Truyen3h.Co

Lamaran Kedua

Bab 2

karyaseni2u

PERASAAN Nina tiba-tiba sahaja dibuai rasa riang tatkala telinganya menangkap bunyi petikan piano yang membawakan lagu kegemarannya Ballade pour Adeline. Dia tercengang dan terpacak di pintu pagar agak lama. Itu adalah lagu kenangannya dengan Jefri. Selain daripada memandu kereta lumba, bermain piano juga merupakan hobi Jefri.

Kini Jefri sedang memainkan lagu yang sentiasa dimainkan untuknya suatu ketika dahulu. Jefri masih ingat? Hatinya melonjak gembira. Seakan-akan terpukau oleh suara alunan muzik yang begitu indah, yang pastinya dimainkan oleh Jefri demi mengingati kenangan indah mereka berdua.

Nina melangkah perlahan melewati barisan pohon-pohon orkid di halaman. Dia sepatutnya mengiringi Jefri dengan petikan gitar. Ia satu kombinasi yang baik.

Tetapi mimpinya berkecai sebaik sahaja mendengar suara tawa riang perempuan diikuti dengan bunyi tepukan tangan dari ruang tamu.

Suara piano pun mula menghilang. Hati Nina mulai dihambat resah. Dia meneruskan langkah dan sesaat kemudian matanya singgah pada Jefri dan teman wanitanya yang kelihatan begitu mesra. Senario yang cukup menyakitkan mata dan hati.

"Bravo! You sungguh hebat, Jeff! Janji, yang itu bukannya kali terakhir. You akan mainkan lagi untuk I!" rengek Nur Ayu.

Jefri diam lalu menyandar lesu pada meja piano. Tanpa senyuman Nina, dia rasa seperti tidak berdaya. Semanis mana pun senyuman gadis di hadapannya itu, dia bukannya Nina. Hanya Nina seorang sahaja yang dapat mengembalikan kebahagiaan ke dalam hidupnya.

"Janjilah!" pinta Nur Ayu lagi. Manja.

"Janji," balas Jefri akhirnya.

"By the way, apa nama lagu itu? So romantic."

"Ballade pour Adeline," balas Jefri perlahan.

Dia terkenangkan saat-saat manisnya bersama Nina. Segala-galanya sungguh indah tetapi itu sudah lama berlalu. Keadaan telah berubah. Nina sudah berubah. Baru dia sedar betapa dia merindui kehadiran Nina dalam hidupnya.

Malangnya walaupun sudah seminggu berlalu, mereka jarang bertemu. Perbualan mereka pula amat singkat, tegang dan ganjil. Tidak lagi semesra dan seakrab dahulu. Nina seperti sengaja menjauhkan diri.

Suasana di rumah itu tidak lagi sebahagia dahulu. Dia yang bersalah. Bersalah terhadap Nina serta ibu bapanya. Perkataan kesal telah pun beratus kali terlepas dari bibirnya. Dia telah berjanji akan memperbetulkan keadaan. Hubungannya dengan Nur Ayu seharusnya berakhir. Nina adalah miliknya. Sesungguhnya dia tidak boleh kehilangan Nina.

Nina mengatur langkah ke arah anak tangga menuju ke tingkat atas tanpa menghiraukan sesiapa pun, tidak Jefri dan tidak juga tetamu mereka itu. Nina terus berlalu begitu sahaja dengan wajah tegang. Marah? Jefri menghela nafas resah.

Dia akui kesilapannya kerana membenarkan Nur Ayu mengunjunginya di rumah itu. Tetapi keinginan gadis itu bukannya mudah untuk ditolak. Nur Ayu terlalu manja dan keras kepala. Anak kesayangan hartawan yang memiliki segala-galanya itu tidak pernah rela menghadapi kegagalan. Jefri sedar dirinya bagaikan sebuah piala yang harus dimiliki oleh gadis itu.

"Who's that?'' soal Nur Ayu dengan perasaan curiga.

Matanya mengekori langkah gemalai gadis jelita yang kini sedang memanjat anak-anak tangga. Hatinya tiba-tiba sahaja digigit rasa cemburu. Apatah lagi apabila mata Jefri tidak lepas-lepas dari merenung gadis itu.

"Nina," balas Jefri. Dia dapat merasakan bahang api kemarahan dan rasa cemburu yang meluap-luap daripada kedua-dua belah pihak. Hatinya tiba-tiba sahaja gembira. Dia masih ada harapan seandainya rasa cemburu masih ada di hati Nina.

"Nina? Kenapa you pandang dia begitu?" Suara Nur Ayu mula meninggi, keanak-anakan. Air mukanya mula berubah kelat.

"Kau sukakan dia? Kau memang sukakan dia!" tuduh Nur Ayu. Merajuk.

Jefri mengeluh. Nur Ayu sememangnya sering bersikap begitu. Walaupun tidak berhak, pergerakan Jefri tetap mahu dikawal. Cemburunya sentiasa melebihi. Dia obses.

"Kau kan tahu aku dah bertunang," balas Jefri.

Selama ini Nur Ayu memang berusaha keras untuk mendekatkan diri dengan Jefri, sehingga Jefri akhirnya tidak mampu menepis lagi.

Walaupun mengetahui bahawa dia sudah pun bertunang, Nur Ayu tetap mengambil sikap tidak kesah. Selagi belum berkahwin katanya, Jefri tetap tidak berpunya dan peluang untuknya masih ada.

"Dia? Your fiancee?'' Mata Nur Ayu terbuka luas. Terkejut. Melihat kejelitaan Nina, kedudukannya terasa goyah. Dia tidak menyangka gadis Melayu tulen mampu menandingi kecantikan wajah pan-Asianya. Tetapi kecantikan Nina amat menyerlah.

"Oh!" Nur Ayu menjerit geram. Tiba-tiba sahaja tanpa sepatah kata dia terus meninggalkan Jefri dan rumah itu. Jefri tahu gadis itu pasti akan kembali memujuk rayu seperti biasa. Tetapi kali ini Jefri bertekad tidak lagi memberi peluang kepada Nur Ayu. Semua itu harus diakhiri segera.

Dia tidak harus berlembut dan membiarkan masa depannya hancur kerana Nur Ayu. Nina tetap segala-galanya. Dia perlu berhadapan dengan Nina untuk menjernihkan keadaan.

Walau bagaimana sekalipun dia dan Nina tidak mungkin berpisah. Sumpah. Jefri sedar, dia perlu bertindak sekarang, pada saat ketiadaan orang tuanya. Nina boleh bertempik dan berteriak semahu hatinya. Dia rela dimarahi.

Di hadapan pintu kamar Nina, Jefri berdiri dengan hati yang berdebar. Setelah apa yang terjadi, jelas sekali Nina tidak akan memaafkannya dengan mudah. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hati Nina kembali. Perang dingin itu tidak boleh diteruskan buat selama-lamanya. Mereka berdua pasti merana.

Pintu diketuk berkali-kali tetapi tetap tidak berjawab. Jefri menolak daun pintu yang tidak berkunci itu. Dia melangkah masuk.

Baru sahaja bibirnya bergerak untuk memanggil nama Nina, gadis itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapannya dengan hanya berbalut tuala merah. Tangannya sibuk menggosok-gosokkan sehelai tuala kecil ke rambutnya yang panjang mengurai. Nina sungguh ayu...

"Jefri!"

Terkejut Nina apabila menyedari kehadiran Jefri di kamar itu. Jefri memerhatikannya tekun sekali. Apa yang Jefri mahu?

"I'm sorry. Jeff ketuk pintu tapi... Nina, kita perlu berbincang."

Jefri mula menggelabah. Dia berasa serba tidak kena apabila menghadapi Nina dalam keadaan begitu. Wajah Nina kini merah menyala mencerminkan hatinya yang sedang marah. Sesaat lagi dia pasti dihalau keluar.

"Nina... berikan Jeff peluang," ucap Jefri sepenuh hati. Dia ikhlas.

"Kau tak harus berterusan melarikan diri. Kita perlu berbincang," sambung Jefri lagi.

Tersentak Nina. Debaran di dada semakin kencang. Pilu di hatinya juga mulai kembali menggigit. Jefri mahu berbincang dan memberikan kata putus? Jefri mahu memberitahu bahawa tali pertunangan mereka harus diputuskan? Tidak...

"Tidak..." Jeritan batin diluahkannya dengan perasaan penuh sebak. Semua itu tidak mungkin terjadi di dalam hidupnya. Kenapa Jefri memilih jalan itu? Tidak mungkin! Tetapi Nina terpaksa akur jua.

Seandainya perpisahan tetap tidak dapat dielakkan, dia sendiri akan membuat keputusan. Dia yang akan memutuskan pertunangan itu, bukan Jefri. Dia tidak akan ditinggalkan tetapi dia yang akan meninggalkan Jefri!

"Perkara ini tak boleh berlanjutan Nina. Please try to understand me..." Jefri mendekati.

Nina mengundur cemas.

"Kau harus faham...'' sambung Jefri lagi dengan wajah kesal.

"Maaf, Nina nak cepat. Nina ada kerja," balas Nina pantas. Dia segera melarikan diri ke kamar mandi. Air matanya menitis lagi.

Sejak kepulangan Jefri, dia tidak henti-henti menangis. Hatinya merana kerana perbuatan Jefri. Kawan-kawan pula asyik bertanya dan mengusik tentang rancangan perkahwinan mereka. Semua itu membuatkan sakit hatinya semakin menjadi-jadi.

Dia pasti mendapat malu besar sekiranya kisah Jefri meninggalkannya kerana perempuan lain diketahui ramai. Sesungguhnya dia tidak rela dirinya menjadi buah mulut orang. Tetapi Jefri, nampaknya tidak sabar-sabar lagi mahu memutuskan perhubungan mereka.

"Nina! We need to talk!"

Jefri mengetuk pintu bilik mandi berkali-kali. Dia betul-betul mengharapkan kemaafan daripada Nina.

"Maafkanlah Jeff, Nina! Jeff tahu Jeff bersalah," ucap Jefri lagi.

Berkali-kali dia mencuba tetapi Nina tetap mendiamkan diri. Jiwanya resah tidak terhingga. Berhari-hari dia membendung perasaan sebegitu. Dia sungguh terseksa apabila menatap wajah sayu Nina tanpa dapat meluahkan perasaan yang terbuku di hati.

Setelah penat menunggu dan merayu akhirnya Jefri terpaksa akur. Dia meninggalkan kamar Nina dengan hati berbekal semangat. Dia akan mencuba lagi. Perjuangannya belum berakhir. Dia tidak mungkin mengaku kalah. Hati Nina yang keras itu pasti dapat dilenturkannya jua suatu hari nanti.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co