Bab 11
SEBAIK sahaja mesyuarat bulanan yang berlangsung hampir dua jam itu berakhir dan kakitangan yang tidak terlibat dalam projek kebajikan diminta bersurai, Tengku Ali mula meneliti kalendar Sinar Harapan dan kemudian tersenyum lebar.
Wajahnya yang tadi serius kini tampak berseri-seri. Tengku Zulhan pula diam membisu sambil matanya sekali-sekala melirik ke arah Nina. Renungannya tajam. Tampak jelas ada sesuatu yang tidak disenanginya tentang kalendar itu. Adakah gambar Nina bersama Jefri dengan gaya yang cukup mesra itu mengganggu perasaan Tengku Zulhan?
Tengku Zulhan cemburu? Tidakkah dia sedar bahawa apa yang dipaparkan di kalendar itu hanyalah lakonan semata-mata? Hasil lakonan dua pelakon yang telah berusaha sedaya upaya demi mendapatkan gambar terbaik sepasang pengantin?
Saroja dan Albert kelihatan bersedia mendengar komen daripada Tengku Ali. Sekali-sekala Albert terbatuk-batuk kecil. Joe pula membatu merenung hasil kerjanya yang penuh kreatif itu. Tidak dinafikan Joe adalah seorang pemuda yang berbakat.
"Emmm... Bagus!" puji Tengku Ali dengan wajah ceria. Tangannya membelek-belek setiap helaian berulang kali. Tampak seperti dia tidak puas menikmati keindahan gambar-gambar pengantin yang dipaparkan itu.
"Menarik sekali. Kalau tak salah... pasangan Cik Nina ini macam saya kenal. Er... Apa namanya?"
Dahi Tengku Ali yang berkedut itu mula berkerut. Cuba mengingati.
"Jefri Mohammad," jelas Nina pantas. Tatkala itu semua mata pun memandang ke arahnya, terutama sekali Tengku Zulhan yang menjeling dengan wajah gusarnya itu.
"Oh ya... Jefri. Pemuda yang berkaliber. Kami bertemu enam bulan yang lalu di seminar pengarah dan eksekutif. Macam mana Cik Nina boleh dapatkannya untuk projek ini?" soal Tengku Ali penuh minat.
"Er... Dia sebenarnya anak mak long saya. Kebetulan terserempak dengan dia beberapa minggu yang lalu, jadi bila saya bangkitkan perkara ini dia bersetuju untuk membantu," jelas Nina.
"Cukup prihatin. Orang berkedudukan macam dia biasanya susah nak dipujuk buat kerja macam ini," puji Tengku Ali lagi.
Seketika kemudian dia meletakkan kalendar itu di sisi, berdehem sesaat lalu bersuara lagi.
"Saya nak ucapkan ribuan terima kasih dan syabas atas kerjasama kamu semua di dalam menjayakan projek kebajikan tahunan syarikat ini. Sumbangan kamu amat dihargai."
"Jadi, selepas ini sebagaimana yang telah ditetapkan, kita akan mengadakan majlis pelancaran. Cik Nina, pastikan orang-orang kenamaan dijemput," tegas Tengku Ali kepada Nina.
"Ya, Tengku. Saya dah uruskan semua itu," balas Nina, memandang tepat pada wajah awet muda itu. Walaupun sudah bergelar datuk kepada beberapa orang cucu, Tengku Ali masih kelihatan segak bergaya. Tidak seperti pak longnya yang kelihatan sangat usia tuanya.
Mendengar jawapan Nina itu, Tengku Ali tersenyum senang lalu menyambung ucapannya.
"Sebagaimana yang telah dirancangkan, kalendar-kalendar itu akan diedar ke kompleks-kompleks membeli-belah di seluruh negeri dan dari situ pihak Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim akan mengambil alih. Diharap penjualannya nanti dapat memberikan sumbangan kepada anak-anak yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi menjelang hari raya nanti. Ada apa-apa lagi yang nak dibangkitkan?" tanya Tengku Ali.
Matanya beralih dari muka Saroja ke muka Albert dan seterusnya meneliti ke setiap muka yang ada di ruang itu. Saroja diam. Albert pun diam. Tidak ada seorang pun yang bersuara atau mencadangkan sesuatu. Masa yang dihabiskan hampir tiga jam itu membuatkan kepala masing-masing berat.
"Kalau tak ada apa-apa lagi... mesyuarat bersurai. Terima kasih semua," ujar Tengku Ali menutup mesyuarat sesi kedua itu dengan kuntuman senyuman bangga.
Sejurus selepas mereka semua melangkah keluar dari bilik mesyuarat, Tengku Zulhan segera memberi isyarat kepada Nina agar ke bilik pejabatnya.
Nina mengangguk tetapi dalam hati dia mengeluh berat. Dia dapat meneka perkara yang akan dibangkitkan oleh Tengku Zulhan nanti, tidak lain dan tidak bukan ialah tentang foto yang amat meragukan itu. Agaknya Tengku Zulhan berasa perlu untuk menyoal siasat.
Selama ini Nina tidak pernah pula memberi janji kepada Tengku Zulhan tentang perhubungan mereka. Dia tidak pernah menolak dan juga tidak pernah menerima. Malas dia hendak bercinta-cinta.
Kalau boleh dia tidak mahu langsung memandang serius soal cinta. Kariernya lebih penting, bukan Tengku Zulhan ataupun Jefri.
"Ada apa, Han?" soal Nina sebaik sahaja melangkah masuk ke pejabat Tengku Zulhan. Dia sudah bersedia untuk menghadapi seandainya isu kalendar itu dibangkitkan.
Tengku Zulhan senyum ketika matanya menatap wajah Nina. Tangannya segera mencapai tangan Nina lalu Nina ditariknya mesra ke kerusi di hadapan mejanya. Dia pula melabuhkan punggung di sudut tepi meja itu.
"Duduk," katanya dengan bibir masih meleret senyum. Nina kehairanan. Bukan wajah begitu yang dibayangkan sebentar tadi. Sangkanya dia pasti dapat melihat rupa Tengku Zulhan ketika sedang mengamuk, bukannya senyuman semanis itu. Apa pula yang diinginkan oleh Tengku Zulhan?
"Kenapa ni?" tanya Nina, tersenyum geli hati. Semacam sahaja gaya Tengku Zulhan. Semakin tergamam dia apabila Tengku Zulhan mencapai jari-jemarinya lalu menggenggam lembut.
Mata bertentang. Tengku Zulhan menghela nafas dalam.
"Han sayangkan Nina. Kita dah kenal hampir dua tahun. Anak Han pun sayangkan Nina dan Han tahu Nina pun sayangkan dia," ucap Tengku Zulhan. Buat seketika dia diam sekadar merenung wajah Nina, ataupun menunggu reaksi Nina?
Sememangnya Nina terpanar. Bukan ucapan begitu yang diharapkannya. Dia menyangka Tengku Zulhan pasti bertanya tentang Jefri tetapi Tengku Zulhan rupa-rupanya lebih pintar. Daripada cemburu membuta tuli, dia mengambil kesempatan merebut peluang untuk meluahkan apa yang tersirat di hati.
Nina bimbang kalau-kalau Tengku Zulhan melamar lagi. Seorang lelaki hanya akan mengilhamkan kata-kata begitu ketika cuba memetik bunga di taman. Peluh sejuk mula memercik. Dia resah. Debaran di dada semakin menjadi-jadi. Dia tidak mahu mengecewakan perasaan Tengku Zulhan.
"Nina, apa kata kalau Han jadikan Nina sebahagian daripada keluarga Han? Kahwin dengan Han," ucap Tengku Zulhan, berterus terang akan hasrat di hati.
Dia memang kelihatan sedikit gementar tetapi dari riak wajahnya yang jernih itu, Nina tahu Tengku Zulhan bersungguh-sungguh. Tengku Zulhan ikhlas mahu memperisterikannya. Dia tahu Tengku Zulhan adalah calon suami yang baik. Tengku Zulhan ada segala-galanya, harta, nama dan kedudukan.
Tetapi Nina belum bersedia untuk terikat dengan sesiapa pun. Dia belum mahu berumah tangga. Lagipun perasaannya terhadap Tengku Zulhan belum sampai ke peringkat di mana seorang perempuan yang berkerjaya sepertinya sanggup berkorban untuk merantai diri terhadap beban tanggungjawab seorang suri rumah.
"Han..." Nina bangun menjauhkan diri daripada Tengku Zulhan. Keikhlasan Tengku Zulhan membuat dia berasa serba salah. Kini sudah dua kali lelaki itu melamar. Tengku Zulhan tentu sekali berasa hampa sekiranya lamaran kali kedua juga ditolak.
"Nina terharu dan Nina hargai niat baik Han. Tapi... Nina belum bersedia ke arah itu. Berikan masa kepada Nina," pinta Nina.
Entah kenapa kala itu wajah Jefri asyik bermain di mata. Setiap kali dia cuba membuat keputusan tentang masa depannya, nama Jefri asyik bertandang di hati bagaikan kabus yang menutupi pandangan mata.
"Jefri bukan sekadar anak mak long, kan? Bagi Nina, dia lebih daripada hanya seorang saudara?" tanya Tengku Zulhan seolah-olah begitu yakin dengan pendapatnya itu. Dia tersenyum pahit. Tangannya mencapai kalendar meja Sinar Harapan, dibeleknya lalu menatap gambar Nina dan Jefri di muka hadapan.
"Macam cincin dengan permata..."
Melihat wajah kecewa Tengku Zulhan, hati Nina semakin diserang rasa bersalah. Bagaimana Tengku Zulhan boleh membuat tekaan yang begitu tepat hanya dengan melihat beberapa keping gambar?
"Kenapa buat kesimpulan hanya berdasarkan gambar? Apa yang ditafsir tidak semestinya benar," ujar Nina, cuba berselindung.
"Han memang harap begitu. Tapi ada satu perasaan... yang menyatakan Nina ada perasaan istimewa terhadap dia," luah Tengku Zulhan lagi.
Pipi Nina mula naik merah. Tepat tekaan Tengku Zulhan. Adakah air muka Nina semudah ABC, begitu senang untuk dibaca?
"Macam mana Han boleh cakap macam itu sedangkan Han bukannya pernah nampak kami bersama? Han cuma tengok gambar tapi ia lakonan semata-mata," bantah Nina, sedaya upaya cuba menafikan dakwaan Tengku Zulhan itu.
"Han sedar soal hati tak boleh dipaksa. Han gembira kalau Nina bahagia," ucap Tengku Zulhan, masih berpegang kepada pendapatnya bahawa hati Nina sudah berpunya.
"Han, kenapa merepek yang bukan-bukan?"
Nina terdiam memasang telinga apabila bunyi interkom tiba-tiba sahaja mengganggu suasana hangat di antara mereka. Tengku Zulhan segera mencapai gagang telefon di atas meja.
"Ya?" sahut Tengku Zulhan lalu memasang telinga. Sejurus kemudian gagang telefon dihulurkan kepada Nina.
"Your call," bisiknya lalu duduk. Namun matanya asyik memerhatikan gerak-geri Nina.
"Helo! Nina bercakap."
"Nina, Jeff di sini. On business bukan personal," ujar Jefri pantas memandangkan selama ini panggilannya sentiasa sahaja ditongsampahkan oleh Nina.
"Oh, ada apa, Jeff?"
Hati yang berdebar kini dikocakkan lagi oleh suara Jefri. Dadanya kian bergemuruh.
"Begini Nina, office Jeff di KL dan Indah Store akan dirasmikan pembukaannya pada 30 November ini. Jeff jemput Nina ikut sama memeriahkan majlis."
Memandangkan Jefri telah bermurah hati membantunya menjayakan projek kebajikan, Nina berasa diri terpaksa membalas budi. Tidak beradablah dia sekiranya menolak jemputan daripada orang yang telah berbudi kepadanya.
"Tahniah, Jeff! Nina pasti ke sana. Boleh Nina bawa teman?"
"Teman? Oh, tak ada salahnya. Er... Jeff juga ada proposal untuk Nina, business. Jeff mahu iklankan Indah Store. Bila boleh kita bincangkan perkara ini?"
"Bila-bila masa pun boleh. Nanti Nina ke office Jeff."
"Jeff tentukan kemudian. Sekarang Jeff sedang sibuk. Macam mana dengan kalendar pengantin?"
"Sangat menarik. Nanti Nina bawakan satu untuk Jeff."
"Thanks, Nina. Bye!"
"Bye..."
Betapa Nina mengagumi Jefri yang berjaya mengembangkan syarikat textiles ayahnya dari sebuah syarikat kecil kepada sebuah syarikat besar. Mengikut kata mak longnya, Jefri merancang untuk membuka cawangan Indah Store di serata tanah air. Kalau dahulu hanya ada dua buah kedai di Johor Bahru, kini kedai kain itu mulai beranak pinak.
Begitu juga dengan kilang kain mereka yang kini akan dibuka di Kuala Lumpur. Nampak gayanya, semakin kayalah pak longnya. Jefri memang berbakat besar sebagai usahawan. Dia berupaya mengubah tahap syarikat mereka hanya dalam satu masa yang singkat.
"Kalau hanya dengan mendengar suara, wajah Nina yang berseri-seri itu ada maknanya." Suara mersik Tengku Zulhan tiba-tiba sahaja memecah keheningan.
Tersentak Nina dibuatnya. Dia segera berpaling. Terlupa pula bahawa dia masih di dalam pejabat Tengku Zulhan.
"Taklah! Nina dapat business. Jefri nak iklankan Indah Textiles dan Indah Store. Kita dijemput ke majlis pembukaan officenya. Sudi temankan Nina?"
"Kalau Nina sudi bertemankan Han."
"Maknanya jadi?"
Tengku Zulhan mengangguk. Senyum. Dengan jawapan itu Nina tersenyum riang. Nasib baik Tengku Zulhan seorang lelaki yang bersikap optimis. Walau apa pun yang terjadi, dia tidak akan berdendam. Sikap begitulah yang membuatkan dia senang didampingi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co