Truyen3h.Co

MAHARANI

Bab 1

karyaseni2u

Prolog

Nuren

Aku tahu perkara ini akan terjadi. Aku sedar suatu hari, rahsia sulit aku akan terpecah. Benda busuk, bukan? Tentu aje susah aku nak simpan. Tapi aku tak menyangka aku gementar juga berhadapan saat perpisahan itu. Seluruh alam terasa mengejek aku. Langit gelap seakan mahu menelan diri ini.

"Keluar kau! Pergi jahanam kau!" Suara dia memetir. Amarahnya seperti mencakar-cakar jiwa aku.

"Abang!" Aku cuba berpaut pada kakinya.

"Dasar perempuan jalang! Kau berambus dari sini!"

"Abanggg..." Aku cuba merayu sehingga serak-serak suara.

"Aku kata pergi, pergi... Jangan jejak sini lagi!" jerkah Wanzir.

Ada dua beg plastik sampah yang berikat di tepi jenang pintu. Dengan tenaga jantannya, sekali humban saja dua buah beg itu sampai ke tanah.

Mujur aku sempat mengelak. Bunyi tangis anak-anak menambah bingit suasana. Jiran di seberang jalan sudah mengintai-intai di balik langsir. Orang yang sedang lalu-lalang di jalan hadapan rumah turut sama tertoleh-toleh. Tapi tiada siapa berani campur. Tak ada siapa berani berhenti bertanya.

"Betul ke semua ni anak-anak aku? Ke kau pun tak ingat ni siapa bapak budak-budak ni?"

Aku tergamam. Terasa langit runtuh di kepala. Menggeletar seluruh tubuh.

"Orang kata aku ni kaki judi, malas! Tapi orang tak tahu aku setengah mati cari duit. Kau ingat aku duduk berkubang berlumur dengan minyak dekat bengkel kereta tu saja suka-suka?! Kau dekat rumah tahu nak melawa, nak cantik, nak pasang badan aje. Aku balik aje kau menyalak mintak duit. Kau keluar sekarang! Aku tak mahu simpan perempuan jalang yang kebulur laki orang!"

"Sampai hati abang fitnah Nuren!"

"Fitnah kau kata?"

"Abang... Kalau Nuren salah, Nuren mintak ampun dunia akhirat dengan abang." Aku rasa suara aku sudah cukup serak menahan tangis.

"Sia-sia kau ni muka cantik, badan lawa. Perangai menjalang. Konon berhabuk cakap orang putih. Tapi kau guna buat pikat jantan kaya. Kau ingat aku tak tahu, dulu kau ni melayan tauke kedai dobi. Lepas tu kau layan Hatta. Tapi tak ke mana. Tak ada lelaki masa tu nak ambil kau buat bini. Memang perangai tak semenggah! Selama ni orang cakap fasal kau, aku tak percaya!" Memetir suara Wanzir. Pasu bunga di tepinya, dilemparkan ke dinding. Berdentum membuat aku dan anak-anak terkejut.

Aku cuba berpaut pada kakinya. Tapi Wanzir lebih pantas merentap tangan aku. Sekali lagi badan aku tersungkur.

"Fitnah apa? Aku perhati kau dah lama! Aku tengok dengan mata kepala sendiri. Kau kata kau kerja dekat rumah jutawan tu! Kerja gosok baju, kerja gosok cermin rumah, tapi dengan dia sekali kau gosok! Perempuan apa kau ni? Dasar bangsat!"

"Abang, ampunkan Nuren!"

"Kau ingat aku bodoh? Kau dah biasa kena bela dengan jantan tu, bukan? Kau gilakan duit dia, bukan? Kau memang siang malam agaknya berdoa, biar dia bercerai laki bini!"

"Abang, saya janji tak buat lagi!" Aku merayu bersungguh-sungguh.

"Aku tak percaya lagi dah cakap kau! Kau mengaku aje dengan aku, sejak belum bernikah, kau memang dah biasa jadi perempuan simpanan jantan tu, bukan? Aku aje lelaki bodoh yang kutip kau. Diam aje biarpun malam pertama, dara kau tu dah longgar! Jantan tu nak duit, mintak pada bini dia yang tua tu. Nak rasa kenyang dekat tempat tidur, dia cari kau. Jangan buat muka terperanjat. Kau ingat aku tak tahu!"

Mahu meraung aku mendengar Wanzir melahar aku waktu itu. Longlai segala sendi. Aku menangis semahunya. Aku cuba merangkak dan mencium kaki Wanzir.

"Kau pergi berambus! Aku ni agaknya dah berapa banyak kau bagi makan nasi kangkang?"

Selapis langit terasa menghempap kepala. Aku berpinar-pinar. Air mata deras. Kata-kata Wanzir itu menikam jantung. Aku tak sangka selama ini Wanzir sudah lama perhatikan aku.

"Kau keluar dari rumah ni! Jijik aku dengan perempuan macam kau!" Lelaki itu menunjal kepala aku lagi. Tersembam aku dibuatnya.

Aku cuba bangkit perlahan-lahan dari tepi tangga tempat aku terjelepok. Sakit seluruh badan aku ditujah Wanzir. Namun lebih sakit seluruh jiwa. Dendam tiba-tiba menggelegak dalam jiwa. Tangan aku meraba dan mencapai dua beg plastik sampah itu.

Tekak aku tiba-tiba mual. Cepat-cepat aku menekup mulut.

"Anak dalam perut tu! Jangan mimpi aku nak mengaku aku ni bapak dia!"

Wanzir bertempik dengan penuh angkuh. Aku mengetap bibir ketat-ketat. Menelan segala amarah dan dendam.

Hati aku menjerit. Alang-alang aku sudah berselingkuh, ayuh... Biar sampai aku jadi puan besar di rumah agam Hatta! Alang-alang digelar sebagai sundal, biar aku jadi perempuan pisau cukur. Aku merenung Wanzir dalam pandangan yang kelam. Air mata masih berjuraian. Aku kesat dengan hujung baju. Nafas bergetar, dada bergelombang.

Baik! Kalau kau jijik pandang aku! Aku bersumpah, kemudian hari, kau menyesal tak sudah bila kau tengok aku! Kau tunggu, Wanzir!

Aku menjerit dalam hati. Batin aku membakar segunung dendam. Anak-anak yang menikus di belakang pintu, aku heret tanpa pedulikan Wanzir. Aku pimpin Riza. Dia pula pegang tangan Fiza. Si kecil Fiza genggam tangan Zura. Berdedai-dedai aku dan anak-anak keluar rumah sambil sebelah tangan memegang bungkusan baju yang dihumban ke dalam beg plastik sampah. Aku melangkah keluar dengan tekad dan azam.

Kau cabar aku, Wanzir. Aku akan buktikan, perempuan yang kau ludah ni, mampu jadi maharani. Kau tunggulah!

Hatta, kau nantikan aku, ya! Kalau benar kasihkan aku, ini waktunya kau buktikan. Perut aku sebu sebetulnya waktu itu. Fikiran aku semak. Macam mana kalau Hatta tolak aku? Macam mana kalau kekasih gelap aku tu tak mahu buang isterinya?

Kaki aku melangkah malam itu ke rumah mak tok. Tak jauh mana pun. Tapi perjalanan malam itu terasa sangat jauh. Air mata terus berjuraian. Dendam terus bersimpul mati.

Ari-ari terasa ngilu. Senak sesekali apabila aku cuba melangkah pantas. Aku menggosok perut dan mengambil nafas. Baru terasa bisa badan diterajang tadi. Anak dalam perut ni macam mana?

Hatta bukan ke tak ada anak? Bini dia tu kering kontang. Gersang. Pujuk Hatta... Lahir budak ni, bin atau bintikan dia! Macam ada suara berbisik di telinga, mengajar aku.

Mahu ke dia? Boleh ke jadi macam aku rancang semua ni? Satu demi satu persoalan bergendang dalam kepala aku. Terbayangkan muka bengis Wanzir, semakin menderu dendam di dada aku.

Huh, minyak cenuai kan ada! Jangan diberi muka pada Hatta! Layan dia sampai lemas, jangan kasi lepas. Kemudian pujuk perlahan-lahan. Biar dia singkirkan bini tua dia tu! Bini dia tu pun kakak angkat dia! Tua kertu!

Kau boleh, Nuren! Kau lawa. Kau cantik bergetah. Kau kena yakin aje.

Jampi sikit, hembus sikit, perasap sikit kemudian belai-belai sikit... Semua dalam genggamanlah!

Hati aku yang tadi berbolak-balik jadi yakin. Yakin seyakin-yakinnya!

Aku baru saja keluar kereta. Tiba-tiba telefon berbunyi. Terpapar Hatta Sayang di skrin.

"Hai, abang."

"Nuren dekat mana tu?"

"Emmm, ni nak beli barang sikit."

"Dida okey?"

"Okey aje."

"Sayang abang ni okey tak?"

"Okey... Jangan risau."

"Suara lain aje tu."

"Rindu dekat abang. Cepatlah balik. Nuren bosan dengan anak-anak aje."

"Jangan risau. Malam nanti abang buat video call."

"Nuren tunggu abang, ya!"

"Love you, sayang. Miss you!"

"Love you more!"

Aku dan Hatta berhenti berbual setakat itu.

Berderau darah aku bila disebutnya video call. Mujur waktu itu Hatta tak tergerak nak buat video WhatsApp. Kalau tak, memang kantoi aku dekat hospital. Sejak bernikah dengan Hatta, aku sesungguhnya menikmati syurga dunia. Peduli apa aku kalau ada yang tuduh aku perampas. Hidup ini bukan ke satu kitaran, satu persaingan?

"Dida mahu menyusu." Suara Bibik Sunti mengejutkan aku.

Aku menoleh. Ya, Dida sudah mula merengek. Aku tengok jam di tangan.

"Alah, kejap lagilah. Saya nak cepat."

Langkah aku kembali pantas. Berkeletak-keletuk dengan high cut ankle boot. Sesekali aku menoleh ke belakang. Bimbang Bibik Sunti yang menolak stroller jauh tercicir.

Aku menggumam. Kalau lambat, payah dah nak jumpa doktor seorang ni!

Si kecil di dalam stroller sudah tergedik-gedik. Mula merengek perlahan.

"Bagi puting dululah."

Dalam masa yang sama, terasa dadanya membengkak. Ada rasa sengal-sengal. Susu badan bila-bila masa saja boleh mencurah. Mujur aku pakai padding dan korset. Aku menoleh lagi pada si kecil. Betullah tu nak susu! Mulut kecil tu mencari-cari sesuatu. Macam mulut anak burung minta disuap ibu. Aku serba salah. Tapi aku harus bergegas.

"Tunggu saya daftar dulu, nanti kamu bagi susu botol."

Bibik Sunti yang setia, mengangguk.

Damn!

Di ruang lobi, tanpa diduga ada pula yang kenal! Benci betul waktu begini ada yang melambai.

"Hei, Nuren! Hot mama pun ada sini!" Ema, rakan yang satu sekolah dulu menegur.

"Ya Allah, lamanya tak jumpa Ema!" Aku benar-benar kaget.

"Mana menghilang? Dengar cerita, kau dah lama bernikah dengan Hatta, ya?"

Terasa ada sesuatu yang menyekat aku daripada berkata-kata.

"Lama juga."

"Habis tu? Wanzir?"

"Jodoh kami tak lama. Dah takdir." Tak tahu sebenarnya apa jawapan terbaik.

"Tapi kira okeylah! Rezeki tu dapat Hatta. Eh, bini dia macam mana?"

Mujur saja Dida merengek. Aku pantas mengambil Dida. Cara paling sopan untuk aku tidak menjawab soalan Ema. Biasalah. Kalau cerita macam ni, semua suka dengar. Semua suka mengorek. Lepas tu cerita sejengkal boleh jadi sedepa. Lagipun aku sudah lama talkinkan nama Wanzir dalam hidup aku.

"Comelnya!" Ema mencuit pipi Dida. Aku lega. Dida mematikan cerita aku fasal Hatta.

"Nak bawa baby Dida cucuk tiga bulan."

"Alahai... Budak comel Dida nak kena cucuk, ya! Strong girl jangan demam."

"Anak Ema belum habis pantang, kan? Demam ke?"

"Baru umur dua minggu. Tak demam."

"Ada janji temu postnatal ke?"

"Tak! Ema bawa Cahya sunat. Ingatkan nak sunat masa umur seminggu. Tapi Dr. Zain pula sibuk."

"Ohhh..."

"Dida dah sunat, kan?"

"Sunat? Errr... Belum." Aku sedikit tergamam. Eh, sunat? Tak pernah terfikir pula!

"Sempat lagi tu."

"Eh, anak perempuan pun kena sunat ke?" Polos aku bertanya. Ema tergelak melihat reaksi aku. Tiba-tiba terasa aku macam ibu yang dungu pula.

"Anak-anak perempuan Nuren yang lain dulu tu tak sunat ke?"

Tergamam dengan soalan itu, aku memulangkan pertanyaan Ema dengan soalan acah-acah naif.

"Umur berapa paling sesuai disunatkan? Kalau tak sunat ada effect apa-apa ke nanti?" Aku spontan bertanya tapi matanya sekejap-sekejap memandang ke arah kaunter. Bimbang terlepas dengar kalau-kalau nama aku dipanggil.

"Better waktu baru lahir."

"Alamak, terlupalah hari tu nak sunat masa lepas bersalin. Aiseh... Gegurl aku dah besar. Boleh lagi ke nak sunat?" Sengaja berlucu menghilangkan debar dada.

"Bolehlah!"

"Penting ke?"

"Of course! Kalau ada adik-adik gegurl Cahya nanti pun insya-Allah semua bakal disunatkan. Biar ada sifat malu, sopan santun, tak tergedik-gedik lebih sangat. Sikit-sikit tak apa! Tak mahu nanti menggarik sangat!"

"Ya ke?" Mata aku rasanya semakin membulat. Aku mengerling ke arah Dida yang sedang tenang menyusu botol. Gosh! Si kecik ni bila menyusu, dada aku yang sakit berdenyut! Huh, susu melimpah-ruah!

"Perempuan kalau tak sunat, tu yang jadi menggelenyor aje! Tak betul-betul jaga jadi buas!"

Telinga aku terasa panas dan sedikit berdesing. Perempuan depan aku ni mahu menyindir aku ke?

"Hish, taklah!" Pantas aku memangkah.

"Memanglah kita mintak yang baik-baik. Tapi yalah, kalau boleh kawal, lagi baik kita kawal."

Gulp! Tiba-tiba terasa kerongkong kering. Aku sudah kelat-kelat senyum. Pahit!

"Alah, kalau Nuren nak buat sempat lagi. Sekelip mata aje proses tu. Tak sempat baby nak menjerit."

"Ya ke? Budak tak demam? Tak meragam?"

"Doktor cuma letakkan cotton ball yang dah dititiskan antiseptik dekat kawasan yang dipotong tu... Taklah sampai bleeding ke apa pun. Darahnya cuma setitik aje kot. Baby okey aje lepas tu."

"Oh!"

"Puan Nuren Arshad. Bilik Konsultasi 2, ya?"

Aku pantas menyambut surat dari kaunter dan Ema memandang aku dengan sedikit kerutan di dahi.

"Bilik Dr. Quah. Bukan jumpa Dr. Zain?"

"Aha, Dr. Quah. Bukan Dr. Zain."

"Oh..." Mulut Ema sedikit terlopong. Aku tahu dia mahu bertanya lagi tapi aku lebih pantas mengelak.

"Kita jumpa next time, ya!" Nanti kita sembang-sembang lagi! Banyak gosip!" Aku mengenyit mata sambil memberi isyarat kepada Bibik Sunti agar menolak stroller rona merah cili milikDida Sandra.

"Insya-Allah! Ada masa kita jumpa. Mana tahu, anak kita nanti jadi kawan baik pula." Aku tersenyum manis, berbasa-basi mencium anaknya, Cahya.

"Mesti jumpa! Tak sangka rezeki Nuren macam ni sekarang. Happynya tengok!"

"Dalam hidup ni kita kena firm dengan apa yang kita nak. Kadang-kadang rasa macam payah, kan? Hidup menjeruk rasa. Kalau nak hidup senang, nak kaya, kekayaanlah yang kita cari. Ada masa keadaan paksa kita tekad dengan keputusan."

Tipu kalau aku kata tak rasa sebak masa aku cakap begitu. Aku benci kalau terasa sedih mengenang laluan hidup aku. Tak perlu nak syahdu sangat aku rasa. Sebab ini yang aku pilih.

Ema mengangguk dan kami saling berdakap dan bertukar ciuman di pipi.

"Jangan lupa tau! Nanti kita jumpa mengopi." Tampak Ema begitu mengharap. Maklum kami memang sudah lama tak jumpa. Agaknya dia sangat terkejut dengan perubahan aku.

Ema mengendong kemas Cahya Kartika di lengan. Namun aku dapat rasakan fikirannya masih sedikit celaru. Aku beritahu dia mahu pergi cucuk anak. Tapi what the hell dia nampak aku jumpa Dr. Quah? Aku yakin pertanyaan itu sedang berlegar dalam fikirannya. Errr... Dah tentu semua orang tahu Datuk Dr. Quah tu pakar bedah plastik. Tergedang dan terpampang senarai nama pakar konsultasi Pusat Perubatan Mawar ni di ruang lobi ni!

Tiba-tiba aje banyak benda berlegar dalam kepala aku. Terbayang apa yang Ema fikir fasal aku. What on earth is she doing? Confirm Ema mula buat spekulasi. Ah, peduli apa aku! None of your bloody business, Ema!

Di dalam bilik konsultasi Datuk Dr. Quah, aku berkali-kali menarik nafas. Cuba meredakan perasaan sendiri. Bibik Sunti aku biar menunggu bersama Dida di luar.

Di bilik Dr. Quah, aku disambut ramah oleh doktor pakar itu.

"Hello! How are you, my dear? Something missing in your smile!"

Doktor tua ini memang manis bergula. Sebab itu aku tak segan-segan dapatkan rawatan dengan dia. Aku terus ambil kesempatan untuk mengadu apa yang patut.

"Okey, I tengok you dulu. Ada rasa sakit di mana-mana? Ada rasa tak selesa?"

Aku rancak bercerita sambil Dr. Quah memeriksa hidung aku. Pada hematnya, aku benar-benar sudah pulih. Pembedahan rhinoplasty yang dibuat tiada sebarang komplikasi.

"Congratulations! Your surgery went well and you're recovering beautifully. Take it easy, get plenty of rest and let me know if there is anything I can do to help. I am happy with the outcome."

Aku menarik nafas lega. Terasa berona merah di pipi mendengar pujian Dr. Quah. Aku kemudian pantas membuka mulut, menyampaikan hasrat sebenar.

Sebenarnya follow up checkup yang ini bukanlah penting sangat buat aku. Memang aku tahu hidung baru aku ni dah pulih. Bekas luka pembedahan pun sudah lama kering. Ada hajat lain yang lebih besar. Dan dengan penuh rasa teruja aku luahkan pada Dr. Quah.

Doktor yang separuh usia itu mendengar sambil mengangguk-angguk. Satu demi satu dihadamnya sambil membuat sedikit catatan. Aku tahu dia sebenarnya terkejut tapi pura-pura terus mendengar. Dia membiarkan aku selesai menyuarakan hasrat hati. Kemudian perlahan-lahan dia menjelaskan.

"The bottom line. Wait at least six months before having plastic surgery."

Aku pula yang terkejut selepas itu. Terasa segala harapan punah sekelip mata. Tapi, ah... Ni badan aku, suka hati akulah, kan! Duit laki aku yang akan aku guna untuk bayar segala bil. Bukan duit orang lain. Sakit atau tak, badan aku yang menanggung!

Aku tegak tidak berkelip mendengar penjelasan Dr. Quah panjang lebar. Lelaki tua itu mencapai sebuah buku berkulit tebal. Dia menyelak pada halaman yang berkaitan dan menerangkan kepada Nuren. Segala prosedur pembedahan sedut lemak, tummy tuck dan vaginoplasty yang aku angankan dijelaskan oleh Dr. Quah.

"Banyak risikonya. You baru bersalin. Pulihkan betul-betul badan tu. Ini pun you dah buat cantikkan hidung. Tak perlu terburu-buru."

Lembut Dr. Quah cuba memujuk aku. Tidak semena-mena, aku terasa segala yang Dr. Quah ucapkan itu seperti dihembus meresap ke dalam telinga, kemudian lenyap di usus aku! Tak pedulilah kalau dia nak kata aku obsess sekalipun. Tampak ketagih dengan bedah plastik macam ketagih mahu ke spa.

Aku dengan Dr. Quah saling bertukar pendapat. Bertegang urat sebetulnya. Fikir Dr. Quah, dia mampu menjinakkan aku. Dia tak tahu, dia silap.

"Cinta dan kasih sayang memang banyak cara boleh kita perolehi. I tak nafikan. Lelaki memang lebih tertarik pada perempuan yang cantik. Tapi you ni ambil risiko. Ini bukan macam facial yang you selalu buat. Bukan macam you pergi buat rambut di salon. Ini pembedahan. Ada risiko. Ada komplikasi. Ini bersangkut-paut nyawa!"

"Untuk cantik kena ada risiko, kan? I nak masuk dalam golongan cantik. Sebab tu I nak buat semua ni. I would do anything... Errr, sexually for love. Yes, my new husband is my everything. I got 10 things I'll do differently in my second marriage." Ungkapan itu mengalir tanpa ragu-ragu. Lancar saja luahan aku itu. Tentu aje aku tahu apa yang aku inginkan.

Dr. Quah tersandar. Kening terangkat seketika dan kemudian mengangguk-angguk. Bagai ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya.

"Girl, you are beautiful! Body you cantik! Tak perlu itu semua!"

"Hah! Come on, doc! Perempuan yang dah beranak empat mana ada yang cantik badan? Rasanya sekarang ni I ada sagging butt. Itu tak sebut lagi fasal fat, flabby belly! I want a perfect body." Tergelak kecil Dr. Quah mendengar kata-kata aku. Peduli apa kalau Dr. Quah mahu gelak mengejek. Aku cakap benda yang betul.

"Itu maknanya you tak ada keyakinan diri. You dah buat beberapa plastic surgeries. Perkahwinan you yang sekarang pun bahagia. Betul, kan?"

"Sekarang. Baru sekarang. For your information... My previous marriage was a failure." Pantas aku memintas.

Dr. Quah senyum dan mengiakan.

"Yes, I understand... What I'm trying to say is..." Dr. Quah menarik nafas. Aku dapat membaca riak wajahnya. Fikirannya pantas memikirkan hujah terbaik. Dia tak tahu, aku perempuan beranak empat di hadapannya ini umpama serigala lapar yang mahu menerkam apa saja yang berada di depan. Dr. Quah senyum sumbing sendiri. Aku tahu dia sangat tak bersetuju dengan permintaan aku.

"Beauty is pain. There will be no problem if your body can take it. But... Berbaloikah? I mean, is this the only way you can make your husband happy? By doing plastic surgeries? Ini jaminan bahagia?"

Aku terjeda. Seluruh dunia terasa mengejek. Nak bagi ceramah pula Dr. Quah ni... Kau just buat job kau elok-elok dahlah!

"I don't care, Dr. Quah. Saya dah putuskan. Ini hadiah untuk ulang tahun perkahwinan kami yang pertama."

"Hadiah ulang tahun perkahwinan?" Dr. Quah untuk kali kedua sedikit tersentak. Wajahnya terkesima. So what? Perempuan yang bernama Nuren ni memang luar biasa. Keinginan, cita-cita dan nafsunya!

"Yes, my virginity."

Mata Dr. Quah semakin terbeliak. Kaca mata yang melorot di pangkal hidung ditolak sedikit ke atas.

"Suami saya outstation. Dia balik betul-betul pada tarikh ulang tahun kami."

"Berapa lama lagi?" Dr. Quah menyampuk.

"Lebih kurang sebulan lebih lagi."

Dr. Quah terus melihat kalendar kecil di hadapannya. Dan membuat kiraan.

"Sempat, bukan?" Aku bertanya.

"Stubborn lady! Baru give birth nak juga buat pembedahan." Dr. Quah merungut sendirian. Penat memberi penerangan pada perempuan degil macam aku ini agaknya. Aku mengangkat kening memandangnya.

"Macam mana, doc?"

Dr. Quah mengangguk biarpun aku masih tidak mampu meyakinkan dirinya atas alasan apa pembedahan itu harus dibuat. "But why? You've got everything now."

Pantas aku berhujah, "Hadiah. Surprise. Kejutan untuk suami saya. Tanda cinta. Suami saya berhak untuk ini."

Nada keyakinan aku itu segera dicantas dengan lembut oleh Dr. Quah.

"I tahu you klien setia I. Tapi sebelum I proceed dengan apa-apa surgeries, I kena consult klien I dulu. You nak buat vaginoplasty. You know, kebahagiaan rumah tangga bukan terletak pada lapisan tipis selaput dara. Hymen itu cuma satu lapisan tipis pada faraj wanita. Ya, dengan vaginoplasty, you boleh perbaiki selaput dara itu. Tapi, you harus faham, ya. Kesetiaan dan keikhlasan itu lebih penting dalam perkahwinan."

Dr. Quah tiada pilihan. Aku peduli apa kalau dia kata, aku sudah terlalu kerap menagih pembedahan yang aneh-aneh. Obsesi dan nafsu aku untuk cantik, tampak bergetah, baginya luar biasa sungguh. Berulang kali dia menegaskan pada aku. "Nuren, you kena pergi kaunseling."

"Like I said before, I don't care. My husband deserves a brand new me!"

Sudahnya Dr. Quah bagai beralah.

"Poor lady! So self-centered! Pity you, Nuren. It's up to you. Your life, your decision."

Aku terbeliak mata memandang Dr. Quah.

"Jangan tersinggung. Kita terbuka, bukan? Ini pandangan peribadi saya sebagai pakar perubatan."

Aku angkat bahu.

Dr. Quah terus mencatat sesuatu pada rekod perubatan aku. Akhirnya aku menang. Aku tersenyum puas. Tiada siapa mampu menghalang keinginan aku. Belum Dr. Quah memberi kata putus untuk tarikh pembedahan vaginoplasty itu, tiba-tiba ada sesuatu yang sangat mengganggu. Aku jadi resah.

Kantung susu membengkak. Padding yang dibubuh lencun. Banjir susu.

Gosh! Engorged!

Dan di luar bilik Dr. Quah, Dida menangis bagai dicubit-cubit sambil bibir comelnya termuncung-muncung mencari susu.

Selesai urusan dengan Dr. Quah, aku meluru keluar. Di kamar khas untuk tukar lampin bayi yang bersebelahan tandas utama aras lobi itu, aku mengeluarkan breastfeeding shawl. Pantas aku mengeluarkan pam susu badan. Tidak sampai beberapa minit, penuh satu botol kecil itu. Huh, lega!

Hilang bengkak susu pada dada.

"Hish, bilalah nak kering susu badan ni? Lecehlah!"

"Rejeki Dida, puan," sahut Bibik Sunti sambil menepuk-nepuk lembut Dida yang sedang terjerit dan teresak.

"Susu tepung ada! Ni bila susu badan melimpah aje, dia pun sama kuat melalak! Susah bila bawa berjalan," bebel aku sambil membawa botol yang berisi 150 ml susu ke arah singki.

Sebaik saja susu itu dicurahkan ke singki, kedengaran suara lembut seseorang dari arah belakang menyapa.

"Buang susu ke?"

Kepala paip baru hendak dipulas. Terkaku aku sewaktu mencuci botol kecil itu.

"Sayangnya! Susu badan tu kenapa dibuang dalam singki?"

Aku tergamam dan menoleh. Wanita yang sedang memegang mop itu tersenyum. Aku mengamati dengan renungan tajam. Eh, muka dia ni memang aku kenal! Perempuan yang selalu kerja cuci tandas awam di hentian bas kalau tak silap. Masa aku masih belum bercerai dengan Wanzir. Kalau tunggu bas, memang selalu aku nampak dia ni.

"Bertuah puan, susu badan banyak. Tapi tak elok buang macam tu." Pencuci tandas yang ada bersulam nama Syimah pada bajunya menegur lagi. Berdesing telinga.

Aku ketap bibir rapat-rapat. Sakit hati tiba-tiba ada yang ramah sangat menegur. Busybody!

"Anak lelaki saya baya anak puan rasanya. Edan anak saya tu kalau menyusu sampai kempis dada saya. Itu pun merengek macam tak kenyang."

Aku menoleh ke arah Syimah. Aku rasa dia tak cam aku. Wajah lembut itu aku tatap dengan mata mencerlang. Banyaklah cerita kau, ya! Siap nak beritahu nama anak. Peduli apa aku dengan cerita anak kau! Tak sedar diri. Kau tu kasta apa!

Hangat hati aku menahan mulut. Tapi aku tak mampu mengawal diri.

"Itu tanda, susu badan tu kurang khasiat! Sebab tu anak tak kenyang. Kalau makan pun tak cukup, macam mana nak kongsi dengan anak! Lebih baik bagi susu tin!" Spontan mulut aku mencemuh sebelum dia aku tinggalkan.

Berkeletak-keletuk tumit kasut aku berbunyi sewaktu aku melangkah keluar dari kamar kecil itu. Aku sempat memandang Syimah. Perempuan itu tetap berwajah manis sambil tersipu malu. Bibik Sunti kelam-kabut mengekori dari belakang sambil menolak stroller Dida.

"Dasar tak sedar diri! Takat jadi cleaner ada hati nak sekolahkan aku!"

Kasut tumit aku terus berkeletak-keletuk. Langkah aku pantas tanpa menoleh ke belakang. Aku tahu dari bayang-bayang di belakang, matanya masih mengekori langkah aku. Macam kau bagus! Tak sedar diri!


Bab 1

Edan Israq

Angin petang yang kering berdebu bertiup perlahan. Teh ais yang aku pesan pada Sakinah, dalam sekelip mata tinggal setengah bungkus. Bahang masih terasa apatah lagi sejak lepas zohor tadi aku sudah berdiri bersebelahan pengukus putu piring ini.

Tiba-tiba ada kereta berhenti di hadapan kami.

"Adik manis nak apa? Ada pisang goreng, ada koci pulut hitam, ada..." Abang Mail yang memang ramah dengan pelanggannya macam biasa akan terlebih ramah kalau jumpa perempuan cantik.

Alah, kadang-kadang tak lawa mana pun, asal awek tu terlebih sengih, menjadilah Abang Mail. Aku yang sedang menjaga pengukus putu piring, tak kuasa mahu menoleh. Adik Abang Mail, Sakinah yang sebaya aku sedang sibuk menjaga kuali cempedak goreng.

"Putu piring ni macam mana kira?"

"Empat ringgit aje dalam satu bekas. Ada lima keping."

"Nak lima bekas, ya."

"Edan... Putu piring lima."

"Edan!" Suara Abang Mail sedikit menjerit.

"Haha... Kejap ya, adik manis. Edan ni ada masalah sound system."

Aku menjeling pada Abang Mail. Amboi, sedap mulut! Terasa mahu aku luku dengan penutup kukus putu piring ni ke kepala dia. Sakinah yang sibuk menjaga cempedak goreng diam membatu mulutnya. Menjeling pun tidak.

"Berapa?"

"Lima bekas!" Abang Mail yang sedang membalikkan karipap di dalam kuali panas mula membebel.

"Berangan aje kau ni, Edan! Cepat... Adik manis tu nanti jadi adik masam pula!"

Aku mulanya tak menoleh pun. Aku capai lima bekas putu piring. Aku bubuh ke dalam dua plastik dan hulurkan.

"Baik-baik panas." Konon mahu jujur berpesan. Memang putu piring itu semuanya masih panas. Boleh melecur mulut kalau terus makan.

Tapi sebaik aku memandang wajahnya, aku terkesima. Eh, dia! Aku rasa dalam lima saat agaknya mata aku tak berkelip. Cuba menghafal raut wajah itu. Ya, Cahya Kartika!

"Ini duit."

"Hah?"

"Duit... Duit bayar kuih ni."

"Oh! Ya! Ya!" Aku menyambut duit kertas RM20 dari tangannya. Nasiblah kalau Cahya tengok muka aku hodoh terlopong memandang dirinya. Ya, Allah! Sungguh tak sangka jumpa di sini! Masih ada peluang lagi aku memandang wajah jernih yang matanya bercahaya macam bintang timur!

Aku tak pasti Cahya ingat atau tidak diri aku. Sudah bertahun-tahun tak jumpa. Aku memang tak akan pernah lupa nama dia. Sentiasa ingat wajah dia terutama mata yang cantik itu. Dan, ya, tadi sebelum masuk ke kereta, Cahya senyum pada aku. Lebih dari cukup bagi aku bila dapat hadiah senyum dari Cahya. Aku mengamati kereta hitam yang membawa Cahya pergi sehingga hilang kelibat dirinya.

"Kau kenal kan minah tu?"

"Kenal?"

"Kau jangan nak membongak dengan aku!"

"Abang tanya kan... Kita kata kenal nanti tak percaya pula."

"Eh, kawan kau ke Edan?"

"Masa kecik-kecik dulu. Mak pernah ambil upah cuci rumah dia." Aku memang ingat sangat mak pernah bekerja di rumahnya. Rumah orang kaya yang banyak mainan, mahu aku tak ingat!

"Kinah, kau kenal tak budak tadi?" Abang Mail masih tidak puas hati.

"Budak mana?" Aku tahu Kinah sengaja buat bodoh.

"Yang datang tadi."

"Budak perempuan tu?" Sakinah bertanya sambil tangannya pantas mengangkat cempedak goreng ke dalam bekas besar.

"Budak perempuanlah. Kalau lelaki abang tak tanya." Jujur sungguh Abang Mail. Aku sudah menggeleng. Malas mahu melayan sebetulnya.

"Kenal-kenal gitu ajelah. Dia tu glamor. Orang lawa, semua batch, semua fakulti kenal," sahut Sakinah.

"Makna Kinah dengan Edan memang kenallah, ya?"

"Kami memanglah kenal." Aku menyampuk.

"Ke kau aje yang berangan ni? Minah tu tak kenal pun kau, kau yang perasan?"

Abang Mail macam biasa suka sangat menyakat.

"Kita tipu abang pun, apa kita dapat!" Kinah memotong ayat abangnya.

"Kalau kau kenal, siapa nama awek tu?"

"Cahya Kartika." Serentak mulut aku dan Sakinah menyebut nama budak itu.

"Hah?" Abang Mail seperti ternganga.

Aku menoleh ke arah Abang Mail. Apa hal buat muka terkejut pula?

Sakinah menggumam. "Mengada-adalah tu!"

"Apa nama dia... Ulang balik?" Bunyi deruan kereta di hadapan gerai menyebabkan Abang Mail tak berapa tangkap apa yang aku sebutkan.

"Cahya Kartika."

"Biar betul!"

Aku malas mahu melayan Abang Mail. Pantas aku menyudahkan kerja. Ada sedikit lagi berbaki putu piring untuk dikukus. Kebetulan ada yang mahu membeli cempedak goreng, Sakinah jadi sibuk melayan pelanggan.

"Anak siapa? Dia tinggal mana?" Abang Mail sibuk mengendeng bertanya. Aku angkat bahu. Sakinah sudah terjuih mulut.

"Anak mak pak dialah!" Sengaja aku jawab begitu.

"Sombonglah kau ni."

"Abang Mail tanyalah sendiri lain kali."

"Kalaulah dia datang lagi."

Aku menggeleng. Meluat sebenarnya. Abang Mail memang tak boleh jumpa perempuan muka cerah sikit! Cepat aje nak tulang rusuk, tulang dada dia bergetar!

"Kau tolong doakan, ya... Sebelum habis cuti semester akhir ni, aku dapat jumpa Si Cahya tu."

"Huh! Berangan tak sudah!"

"Kalau abang dapat awek macam tu punya comel, abang bela baik-baik! Simpan, kunci dalam peti besi, tak bagi keluar ke mana-mana!"

"Geli! Minah tu confirm sehalus kuman pun tak ingin nak kenal abang," sindir Sakinah.

"Tak cuba, tak tahu!"

"Pirahlah, Abang Mail! Belajar tak habis lagi, takat jual pisang goreng, karipap tepi jalan time cuti, berangan nak awek meletop macam tu!"

"Hesy, kau apa tahu?! Kau budak mentah! Ni abang budak farmasi, bakal usahawan berjaya. Hah, mana nak cari budak farmasi sanggup jual pisang goreng dengan karipap tepi jalan time cuti! Calon suami mithali ni!"

"Bluerk!" Semakin berbulu telinga aku mendengar ayat Abang Mail. Tidak lama kemudian, aku terbau sesuatu.

"Abang, hangus karipap tu! Ya Allah! Sibuk selfie pula tepi kuali! Sengallah!" Aku terjerit apabila ternampak kuali sedikit berasap.

"Kau diamlah! Ni siap-siap bersikat, lap peluh, ambil gambar buat bagi Cahya!"

"Dalam mimpilah! Minah tu duduk mana kita pun tak tahu!"

Dan petang itu aku jenuh menyabarkan hati daripada termuntah tujuh kuali mendengar angan-angan Abang Mail tentang Cahya. Baru sekali terjumpa tepi gerai ni pun dah jauh ke langit ketujuh angan-angan Abang Mail.

Esoknya, selepas zohor kami sudah membuka gerai macam biasa. Biarpun ini cuma kerja sementara, lepaslah untuk aku cari duit buat beli topup. Selagi Abang Mail belum daftar semester baru, selagi itulah aku dan Sakinah membantunya. Tiba-tiba Abang Mail menghampiri aku. Berbisik-bisik sangat suaranya. Takut Sakinah terdengar agaknya.

"Edan, kau kenal ya budak perempuan tu?"

"Budak yang mana?"

"Alah, yang nama dia pelik tu..."

"Yang mana satu ni?" Sungguh aku kabur.

"Yang semalam tu!"

Abang Mail tersengih bila aku menyebut, "Oh Si Cahya!"

"Apa nama penuh dia?"

"Cahya Kartika."

"Klasik betul nama dia. Macam nama lagu siaran radio Klasik Nasional!"

"Ke dia lahir waktu Deepavali?! Pesta Cahaya."

"Bongeklah kau!"

"Jangan beranganlah, Abang Mail. Dia datang beli putu piring tu pun kebetulan aje kot dia lalu sini." Dan tiba-tiba hujung mata aku tertangkap wajah Abang Mail tersenyum-senyum sendiri sambil menghidupkan api kuali. Dia bagai berbisik.

"Cahya Kartika. Adik Cahya." Tapi aku masih mampu mendengarnya. Aku sedikit meninggikan suara. Lain benar bunyi suara Abang Mail.

"Hah! Dah kenapa ni? Seru-seru nama minah tu? Abang Mail jangan nak bukan-bukan, ya!"

Abang Mail tertawa terbahak-bahak. Cuping telinga aku rasa macam tersagat dengan kertas pasir mendengar dekah Abang Mail. Malas mahu melayan, aku terus menyusun putu piring yang sudah masak dan masih panas berasap ke dalam bekas. Dibubuh satu bekas lima keping dan disimpan kemas di dalam termos besar.

Sakinah menjeling sambil dia macam biasa menghadap kuali panasnya. Muka Sakinah yang putih melepak itu, memang tampak terpanggang merah kerana bahang panas.

"Masya-Allah! Edan... Muka 50, dada 40, pinggang 50, punggung 40, manis seksi 18! Jumlah besar 198 per 100, bro! 198/100! Perghhh, makhluk ciptaan Tuhan paling seksi ni!"

Apa Abang Mail merepek ni?! Mata aku masih menunduk, tangan pantas susun putu piring. Abang Mail berbisik lagi. "Edan, dia datanglah!"

"Hah?" Tangan Abang Mail mencepuk kepala aku. Halkum aku tersekat.

Aku memandang ke depan. Sungguhlah! Itu kelibat Cahya. Dia keluar dari kereta. Tak fasal-fasal aku tumpang terpegun. Betullah! Semalam tengok cantik. Hari ni nampak lagi cantik!

Sakinah tiba-tiba macam menghempas sudip ke dalam besen. Isyarat meluat dengan perangai Abang Mail. Tapi Abang Mail tetap selamba.

"Edan, budak ni dia tak makan nasi kot! Dia makan api, dia makan mentol, dia makan lampulah abang rasa! Muka dia tu! Nampak bersinar-sinar!"

Abang Mail terus berbisik. Kami terus terlopong memandang. Semua benda terasa pegun seketika.

"Abang, Kinah nak pergi tukar duit syiling kejap." Aku tahu Sakinah menyampah. Sengaja mencari alasan untuk tukar duit kecil di Restoran Ibrahim Maju. Tapi Abang Mail sudah terpukau. Haram tidak menoleh ke arah Sakinah. Tumpuan hanya satu di hadapan kami.

Dia menuju ke arah kami. Sumpah aku rasa gelabah. Dia senyum dari jauh. Aduhai, macam ada cahaya pelangi pula aku rasa menyimbah dari langit ke gerai kami ini. Gerai yang kami bina dengan tenaga jantan dari kayu dan zink terpakai ni tiba-tiba terasa mengerlip-ngerlip. Macam ada lampu lip lap yang selalu orang bubuh dekat lampu Krismas tu. Terasa aura budak cantik ni memang penuh kilau cahayalah! Sesuai nama dia Cahya.

Bahang api dari periuk kukus aku pun tak terasa. Tiba-tiba rasa nyaman aje! Betul! Aku tak tipu! Itu yang aku rasa!

"Hai! Adik nak apa? Nak pisang goreng abang? Nak karipap?"

Ramah sungguh Abang Mail biarpun aku rasa skrip dia sedikit klise.

"Putu piring nak lima bekas."

"Okey, biar abang ambilkan."

Rajin pula Abang Mail dan aku tak fasal-fasal rasa macam tunggul mati dekat situ. Mata aku tajam mengamati tangan Abang Mail. Eh, orang nak lima kotak, apa hal dia bubuh enam?

Cahya hulur duit. Pantas tangan Abang Mail menyambut. Sungguh rasa nak tujal kepala Abang Mail. Selalu membebel kalau aku tercegat. Ini dia gila kuasa pula!

"Eh, saya nak lima aje, kenapa ada enam ni? Lebih satu kotak ni."

"Abang dah niat nak bagi adik. Sedekah dari abang tu. Seronok sangat bila pelanggan ulang beli kuih kami."

Memang terlopong aku mendengar. Cewah, bukan main lagi Abang Mail. Sedekah jariah, ya! Helo, kuih putu piring tu modalnya dari kocek aku! Apa hal kau pula bersedekah?!

Tapi aku kawal mulut dan ketap bibir rapat-rapat.

"Terima kasih ya, abang..."

"Abang Mail! Panggil Abang Mail aje... Ni adik siapa nama?" Pirahlah mabuk! Buat-buat tanya pula! Aku rasa kembang muka aku menahan panas hati.

"Saya Cahya Kartika."

"Cantik nama! Macam orangnya!"

Aku lihat Cahya menelan senyumnya semula. Hah! Padan muka Abang Mail! Ingat minah ni spesies anak ayam yang main redah patuk dedak apa!

Sebaik sahaja kelibat Cahya hilang di dalam kereta dan berlalu pergi, macam lahar gunung berapi aku bebelkan Abang Mail.

"Amboi, Abang Mail! Kemain, ya?" Mamat itu terseringai sambil tunjuk peace dan terus mencelup pisang yang dah siap dipotong ke dalam bancuhan tepung.

"Kalau saya cakap pada pelanggan, keep the change takat 10 sen, seminggu abang mengungkit. Rugilah! Berniaga jangan lembut hatilah! Nak sedekah biar kat anak yatim. Habis tu, tadi satu bekas putu piring bagi kat minah tu apa kes?"

Memang aku tak puas hati sungguh! Selamba aje Abang Mail pandai-pandai bagi percuma pada minah tu.

"Abang bayar balik kat saya! Rugi saya hari ni tau empat hinggit!"

"Aku bayarlah! Aku bayar kat kau nanti!" balas Abang Mail sambil menyeluk kocek dan menghulurkan empat ringgit kepadaku, sebelum merungut kata aku kedekut.

Pantas aku membidas. "Abang yang pesan berniaga bukan amal jariah."

"Aku bukan buat amal jariah! Ni pelaburan masa depan."

"Alah, abang buat baik dengan budak Cahya tu dapat apa pun! Student lagi!"

"Dia ni mesti hot cakes dekat kampus, kan? Badan bergetah! Macam madu kelulut tahapnya. Mahal! Kau tu lelaki. Takat freshie macam kau, tak laku lagi! Tak ada hasil. Dada pun tak bidang lagi. Lainlah perempuan macam Cahya... Kau tengok badan dia, mekar gitu! Pergh!"

Astaghfirullah! Aku terasa mahu muntah di dalam kuali minyak panas Abang Mail. Tapi macam biasa, muka aku maintain buat macam tak ada perasaan.

"Kau ni memang hati batu belah batu bertangkuplah! Orang cerita fasal perempuan pun kau macam tak ada nafsu!"

"Hati biar iman yang jaga." Sesekali aku smashed juga Abang Mail. Dia tersengih-sengih.

"Eh, kejap... Kau kata dia student. Makna kau tahu dia studi dekat mana? Satu kampus dengan engkau dan Kinah ke, Edan?"

"Taklah! Dia tu anak orang have-have. Dia belajar pun pakai duit sendiri. Bukan macam kita. Dia nun dekat Nottingham tu." Cerita aku sambil menoleh ke arah Abang Mail dan kemudian terjerit. "Api kuali kuat tu! Hangus pisang goreng."

"Oh, dia studi pakai duit sendiri."

"Anak orang kaya, Abang Mail."

"Kau ni, cuba semangat sikit! Sekarang bukan macam cerita drama tv waktu maghrib tu. Orang kaya kahwin orang kaya, orang biasa kekal merempat. Tak cuba tak tahu! Mamat biasa nama Ismail ni penuh wawasan, okey! Mahasiswa berwibawa gitu!"

Tambah bernanah telinga aku mendengar ayat Abang Mail. Ringan aje mulut aku nak menjawab. Peduli apa kalau dia sentap.

"Huh! Itu kalau tak sangkut belajar! Kalau tak mengulang tahun... Asyik berangan macam ni... Pesakit yang jumpa Abang Mail nak ubat, boleh mati kejung dekat katil hospital tau."

"Hei, mulut kau jangan cabul, ya! Kau tu tak tahu nasib lagi."

"Yalah! Yalah... Abang tu budak pandai. Budak farmasi. Saya ni budak accounting aje! Hobi main silat. Berkawan pun dengan pak cik-pak cik pencen yang duduk masjid."

"Hah, tambah lagi satu... Kau tu pun gila breakdance! Terkinja-kinja rekod syok sendiri bubuh kat YouTube! Kau ingat aku tak tahu? Jangan nak bajet alim pula, ya!"

"Hish, abang jangan cakap kat mak pasal YouTube tu! Mati saya kena cincang dengan mak abah."

Gilalah! Memang berderau darah aku. Hei, macam mana mamat ni tahu aku ada buat kerja bodoh tu?!

"Hah! Boleh! Boleh! Aku tutup mulut. Tapi kau tolong aku."

Lain macam benar bunyi suara Abang Mail. Sambil dia membalik-balikkan pisang gorengnya, dia terseringai sendiri. Aku memandang penuh cuak. Terhenti kejap nak kukus putu piring batch kelima.

"Bro, aku nak deal dengan kau."

Berkerut aku pandang Abang Mail.

"Kau jangan cakap pada Kinah."

"Hah?"

"Ya! Jangan pecah lubang pada Kinah. Kalau tak, aku hempuk kau dengan kuali."

"Deal apa?"

"Kau tolong aku buat puisi cantik-cantik."

"Puisi?"

"Kau kan pandai bab-bab jiwang ni."

"Mana reti."

"Jangan nak acah-acah merendah diri pula!"

"Buat apa?"

"Kalau Cahya beli kuih esok, abang nak masukkan puisi dalam beg plastik kuih."

"Erkkk..." Beli putu piring dapat free gift kad sajak? Tak relevan sungguh! Kunolah cara tu!"

"Nak, tak nak? Kalau tak aku tunjuk mak kau, video kau dalam YouTube yang kau terkinja-kinja macam anak beruk tu! Sure mak abah kau malu. Depan orang tua, kemain kau tunjuk muka suci, ala-ala bersih jernih air muka berwuduk. Siap jadi tukang azan dekat masjid, dekat surau... Haha. Belakang orang tua, kau berangan nak jadi retis, kan!"

"Kejap... Kejap! Abang ni dah kenapa?"

"Dah kenapa apa pula?"

"Bukan dulu abang selalu menganjing saya ke? Kerja-kerja tulis sajak, tulis cerpen ni kerja berangan! Buang masa. Sejak bila sajak ni penting dalam hidup abang? Abang kan budak sains!"

"Kau jangan banyak bunyilah!"

"Saya tanya aje!"

"Kau nak aku tunjukkan tak YouTube tu pada mak kau? Kalau dia tengok, mesti kau kena ketuk dengan tempat kukus putu piring tu."

"Janganlah!"

"Kalau tak mahu aku jumpa Mak Cik Syimah, baik kau buat! Hah, sia-sia kau kena talkin dengan mak kau!"

Hadoi! Terasa mahu terjun dan berenang dalam kuali panas tu! Kejam benar bunyi ugutan Abang Mail!

Ya, aku tak ada pilihan.

Dan esok, aku tak fasal-fasal kena pecah kepala fikirkan puisi. Aku jugalah yang dikerah Abang Mail untuk bawa siap-siap pen dan poskad kosong. Aku sangkakan, dia yang tulis pada kad itu. Sudahnya aku juga yang disuruh tulis cantik-cantik. Alasan, tulisan dia macam cacing kerawit. Sakinah beberapa kali menegur.

"Kau dah kenapa, Edan?"

"Tak ada apa."

"Asyik pegang pen, pegang kertas. Jadi sasterawan ke cari ilham?" Sakinah menyindir sambil mengecilkan api kuali. Aku geleng. Tak berani mahu bercerita apa-apa fasal Abang Mail.

Mamat senget ni cuma bawa minyak wangi untuk disembur pada poskad yang aku bawa. Jenuh aku nak karang sampai tiga puisi. Sudahnya aku belasah aje apa yang aku terlintas. Satu fasal cahaya nurani, satu fasal cinta kemanusiaan dan satu fasal ketuhanan. Entah ya, entah tidak, aku susun ayat mana yang sempat. Setiap kali mahu bergosip atau menyebut fasal Cahya, aku pastikan Sakinah tiada di situ. Tunggu dia pergi tukar wang atau membeli tepung di kedai Aceh.

"Orang sekarang tak mainlah pakai-pakai surat, pakai puisi sajak ni, Abang Mail! Ni era WeChat la! Budak perempuan sekarang nak yang ada duit. Takat kita duduk berniaga dekat sini, takkan dipandangnya Si Cahya tu pada abang."

"Kau jangan banyak cakap! Buat aje. Yang old school ni bikin jiwa kacau!" Terkekeh-kekeh Abang Mail tergelak.

Aku mengetap bibir sambil merenung wajahnya, dan aku yang memang tak sayang mulut pantas mengejek. "Muka dah berjerawat tu ada hati nak mengurat anak dara orang."

"Muka bersih macam kau tu tak akil baligh lagi! Muka jerawat macam aku nilah nampak macho, nampak jantan!"

Terjuih bibir aku mendengarnya.

"Abang confirm ke Cahya singgah sini hari ni?"

"Kalau tak singgah pun tak apa. Yang penting, aku dah siap-siap sajak tu."

"Ayat tu betulkan sikit, ya. Saya yang karang sajak tu! Bukan abang."

"Alah, benda gitu pun nak berkira."

Dan, aku benar-benar terkejut. Sebelum kami menutup gerai, memang Cahya muncul. Macam biasa, Sakinah langsung tak berbunyi. Buat-buat sibuk dengan kerja mengemasnya. Tapi aku tahu dia pasang telinga.

"Adik memang muka rezeki. Ngam-ngam ada empat bekas lagi putu piring."

Aku yang sedang mengemas barang, menjeling mendengar Abang Mail kelentong. Pirahlah! Banyak Cahya punya rezeki! Dah memang kau asingkan siap-siap, kau kata tu rezeki Cahya. Kalaulah Si Cahya tak datang, jenuh aku pula yang nak kena perhabiskan makan sendiri empat bekas yang tak laku tu.

"Terima kasih, abang."

"Sama-sama kasih, adik."

Erkkk... Loya tekak aku.

"Eh, apa ni?" Cahya menyedari ada poskad di dalam bungkusan plastik kuihnya.

"Oh, itu tanda kami hargai pelanggan setia macam adik."

Cahya berkerut. Subhanallah! Cantik mata itu! Bundar dan jernih! Dan kemudian dia tersenyum. Abang Mail tersengih bangga sebelum terkinja melompat.

"Yeszaaa! Sikit lagi! Sikit lagi!"

Aku kabur sesaat mendengar ayat Abang Mail. Apa yang sikit lagi?

Agaknya memandang aku yang terpinga-pinga, dia mencepuk kepala aku dengan tangan kasarnya.

"Kau ni beballah! Sikit lagi anak burung makan padi dalam tangan!"

"Huh, sejak nak mengayat perempuan ni, pandai pula abang budak farmasi ni cakap bahasa sastera klasik, ya?"

"Kau diamlah!"

Esok dan lusa, Abang Mail kekal dengan misinya. Aku tak kuasa nak campur. Sakinah lagilah. Memang buat bodoh, haram tak bertanya. Bila Cahya datang membeli putu piring, aku buat-buat sibuk mencelup pisang ke dalam bancuhan tepung untuk digoreng. Abang Mail dengan penuh bahagia berlagak macam dialah tauke putu piring. Tapi pada hari ketiga Abang Mail berstrategi, aku tergamam. Mujur saja tangan aku tak tercelur dalam minyak panas kuali pisang goreng. Sakinah sama memanjangkan leher, mencuri-curi dengar biar tangannya mengumpul kulit cempedak untuk dibungkus dan dibuang.

"Hari ni saya tak mahu beli putu piring. Ada lagi kad sajak untuk saya?"

Dush! Aku terlopong memandang Cahya. Sakinah terbeliak. Haha! Padan muka Abang Mail. Pecah tembelang.

"Errrkkk... Erk..." Aku sempat menoleh ke arah Abang Mail. Padan muka! Terkulat-kulat mamat tu!

"Ni siapa yang bagi sebenarnya?"

"Eh, mestilah abang yang buat. Tengoklah ayat bombastik tu macam mana, mestilah abang yang tulis. Ada gaya A. Samad Said, kan?"

Wah! Acah-acah polos, jujur, macho, jawapan Abang Mail. Aku buat tak reti aje. Sumpah malas nak masuk campur.

"Abang tulis ke?"

"Ya Allah! Tak percaya ke? Sumpah abang yang buat khas untuk Cahya."

"Oh! Okey." Aku terasa tiba-tiba. Mata jernih yang selalunya redup cahayanya itu, menjeling ke arah aku. Panahan mata itu sinis dan berapi.

"Kenapa, Cahya? Tak suka ke?"

"Abang dah masuk universiti, kan? Lecturer tak ajar pasal plagiarism ke? Atau abang rasa plagiarism ni sejenis jenama tepung pisang goreng abang?"

Ah, sudah! Aku terasa mahu bungkus gerai waktu itu juga! Gila kantoi! Aku menoleh ke arah Abang Mail. Terkulat-kulat dia menjawab.

"Hah? Plagiat ke? Ada. Memang pensyarah abang ada sebut. Abang ambil course farmasi, jadi abang reti la juga bahasa omputeh ni. Plagiat tu sama dengan plagiarism, kan dik?"

Aigoo! Abang Mail ni gila apa! Macam mahu terbelahak tekak aku waktu itu. Nampak benar riak Abang Mail bila menyebut fasal dia tu budak farmasi. Aku nampak mulut Sakinah mencebik.

"Oh... Farmasi?" Mencerlang mata Cahya merenung sinis Abang Mail yang tersengih tidak sudah.

Dan, ayat Cahya yang seterusnya cukup membuat aku rasa mahu menutup muka dengan pengukus putu piring aku. Entah kenapa, aku tumpang senak perut.

"Mesti abang ni kaki tiru assignment? Kalau dah poem pun abang nak tiru... Hmmm..."

Abang Mail garu-garu kepala. Jelingan maut dia bagi pada aku. Mulut terkumat-kamit bila buat eye contact dengan aku. Sakinah tukang perhati dari tepi kuali.

"Tiru?"

Abang Mail mengangguk. Cahya semakin garang. Aku yang mengecut.

"Lain kali nak tiru pun, tengoklah dulu. Saya ni sidang editorial jurnal kampus saya. Saya yang edit sajak-sajak tu."

Dush! Macam satu penumbuk yang bersengat hinggap ke pipi aku. Terasa kepala sedikit kembang!

Erk... Apa hal Abang Mail pandang aku? Macam aku pula yang cari gaduh dengan Si Cahya. Tangannya meraba-raba kepala.

"Abang, tak elok menggaru kepala. Gugur rambut masuk dalam kuih tu nanti."

Gosh!

Perempuan cantik ini mulutnya bisalah!

Abang Mail tersipu-sipu sudahnya. Aku lihat dia serba tak kena. Berdiri pun tak boleh nak tegak. Tak fasal-fasal dipegangnya kuali, terlupa kuali itu panas. Capai sudip, sudip pun nak terlepas ke tanah. Mulut Sakinah tampak terlopong.

"Tak apalah, bang. Abang simpan ajelah ya kad-kad abang ni. Zaman sekarang dah outdated dah style tackle awek macam ni, orang tak pakai kad-kad bau wangi ni!"

"Eh, simpan ajelah. Buat apa nak bagi balik? Mana tau nak guna buat kraf ke, kan." Abang Mail cuba buat lawak bodoh dalam senyum hambar yang tak putus. Aku sudah terketar-ketar dan pegun di tepi kuali panas. Malu wei! Rasa mahu meniarap di bawah gerai waktu itu!

"It's okay, thanks but no thanks." Cahya meletakkan kad-kad di atas meja gerai. Sempat dia menjeling ke arah aku. Terasa jiwa aku melecur dengan kerlingan itu. Huh, dah kata thanks, lepas tu no thanks pula!

Dan aku tahu, sebaik saja kelibat Cahya hilang di depan kami, maka bermulalah detik perang saudara aku dengan Abang Mail. Sakinah pula ketawa terbahak-bahak.

"Hah, padan muka abang! Sengal, kan... Nak buat tu tak fikir ke?"

"Kau diamlah, Kinah!"

Aku sendiri menahan gelak.

"Wei, kau ambil dari mana poem tu semua? Kau ni buat malu aku ajelah!"

"Mana saya nak cekau sampai tiga sajak? Saya ambil ajelah daripada mana-mana yang ada. Ingat saya ni cucu cicit Sasterawan Negara ke?"

"Ngok ngeklah kau!"

"Hilang dah Cahya aku!"

"Alah, dia tu pun acah aje... Baik abang cari lain aje, banyak lagi cahaya lain ada!"

"Kau punya fasallah ni!"

"Lain kali cermin muka tu dulu. Minah Cahya tu merak kayangan, abang ni gagak di rimba yang gelap-gelita!" sindir Sakinah sambil tercebik bibir.

Kalau boleh dikira, ditimbang dan disukat, agaknya berguni-guni carutan Abang Mail pada aku.

"Kalau tak, aku dah dapat Si Cahya tu!"

"Pirahlah!"

"Abang Mail ni tak sedar diri kenapa?" ejek Sakinah.

"Kau memang bikin kacau program!" Sakinah masih tak habis ketawa.

"Apa nak susah hati? Tiap tahun ada pesta cahaya. Pesta Deepavali tak lama lagi. Jangan sedih sangat!"

Sengaja aku membakar Abang Mail.

Dan sejak itu aku tak nampak lagi kelibat Cahya beli putu piring di gerai kami.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co