Bab 8
BERHARI-HARI sudah Nina meronda sekeliling bandar raya demi mencari mr. right seperti yang diinginkannya. Dia meluangkan separuh hari untuk membuat pemerhatian. Malangnya sebanyak mana pun usaha serta masa yang dihabiskan, dia tetap gagal untuk mendapatkan calon yang sesuai.
Akhirnya senja itu dia kembali dengan perasaan hampa kerana terpaksa membuat keputusan untuk menggunakan Albert sebagai pasangannya. Dia sudah putus harapan sehinggalah matanya singgah pada jejaka bersut navy blue yang sedang leka menyandar pada kereta BMW berwarna hitam di luar pagar rumahnya itu.
Jefri! Nina leka memandang dan kepalanya ligat berfikir sehingga kereta yang dipandunya meluncur melepasi destinasi sejauh beberapa ela. Cepat-cepat dia mengundur, gopoh-gapah. Jiwa di dalam mula melantun resah. Berdebar-debar.
Melihat wajah Jefri memberinya inspirasi. Dia tidak boleh membiarkan Jefri menunggu lebih lama. Dia tidak boleh kehilangan Mr. Rightnya. Selain daripada Albert, Jefri adalah calon terakhirnya yang paling sesuai. Kenapakah dia tidak pernah terfikir bahawa Jefri adalah pilihan yang tepat? Jefri tentu sahaja senang dipujuk.
"Jeff!" jerit Nina sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari kereta. Dia segera merapati Jefri yang kelihatan sedikit tercengang.
"Oh, gembiranya Nina!" ucap Nina tanpa disedari.
Beban yang berat kini terasa seperti baru sahaja dialihkan daripada bahunya. Lega. Berakhir sudah pencariannya selama beberapa bulan itu. Projek kebajikan akan tetap berjalan. Tengku Zulhan pasti tidak perlu lagi runsing melihat Nina yang terpaksa bertungkus lumus ke sana ke mari. Nina pula tidak payah lagi keluar masuk bilik pejabat Tengku Ali untuk mendengar rungutan demi rungutan. Dia akan memastikan Jefri bersetuju untuk berbakti kepada yayasan anak-anak yatim.
"Nina? Kau, okey?"
Jefri, tergamam dengan perubahan yang mendadak pada tingkah laku Nina itu. Terasa bagaikan di alam mimpi apabila Nina menyambut kedatangannya dengan wajah ceria begitu. Selama ini Nina tidak pernah memberikan senyuman semanis itu. Apakah yang terjadi? Kenapa Nina begitu cepat berubah?
Tiga minggu yang lalu, seandainya dia melutut sekalipun, Nina tidak mungkin bermurah hati seperti pada saat itu. Senyuman Nina kembali menjernihkan hatinya yang kian kusut. Sesungguhnya dia bahagia dengan perubahan itu. Dia gembira.
"Errr... Jeff tunggu Nina?"
Melihat air muka Jefri yang aneh, Nina segera kembali berpijak di alam nyata. Tingkah lakunya segera berubah. Sememangnya dia memerlukan pertolongan Jefri tetapi dia tidak mahu Jefri tersalah sangka ataupun menaruh harapan terhadap dirinya. Hubungan di antara mereka tidak akan berubah hanya kerana sebuah senyuman.
"Ya," balas Jefri. Berkerut wajahnya, hairan kenapa di dalam sekelip mata sahaja Nina sekali lagi berubah laku. Apakah sesaat yang lalu cuma mimpi semata-mata ataupun khayalan akibat jiwa yang terlalu mengharap? Hampir gilakah dia?
"Tiba-tiba saja kau macam dua orang yang berbeza, Nina," komen Jefri tiba-tiba. Matanya meneliti wajah Nina. Lama. Keliru.
"Ya? Nina tak tahu apa maksud, Jeff. Masuklah," balas Nina bersahaja.
Dia melangkah masuk ke pekarangan rumah mendahului Jefri. Kala itu dia mula berasa serba tidak kena. Hipokritlah dia sekiranya melemparkan senyuman hanya kerana ingin mengambil kesempatan. Tetapi apa lagi yang harus dilakukannya kalau bukan begitu? Semua itu adalah untuk kebajikan anak-anak yang bernasib malang, bukannya untuk kepentingan diri sendiri.
Nina menekan suis lampu di ruang tamu. Jam dinding sudah menunjukkan hampir pukul 7.30 malam. Suasana suram kerana hujan turun hampir sepanjang petang dan baru sahaja reda kira-kira sejam yang lalu.
Sepi, di rumah itu hanya ada dia dan Jefri. Rafidah yang menikmati hidup tanpa batasan itu tentu sahaja di dalam perjalanan untuk melepak di lounge ataupun disko bersama teman-temannya.
"Silakan duduk. Minum?"
"No, thanks. Jeff sebenarnya tak boleh lama. Ada appointment pukul 9.00 malam," ujar Jefri sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa.
"Jeff datang sekadar menyampaikan sesuatu daripada mak," sambung Jefri sambil mengeluarkan sesuatu daripada poket sutnya, iaitu sebuah kotak empat segi sederhana besarnya dan berbalut rapi lalu dihulurkannya kepada Nina.
"Apa pula ni? Birthday Nina masih jauh lagi. Mak long ni tiba-tiba saja..."
Nina teragak-agak untuk menerima. Setiap tindakan mak longnya akhir-akhir ini sentiasa sahaja ada tujuan tertentu. Apa pula tujuan mak longnya menghantar Jefri bersama dengan bungkusan hadiah itu? Untuk menemukan mereka berdua supaya cinta kembali bersemarak?
"Entahlah, Jeff cuma jadi tukang hantar. Mak pesan, walau hujan ribut sekalipun, barang ini mesti sampai ke tangan Nina," cerita Jefri, tersenyum.
"Terima kasih," ucap Nina. Dalam hati masih sangsi terhadap tindakan mak longnya itu. Selama ini mak longnya tidak pernah pula berkirim barang. Yang sentiasa berbuat begitu adalah Jefri sendiri. Kad ucapan dan bunga kiriman daripada Jefri kerap kali diterima ketika di pejabat.
Usaha tersebut tidak pernah dibalas walaupun dengan ucapan terima kasih.
"Jeff minta diri dulu," ujar Jefri sesaat kemudian. Dia bangun mahu melangkah pergi.
"Errr... Jeff!"
Nina kembali resah apabila Jefri mula melangkah membelakanginya menuju ke pintu. Sekiranya dia tidak memberanikan diri, maka hancurlah projek kebajikan mereka. Dia tidak seharusnya melepaskan peluang keemasan itu.
"Hmmm?" Jefri segera berpaling.
"Ya, Nina?" Matanya memandang penuh tanda tanya. Dia menunggu sekiranya Nina mahu menyuarakan sesuatu.
Nina terdiam. Cemas. Lidahnya kelu. Dia serba salah. Patutkah dia bertindak berbaik dengan Jefri hanya ketika perlu? Dia membenci manusia hipokrit. Kenapa dia harus menjadi salah seorang daripada mereka, bermuka-muka kerana mahu memperalatkan seseorang? Tidak... Dia tidak sekeji itu.
"Tak... Tak ada apa-apa," balas Nina, mula menggelabah. Wajah Jefri tidak berani dipandang lagi.
Tetapi Jefri tidak berganjak. Matanya terus mengamati wajah Nina, cuba merisik. Setahunya apabila Nina berkelakuan begitu, pasti ada sesuatu yang dihajatinya.
Apakah yang Nina mahukan daripadanya? Hatinya mulai dilanda rasa gelisah. Adakah Nina menghadapi masalah? Nina perlukan bantuan?
"Nina... What is it? Kau perlukan sesuatu? Boleh Jeff bantu?" tanya Jefri, serius. Di dalam hati dia sungguh-sungguh berdoa agar masalah Nina tidak berkaitan dengan lelaki lain. Dia tidak sanggup menerimanya. Dia betul-betul tidak mampu untuk menghadapi kenyataan seandainya dia bakal kehilangan Nina buat selama-lamanya.
Kini hati Nina betul-betul bersarang dengan perasaan serba salah. Mahukah atau tidak dia meluahkan perasaannya kepada Jefri? Mestikah dia mempergunakan Jefri?
"Nina? Kenapa ni? Please tell me," soal Jefri lagi. Dia masih menunggu jawapan daripada bibir Nina.
"Tak mengapa. Nina tak mahu menyusahkan Jeff," bisik Nina, tertunduk merenung jari-jemarinya.
"Kita macam satu keluarga, Nina. Jeff tahu Nina perlukan Jeff. Come on, I want you to need me," pujuk Jefri.
Tangannya mula mencapai jari-jemari Nina yang begitu sejuk dirasakan. Dia sedar Nina dalam keresahan tetapi Jefri percaya Nina tidak mungkin terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti kebanyakan gadis-gadis kota yang lain. Nina gadis baik. Nina tahu menjaga kehormatan diri.
Akhirnya setelah mempertimbangkan ucapan Jefri yang kedengaran ikhlas itu, Nina mengambil keputusan meneruskan rancangannya. Dia akan meminta bantuan Jefri. Tidak ada yang lebih layak selain daripada Jefri. Lagipun dia mahukan yang terbaik untuk projek itu.
"Duduk dulu, Nina ceritakan," ujar Nina seketika kemudian. Dia menunggu Jefri mengambil tempat duduk.
Daripada air muka Jefri, Nina sedar di dalam kepala Jefri sekarang sedang berputar dengan pelbagai persoalan. Jefri tampak bimbang tetapi tetap sabar menanti. Dia tidak mendesak. Matanya terus mengamati wajah Nina seolah-olah sedang membuat penilaian sendiri.
"Sebenarnya ini bukan masalah peribadi. Jangan pula Jeff berfikir yang bukan-bukan. Ia soal kerja," ujar Nina.
Jefri kelihatan menarik nafas lega. Wajahnya yang tadi naik merah mulai normal kembali.
"Nina sedang menguruskan projek tahunan syarikat, iaitu projek kebajikan untuk anak-anak yatim. Kami sekarang ni dalam perancangan untuk mengeluarkan kalendar tahun baru dan hasilnya akan disumbangkan kepada badan kebajikan.
"Masalahnya sekarang, seorang model lelaki terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir. Model-model ini adalah model sukarelawan tanpa bayaran. Bukan senang nak dapat. Nina dah tak tahu mana nak cari model amatur yang bersesuaian, sedangkan deadline dah over. Kami pun dah nak mulakan penggambaran," jelas Nina kepada Jefri yang tenang mendengar.
"Jadi, Nina perlukan bantuan yang macam mana? Mahu Jeff carikan seorang model? No problem. Jeff boleh cuba," balas Jefri, senyum.
Dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan berpeluang untuk mendampingi Nina. Bantuan seperti itu memberinya peluang untuk sentiasa menghubungi Nina. Mungkin buat sementara namun Nina yang mengharap tidak mungkin lagi akan mengabaikan panggilan atau kunjungannya.
"Tapi dia mestilah seorang lelaki yang baik penampilannya, kacak, sanggup berkhidmat tanpa bayaran dan sanggup juga meluangkan masa untuk penggambaran secepat-cepatnya minggu depan."
"Tall, dark and handsome?" Jefri tersenyum seolah-olah kualiti yang disebutkan oleh Nina itu sukar diperolehi.
"Jeff ada seorang kawan yang agak menepati syarat seperti yang Nina sebutkan. Tapi sekarang ini dia sedang sibuk dengan urusan kerjanya di Jepun. Jeff tak fikir dia ada masa untuk semua ini. Macam mana pun Jeff akan cuba hubungi dia," ujar Jefri, serius.
Macam mana dengan Jeff sendiri? Tak tahukah bahawa diri menepati ciri-ciri seorang model? bentak Nina dalam hati.
Jefri sepatutnya menawarkan diri sendiri, bukannya Nina yang terpaksa memujuk. Kenapakah Jefri tidak memudahkan keadaan? Di dalam hati dia berdoa agar Tuhan membukakan pintu hati Jefri untuk menawarkan diri. Harapannya tinggi menggunung.
"Oh ya, Allaudin! Dia seorang businessman yang bergaya. Gambar yang bagaimana yang Nina rancangkan?"
"Gambar pengantin. Semuanya lima pasangan."
"Pengantin?" Jefri kelihatan terkejut, lantas tergelak kecil.
"Dia sudah beristeri. Tak elok bergambar begitu," keluh Jefri sejurus kemudian. Dia menyandar lesu seolah-olah ketandusan idea.
"Okey, macam mana kalau Jeff dapatkan seorang model profesional? Bayarannya biar Jeff yang tanggung. Anggap saja ia sumbangan Jeff kepada anak-anak yatim."
"Prinsip projek ini adalah kerja amal. Kita tak boleh terima orang yang menyumbangkan tenaga kerana wang. Apa kata kalau... kalau Jeff sendiri?" soal Nina perlahan. Dia menunggu reaksi daripada Jefri.
Jefri tergamam, merenung Nina lama seakan-akan tidak percaya dengan apa yang didengar dan disampaikan kepadanya. Lantas dia tertawa tiba-tiba. Geli hati mendengar cadangan Nina yang tidak masuk akal itu. Tidak pernah termimpi bahawa suatu hari nanti dia akan mengikuti jejak Nina. Modeling bukan sesekali pilihannya.
"Jeff? Are you kidding, Nina? Jeff seorang businessman, bukan model. Ini soal imej! Macam mana Jeff nak..." Suara Jefri terhenti mendadak apabila sahaja matanya membaca reaksi hampa pada wajah Nina. Hatinya mula mengalah. Dia bangun, mundar-mandir. Tidak tahu macam mana mahu membuat keputusan.
Melihat wajah sedih Nina, dia tidak sampai hati untuk menghampakannya. Kalau bukan dia yang menceriakan hidup Nina, siapa lagi?
Tetapi bukankah tindakan beraksi sebagai pengantin lelaki pasti akan mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli perniagaan? Apatah lagi dengan perempuan mana yang menjadi pasangannya. Nina memang sentiasa sahaja membebankannya dengan dilema.
"Bila hari penggambaran?" soalnya tidak lama kemudian. Pertanyaan itu rupa-rupanya membuat wajah Nina tiba-tiba sahaja berseri-seri.
"Jeff setuju?" sorak Nina riang.
"Jeff akan fikirkan. Lagipun ini bukan perkara kecil, Nina. Walau untuk tujuan kebajikan sekalipun, Jeff perlu juga jaga kedudukan Jeff. Harap Nina faham," balas Jefri dengan rupa kesal.
"Nina faham. Terima kasih kerana Jeff sudi pertimbangkannya. Penggambaran akan bermula pada hari Sabtu dan Ahad minggu depan," balas Nina dengan perasaan sedikit lega.
Walaupun tidak memberikan jawapan, sekurang-kurangnya Jefri sudi untuk mempertimbangkan tawaran itu. Selama ini dia tidak pernah menghampakan setiap permintaan Nina. Apa sahaja janji pasti akan dikotakannya. Jefri sentiasa cuba untuk menggembirakan hatinya. Nina berharap agar Jefri tidak berubah.
"Jeff call Nina nanti. Bye," ujar Jefri tatkala melangkah meninggalkan pintu besar.
"Bye, bye"
MALAM itu selepas menelefon mak longnya untuk bertanyakan tentang set barang-barang kemas yang dikirimkan melalui Jefri itu, Nina tidak senang duduk. Tekaannya memang tepat. Semangat mak long untuk menyuntingnya masih berkobar-kobar.
Pertunangan mereka yang terputus mahu disambung kembali, kata mak longnya. Orang tua itu mengomel sehingga Nina kelu tidak terkata. Dia malas hendak membantah. Mak longnya memang tidak kalah setiap kali berdebat. Kalau difikirkan, mak longnya juga pentingkan diri. Kehendak Nina tidak mahu langsung diambil kira.
Seandainya kalendar pengantin yang bakal diterbitkan itu jatuh ke tangan mak longnya, orang tua itu pasti pengsan kerana terlalu gembira melihat foto perkahwinannya dengan Jefri.
Mak longnya tentu sahaja secara sukarela menjaja berita kepada sanak saudara yang kononnya mereka sudah bernikah. Mengenangkan risiko yang tinggi sekiranya dia berpasangan dengan Jefri, teringin rasanya Nina menukar pasangan. Tetapi sekiranya dia berbuat begitu, Saroja pasti berleter panjang.
Kasihan Saroja yang terpaksa membuat semula kerja yang sama akibat model-model yang asyik bertukar ganti. Ada sahaja yang terpaksa menarik diri.
Apabila mendengar bunyi deruan enjin kereta di halaman, Nina pantas menjenguk. Di luar kelihatan Rafidah dan Iskandar yang sedang bermanja-manja tanpa sedikit pun menghiraukan pandangan jiran tetangga. Rafidah kelihatan begitu manja sekali, merengek setiap kali Iskandar cuba menjauhkan diri.
Melihat gelagat Rafidah itu, Nina naik rimas. Adakah Rafidah merayu, agar Iskandar menemaninya lagi malam itu? Rafidah memang melampau. Berkali-kali sudah Nina melarangnya daripada membawa Iskandar ke rumah itu tetapi Rafidah menganggap kata-kata Nina itu bagaikan angin lalu sahaja. Rafidah tidak pernah peduli.
Nina tidak mahu dirinya turut diperkatakan orang kerana perangai gatal Rafidah. Nanti kerana nila setitik, rosak pula susu sebelanga.
Tetapi apakan daya, Nina sekadar menumpang. Mahu menyewa rumah sendiri, dia kesepian. Lagipun berbahaya bagi seorang gadis kalau tinggal bersendirian. Kalau berani memang sudah lama dia meninggalkan Rafidah demi menjaga nama baiknya.
Gaya hidup Rafidah yang terlalu bebas itu semakin melemaskannya. Teman lelaki Rafidah silih berganti. Iskandar adalah yang teristimewa dan nampak gayanya dialah cinta sejati Rafidah. Rafidah sanggup berkorban nyawa untuk lelaki itu.
Sebaik sahaja kereta mewah Iskandar bergerak meninggalkan Rafidah, Nina segera mencapai remote control TV, ditekan butang power dan dia berpura-pura leka menonton. Kebetulan tayangan blockbuster sedang ditayangkan.
Seketika kemudian wajah Rafidah muncul di muka pintu. Dia kelihatan cukup seksi dengan gaun hitam. Mata Iskandar pasti sahaja terjulur keluar dari soketnya sepanjang malam apabila dijamu dengan keindahan sebegitu. Rafidah menjatuhkan tubuhnya ke sofa dan mengeluh kepenatan.
"Oh... letihnya!"
"Dari mana?" tanya Nina sekadar membuka perbualan.
"Dinner dengan Is. Kami berseronok, ke parti, menari... Is memang pandai melayan I. You nak tahu apa yang dihadiahkannya pada I malam ini?"
Rafidah segera menyeluk beg tangannya lalu mengeluarkan sebuah kotak berbentuk empat segi tepat berwarna merah jambu. Kotak itu dibuka di hadapan Nina. Berkilauan seutas rantai tangan dengan hiasan batu permata berwarna merah.
"Cantik tak? Batu ruby."
"Cantik," balas Nina acuh tak acuh. Dia sudah tidak hairan lagi melihat perhiasan sebegitu yang dipamerkan oleh Rafidah kepadanya. Itu bukannya kali pertama. Memang Rafidah sering kali mendapat hadiah yang bukan sahaja daripada Iskandar tetapi juga daripada ramai lelaki lain. Agaknya kerana sikapnya yang peramah dan murah itu membuatkan lelaki bermurah hati untuk memberi ganjaran.
"Oh, cuba teka siapa yang I jumpa masa dinner kat Hotel Istana? Tak lain dan tak bukan ialah bekas tunang you tu, Jefri," ujar Rafidah tiba-tiba.
"Dah lama kami tak bertemu, tapi dia masih cam I. Wow... Nina, he is a very handsome guy! Lebih hebat daripada zaman sekolah dulu. Tak tahulah macam mana you boleh menolak dia. Kalau I... Hmmm!" Rafidah menggeliat dan menyandar ke sofa lalu menutup matanya rapat. Berkhayal seketika. Kala itu berderau rasanya darah Nina. Geram dia melihat aksi Rafidah ketika meluahkan rasa tertariknya terhadap Jefri.
"Kalau I, I sanggup maafkan apa saja kesalahannya asalkan dapat bersama," bisik Rafidah.
Memang begitu prinsip Rafidah. Dia sanggup memaafkan Iskandar, walaupun lelaki itu akan mengulangi kesilapan yang sama beribu kali. Selepas berperang sehingga lebam seluruh badan dek penangan jantan tu, Rafidah yang mabuk asmara tetap sudi untuk memaafkannya. Nina betul-betul tidak mengerti. Adakah itu yang dikatakan cinta sejati? Baginya, itu adalah cinta bahlul.
"Tapi prinsip Nina lain. Sekali dilukai, Nina takkan lupa buat selama-lamanya. Nina benci orang yang tak berpegang pada janji."
"Kan you kata itu kesalahan pertama. Kenapa serius sangat? Dia tu manusia biasa, mesti ada kelemahannya. Lebih-lebih lagi kalau digoda oleh perempuan jenis I ni. Bukannya senang nak ditepis. Kalau tak nak pegang pun, tengok juga, kan?
"Kalau you benar-benar cintakan dia, maafkan saja, Nina. Tak berfaedah cuba keruhkan perasaan cinta yang tersemai sejak hingusan. You pun tahu bahawa you tak boleh lupakan dia. Jangan nak nafikan, sebab I tahu," tegah Rafidah sebelum Nina sempat membuka mulut untuk menafikan semua itu lalu dia melangkah ke kamar tidurnya.
Sebaik sahaja bertemu dengan Jefri malam itu, ada pula nasihat bernas yang disampaikannya. Selama ini Rafidah bukannya peduli sangat dengan urusan Nina. Setiap kali Nina mencurah perasaan, Rafidah sekadar mendengar sambil melentok di sofa. Tetapi malam itu, Rafidah beria-ia menasihati. Apa yang dilihat oleh Rafidah pada wajah Jefri? Keikhlasan? Kesetiaan? Atau hanya kerana rupa serta mata yang menggoda itu?
Sesungguhnya sejak lawatan Nina ke Johor Bahru tempoh hari, pandangannya terhadap Jefri agak berubah. Boleh dikatakan bertambah baik. Setelah meluangkan sedikit masa bersama, dia sedar Jefri sekarang bukan lagi Jefri yang dahulu.
Tetapi cinta Jefri terhadapnya nampaknya masih utuh. Ini terbukti dengan penemuan video tape berjudul Nina Gadisku dari dalam simpanan Jefri.
Kebetulan pagi itu pak longnya meminta tolong mengambilkan beberapa buah fail dari bilik bacaan Jefri. Ketika sedang membelek di sana sini, matanya singgah pada susunan video tape yang judulnya begitu menarik perhatian.
Dia amat terkejut dan terharu apabila mendapati setiap iklan-iklan lakonannya selama ini menjadi koleksi Jefri. Dalam pada itu perasaannya dihambat resah, gundah dan serba salah. Dalam hati tertanya-tanya tujuan Jefri berbuat begitu.
Akhirnya persoalan itu lama-kelamaan terhurai dengan sendiri. Jefri berbuat begitu kerana rindu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co