Bab 1
"ZIRA, take it!" Sebungkus power bar dicampak ke arah gadis yang duduk bersandarkan sebatang pokok yang sudah agak tua.
"Thanks Zula..." lemah Zira mengucapkan terima kasih.
"No thanks. You nampak pucat. You okey tak?" Kali ini dia menapak menuju ke arah Nazira yang memang nampak agak lemah. Gatal nak ambil tahu.
"Aku rasa seram sejuk sikit. Tapi, kejap lagi okey kot..." Power bar dibuka dan digigit sedikit. Bekalan untuk tambah tenaga. Memanglah kakinya dah tak berapa nak larat untuk teruskan pendakian, tapi dia tak mahu sebab dia, semua terkandas. Nazira mendongak bila sehelai sweater merah terang dihulur di hadapan wajahnya.
"Zula, tak payahlah. Nanti kau pula sejuk."
"Sekarang, I panas!" jawab Zulaikha memotong ayat Nazira. Padahal, tubuhnya juga sejuk bukan main. Sesekali angin bertiup bersama kabus, menambah suhu dingin. Zulaikha mengetap gigi kuat. Tahan sejuk. Dia sudah menapak semula ke dalam kliknya.
"You, kenapa baik sangat ni?" tanya Pia sambil sengaja bersandar pada Zulaikha.
"Entah you ni. So sweet," usik Tina pula. Elly dan Juli pula hanya ketawa kecil.
"I bukan apa. I kenalah nampak macam caring. I kan nak rebut jawatan dalam MPP. Kau orang macam tak tahu saja. Let they see me as Diva Zula yang super responsible and caring gitu..." Sedikit gedik dan penuh gaya Zulaikha berlelucon. Masing-masing ketawa ala-ala diva dengan menutup mulut.
Namun masih sahaja sampai ke telinga Luqman yang sedang duduk berhadapan Muaz yang sedang sibuk membelek kasutnya. Takut pacat masuk gamaknya. Memang dia sedikit meluat dengan 'sekawan' diva yang macam ala-ala beruk pun ada. Rasa macam tak sepatutnya kaum itu berada dalam hutan. Kaum macam itu patutnya sekarang dalam salon, berdandan atau buat pedicure manicure bagai. Bukan dekat sini. Sungguhlah, dia tak boleh terima kenyataan yang dia terpaksa hadap muka-muka diva yang sedikit gedik itu.
"Luq, menyampah pun jangan tenung macam mata kau berlaser sampai boleh membakar dia orang..." tegur Faiz yang macam serba tahu saja gayanya. Luqman berdehem sedikit.
"Aku tak berapa faham, kenapa dia orang nak ikut hiking ni," luah Luqman jujur.
"Aku pun pelik juga masa dia orang letak nama. Tapi, nampak gayanya sampai sekarang dia orang still okey. So, aku rasa tak ada masalah pun," cebik Faiz. Memang pun, bawa kaum diva itu belum lagi menjadi masalah besar buat masa sekarang. Cuma, sesekali sahaja mereka menjerit-jerit bila pacat naik ke tubuh mereka. Nak tergelak juga tadi, bila si Pia melompat-lompat macam beruk sebab pacat melekat di lengan gebunya. Pula tu, lompatan itu macam berjangkit-jangkit pula hingga si Tina, Elly, Juli dan Zulaikha pun turut sama melompat-lompat kegelian.
Malas nak melayan kegedikan mereka, sengaja semua orang tidak mahu memberi bantuan hingga si Zulaikha takut-takut berani mencabut pacat tersebut menggunakan daun kering dan selepas itu, tubuh itu menggigil kegelian. Pacat itu pun sudah arwah agaknya sebab makan darah orang yang tak berapa betul macam sekumpulan diva tu.
Usai pacak khemah di Kem Lolo, masing-masing berehat. Tidak kurang juga ada yang sudah selamat membuta.
"Uishhh... Kau orang tahu tak, ini perkara pertama yang I nak sangat buat bila sampai kat Lolo ni." Zulaikha bersuara tinggi sedikit, menarik perhatian. Tanpa tunggu-tunggu lagi, dia menanggalkan kasut dan terus menuju ke air terjun. Memang sebelum datang Gunung Nuang ni, dia baca tentang perkara menarik di lokasi itu.
"Zula, tak sejuk ke?" Takut-takut Elly nak turut sama. Sungguhlah, dia sudah rasa wap sejuk menyentuh kulitnya.
"I lagi rela sejuk dari badan I melekit okey. Bukan mati pun sejuk macam ni Elly. Come on. You ni macam kambing tau takut air. Eiii..." Sengaja dia memercikkan air ke arah Elly dan Pia yang sudah menutup tubuh dengan tuala. Belum jejak kaki dalam air tapi rasa sejuknya itu sudah terasa hingga ke tulang hitam.
"Eii, I tak sangguplah nak turun. You mandilah sorang Zula. Kami teman aje." Pia dah pun duduk atas batu. Menahan sejuk.
"Suka hati kau oranglah. Nanti, jangan rasa menyesal pula tak mandi kat sini bila dah sampai KL. Masa tu, I lepuk sorang-sorang!" bebel Zulaikha sambil bermain dengan air. Memang sejuk, tapi bila sudah dalam air, sejuk itu sudah berkurang. Hanya rasa tenang. Rasa tenang sekali. Rasa mahu terus duduk dalam air yang sangat jernih itu.
Sementara itu, apabila melihat geng diva itu berseronok, Aisyah sudah terasa sakit hati.
"Dia orang ni tak reti nak tolong masak ke apa?" rungut Aisyah sambil menarik muka. Mana tidaknya, nanti yang nak makan semua. Tapi, yang tolong masak hanya dua tiga kerat saja.
"Awak macam tak tahu pula Ecah, budak-budak diva tu mana reti nak masak. Entah-entah dia orang tak makan makanan ala-ala hutan ni tau!" balas Syikin sambil mencebik.
"Luq, patutnya awak bagi kerja siap-siap. Tengok dia orang tu, selfish betul!" adu Aisyah sambil membuat muncung ke arah diva-diva. Mana tidaknya, yang lain sudah pun hilang dalam khemah masing-masing. Hanya tinggal sekawan diva yang sedang bergelak ketawa di air terjun.
"Kejap, aku panggil dia orang." Tanpa menunggu ayat seterusnya keluar dari mulut Aisyah, Luqman sudah melangkah.
"Eiiiyuuuu... Lelaki kulit cerah is not my type okey. I tak sukalah. I rasa lelaki kulit putih ni macam pondan tau!" celoteh Zulaikha sambil mengapungkan tubuhnya gaya lentang dan matanya tertutup rapat. Benar-benar dalam posisi tenang.
"You ni teruk tau, Zula. Tahap tu sekali you klasifikasikan lelaki berkulit cerah. Sebab tu ke you reject Abang Amal tu?" Pia tersengih. Amal tu memang dari lepas orientasi dah tunjukkan minatnya pada Zulaikha.
"Eiii, I tak suka lelaki putih dan sado okey. I tak suka. I rasa macam... Macam apa ya? I malaslah nak cakap pasal ni. Sebab yang I tahu, I tak suka..." Memang dia tak ada sebab untuk menolak Amal, budak Master Sains Komputer tempat dia belajar. Dia tak suka. Full stop.
"Ehemmm, seronok mengumpat!" Suara garau yang berbunyi tiba-tiba itu membuatkan Zulaikha tenggelam dalam air sebab terkejut. Gadis itu keluar sambil menguak rambut panjangnya ke belakang dan terbatuk-batuk kecil. Kawan-kawan yang duduk atas tadi, sudah menikus. Memang Luqman ni, orang kata boleh membunuh dalam senyap. Renungan matanya sahaja boleh buat orang cuak.
"Ada apa, Abang Luq? Dah lama ke kat sini?" Memang Zulaikha sahaja yang berani bertanya sebab kedudukan dia dan Luqman agak jauh.
"Luqman! Aku tak ada adik bernama Zulaikha. Jadi, call me Luqman. Kau rasa duduk dalam air boleh buat kau kenyang ke?" Serius sambil bersilang tangan dan mengangkat kening. Tubuhnya bersandar di batang pokok berhampiran batu tempat duduk mereka.
Dush!
Rasa macam kena tumbuk dari jarak jauh. Serius atau berlagak? Sukar nak definisi dengan tepat.
"Errr, tak kot..." Takut-takut dan sedikit malu Zulaikha nak menjawab. Tercabar kewibawaan divanya. Kawan-kawan kat atas hanya mampu menunduk.
"Dah tu, tak reti nak tolong masak ke? Lain kali, kalau ikut tapi nak buat kepala sendiri, program sendiri, jangan ikut kumpulan hiking kita orang. Buat kumpulan hiking kelas diva kau orang sendiri!" Tajam sungguh bahasa Luqman. Tak padan dengan wajahnya yang nampak tenang. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Luqman yang tenang tapi garang macam buaya. Terkulat-kulat semua naik. Tak ada tunggu-tunggu lagi, terus sahaja mereka menapak ke tempat masak.
"Apa ni Zula! Awak ni buta ke atau sengaja buat macam ni? Awak ingat nak hidupkan api ni senang ke?!" Suara tinggi Aisyah mematikan langkah Luqman yang baru nak diatur memasuki hutan. Kutip ranting-ranting buat bahan bakar. Berkerut-kerut dahi Zulaikha.
"I am sorry, Kak Aisyah. I tak sengaja." Dia memang tak suka berbalah. Tidak suka lagi bila kena marah. Memanglah dia tak sengaja. Terlupa bajunya yang basah lencun itu akan mematikan api yang dah mula hidup tu. Bukannya tiada dapur gas portable, tapi dapur hanya ada dua, tidak cukup untuk memasak secara serentak.
"Awak ingat dengan sorry tu, boleh hidupkan balik api ni ke? Menyusahkan betullah! Lain kali, sebelum ikut hiking, studilah dulu. Ingat ni town ke boleh suka-suka ikut kepala sendiri!" Masih kasar. Ranting-ranting yang di tangan dihempas tanda marah sangatlah tu.
"I hidupkan balik kalau macam tu..." Sambil menggaru hidung yang tak gatal. Dia dah mula mencangkung depan bara api yang dah padam terus. Tangannya mencapai daun-daun kering yang ada di tepi-tepi pokok. Ranting-ranting kecil yang sudah dilonggokkan pun turut dicapai. Matanya mencari sesuatu untuk menghidupkan api. Luqman hanya mengangkat kening sebelah melihat kelakuan Zulaikha dari jauh. Tersenyum sinis dan menggeleng. Memanglah perempuan tu kena banyak belajar.
"Tepilah! Karang kalau cakap awak ni bodoh, marah pula!" tolak Aisyah kasar hingga Zulaikha terduduk di atas tanah. Wajahnya yang tadi biasa-biasa berubah berkerut.
"Kak Aisyah, kenapa semua orang nak marah-marah ni? Memang orang hutan suka marah-marah ke?" Intonasi seperti kanak-kanak yang baru nak mula banyak tanya. Luqman tersengih lucu. Heh, orang hutan eh?
"What? Orang hutan?" Terbeliak mata Aisyah. Macam nak telan sahaja si Zulaikha yang kini sudah pun berdiri.
"Err, no... I mean, orang yang suka duduk dalam hutan... Eh, tu macam orang asli pula. Maksud I, orang-orang macam kau orang, hiker... Memang suka marah-marah ke? Kan boleh saja cakap baik-baik. Kau orang patutnya kena layan kami baik-baik baru boleh jadi duta kelab ARC ni, secara tak langsung kau orang boleh tarik ramai lagi student join this club..." Jujur dan terus terang sahaja ayat itu meluncur keluar dari bibir Zulaikha yang sudah nampak pucat. Sempat lagi memberi cadangan yang dia rasa agak bernas.
"Better sikit dan berkualiti. Saya pun tak suka budak-budak macam kau orang join kita orang. Sakit mata. Anyway, tak payah nak ajar sayalah kalau diri awak sendiri pun tak betul. Look at yourself first!" Sinis bahasa Aisyah. Rasa meluak-luak pula marahnya pada Zulaikha yang berdiri di hadapannya dan sudah terkulat-kulat.
'Dia pun tak betul, ada hati nak ajar kita pula!' marah Aisyah dalam hati. Wajahnya masih mencuka.
"It's just my two cents..." kata Zulaikha sambil menggigit bibir. Kepala yang tak gatal digaru sambil matanya melilau mencari teman-teman yang tadi katanya cari ranting-ranting untuk hidupkan api. Matanya terhenti pada tubuh Luqman yang selamba bersandar di pokok besar sambil buat apa entah dengan pisau dan kayu di tangan. Satu keluhan kecil terluah dari bibir Zulaikha. Sungguhlah, dia mati akal dalam kumpulan garang ni.
"Kak Aisyah, ada apa-apa tak yang you nak I tolong?" Cuba beranikan diri mempelawa bantuan. Cuba juga ambil hati kakak seniornya itu.
"Jangan panggil saya kaklah. Geli! Awak tak reti nak cari kerja ke? Awak nampak ikan kat sana tu? Pergilah buang isi perut dia. Jangan nak geli-geli sangat. Tadi kawan-kawan awak semua kata geli. Kalau geli, tak payah jadi perempuan. Jadi saja jantan!"
Masih sama kasar macam tadi. Agaknya memang semua budak hiker ada masalah dengan personaliti kot. Tak ramah langsung. Tengok dalam gambar macam happy saja semua.
Bila dah join baru nampak true colors masing-masing. Masih lagi sempat dia membebel dalam hati sambil merenung beberapa ekor ikan apa entah yang sebesar tapak tangannya... besar sedikit dari tangannya. Garu hidung. Macam mana nak buang isi perut ni? Pisau. Pisau. Nak tanya kat Aisyah, takut kena sembur pula.
"Awak pergilah tolong kawan-kawan awak masak lauk kat sana." Suara yang menyapa itu membuatkan dia pantas mendongak.
"Tapi Kak Aisyah suruh I siang ikan ni. Err, I okey saja. Cuma, I tak ada pisau. Abang Faiz ada pisau?"
Faiz tersenyum, kemudian turut mencangkung di hadapan Zulaikha.
"Let me teach you. Dalam hutan ni, tak boleh berkira sangat. Guna saja apa-apa yang boleh. Contoh, kalau tak ada pisau, awak boleh saja guna tangan. Guna jari-jemari..." Sambil Faiz memberi tunjuk ajar, lancar sahaja tangannya bekerja. Mengeluarkan segala isi perut ikan.
"Okey, let me try this..." Dan dia buat seperti yang Faiz ajar. Matanya terpejam rapat bila terasa cecair terpercik di wajahnya. Faiz ketawa kuat. Menarik perhatian mata-mata yang ada di situ.
"Awak ni comellah Zula. Tapi bagus, cepat belajar..." pujinya dengan tawa yang bersisa. Aisyah mencebik meluat.
"Apa yang lucu sangat?" Suara yang serius itu mematikan senyuman yang baru meniti di bibir Zulaikha.
"Tak ada apalah." Faiz tersengih dan bangun.
"Practice makes perfect tau, Zula. Jangan termasuk mulut sudah, isi perut ikan tu." Faiz sudah pun mahu beredar.
"Abang Faiz, thanks for this lesson. Appreciate sangat!" Sambil menggawangkan ikan dan tersenyum. Jelas lesung pipit di pipi sebelah kanannya.
"Tak ada hal!"
"Kalau buat kerja macam ni, kau rasa agak-agak pukul berapa kita nak makan ya?" tanya Luqman serius. Masih dengan gaya berlagaknya. Angkat kening sebelah dan memeluk tubuh.
"Err, five minutes more... I think..." sambil menggigit bibir. Aduhai, jantungnya rasa nak terkeluar bila berhadapan dengan abang senior yang kerek ni. Kalau kat kolej bolehlah dia berlawan kata, ni dalam hutan. Mahu dia ditinggalkan nanti!
"Ambil ni." Pisau dihulurkan di hadapan wajah. Teragak-agak Zulaikha menyambut.
"Thanks." Dan dia menunduk meneruskan kerja. Cepat!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co