Bab 13
"Amnesia?!"
Kesemua biji mata dibuntangkan tepat ke wajah doktor yang merawat Imanina. Masing-masing hanya mampu terkesima mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut doktor perempuan itu. Terperanjat bukan kepalang lagi. Terutama sekali Encik Iskandar Syah dan Puan Nazira.
"Amnesia kenapa pula? Nina kenal mama dan papa dia, doktor. Baru saja tadi kami melawat dia di wad bila dapat tahu dia dah sedarkan diri tengah malam semalam. Baik saja keadaan dia. Tak lupa apa pun," bidas Encik Iskandar Syah. Puan Nazira yang berada di sisi mengangguk laju menyokong kata-kata suaminya.
"Ya, saya faham. Kita sering dimomokkan dengan drama dan filem di televisyen bila mana terjadinya penyakit amnesia itu maka penghidapnya akan lupa seratus peratus tentang diri dia. No. Hal itu adalah sangat salah. Tak pernah lagi berlaku di dunia nyata bila seseorang pesakit yang mengalami amnesia akan lupakan segala memori yang pernah berlaku dalam hidupnya," hurai doktor panjang lebar.
"So, apa yang doktor cuba sampaikan kepada kami sebenarnya?" sampuk Akid tiba-tiba.
"Macam inilah. Saya ringkaskan cerita, Cik Imanina kemungkinan besar sedang mengalami antegrorade amnesia."
Kedua-dua ibu bapa Imanina kelihatan tercengang. Namun, corong telinga tetap dipasang luas agar dapat mendengar dengan jelas setiap bait kata yang keluar dari mulut doktor itu.
"Antegrorade amnesia adalah sejenis penyakit amnesia di mana penghidapnya akan mengalami kehilangan memori pada peristiwa-peristiwa tertentu yang pernah berlaku dalam hidup pesakit. Dalam kes Cik Imanina pula, dari apa yang saya nampak sejak dia sedar malam semalam, dia tak ingat langsung tentang bagaimana, bila, di mana dan siapa yang terlibat dalam kecelakaan yang menimpa dia tempoh hari," tokok doktor perempuan dalam lingkungan 40 tahun itu lagi.
Encik Iskandar Syah sudah menyandar lemah tubuhnya di kerusi. Biji mata masih belum berganjak dari wajah doktor. Begitu juga dengan Puan Nazira yang hilang kata-kata sebaik sahaja dimaklumkan akan keadaan anak perempuannya sekarang.
"Habis tu, tak ada ubat ke untuk Nina kembali sembuh sepenuhnya, doktor?" soal Encik Iskandar Syah pula.
"Buat masa sekarang ni, Cik Imanina masih ingat siapa ahli keluarga dia dan kawan-kawan terdekat. Atau dalam kata lain, dia masih ingat sepenuhnya memori yang pernah berlaku sebelum kepala dia dipukul. Cuma masalahnya sekarang, memori selepas pada itu..."
"Tak apalah, doktor. Biarlah kalau Nina tak ingat pun perkara-perkara buruk tu. Saya cuma tak nak Nina sakit lagi. Saya nak dia sihat macam biasa," celah Puan Nazira yang sudah pun berlinang air mata.
"Tapi, doktor... Doktor cakap Iman cuma hilang ingatan tentang perkara yang berlaku pada waktu dan selepas kepala dia dipukul, kan? Tapi malam semalam waktu Iman baru sedarkan diri, dia tanya apa nama penuh dia kat saya. Dan dia tak kenal pun siapa saya. Walhal dia dah kenal saya sebelum dari kejadian kepala dia dipukul lagi." Akid bersuara lagi.
"Sebab itulah saya kata ada sesetengah perkara yang dia akan lupa. Mungkin ada lagi perkara lain yang dia tak ingat selain dari peristiwa kepala dia dipukul, nama penuh dia dan siapa encik pada dia. Semakin lama kita bercakap dengan dia, kita akan kenal pasti perkara apa yang dia dah lupa. Jadi, saya tak setuju untuk kita biarkan dia lupakan perkara-perkara itu begitu saja."
Akid diam. Tidak ada soalan lagi yang hendak dia ajukan. Sudah jelas dan terang penjelasan yang diberikan doktor tadi.
"Kalau macam tu, doktor tolonglah buat sesuatu untuk sembuhkan semula ingatan anak saya tu. Tolonglah, doktor. Buatlah apa pun asalkan Nina sembuh semula."
"Encik dan puan janganlah risau sangat, ya? Saya yakin Cik Imanina hanya lupa buat sementara waktu saja. Walau bagaimanapun, saya tetap akan jalankan pemeriksaan selanjutnya dengan lebih teliti. Dan dalam pada yang sama, saya akan rujuk dia ke pihak kaunseling dan psikologi. Kemungkinan besar pihak kaunseling dan psikologi akan guna kaedah hipnosis untuk mengembalikan semula ingatan peristiwa-peristiwa yang dia dah lupa. Insya-Allah, Cik Imanina akan sembuh sepenuhnya cuma saya tak janji bila. Paling mustahak sekarang adalah sokongan dan bantuan daripada ahli keluarga dan kawan-kawan terdekat untuk kembalikan ingatannya semula. Ada kes-kes tertentu pesakit amnesia sembuh dengan sendiri hanya dari dorongan ahli keluarga dan kawan-kawan. Jadi, perkara ini juga tidak mustahil buat Cik Imanina." Berjela doktor memberi hujahnya.
Masing-masing hanya mengangguk kecil tanda memahami. Akid meraup sejenak raut wajahnya. Kalaulah aku mampu bertukar tempat dengan Iman sekarang ni. Aku reda dengan dugaan-Mu ini, Ya Allah. Cuma orang yang patut Engkau duga adalah aku. Bukannya gadis yang tidak bersalah itu.
"Aku nak berlatih dengan Alif malam ni!"
Kesemua pergerakan mati dengan kadar segera sebaik sahaja muncul suara garau Akid di gelanggang silat malam itu. Lelaki itu menapak perlahan mendekati Alif yang sudah menegakkan tubuh memandang ke arahnya. Adam, Naufal dan Haziq juga menghala pandang ke arah sepupu mereka. Cepat-cepat Adam memintas langkah Akid yang semakin hampir dengan kedudukan Alif.
"Kau nak buat apa, Kid? Kau jangan buat gila dulu. Fikir masak-masak dulu." Adam separa berbisik. Naufal dan Haziq juga segera merapati Akid.
"Kenapa? Kan kau cakap aku tak boleh ambil ringan pasal Alif. So, malam ni aku nak buat perhitungan dengan dia."
"Depan-depan semua orang ni kau nak buat perhitungan? Agak-agaklah sama, Kid. Kau nak semua orang tahu ke? Lebih baik kita bersemuka dengan Alif kat tempat lain," celah Haziq pula.
"Aku dah tak ada masa nak fikir semua orang tahu ke tak pasal ni!"
Buk!!!
Dengan laju Akid meluru menumbuk muka Alif hingga lelaki itu rebah ke atas tanah. Kesemua biji mata yang menyaksikan kejadian itu sudah terbelalak luas. Terperanjat besar. Alif cuba berdiri semula seraya menyeka darah merah yang mengalir di hujung bibirnya yang pecah. Sengih sinis dileretkan kala memandang wajah Akid yang seperti ingin menelan kepalanya hidup-hidup itu.
"Itu baru sikit aku tumbuk kau. Nah, ambil sekali lagi!"
Buk!!!
Kali ni bukan sahaja muka Alif yang menjadi sasaran, bahagian abdomennya juga ditumbuk bertubi-tubi sehinga terjelepok di atas tanah. Betapa senak dia rasa sehinggakan cecair likat terpancut keluar dari dalam mulut. Tiada daya untuk dia melawan kembali apabila diserang tanpa henti. Tenaganya semakin kurang.
"Apa yang aku buat kat kau ni belum setimpal dengan apa yang kau dah buat kat perempuan yang tak bersalah tu, Lif! Kau nak bunuh aku sangat, kan? Bangunlah! Cepat bunuh aku. Cepatlah! Aku ada kat depan mata kau sekarang ni. Lain kali kalau nak berlawan sangat, lawan dengan setara kau. Yang kau pukul kat kepala dia sampai hampir hilang nyawa tu perempuan, tahu tak? Kau memang tak guna, Alif! Kau tak patut hidup lagi!"
Belum sempat Akid menghadiahkan sebuah tendangan di perut Alif, Adam, Naufal dan Haziq segera menghalang pemuda yang sudah kelihatan naik minyak itu. Merah padam muka Akid yang sedang melepaskan amarahnya terhadap Alif. Pesilat-pesilat lain pula segera menolong Alif yang sudah terbaring lemah di atas gelanggang.
"Akid! Kau dah gila ke? Kau pun nak jadi pembunuh macam lelaki tak guna ni juga ke?" Adam naik suara cuba menenangkan sepupunya yang meronta-ronta ingin dilepaskan itu.
"Aku tak kesah kalau aku jadi pembunuh pun asalkan Alif mati malam ni juga!" tukas Akid kasar.
"Bawa bertenang, Kid. Ingat Allah! Kita kan ada pihak berkuasa. Kau jangan buat tindakan melulu. Nanti kau juga yang menyesal seumur hidup." Naufal mencuba nasib.
Haziq sudah menggeleng perlahan dengan keluhan berat yang dilepas bebas.
"Betul tu, Kid. Walaupun orang yang kau bunuh tu adalah seorang pembunuh tapi kau tetap akan dikenakan hukuman nanti. Kau dah fikir masak-masak ke untuk masuk penjara sebab bunuh Alif? Tak berbaloi, Kid. Memang tak berbaloi," tokok Haziq pula.
Akid serta-merta diam. Perlahan-lahan tubuhnya dilepaskan sebaik saja melihat keadaannya yang kembali waras. Wajah tampannya diraup sejenak. Sungguh kepalanya tersangat perit memikirkan perihal Imanina yang menjadi mangsa Alif.
"Habis tu, apa yang aku boleh buat lagi? Aku dah tak boleh tengok dah muka pembunuh tu. Kalau boleh, aku nak nyawa dia ditarik malam ni juga."
"Astaghfirullahalazim. Bawa mengucap, Kid. Bukan tugas kau untuk menarik nyawa dia bila-bila pun. Itu tugas Allah. Allah saja yang tahu bila datangnya waktu hidup atau mati seorang manusia itu." Haziq menggosok lembut bahu Akid cuba menenteramkan sepupunya itu.
Hanya tinggal keempat-empat orang cucu Tok Aziz sahaja di gelanggang silat itu. Pesilat yang lain sudah pun membantu Alif yang sudah parah untuk dikejarkan ke hospital. Latihan silat malam itu batal tanpa sebarang arahan. Masing-masing hanya mampu mengeluh berat bila melihat Akid menumbuk geram tiang kayu pondok rehat secara tiba-tiba itu.
"Aku akan pastikan Alif meringkuk dalam penjara secepat mungkin!" Nada keras Akid muncul lagi.
"Bukan kau seorang tapi kita semua akan pastikan Alif dihadapkan ke muka pengadilan nanti. Buat masa ni, aku nasihatkan kau jangan buat tindakan melulu lagi. Silap hari bulan, kau pula yang kena ganti tempat Alif meringkuk dalam penjara tu," tukas Haziq tenang.
Adam dan Naufal mengangguk halus. Akid melabuh perlahan duduknya di dalam pondok rehat itu. Buat seketika dia mencari udara malam yang nyaman untuk menenangkan dan menyejukkan tubuhnya kala itu. Kelopak mata dipejam rapat seraya belakangnya disandarkan ke dinding kayu.
"Iman dah sedar." Dengan mata yang masih terpejam, Akid berbicara perlahan.
Kesemua yang berada di ruang itu terperanjat besar.
"Dah sedar?! Alhamdulillah. Macam mana keadaan dia sekarang, Kid? Kenapa kau tak bagi tahu kita orang awal-awal? Sepatutnya kita ada kat hospital sekarang melawat dia. Dia dah keluar dari hospital ke, Kid?" soal Adam bertubi-tubi dengan rasa ingin tahu yang sedang membuak-buak.
Akid pandang tepat wajah Adam beberapa saat.
"Alhamdulillah, dia selamat. Tapi motif aku datang sini malam ni untuk tuntut bela nasib Iman yang diperlakukan sebegitu."
"Tak apalah. Apa yang penting sekarang ni, kita dah boleh tarik nafas lega sebab Nina dah selamat. Pasal nak tuntut bela ke apa, kita fikir lepas ni," sela Naufal pula.
"Tapi, Kid... Nina dah sedarkan diri dan tak sepatutnya kau buat muka macam ni lagi, kan?" sampuk Haziq tiba-tiba. Hairan pula dibuatnya bila melihat air muka Akid yang masih keruh itu.
"Ya, dia dah sedarkan diri tapi ingatan dia dah rosak. Doktor bagi tahu ada beberapa memori yang dia dah lupa akibat dari hentaman kuat di belakang kepala. Betapa kejamnya Alif buat macam tu kat orang yang tidak bersalah," balas Akid dengan nada yang tiada rasa.
Buat kesekian kalinya, Adam, Naufal dan Haziq terpempan. Memang sungguh kejam!
"Alif tu bukan manusia, Kid. Dia syaitan!" Keras suara Adam tak semena-mena.
Masing-masing hanya mampu beristighfar panjang saat itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co