untuk menjawab, sebaliknya menyoal kembali dengan muka kosong tak beremosi.

Dua pasang mata terus bertaut pada satu sama lain. Zahirah terus memandang Muzaffar tanpa menjawab soalan tersebut. Muzaffar pula setia membalas renungannya. Beberapa detik berlalu dan mereka masih statik dalam posisi masing-masing. Hingga akhirnya telefon pintar Zahirah berdering, barulah Zahirah alihkan anak mata ke tempat lain. Pun begitu, fokus Muzaffar masih pada Zahirah.

"Helo?"

Satu suara menerobos masuk ke telinga Zahirah.

"A stabbed patient needs you."

Automatik mata Zahirah membulat. Dia pandang Muzaffar serta-merta. Serentak, guruh berdentum kuat di luar. Secara tidak langsung membayangkan keadaan jiwa Zahirah kini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co