Bab 14
Pejam celik, pejam celik, sudah hampir sebulan usia perkahwinan Ammar dan Iman Suffiyah. Sedikit demi sedikit juga Iman sudah mula menyesuaikan dirinya dalam alam baru ini.
Kata Ammar, tak kenal maka tak cinta. Tapi kalau sudah hidup berdua dan masih belum ada rasa cinta dalam hati, rasa suka itu pun dah okey dah.
Ya. Iman Suffiyah memang tak kenal siapa Ammar Hafiz sebelum ni. Dulu, masa baru bernikah, Iman ingatkan Ammar ni seorang yang sangat perfectionist dan 'beku' orangnya. Tapi jauh sungguh anggapan Iman. Ya, Ammar memang baik saja melayannya. Tidak pernah meninggikan suara bila meminta pertolongan dan juga mulut itu kuat mengomen!
Ada saja apa yang Iman buat Ammar akan komen. Pelik, kan? Kata Ammar, dia komen sebab dia sayangkan Iman Suffiyah. Tak mahu Iman terus rasa apa yang dia lakukan itu betul. Hmmm...
"Iman sayang, ini kopi ke air masak?" tanya Ammar pada satu pagi.
"Kopi!" jawab Iman, telus saja. Tangan sibuk mencuci kuali dan periuk yang sudah digunakan tadi.
"Kenapa abang rasa tawar aje dan rasa kopi tu tak ada?" tanya Ammar lagi. Kopi diletakkan semula di atas meja. Kemudian dia suruh Iman buat kopi yang lain pula. Tanpa bantahan, Iman buat kopi yang lain juga. Semakin berkerut muka Ammar bila menyisip perlahan kopi yang baru Iman buat itu.
"Pahitnya, sayang! Sayang tak rasa ke masa buat kopi ni?" tanya Ammar. Mata dah pandang Iman tepat-tepat.
"Tak," jawab Iman dengan muka bersahaja.
"Sebab Iman tak suka minum kopi!"
"Iman, kalau Iman sayangkan abang, Iman kena ingat abang dulu. Iman nak jadi isteri yang baik dan disayang suami tak?" tanya Ammar lembut.
Soalan apa tu? Iman sudah berkerut. Kalau dia masak bukan-bukan dan tak sedap, Ammar tak akan sayang dia ke? Wah, itu soalan paling baru yang telah dia fikirkan. Dia sayang Ammar ke? Iman cuba selidik hati sendiri. Kalau dah serumah, sekatil dan semacam-macam lagi, takkan rasa suka dan sayang itu tidak ada lagi?
"Sayang kena fikirkan abang terlebih dulu sebelum sayang nak buat apa-apa. Contohnya, air kopi ni. Kalau Iman sayang abang, Iman akan fikirkan perasaan abang bila minum kopi pekat dan kelat ni. Melekat kat tekak abang ni. Dah tu, tawar pula. Macam tak ada gula. Jadi, sayang kena rasa dulu demi kasih sayang Iman tu. Faham, Iman sayang?" Ammar mendekati Iman lalu menghadiahkan kucupan di dahi lalu berlalu dari meja makan.
Iman hanya menggaru kepala tak gatal bila kena tazkirah oleh Ustaz Ammar Hafiz di waktu pagi begini. Tiada siapa yang menyangka, kan? Tapi itulah sikap Ammar yang Iman kenal.
"Habis, abang pernah ke fikirkan perasaan Iman?" tanya Iman, tiba-tiba. Ammar yang mahu melangkah ke bilik, terhenti dan menoleh memandangnya.
"Apa yang Iman suka dan tak suka. Atau, apa yang Iman suka buat?" tanya Iman pula dengan muka seolah-olah mencabar Ammar.
"Sentiasa, sayang. Iman sentiasa ada di dalam kepala abang ni," kata Ammar seraya menunjuk kepalanya.
"Lagipun, abang tahu perasaan sayang pada abang. Apa yang sayang rasa, apa yang sayang nak buat dengan abang sebab kepala otak kita memikirkan benda yang sama."
Ammar sudah senyum senget. Iman dah buat muka blur. Tak faham.
"Abang suka Iman peluk abang tiap-tiap malam!" ucap Ammar dengan muka bersahaja. Iman sudah berkerut. Dia peluk Ammar? Bukan Ammar ke yang suka sangat peluk dia? Lepas tu cium dia... Lepas tu...
Ammar sudah ketawa perlahan bila melihat wajah Iman mula berona. Itu mesti fikir yang bukan-bukanlah tu.
Iman sudah ketap bibir rapat-rapat. Rasa nak aje dia cubit tangan Ammar biar tertanggal daging sebab mata itu macam jahat aje tenung dia.
"Sayang tengah fikirkan apa tu?" tanya Ammar sambil angkat kening. Tangan dah mula mengelus pipi Iman sambil mata merenung jauh ke dalam anak mata isterinya itu.
Terus dada Ammar yang dekat dengan tubuh dia ditolak menjauh. Kemudian kaki terus melangkah ke dapur. Malas nak melayan Ammar lagi.
Iman ada juga mengadu pada emaknya tentang Ammar yang kuat komen itu. Tapi dia pula yang kena tegur macam ni.
"Elok juga Ammar tu nak tegur, nak komen, Iman oi. Bagi kamu tu sedar diri sikit. Belajar masak mulai sekarang! Itu kunci kebahagiaan juga tu. Masak sedap, perut suami kenyang. Nanti dia sayang kamu lebih. Kamu nak ke Si Ammar tu cari lain?"
Aik? Itu pula yang emak tanya? Semua isteri tak mahu suami cari lain kalau kena tanya soalan macam tu! Huh!
Jadi lepas saja Ammar ke pejabat, Iman mula membuka Internet dan berkenalan dengan encik Google dengan lebih rapat lagi. Selalunya dia lebih suka melawat laman web K-Pop superstar atau kalau-kalau nak buat projek untuk kolej.
Sekarang laman web masakan pula menjadi kawan baiknya sejak kebelakangan ini. Tekan aje apa nak, macam-macam resipi ada kat dalam laman web itu.
"Hari ni abang nak makan ayam masak kurma. Rasanya lauk itu paling senang kut," kata Ammar tadi sebelum nak ke tempat kerja.
Ayam masak kurma memang senang pada orang yang memang tahu memasak. Tapi pada orang yang tak reti memasak macam dia ni, ia adalah satu penderaan mental. Setiap resipi yang ada dia tengok. Cari yang paling senang dan mudah. Bila dah dapat apa yang dia mahu, segera dia menyalin bahan-bahannya.
Okey, Iman. Kali ini buat elok-elok kalau kau tak nak kena hentam kaw-kaw dengan suami tersayang. Iman sudah ketawa sendiri. Hai, rasanya inilah perkara paling pelik yang pernah dia buat hanya untuk lelaki itu.
Masak ayam kurma makan dengan nasi minyak pun sedap ni. Iman terus cari resipi nasi minyak di dalam tablet yang Ammar hadiahkan untuknya supaya mudah dia mencari maklumat untuk membuat kerja kolejnya. Prihatin sungguh suaminya itu.
Dia mencari resipi paling mudah dan ringkas untuk the beginner macam dia. Ammar akan balik makan tengah hari nanti. Jadi dia kena cepat untuk memulakan misi memasak. Ada beberapa jam lagi untuk dia menyediakan hidangan di atas meja. Sejak dah jadi isteri ni, dia kena juga bijak membahagikan masa antara rumah tangga dan kolej.
Nak buat macam mana. Dirinya sudah dikahwinkan masa umur masih muda dan masih bergelar pelajar. Iman termangu-mangu bila memikirkan lagi seminggu akan masuk semester baru. Tentu masanya akan lebih pada kerja kolejnya daripada di rumah. Bagaimana dengan Ammar nanti? Iman menghela nafas dan mula menyediakan bahan-bahan untuk dimasak. Sambil masak, sambil tengok resipi!
Ammar pulang tengah hari itu ketika Iman sedang bersilat di dapur. Dia ketawa saja bila melihat Iman berpeluh memasak lauk untuk mereka. Kaki diatur mendekati cik isteri yang sedang mengacau ayam masak kurma. Peluh isteri di muka dilap, kemudian pipi itu dicium.
"Boleh buat ke?" tanya Ammar seraya menjengah ke dalam periuk. Bau aroma yang menusuk ke hidung buat dia terasa lapar. Memang lapar dah ni. Tangan segera dicuci di singki.
"Boleh. Iman tengok dalam Google." Polos saja jawapan cik isteri. Ammar tersenyum.
"Abang tolong Iman sediakan pinggan makan kita. Iman nak cedok lauk ayam kurma ni. Kejap lagi kita boleh makan," kata Iman lagi. Tangan segera menyusun salad dan timun ke atas pinggan leper dan kemudian sos tomato dituang di atasnya.
Tadaaa... Dah jadi salad sayur yang ringkas. Ammar pula segera menyediakan meja. Lauk-pauk yang serba ringkas itu, Iman susun di atas meja. Mereka mula duduk dan Ammar membaca doa makan. Iman sudah berdebar bila melihat Ammar mencedok lauk ayam kurma itu dengan senyuman tak lekang dari bibirnya.
"Jangan senyum dulu, Encik Ammar. Abang kena rasa dulu," kata Iman pula. Ammar menggaul nasi minyak itu dengan ayam kurma. Kemudian terus menyuap ke mulut. Muka berkerut dan bibir diketap.
"Kenapa?"
"Masinnya, sayang!" kata Ammar memandang Iman dengan kerut muka. Iman sudah terhenti mencedok kuah ayam kurma.
Iman segera menyuap nasi minyak itu dan... Muka berkerut. Ya Allah, masinnya!
"Nasi minyak ni masin sikit. Dah gaul dengan kuah kurma ni lagi rasa masin gila! Iman tak rasa ke masa masak tadi?" tanya Ammar, merenung Iman tajam. Punya semangat nak makan sebab lapar tiba-tiba jadi macam ni?
"Tadi Iman rasa tawar sikit. Lepas tu Iman tambah garam lagi. Tak sangka boleh jadi masin macam ni..." Muka Iman terus jadi sedih.
Rasa marah tadi pada Iman terus hilang entah ke mana bila melihat Iman sudah menangis. Isterinya terus bangun dan melangkah laju tuju ke bilik tidur.
Apa yang dia buat hari ini semua sia-sia. Masak bersungguh-sungguh tapi langsung tak menjadi. Kesian, Ammar... Iman menangis lagi bila mengingatkan senyuman Ammar yang melebar dengan muka yang teruja nak menikmati masakan dia. Tapi semuanya hampeh! Masak asam pedas jadi asam rebus. Buat kopi, pahit. Masak ayam kurma pula, masin! Tak pernah dia rasa sangat malu dan kecewa macam ini.
Ammar masuk ke bilik dan terus terpandangkan Iman sedang duduk memeluk lutut dengan kepala tertunduk di tepi katil. Bahu nampak bergegar sebab menangis. Perlahan-lahan dia menghampiri dan duduk di sebelah Iman. Bahu Iman dipeluk dan rambut Iman dikucup.
Iman diam saja tidak buat apa-apa reaksi. Dia pasti sangat Ammar sedang ketawakannya sekarang ini. Kalau tak dari mulut, pasti dalam hati.
"It's okay, sayang," pujuk Ammar.
"Janganlah menangis macam Iman dah gagal selamanya. Iman baru belajar masak, kan? Lama-lama nanti okeylah tu."
Rambut Iman yang menutupi muka diselak dan diselitkan ke telinga.
"Iman rasa tak berguna betul!" Suara Iman yang serak sudah kedengaran.
"Iman Suffiyah..."
Iman mengangkat muka dan memandang Ammar dengan muka yang basah.
"Awak mesti kecewa kan, Encik Ammar? Sebab dapat isteri yang tak tahu masak!" kata Iman dengan muka tegang. Tangan Ammar yang ada di bahunya ditolak.
"No, Iman. Abang tak..."
"Sekarang awak ada alasan untuk tinggalkan saya!" Iman sudah bangun berdiri. Ammar turut berdiri dan merenung tajam padanya.
"What is that supposed to mean? Takkan benda kecil macam ni abang nak tinggalkan Iman? Iman cakap apa ni?" Ammar sudah bercekak pinggang.
"I can't cook!" jerit Iman geram. Air mata sudah mengalir lagi.
Ammar menjatuhkan tangan dan segera menarik Iman ke dalam pelukannya. Rambut Iman diusap dan dikucup.
"I love you, Iman Suffiyah. Abang tak kesah Iman tak tahu masak pun. Macam abang cakap, Iman masih belajar. Maafkan abang kalau abang marah tadi. Ya, abang teruja sangat nak makan masakan isteri abang dan ya, abang kecewa campur marah sebab apa yang abang nak tak dapat. Abang minta maaf sebab bagi tekanan pada Iman macam ni."
Tubuh itu dipeluk kemas. Tangan Iman naik dan membalas pelukannya.
Kemudian pelukan dilepaskan dan air mata Iman dikesat perlahan. Bibir sudah tersenyum.
"Tak mahu menangis lagi ya, sayang? Hai, nasib abang dapat isteri budak sekolah. Nak buat macam mana...Benda kecil macam ni pun nak menangis bagai. Nasib baik comel," kata Ammar lagi. Iman tersenyum malu dan menolak dada dia.
"Dah, jom kita makan. Nanti lapar pula perut tu. Tak apalah masin sikit. Jangan masak hari-hari masin sudahlah. Boleh kena darah tinggi abang macam ni."
Ammar tarik tangan Iman dan keluar semula ke meja makan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co