Truyen3h.Co

KALBU PUN BERZIKIR

BAB 5

karyaseni2u

Usia perkahwinan itu tidaklah lama mana, tidaklah juga baru mana. Anak-anak sudah tiga orang. Namun waktu yang berlalu amat menjerihkan. Diredah dengan seadanya.

Waktu-waktu yang sangat memeritkan diharungi semampunya. Tiga kali hamil, tiga kali melahirkan. Lelaki yang bernama Ghafar tetap begitu.

Entah berapa kali hilang dari rumah. Entah di mana tidurnya tidak juga diberitahu kepada Norlia. Lahirnya Fatin, Riya dan Maarof bukan Ghafar yang megiqamat dan mengazankan. Harapkan ihsan Pak Ali, suami Mak Bedah.

Dan pagi itu, sekali lagi menjadi detik titik tolak segala yang pahit.

Ghafar bangun awal. Mandi-mandi, bersiap-siap. Bukan main berbedak dan berwangi-wangi. Bedak debu yang masih berbaki milik Norlia disapu berulang kali ke tengkuk dan leher. Norlia memandang dengan penuh hairan. Selalunya sampai dia pulang menoreh, lelaki itu masih tergedang di atas tilam. Kemudian tiba-tiba hilang. Kadang-kadang hilang sejam dua, ada masa lewat dinihari baru pulang. Muka berminyak, rambut kusut dan bau yang amat memualkan cukup untuk membuat Norlia ulang-alik berlari ke bilik mandi dan muntah.

"Sayang, abang kena ke Kuala Lumpur, ya?" bisikan Ghafar malam itu menyentak jantung Norlia. Fikirannya melayang jauh terkenang cerita Jali.

"Kuala Lumpur?" tanyanya sepatah.

"Kuala Lumpur. Alah, bukan pergi London ke, Paris ke? Kalau jauh-jauh tu abang bawa Nor nanti."

"Buat apa?" Lirih suaranya. Mahu bertanya panjang-panjang. Mahu selidik dalam-dalam tapi jiwanya seperti mati.

"Eh, ada kerjalah! Takkan berfoya-foya pula?"

Huh! Dah agak itulah jawapan kau, Ghafar. Dah bertahun kahwin, kau tidur melingkar aje di rumah. Perut aku makin besar. Kau tak pernah kesah. Makan apa yang ada kalau tak sedap lauk di rumah, kau keluar. Agaknya melepaskan tekak sendiri dengan ihsan kawan-kawan di kedai kopi. Atau sebenarnya kau pulang ke rumah emak kau? Ibu mentua yang tak pernah aku kenali, yang tak pernah kau aturkan pertemuan.

Merintih batin Norlia. Tubuhnya semakin susut.

"Berapa lama?"

"Tak tahu lagi. Kalau banyak kerja mungkin lambat abang pulang."

"Sungguh ka abang ada kerja di Kuala Lumpur tu? Kat Kedah ni pun banyak kerja. Di Pulau Pinang tu pun ada aja rezeki untuk abang kalau abang cari kerja di kilang." Tak mampu untuk menahan mulut. Lancar Norlia berleter.

"Jangan marah-marah. Nanti perangai tak baik tu menurun pada anak dalam perut tu. Nor ni patut bagi sokongan pada abang."

Ghafar mencuit pipinya. Kemudian tangan lelaki itu menggosok-gosok perut Norlia. Demi Tuhan, kalau tidak disabarkan hati, mahu saja dia bertempik, pergilah kau! Pergilah kau! Jangan pulang. Kau di rumah pun aku yang tanggung.

"Abang tak kasihan ka pada Nor? Sampai bila Nor aja kena cari duit? Sampai bila Nor aja kena menoreh sorang-sorang?" Perutnya terasa tegang. Norlia tahu anak di dalam kandungan juga tumpang rasa beban jiwanya. Sabar ya, sayang? Kau tak berdosa, nak!

"Ini cara abang nak tolong, Nor. Bukan abang tak nak sama-sama menoreh. Kalau Nor menoreh, abang pun menoreh, sampai bila kita nak hidup macam ni aja? Abang kenalah cari peluang lain. Siapa kata abang tak sayang Nor?"

"Kalau sayang kenapa abang ambil benda tu lagi? Kenapa abang nak tinggalkan Nor?" Suara itu bergetar. Mata Norlia yang bundar tampak letih dan layu. Lebam bawah mata memberi tanda dia tidak pernah cukup rehat.

"Nor, soal abang ambil atau tak benda tu... Itu hal abang. Nor tak ada hak nak campur. Nor kahwin dengan abang, jadi bini abang, bukan ke tu maknanya Nor kena terima abang seadanya?"

Norlia mengetap bibir kuat. Terasa sakit sendiri. Tapi hatinya lagi sakit. Ah, lelaki ni memang pandai bercakap! Sebab dia pandai bermain katalah aku terpedaya!

"Abang, benda tu haram, kan? Haram dari segi undang-undang. Haram dari segi agama. Sampai bila, bang?"

"Kalau salah dari segi undang-undang, dah lama abang tak ada kat sini. Lama dah abang tidur dalam lokap. Ni elok aje tiap malam abang tidur peluk Nor!"

"Bila abang nak bawa Nor jumpa keluarga abang?"

"Tunggulah dulu."

"Tunggu bila?"

"Tunggu sampai abang ada duit banyak. Tunggu kita hidup senang dan selesa. Barulah saudara semua sayang. Barulah orang tak kata kita nak menumpang duit keluarga." Selamba saja Ghafar memberi alasan. Norlia menggeleng berkali-kali. Dia sudah tepu dan lali mendengar alasan Ghafar. Lelaki ini memang cekap mematah segala kata-katanya.

"Selama ni bukan kita memang selalu menyusahkan orang ka? Bukan kita selalu menumpang lauk dengan nasi Mak Bedah bila kita dah kehabisan duit?"

"Nor, boleh tak jangan nak bersyarah panjang? Sudah-sudahlah tu. Abang tahulah apa abang buat."

"Tak payahlah pergi, bang. Cari aja kerja dekat sini. Rezeki ada kat mana-mana, bukan? Kalau Allah izinkan, kita menumpang rezeki anak dalam perut ni." Norlia cuba berlembut untuk memujuk. Ada sebak di hujung suara.

"Nor ni yang mana satu? Ke Nor suka abang tidur aje kat rumah ni, boleh peluk Nor siang malam?" ucapnya nakal sambil merangkul pinggang Norlia.

Norlia menepis dengan wajah yang tidak rela.

"Abang, cukuplah. Nor dah macam orang terbuang. Jauh dari emak sendiri, mak mentua pun belum tentu nak terima. Abang jangan aniaya anak yang dalam perut ni, ya?" rayu Norlia yang tidak tahu mengapa berasa ada benda yang tak kena. Ada gesa dalam hati yang membuatkan dia berdebar-debar.

Lorong kulit. Di celah-celah lorong itu, dia berjalan megah. Damai apabila dapat datang ke situ. Pulau Pinang, Lorong Kulit. Tempat syurga untuk Ghafar.

"Yihaaa... Ghafar! Welcome back, Ghafar!"

"Wah, Ghafar... Hang ke mana menghilang?"

"Hei, Ghafar... Kami ingat hang dah arwah! Hahaha."

"Celaka punya kawan. Oiii, hangpa takkan tak tau kut? Ni Ghafarlah. Tak mati walau kena hambat dengan polis! Hahaha!"

"Ni, hang toksah dok berlagak sangatlah! Hari tu polis mai masuk operasi, hang juga yang lari tak cukup tanah. Cempera naga punya dok menyorok!"

"Oi, aku bukan larilah! Aku saja syok dok main aci lut dengan polis tu. Saja nak tengok depa reti main tak dengan aku. Hahaha!"

"Pigidah! Berlagak saja lebih. Sembang bagi orang bimbang! Ni, hang toksah dok sembang banyak. Mai lekaih! Aku dah ketaq lutut ni dok tunggu hang mai bagi barang."

"Ni dia... Hangpa toksah dok cempera. Aku mai bawa barang baru. Baik punya! Sekali kena, hang naik terus sampai langit nombor tujuh!"

"Toya punya Ghafar! Lekaihlah!"

Sambutan dan reaksi kawan-kawan yang sealiran amat memberi ketenangan kepada Ghafar. Dia terasa dirinya masih ada yang sayang. Mereka menerima Ghafar seadanya. Mereka tidak pernah menyisihkan dirinya biar apa pun yang terjadi.

Bergaul kembali bersama mereka bererti membuka ruang kepada pencetus relapse. Satu hal yang sangat-sangat dituntut untuk dielakkan. Namun tanpa arah tujuan, tanpa pekerjaan, tanpa penginapan dan tanpa rakan pembimbing yang sudi menaruh simpati, apalah daya Ghafar untuk mengelak hal tersebut. Menyaksikan kawan-kawannya menyuntik heroin di hadapan mata, membuat Ghafar sekali lagi rebah dalam ikrar yang dilafazkan berulang kali tatkala berada di dalam pusat pemulihan.

"Alah, Ghafar... Hang macam tak biasalah pula!"

"Apa ni, Ghafar? Tak bestlah kalau kau tak join. Jom, Ghafar..."

"Hang takut mati ka, Ghafar? Alah, kalau dah ditakdirkan umuq pendek, tak ambil dadah pun boleh mati!"

Rakan-rakan di sekelilingnya umpama racun. Ghafar tidak mampu untuk membina tembok yang kebal bagi menjauhkan diri dengan dadah. Godaan terlalu kuat. Ghafar akhirnya menyerah kalah. Entah untuk kali keberapa dia tewas dengan janji pada diri sendiri. Tidak sampai 24 jam bebas, Ghafar akhirnya menggelupur menyuntik dadah di urat nadinya.

Puas mengira, penat menimbang.

Ghafar cuba menghadam, cuba mencerna.

Namun dia tidak berupaya.

Ghafar kecundang untuk sekian kalinya. Hari demi hari, Ghafar menjadi insan yang lebih daif daripada peminta sedekah. Lebih menghibakan daripada orang gila dan lebih kalut daripada kutu rayau.

Daki dan hamis badan tidak dipedulikan. Tubuhnya tidak terurus. Rambutnya bagai bertahun-tahun tidak dicuci. Giginya juga berlapis karang yang membuatkan mulutnya berbau busuk. Muka Ghafar hitam. Hitam kerana tiada nur. Hitam kerana tidak dilimpahi rahmat. Hitam dengan segala noda hidup bergelandangan.

Namun Ghafar tidak juga mahu pulang ke pangkuan keluarganya.

Akhirnya Ghafar menemukan kolong jambatan di Jalan Tun Perak sebagai kediaman tetap. Walaupun buruk dan busuk pada mata orang lain, pada Ghafar ia bagaikan sebuah hotel bertaraf lima bintang. Pahit getir kehidupan pada saat itu, hanya Tuhan yang tahu. Sering kali tersentak daripada tidur apabila seluruh badan menggigil kedinginan tatkala tempat tidur dinaiki air Sungai Klang.

Pernah suatu ketika Ghafar dan 'jiran tetangga' lari bertempiaran apabila 'taman perumahan' di bawah kolong itu diganggu oleh kehadiran seekor ular tedung. Dan tidak terkecuali juga terkadang apabila bangun pagi, melihat rakan yang terbujur kaku akibat penggunaan dadah yang berlebihan.

"Jangan kacau! Ini port aku!" Ghafar selalu memberi peringatan kepada rakannya yang lain. Ghafar menganggap tempat itulah syurga dunia buatnya.

"Alah... Kedekutlah hang ni, Ghafar! Bukan hang mampus pun kalau aku lepak sini. Lek luuu!"

"Toya, hang! Jangan kacau port aku! Pi sana! Ni syurga akulah! Syurga hang belah sana tu!" ujar Ghafar sambil ketawa berdekah-dekah.

"Alah, hang ni pun. Yalah, yalah. Kedekut! Celaka punya Ghafar. Hang ingat hang best ka? Port aku lagi bagus! Ada bunga, ada matahari!"

Selalunya penagih dadah yang lain hanya akan menumpang di situ untuk bersembang dan menyuntik dadah. Kalau bercerita pun kisah mereka seputar ceritera dadah yang paling hebat pernah mereka rasai. Mereka benar-benar tenggelam di dalam dunia yang hamis lagi menjijikkan itu.

Heroin semakin bertaring di dalam diri Ghafar. Segenap salur nadinya, seluruh darah yang mengalir di dalam tubuhnya, penuh bergelumang dengan heroin. Pergantungan terhadap heroin semakin memburuk sehingga terpaksa menyuntik benda haram itu tidak kurang lima kali sehari. Orang kata heroin boleh membantu daya berfikir dan berkarya. Mungkin tanggapan bodoh ini ada benarnya.

Waktu itu, Ghafar mempunyai sebuah tin bersegi empat persis kotak pensel murid sekolah rendah. Di dalamnya ada beberapa jarum suntikan, sudu yang sudah dibengkokkan, lilin, pemetik api, sejengkal wayar tembaga dan sebilah pisau lipat. Kotak ini menjadi aset yang sangat berharga yang perlu dijaga dan disembunyikan di tempat rahsia tetapi mudah diambil apabila diperlukan.

Inilah perniagaan baru yang terhasil daripada otak bergeliga penagih dadah dari Sungai Galah. Waktu itu ramai dalam kalangan rakan penagih dadah yang masih mempunyai pekerjaan. Mereka datang untuk mendapatkan kemudahan menyuntik dadah kerana masa yang terbatas terutama ketika waktu rehat tengah hari ataupun curi-curi pada waktu bekerja.

Kebanyakan mereka bekerja di kawasan segi tiga emas tersebut. Menggunakan peralatan tadi, Ghafar menyuntik mereka dengan cekap dan kepantasan yang tidak pernah diragukan. Sebagai upah sewa peralatan dan perkhidmatan, mereka memberi sebahagian daripada bekalan yang dibawa kepada Ghafar.

"Ghafar, tolong cucuk aku." Seorang penagih yang datangnya bagai merangkak, merayu kepada Ghafar diberi pertolongan cemas.

"Ghafar, aku dah tak tahan. Tolong, Ghafar!" Bagi yang tinggal kulit dan tulang serta nyawa-nyawa ikan juga memohon pada Ghafar agar diberikan suntikan.

"Gua caya lu, Ghafar! Lu hebat!"

"Brother Ghafar... Jasamu kukenang sampai mati, bro!"

"Hang memang baguslah, Ghafar. Hang punya cucuk ni, terasa menusuk ke kalbu aku."

"Ni, hang jangan tak tau! Bukan saja-saja aku cucuk hangpa tau? Tempat lain mana ada!"

"Betul tu, Tuan Ghafar! Doktor Ghafar! Majistret! Hahaha! Lekaslah, aku dah tak tahan ni!"

Pujian demi pujian yang melangit daripada kawan yang sama-sama menagih memantapkan lagi kebolehan Ghafar. Malah ada ketika Ghafar berasa dirinya amat hebat.

Semua kaki cucuk jarum memang tabik pada Ghafar. Sebut aje nama Ghafar, semua kenal, semua angguk tahu. Kadang-kadang mat gian yang lain sampai rebah dan menggeletar berhingus terpaksa bersabar menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan Ghafar. Tidak ubah seperti pesakit-pesakit yang berbaris di klinik untuk bertemu doktor. Malahan mereka sering kali berjenaka memanggil Ghafar dengan panggilan Doktor Ghafar.

"Gua mau cari itu Doktor Ghafar. Mana dia?"

"Doktor Ghafar, saya tak tahan ni. Tolong, doktor!"

"Hah, mai sini lekaih. Sapa sakit, sapa demam, mai sini jumpa tuan doktor. Mai tuan doktor bagi ubat! Hahaha!"

"Hang ni doktor pakar ka, Tuan Ghafar? Sebab aku rasa hang punya ubat ni, ubat hikmat! Rasa cerah biji mata aku."

"Ha, nasib baik hang pandai! Ni aku nak habaq kat hangpa semua. Kalau hanga pi tempat lain pun tak dapat macam ni. Tuan doktor macam aku aja yang reti benda-benda lagu ni! Hahaha!"

"Alah, kalau nak mati dah lama aku mati sebab dadah! Huh, elok aja aku sihat dan hidup sampai sekarang." Ghafar memang mendongak ke langit bila dipuji begitu.

"Relakslah... Siapa berani tangkap Ghafar? Tangkap lepas, tangkap lepas. Tak ada apa-apa pun yang jadi!" Rakan-rakan pula turut mengeyakan pendapat Ghafar. Bagi mereka, undang-undang tidak sedikit pun menggerunkan mereka. Tiada apa yang mampu menahan mereka daripada menagih dadah.

"Huh, kalau kena masuk penjara pun kita tak payah risau. Penjara itu kita anggap macam istana hinggap. Kita masuk situ untuk beristirehat. Makan duduk, berak cangkung... Semuanya kerajaan tanggung!" ujar Ghafar sambil ketawa berdekah-dekah. Tidak sedikit pun timbul kegusaran dalam hatinya tentang operasi menangkap penagih dadah yang dilakukan secara besar-besaran.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co