Truyen3h.Co

Life Savior (Free Chapter)

Bab 15

karyaseni2u

Burung berkicauan seperti biasa. Macam hari hari sebelum ini. Belum pernah gagal berkicau pada pagi hari. Zulaikha duduk di island table yang berada di tengah-tengah dapur.

Duduk di kerusi tinggi sambil kedua-dua belah tangannya melekap di cawan. Fikirannya entah ke mana. Dia tiada dalam alam nyata. Sudah dua minggu dia 'bersendiri' di dalam rumah yang tiba-tiba terasa sangat besar. Sudah dua minggu juga dia tidak hadir kuliah. Semangat hidupnya terbang pergi meninggalkan dirinya.

Kalau mak long atau Naqibah tak datang menjenguk dia, mungkin dia sendiri tak makan. Puas juga mak long dan pak long pujuk untuk tinggal di rumah mereka, namun puas juga dia menolak.

Dia tak mahu tinggalkan rumah yang tersimpan sejuta memori dia bersama keluarga. Memang agak pahit, tapi dia tahu, hanya itu yang dia ada untuk dipertahankan. Telefon bimbit di sebelah berbunyi kuat. Bahu Zulaikha sedikit terangkat. Terkejut! Nama yang tertera diperhatikan. Pak long.

"Assalamualaikum, pak long." Perlahan suaranya. Antara dengar dengan tidak.

"Waalaikumussalam, angah tengah buat apa tu? Masuk ladang tak hari ni?" tanya pak long lembut. Kasihan sungguh dia dengan nasib anak saudaranya yang tinggal seorang sahaja.

"Tak tahu lagi pak long. Angah ingat nak kemas barang arwah-arwah. Nak bagi sedekah saja mana yang elok. Nanti, pak long tolong angah hantar kat mana-mana orang susah boleh? Tak pun hantar saja kat pusat kebajikan..." jelas suaranya bergetar. Menahan sebak yang masih belum pernah habis. Untuk sebut arwah tu pun terasa bagai batu menghempap dadanya. Tekaknya sudah rasa berpasir. Matanya sudah kelam.

"Elok sangat tu, angah. Nanti pak long suruh Naqibah dan Naqib tolong angah. Ni pak long cuma nak maklumkan yang hari ni lima ekor Boer keluar ya." Memang segala maklumat dia akan bagi tahu anak sedaranya itu. Amanah yang dia tolong jagakan buat arwah adiknya.

"Pak long buatlah apa yang patut. Angah belum ada rasa lagi nak ke sana. Angah... Angah... Angah, tak kuat..." Dan kali ini dia menangis terus. Tiada tapis-tapis. Memang dia tak kuat. Bagai terbayang-bayang wajah abahnya yang setia melayan ternakan. Gelak ketawa abah di kandang. Pedih rasanya dengan bayangan itu.

"Angah, sabarlah nak. Allah lagi sayang keluarga angah. Pak long faham apa yang angah rasa, tapi angah pun kena tahu yang angah saja harapan abah angah untuk uruskan semua ni. Pak long ni hanya membantu angah untuk jaga amanah ni. Kelak, angah kena uruskan semua ni. Angah lebih berhak. Pak long tahu angah kuat dan angah mampu, kalau tidak takkan Allah uji angah macam tu. Allah uji ikut kemampuan kita nak. Sabarlah angah."

Sebenarnya, dia bukan tahu sangat untuk memujuk. Tapi mengenangkan Zulaikha sedang bersedih hati, dia cuba juga menasihati anak saudaranya. Nanti dia pasti akan minta tolong isterinya dan anak perempuannya untuk memujuk Zulaikha.

Zulaikha mengesat air mata dengan belakang tangan. Dah terlalu banyak air mata yang tumpah. Entah untuk berapa lama lagi dia akan begini? Rupanya abah 'nak pergi' sebab tu abah ada titipkan pesan supaya dia jaga ladang, tempoh hari. Entahlah, bila dah kehilangan, baru dia perasan yang abah banyak bagi hint padanya. Kalaulah dia tahu...

"You dapat call Zula?" tanya Tina dengan wajah resah. Apa tidaknya, semua panggilan rakan-rakan tidak dijawab. Semua risau dengan keadaan Zulaikha.

Mujur nombor telefon pak long Zulaikha ada disimpan. Macam yang pak long cakap, Zulaikha banyak duduk sendiri. Zulaikha asyik menangis.

Zulaikha macam hilang arah. Memang itulah yang pak long bagi tahu pada mereka. Pak long cakap juga yang Zulaikha perlukan masa.

Memang semua orang perlukan masa untuk hadapi cerita sedih. Tambah-tambah Zulaikha, bukan satu yang diambil darinya, tapi semua. Kalaulah mereka berada di tempat Zulaikha... Mungkin akan jadi seperti Zulaikha juga atau lebih teruk lagi.

"Eh, ni Amal kan? Dah lama sampai ke? Kenapa tak masuk dalam? Naqibah dengan Naqib ada kat dalam," sapa pak long yang baru sahaja tiba dengan motor Ex5 merahnya.

"Saya baru sampai saja pak long. Belum sempat bagi salam pun," jawab Amal jujur. Memang patut pak long itu ingat padanya. Dia pernah cakap, kalau tiada siapa yang mahu menjaga Zulaikha, dia sedia untuk ambil gadis itu sebagai isterinya.

"Masuklah dulu, nanti pak long panggilkan angah." Sambil membuka gambut kuningnya dan disiram kakinya dengan air dari tempayan.

"Tak apa pak long, Amal rasa duduk kat luar ni lagi okey kot. Santai saja..." sengih Amal. Lagipun, ada hal yang mahu dia katakan kepada Zulaikha secara personal.

Amal terus sahaja melabuhkan punggungnya di atas kerusi besi berwarna putih yang terletak di luar rumah. Matanya merayap pada sekeliling halaman yang tidak bersapu. Rumah bagaikan tiada penghuni. Tiada seri.

"Kenapa Abang Amal datang cari Zula?" Suara itu membuatkan pandangannya beralih ke pintu bercat putih. Zulaikha yang wajahnya mendung tiada seri. Pucat dengan mata yang sembab. Sedikit kurus dan tidak terurus. Amal cuba mempamerkan senyuman yang paling ikhlas walaupun hatinya runtun melihatkan gadis kesayangannya begitu.

"Saja. How are you?" Masih lagi tersenyum manis. Zulaikha duduk berhadapan Amal. Dipisahkan dengan meja besi berwarna senada.

"Fine." Hanya sepatah.

"Kenapa dah lama tak datang kuliah? Ramai yang tanya keadaan Zula," tanyanya berbasa-basi.

"Zula belum bersedia." Ada keluhan kecil pada hujung bicaranya.

"Sampai bila, Zula? Yang pergi akan tetap pergi, kita yang hidup ni kena teruskan hidup kita. Takkan selamanya Zula nak jadi macam ni? Zula tak sayang ke masa depan Zula?" Nadanya sangat lembut. Memujuk gadis itu sama berfikir.

"Orang lain cakap senanglah. Tak duduk kat tempat Zula. Memang boleh kata macam-macam. Cuba duduk tempat Zula. Rasa apa yang Zula rasa. Abang ingat mudah ke?" Matanya berkaca dan tepat menentang anak mata Amal.

"Abang tak cakap apa yang Zula lalui ni mudah. Setiap dari kita pernah kehilangan Zula. Allah uji kita dengan ujian yang mampu kita hadapi. Allah takkan bagi ujian ni sia-sia Zula..." Masih cuba memujuk. Gadis itu membisu. Tidak berkutik. Berkelip mata pun tidak.

"Macam nilah, abang bersedia untuk jadi bahu untuk Zula lepaskan masalah. Abang nak ambil Zula jadi isteri abang yang sah. Kita hadapi kisah sedih ni bersama-sama. Nangis bersama dan ketawa bersama." Rasanya dia tak perlu lagi berdolak-dalih. Gadis di hadapannya terus sahaja mengangkat wajah.

"Zula minta maaf. Tapi, Zula tak bersedia. Abang baliklah. Zula akan okey. Abang jangan risau. Isnin ni Zula akan masuk kuliah." Dia harus tunjukkan yang dia okey. Kalau tidak, lagilah lelaki itu mendesaknya dengan permintaan yang entah apa-apa.

"Zula, abang serius. Abang tak main-main. Zula tahu kan, yang abang sayang sangat pada Zula..." Wajahnya benar-benar bersungguh.

"Abang, kan Zula dah cakap, Zula tak bersedia. Abang ni tak faham ke? Boleh tak abang jangan tambah masalah Zula? Zula serabut tahu tak. Serabut sangat!"

Dia menjerit kuat. Menggosok kepalanya dengan kasar dan terus sahaja masuk lalu menutup pintu dengan kuat. Amal terkejut. Benar-benar terkejut. Tak sangka Zulaikha akan bersikap kasar macam tu.

Amal menarik nafas dalam-dalam. Cuba tenangkan hati sendiri yang cukup hebat geloranya. Dia bangun, melangkah menuju ke kereta dengan perasaan kecewa yang teramat sangat. Terngiang-ngiang bentakan Zulaikha. Memang salah dia juga. Bukan waktu yang tepat. Tapi... dia cuma mahu Zulaikha tahu, yang dia ingin bersama harungi jalan cerita gadis itu. Ingin menjadi bahu tempat gadis itu menangis dan mengadu.

"Amal," panggil pak long saat dia baru ingin melangkah masuk ke dalam kereta.

"Pak long..." Dia cuba sedaya upaya pamerkan wajah biasa dengan senyuman.

"Pak long minta maaf atas sikap angah pada Amal. Emosinya tak stabil sekarang. Pak long harap Amal tak ambil hati pada dia."

"Saya faham. Saya yang salah. Dia dah cakap dia tak suka, tapi saya yang terlalu sayang..." Dia tersenyum tawar memikirkan kebodohan sendiri.

"Pak long harap, Amal akan jumpa kebahagiaan Amal. Doakan juga semangat angah cepat pulih seperti sediakala ya?" Lembut bicara pak long.

"Insya-Allah, pak long. Saya balik dulu ya pak long." Dia bersalaman dengan pak long sebelum dia meluncur di atas jalan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co