Bab 11
"Okey, dari tadi kita dah dengar otai nyanyi. Kali ni, kita nak mintak juara hari tu nyanyi dua tiga buah lagulah. Boleh kan Zula?" Suffian memang tuju arah Zulaikha.
"Alaaa, bukan I yang juara, tapi Diva yang juara. La ni tak cukup kuorum, tak bolehlah nak nyanyi. Rasa macam syok sendiri pula. Haha..." Dia ketawa sendiri.
"Come on Zula, sportinglah sikit..." suara yang lain. Semua turut mengiakan. Ternyata mereka lebih peramah berbanding budak-budak ARC.
"Elly, give us one song!" Tolak Zulaikha sambil menyiku Elly kat sebelah.
"Eh, you lupalah tu, I ni harmony saja," Elly menayangkan giginya. Walaupun mereka hanya diterangi cahaya unggun api, namun masih jelas wajah masing-masing.
"Alaaa Zula, sportinglah sikit..." Suffian tak putus asa memujuk.
"Okeylah, pinjam gitar sat," pinta Zulaikha. Luqman yang tadi membaca buku dengan bantuan lampu membaca mini, kini sudah mencuri dengar.
"Elly, harmoni ya..." sempat lagi berpesan pada teman sebelah. Elly hanya mengangguk.
Lagu yang bertajuk Esok Masih Ada didendangkan dengan begitu menusuk ke jiwa mereka yang mendengar.
Satu tepukan gemuruh dihadiahkan buat Diva.
"Okey, terima kasih." Zulaikha tersenyum sambil menghulurkan gitar kepada pemilik gitar.
"Eh, kami nak mintak satu lagi lagulah," suara Kak Ila.
"Eh, jangan macam tu kawan. Suara I ni limited edition. Apa kata kau orang suruh naib juara pula nyanyi. Dah terlanjur dia orang join kita, join betul-betullah kan." Sengaja Zulaikha menaikkan suaranya agar sampai pada pendengaran Luqman dan Faiz. Faiz yang tengok dari jauh tadi, terus sahaja menoleh kepada Luqman di sebelah.
"Dia nak kenakan akulah tu. Tak apa, biar aku kenakan dia balik." Luqman tidak mahu mengalah. Dia tersenyum penuh makna. Dia akan buat Zulaikha menyesal. Bukan dia tak dengar perbualan Zulaikha dengan Ila tadi.
Dia ada di belakang, mereka sahaja tidak perasan. Luqman bangun dari perbaringannya. Melangkah penuh yakin mendekati bulatan unggun api. Ada senyuman senget di hujung bibirnya. Zulaikha dapat agak ada sesuatu yang jahat dalam fikiran lelaki itu. Tengok senyuman tu pun dah boleh agak.
"Pinjam gitar tu..." katanya sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah gitar yang masih dipegang Zulaikha.
Pantas Zulaikha memberi kepada orang sebelah untuk edarkan kepada Luqman yang kini bertentangan dengannya. Cuma dipisahkan dengan unggun api. Faiz juga mendekat dengan telefon bimbit di tangan. Sedang merakam babak yang pasti hot rasanya.
"This song I dedicate to bla bla bla. I hope you will like it." Sengaja dia meniru gaya Amal.
Zasssss!
Rasa macam disambar petir. Zulaikha mengetap rahang. Dia sudah bersedia untuk bangun bila Luqman memetik gitar nada lagu All of Me, namun gerakannya mati bila Elly memegang tangannya.
"Pura-pura you're okay with it. Dia nak tengok you marah saja tu. Trust me..." bisik Elly perlahan. Zulaikha melepas nafas keras. Bait-bait lagu tidak masuk langsung dalam telinganya. Matanya merenung tajam wajah Luqman yang sama merenungnya. Lawan mata, dan sesungguhnya dia rasa macam nak telan mamat tu hidup-hidup!
Semua peserta sambung tidur semula selepas subuh. Jam sudah ke angka tujuh. Zulaikha menggaru kepala. Memang tiada tanda-tanda dia orang nak bangun. Zulaikha mengambil kameranya di dalam khemah.
Perlahan dia keluar semula, tidak mahu mengganggu Elly dan Kak Ila yang sedang lena. Setelah puas dia mengambil gambar. Dia memberanikan diri turun ke gigi air walaupun dia tahu sejuknya nanti pasti hingga ke tulang hitam.
Dia berpatah balik ke darat demi teringatkan kamera yang tergantung di leher. Dia meletakkan kamera di atas selipar. Sekali lagi dia melangkah ke gigi air. Selangkah ke hadapan, dua langkah, tiga langkah. Dia rasa sangat segar. Dia semakin maju. Ingin pergi lebih dalam lagi, kerana dia rasa pasir air terjun itu agak mendatar.
Baru dia ingin membuka langkah seterusnya, tangannya direntap dari belakang. Dia terjerit kecil, serentak berpusing. Wajahnya berubah marah. Marah sebab lelaki itu sesuka hati nak pegang-pegang. Jantungnya juga berubah irama kerana rasa terkejut. Rasanya tadi dia bersendiri.
"Apa ni?" Dia merentap kasar semula tangannya dan terus melangkah. Lebih laju. Lebih tepat, dia berlari. Terasa air banyak masuk tiba-tiba ke rongga hidungnya. Pandangannya kelam. Dia tak boleh bernafas. Sesaat, dua saat, tiga saat. Kakinya tidak berpijak pada pasir. Terasa tubuhnya ditarik ke atas. Tercungap-cungap nafasnya.
"Aku dah agak, kau tak pandai berenang! Kalau kau nak mandi pagi-pagi buta ni pun, jangan menyusahkan aku untuk awasi kau! Tapi, kalau kau rasa kau nak mati, jangan mati depan mata aku. Kau faham kan?" Suara itu perlahan tapi cukup tajam menusuk ke telinga Zulaikha.
Tangannya masih memegang belakang baju Zulaikha yang masih tercungap-cungap dan terbatuk kecil. Setelah dia pasti Zulaikha okey, Luqman terus sahaja naik ke darat. Tukar baju dan baring semula di hammock. Zulaikha terpanah. Kalau Luqman tak ada tadi, entah mungkin dia tak bernyawa lagi. Dia melangkah longlai ke gigi air. Duduk di dalam air yang dalamnya cuma paras betis.
Rasa takut pula untuk mandi sorang-sorang. Dia memeluk lututnya. Cuba membetulkan irama nafas yang berterabur. Termenung. Fikirannya entah ke mana. Luqman masih tetap awasi Zulaikha dalam diam. Dia tahu, Zulaikha suka buat kepala sendiri.
Mujur juga dia tersedar sewaktu Zulaikha turun ke gigi air, kalau tidak, bersedia sahajalah untuk hal yang lebih buruk! Terasa air panas menuruni kelopak matanya. Dia menyeka, baru tersedar dia menangis. Kenapa dia menangis? Mungkin sebab terkejut, atau kata-kata Luqman sedikit sebanyak buat hatinya sentap. Dia sendiri tidak berapa pasti.
Roti sandwich dimakan perlahan. Jam sudah ke angka sembilan. Perutnya baru terisi memandangkan semua dah pun bangun. Lepas ni aktiviti bebas. Dia sudah tiada rasa untuk bermandi-manda.
"You kenapa diam saja Zula? I tengok you macam pelik saja dari tadi," tegur Elly sambil menyandarkan bahunya ke bahu Zulaikha.
"Tak ada apa. I okey saja. Cuma mengantuk sikit kot..." Memang matanya terasa berat. Maklumlah, tidur lewat tapi bangun awal. Semua sebab dia rasa teruja sangat untuk bergambar dan berendam. Tapi tak sangka pula dia hampir hilang nafas tadi.
"You bangun awal eh? I sedar tadi you dah tak ada. Tapi I mengantuk sangat, I sambung sajalah tidur tadi."
"Haah, saja bangun awal. Ambil gambar dan berendam kejap tadi. I tak boleh nak tidur. Rasa macam sakit pula badan I ni." Alasan yang sengaja diberikan.
"Patutlah... Sekarang ni kalau you nak tidur, pergilah. You tidur saja kat tempat I, selesa sikit I rasa." Memang Elly ada bawa mat. Agaknya, sebab tu Elly tidur lena betul! Padahal kawannya itu dah offer nak kongsi mat, tapi dia yang menolak.
"Kejap lagi kot. Segan pula nak tidur sekarang ni. Yalah, semua dah bangun I pula membuta. Kang ada yang cop I ni anak dara pemalas. Matahari dah tinggi pun membuta lagi. Haha!"
Zulaikha ketawa kecil dan disambut Elly. Sandwich yang kedua mula disuap ke dalam mulut. Paksa untuk makan walaupun rasa perutnya dah masuk angin. Dia bukan boleh sarapan lewat. Mula perut nak memberontak.
"Abang Faiz nak pergi mana?" sapa Zulaikha demi terpandangkan Faiz dengan joran.
"Nak mancing kejap kat bawah. Ada rezeki, boleh makan ikan bakar nanti," sengih Faiz.
"Boleh Zula ikut?" Laju sahaja dia bertanya. Mesti best dapat ikut memancing! Wajahnya nampak sangat teruja.
"Tak boleh! Kalau ikut, tak menyusahkan tak apa! Ni sangat menyusahkan. Kang tak dapat mancing asyik layan kerenah kau saja!" Kasar suara itu dari arah belakang. Mematikan senyuman Zulaikha dan Faiz.
"Oh, Zula ingat Abang Faiz pergi seorang saja. Tak apalah kalau macam tu. Err, Abang Faiz, Zula nak tumpang duduk kat hammock abang boleh tak? Tapi kalau tak boleh, tak apa," senyuman hambar. Wajahnya terasa sebal bila diperli di hadapan Faiz yang tak tahu cerita.
"Eh, duduk sajalah Zula, tak payah minta izin," Faiz mengukir senyuman manis. Cuba untuk jernihkan suasana yang dirasakan tegang sikit sekarang ini.
"Terima kasih, Abang Faiz. Zula pergi dulu." Tanpa menunggu balasan Faiz, Zulaikha melangkah pergi dengan perasaan yang entah bagaimana, dia pun tak berapa tahu.
"Kenapa kau cakap macam tu kat dia der?" Faiz mula menjalankan sesi soal jawab dengan Luqman saat mata kailnya sudahpun dibuang ke dalam air.
"Kau tak tahu kan apa jadi awal pagi tadi?" Soalan dibalas soalan.
"Apa yang jadi?" Kali ini kening Faiz berkerut. Wajah Luqman dipandang lama menanti jawapan.
"Aku cuba tarik dia, tapi dia marah aku. Lepas tu, dia hampir mati lemas. Kalaulah aku tak sedar Faiz, aku tak boleh bayangkan hal yang lebih buruk berlaku. Lepas tu nanti yang kena menjawab tu kita. Panjang ceritanya nanti. Sebab tu aku tak suka bawa diva yang ikut kepala sendiri. Yang rasa dah cukup kenal dengan hutan belantara ni. Hal pagi tadi, buat aku rasa bertambah meluat dengan sikap dia. Dahlah terima kasih pun tak ada!"
Nampak sangat tidak puas hatinya Luqman kepada Zulaikha. Faiz hanya diam. Tidak mahu mengulas atau bertanya lagi. Dia tidak tahu, mahu berada di pihak yang mana.
"Elly, mana diva yang seorang tu?" Tanpa salam terus sahaja dia bertanya. Dia tak nampak kelibat Zulaikha. Janganlah minah tu buat hal lagi. Elly sedikit terkejut bila suara itu menyapanya tegas dari belakang.
Ila turut sama menoleh.
"Err, Zula tidur kat hammock Abang Faiz. Abang Luqman nak Elly kejutkan ke? Dia baru terlelap rasanya," takut-takut Elly menjawab. Luqman terus berlalu tanpa bicara. Terpinga-pinga Elly dibuatnya.
"Elly dengan Ila, boleh tolong siang ikan-ikan ni tak?" Faiz yang dari tadi diam kini bertanya sambil tersenyum tenang. Cuba menjernihkan suasana.
"Boleh Faiz. Kau letak saja, nanti aku dengan Elly siang," balas Ila laju. Bukan ada kerja lain nak buat. Masing-masing masih berendam. Dia dan Elly dah menyerah dari awal. Air terjun tu sejuk yang amat. Tidak tahan rasanya.
Wajah yang tidak beriak itu direnung dengan satu perasaan yang penuh kesyukuran. Paling tidak Zulaikha selamat dalam tidurnya, berbanding kalau dia berjaga, hal apa lagi dia akan buat.
Sesekali, anak rambut terjuntai ditiup angin menutupi wajahnya yang lena dalam penat. Nampak letih sangat. Luqman merenung dalam-dalam wajah itu. Alis yang terbentuk cantik, bulu mata yang lebat dan panjang-panjang namun tidak lentik, hidung yang sedikit mancung, bibir penuh yang nampak segar.
Dia menelan liur. Fikirannya semakin jauh. 'Astaghfirullah... Jangan pernah tersuka pada dia, Luqman. Sarah lebih sempurna. Ya, Sarah cukup sempurna! Jika diletakkan Sarah dan Zulaikha bersebelahan, jauh bagai langit dan bumi.'
Luqman terus sahaja berlalu pergi meninggalkan hammocknya yang bersebelahan dengan hammock Faiz.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co