Bab 5
Dia melihat hujung gambut yang berwarna hitam dengan hati yang berdebar-debar. Semalam dia sudah belajar teori tentang A.I, Artificial Insemination. Dalam Bahasa Melayunya, permanian berhadas. Kaedah yang sangat sesuai untuk menjaga kualiti ternakan dan paling sesuai diguna pakai untuk susu lembu. Kalau nak ternakan kacuk pun sangat boleh menggunakan kaedah ini.
"Okey, ini ialah uterus yang telah diawet. Saya nak semua pegang sambil pejam mata. Bayangkan bentuknya. Rupanya. Nanti kita akan buat praktikal dengan lembu sebenar. Jadi tangan kita kena cekap merasa. Seperti yang diterangkan dalam kelas semalam, ini adalah serviks, ini adalah tanduk rahim. Bila kita masukkan alat A.I, cukup hingga di sini sahaja, supaya semen tadi boleh bergerak ke kedua arah." Sambil itu Dr. Ivan menunjukkan struktur uterus dan yang lain fokus mendengar dan melihat. Tangan Zulaikha lincah melukis dan menulis dengan cara yang dia faham. Dia mula rasa seronok. Berbanding kursus tentang laktasi tempoh hari.
"Pelik pula bila diva lagi seorang tak ada. Kenapa dia tak ikut sekali? Serik ke? Lemah!" soal Syikin dengan nada sinis dan wajah yang sedikit menjengkelkan. Elly, Juli, Tina dan Pia mengangkat wajah. Sempat lagi Syikin nak menyakitkan hati saat mereka sedang duduk berehat di atas batu-batu bukit di Bukit Tabuh. Sesekali angin bertiup lembut. Menambah rasa kagum dengan keindahan ciptaan Allah. Ternyata, benar kata orang, Bukit Tabuh ada view yang sangat cantik. Pasti Zulaikha suka tempat ni.
"Zula memang nak ikut. Tapi dia ada kursus," jawab Pia mewakili teman yang lain.
"Eleh, alasan saja tu. Entah-entah dah serik sebab yalah, dia paling banyak dapat bala hari tu," masih menyakitkan hati bahasa Syikin di telinga yang lain.
"Kursus apa si Zula tu pergi, apesal kau orang tak pergi sekali. Kau orang kan kumpulan diva a.k.a lesbian. Melekat sentiasa!" Aidil menghangatkan suasana dengan menyimbah minyak. Kawan-kawan lelaki yang lain sudah ketawa menyambut kenyataan Aidil. Syikin dan Aisyah turut ketawa suka.
"Tak lucu sangat pun sebenarnya. Anyway, Zula ambil course A.I. Kau orang mesti tak tahu, maklumlah IQ rendah macam kau orang ni, banyak benda kena belajar. Hmm, malas rasanya nak bertekak dengan budak-budak low attitude, low self-esteem macam kau orang nilah!" balas Juli sedikit pedas. Memang dia dah lama bersabar dengan sikap majoriti budak hiking, tapi kali ni rasanya macam dah lebih perangai mereka.
"Mulut kau tu jaga sikitlah, Juli! Ingat sikit kau tu junior. Respect sikit kita orang yang senior ni. Kang ada yang makan kasut aku ni haa!" marah Syikin sambil bercekak pinggang dan menunjukkan tapak kasutnya. Nampak wajah masing-masing sudah berubah. Tidak puas hati dengan bahasa Juli.
"Respect tu hanya layak untuk orang yang tahu menghormati orang lain Kak Syikin. Kalau setakat senior, belum tentu lagi jadi ahli syurga yang nak berlagak sangat!" balas Juli sama berdiri. Tak mahu kalah. Dia memang jarang berbunyi, tapi yang jarang berbunyi itulah, jangan diajak bergaduh. Segala apa yang keluar nanti bagai api jadinya.
"Apa yang kau orang bertekak ni hah?" soal Luqman serius. Dari tadi dia bukan tak dengar, tapi nak tengok sejauh mana dua-dua wanita tu nak bertekak.
"Ni, junior ni tak sedar diri. Dahlah join kelab kita, nak buat kepala pula!" Sambil menuding jari pada Juli.
"I buat kepala? I think stupid people saja yang percaya pada you, Kak Syikin. Just enough, Zula tu jauh lebih baik dari youlah. And, you tak layak nak cakap buruk-buruk pasal dia, sebab kami akan stand up untuk pertahankan dia walau apa pun yang terjadi. Harap semua faham. Jom kau orang. ARC is not for us because this is worst club ever!" Juli sudah mahu bergerak dan diikuti Pia, Tina dan Elly.
"Kau orang nak pergi mana?" soal Luqman. Terkedu juga bila Juli bukan pendiam seperti yang disangka. Mereka bukan golongan yang mudah dibuli!
"Turunlah!" Kasar.
"Tapi kau orang semua bawah tanggungjawab aku." Serius sambil matanya mencerlung ke arah Juli yang sudah bersiap sedia untuk turun.
"Jangan you risau pasal kami. We know how to take care of each other. Cuma, jaga sikit orang-orang IQ rendah tu, takut dapat balasan kejap lagi sebab memfitnah kami yang bukan lesbian ni!" Kemudian tanpa menghiraukan segala suara lain, mereka terus sahaja berjalan turun.
"Aku follow dia orang. Kau jangan risau okey. Cuma, tolong nasihatkan anak-anak buah kau tu. Dia orang yang cari pasal dulu..." sempat Faiz menepuk bahu Luqman dan terus berlalu. Luqman menggigit bibir. Zulaikha, walaupun tiada di sini, tapi aura dia ada di mana-mana hingga semua boleh bergaduh kerananya. Persoalannya, hebat sangat ke Zulaikha tu sampai ada yang dengki dan iri hati?
"Abah, ni rekod kesihatan yang latest ke?" Sesekali peluh yang menitik diseka dengan hujung lengan baju.
"Haah," balas Zulkifli sambil tangan sibuk menaip di komputer riba. Segala rekod tentang ternakan.
"Angah pelik betullah, si Cibi ni bila minum susu kambing okey pula najisnya. Agaknya, susu kambing ni saja kot ubatnya bah..." merujuk kepada seekor kambing jantan baka Jamnapari. Kambing itu sangat manja, pantang kalau nampak Zulaikha, pasti digigitnya baju Zulaikha minta perhatian. Namun kambing tersebut sentiasa cirit-birit dan sebab tu namanya Cibi.
"Yalah kot. Macam-macam ubat dah abah bagi. Dari moden sampailah ke tradisional, tak baik pun." Sambil membetulkan letak kaca mata di hidung.
"Angah rasa abah kena ambil keranilah bah. Ternakan abah ni dah banyak sangat. Jenuh abah nak buat rekod." Kali ini dia duduk sebelah abahnya. Rasa sejuk sikit duduk dekat dengan kipas.
"Nanti angah carikanlah. Lagi pun, tak lama lagi angah pula yang kena ambil alih ladang ni," Tersenyum.
"Kenapa angah pula? Along patutnya kat sini. Angah ni kan belajar lagi. Tak pun Irah atau adik. Dia orang kan semua duduk dekat sini." Dia bersandar di bahu Zulkifli.
"Abah harap angah saja. Sebab angah yang banyak ambil tahu pasal ternakan. Banyak tolong abah kat sini. Along tu, payah sangat. Masuk ladang, terus datang semput. Bulu dan hama banyak katanya. Abah pun dah malas nak bebel kat dia suruh tengok ladang. Irah tu bukan tak boleh, tapi malas bangun pagi. Irah tu bangun pagi memang liat sangat. Konon nak cari kerja lepas SPM pun, kata-kata sajalah..." balas Zulkifli panjang.
"Along tu harap saja lelaki, tapi macam pondan. Menyampah angah tau! Angah ni bukan apa bah, tapi angah pun ada cita-cita sendiri. Kalau setakat jaga sekejap-sekejap tu bolehlah bah."
"Tulah, angah sajalah harapan abah untuk menyambung legasi abah. Abah sayang sangat nak jual semua ni. Abah harap salah seorang anak abah boleh ambil alih bila abah dah tak ada nanti." Ada nada sayu pada hujung bicaranya.
"Abah jangan risaulah, angah janji, ladang abah ni tak akan jatuh ke tangan orang lain. Walaupun angah ada cita-cita angah sendiri, tapi ladang abah ni Insya-Allah angah akan tolong jaga. Lagipun, abah kan muda lagi. Handsome lagi!" Kali ini bahu Zulkifli dipaut kemas. Memang anaknya yang seorang itulah yang paling rajin. Dulu masa kecil-kecil anaknya yang inilah yang paling banyak dirotan kerana tak dengar cakap.
Kini anak ini membesar dengan cukup baik, cuma pakaiannya tidak mahu ubah langsung. Puas dah dipujuknya supaya bertudung, jangan pakai baju ketat bila keluar rumah, namun nasihatnya itu masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Doanya sebagai seorang ayah, supaya anaknya kelak menjadi wanita yang solehah.
Puan Zaleha menghidangkan makanan di atas meja. Jam di dinding dikerling seketika. Sebentar lagi, suaminya dan anaknya pasti akan sampai rumah, dan mereka pasti akan lapar. Kerja di ladang dari awal pagi pasti sangat memenatkan.
Mujur suaminya punya tujuh orang pekerja. Lima di ladang lembu dan dua lagi di kandang kambing. Kalau tiada bantuan pekerja, tentu tenaganya juga sama diguna.
Terimbas kembali semasa mula-mula suaminya membuka ladang. Berhempas pulas dia dan suaminya bekerja. Seperti tidak cukup waktu nak uruskan ternakan. Banyak juga ilmu yang harus dia tahu. Nak harapkan anak-anak, semuanya masih belajar.
Along yang masih di tingkatan empat, angah di tingkatan satu, Irah di darjah enam dan adik darjah tiga. Kini sudah lima tahun usaha mereka untuk membina ladang.
Pelbagai ilmu telah mereka kutip untuk menghasilkan ladang yang mampu menampung kehendak pasaran. Kini, sedikit sebanyak dia mampu untuk tersenyum lega. Usaha mereka sudah menampakkan hasil. Dia juga sangat bersyukur kerana anaknya juga ada yang banyak membantu, terutama sekali angah. Ternyata anak gadisnya yang kedua itu memang cenderung dalam bidang penternakan. Memang dia sangat berharap anaknya itu sudi menyambung usaha perniagaan bapanya.
"Kan best kalau macam ni selalu!" Dengan mulut penuh dia bersuara. Terasa bagai di syurga dapat makan masakan ibunya.
"Kalau ya pun makan elok-elok sikit angah," tegur Zulhairi sambil tersengih.
"Along apa tahu, angah ni kat kolej, mana jumpa makanan sesedap ni. Masakan ibu, perghhh heaven!" Dia tidak mengendahkan teguran Zulhairi.
"Eleh, macam lama sangat gayanya tak makan masakan ibu." Zulkifli pula mengusik.
"Abah, dua minggu tu lama tau bah. Angah kat sana, tak lalu nak makan macam sekarang ni tau."
Kali ini dia menyenduk nasi tambah. Haruslah makan bertambah. Semua yang ibu masak sedap sangat.
"Yalah tu, angah. Ibu tengok angah macam dah makin berisi saja..." tersengih-sengih Puan Zaleha mengusik anaknya yang sedikit manja itu. Suapan Zulaikha terhenti dan mengangkat wajah. Dia melihat wajah semua yang sedang perhatikannya, kemudian dia menoleh pada ibunya.
"Ibu ni... Betul ke angah gemuk?" Wajah tak puas hati. Suaranya sedikit meleret. Namun dia hanya dapat balasan ketawa besar dari semua. Zulaikha menggigit bibir. Tahulah dia ibu sengaja mengusik.
"Makanlah banyak-banyak kak ngah, nanti kempunan pula masakan ibu." Irah menyampuk dengan sisa tawanya. Zulaikha hanya mengangguk sambil tersengih. Gemuk sikit pun apa salahnya, janji perut kenyang, hati senang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co