Truyen3h.Co

MANUSKRIP CINTA

BAB 7

karyaseni2u

"Eh... Kau buat apa kat sini? Aku kan jumpa kau tengah hari. Ini belum tengah hari, kan?"

Terkejut Gee bila aku dah muncul di depan farmasi awal pagi. Dia baru saja menyarungkan baju putihnya itu. Dah macam doktor pula aku tengok.

"Tak menyempat betullah kau ni."

"Aku temankan tunang Rian. Dia nak cari Rian."

"Tunang Rian? Dr. Rian yang menyewa sebelah rumah kau, cardiologist hospital ni?"

"Ada banyak Dr. Rian yang kau kenal ke?"

"Tak adalah banyak. Sorang saja. Mana tunang dia? Nak tengok sikit rupanya macam mana."

"Aku dah hantar dia kat klinik tunang dialah. Aku nak pi buat apa?"

"Laaa... Kenapa aku tak tahu yang Rian dah ada tunang?"

"Aku tahu awai lagi. Rian beritahu aku lima minit selepas pertama kali dia jumpa aku."

"Kenapa kau tak beritahu aku? Mula-mula aku ingat, dia tu playboy. Sebab kalau dalam group orang perempuan tu, dia mesti terselit. Rajin dia melayan staff nurse kat sini."

"Terlajak laris sangat ke mamat tu?"

"Of courselah. Dr. Rian Akasyah kut!"

"Penyewa rumah sewa aku aje..."

Gee mencebik. "Cehhh!"

"Tapi, bila aku tengok dengan muka jambu dia tu dan kesopanan serta kesusilaan dia melayan perempuan-perempuan merenyam kat hospital ni, aku ingatkan dia gay! Rupa-rupanya... Member dah bertunang. Alkisahnya!"

Rian... Memanglah muka jambu sikit. Tapi, bagi aku, itu biasa saja. Yang luar biasa ialah kisah cinta dia dengan Helena. Itu lebih menarik. Kenapalah Rian mengelak bila Helena datang ke sini? Pelik tak? Pelik sangat. Kalau aku, aku sangat teruja kalau tunang aku datang melawat aku. Kenapa tidak, Rian?

Haih...

Selagi aku tak tahu apa masalah Rian, selagi itulah sukar untuk aku tulis cerita tentang Rain. Yalah, sebab aku asyik terfikir pasal Rian saja. Kacau kepala otak aku!

Aku kena divert...

"Mana?"

"Mana apanya?"

"Boyfriend akulah."

"Hesy... Tengah harilah. Kan aku kata tengah hari. Kau ingat boyfriend tu datang macam parcel pos laju ke? Agak-agaklah!"

"Kalau boleh aku nak bercinta sekarang. Sebab aku ada deadline ni. Sebelum pesta buku aku dah kena hantar."

"Yalah... Yalah. Dia pun kerja juga. Tak semua orang cuti 365 hari macam kau. Sabarlah."

"Dia kerja apa?"

"Doktorlah."

"Perghhh... Boyfriend aku seorang doktor?"

"Dan dia gay."

"Haihhh? Gay juga!"

Semua doktor kat sini, Gee anggap gay ke apa? Rian pun gay... Yang bakal boyfriend aku ni pun gay! Biar betul Gee ni?

"Apa hal kau cari gay pula yang jadi boyfriend aku? Boleh ke seorang gay mencintai seorang perempuan? Kan gay mencintai lelaki?"

"Kau ada beza ke dengan lelaki?"

"Ceh!"

Gee ketawa.

"Biar betul kau ni?"

"Betullah. Itu memang confirm gay sebab dia kawan baik Eff. Eff yang cakap dia gay."

Gila Gee... Gay pula perginya. Tak ada ke calon baik sikit? Macam mana nak bercinta lagu ni? Makin tak feellah aku. Haih, terbayang-bayang manuskrip aku duk dalam tong sampah Kak Adibah. Tong sampah dia, tong sampah besar yang warna hitam pula tu!

"Dah kau nak pun, tak dan tak dan. Kau ingat aku ni, ejen cari jodoh ke? Semua penyakit memang ada ubat tapi bukan semua orang akan bertemu cinta tau."

Aku mencebik bibir. "Bagi aku ponstan... Aku pening dah ni."

"Tapi dia ada syarat..."

"Pula!"

"Dia sanggup jadi boyfriend kau tapi kau kena jadi girlfriend dia gak. Bukan one way job tapi two way job!"

"Errr... Aku nak up daripada Ponstan. Ada tak?"

"Ada, iblis."

Hesy!

Aku minta Ponstan bukannya Pon-syaitan!

Gee ketawa.

Aku ingat, aku dah gila... Tapi, Gee lagi gila.

"Dahlah aku nak masuk kerja. Nanti bising bos aku. Kau nak lepak sini atau nak balik?"

"Aku nak cari Helena lepas tu aku nak balik kalau lambat lagi nak sampai tengah hari. Lagipun, tak susah nak dapat parking. Parking untuk jururawat kat hospital ni, dah macam parking untuk aku dah."

"Tengah hari ni... Jangan lupa."

"Yalah!"

Aku meninggalkan Gee, aku cari Helena di klinik Rian. Hospital ni, dah macam hospital aku. Dulu masa arwah ayah sakit, aku duduk di sini berbulan-bulan lamanya. Jadi, aku dah biasa. Setiap lorong aku dah tahu. Macam-macam cerita aku dapat. Banyak cerpen aku siapkan sehingga aku berani untuk tulis cerita seram. Tapi, tak dapat sambutan pula. Mungkin betullah cakap Kak Adibah, aku kena berjumpa dengan hantu untuk tulis cerita hantu. Aku ingat aku dah cukup hantu untuk tulis cerita hantu. Rupa-rupanya, belum tahap hantu lagi perangai hantu aku ni.

Harap uji kaji cinta tikus putih dengan doktor gay ni...

Menjadilah!

Silap hari bulan kena rombak lagi manuskrip aku!

Rain dianggap GAY?

Nak buat Rain tu gay?

Tak naklah!

"Diannn..."

Aku menoleh. Helena. Dia duduk di tempat duduk luar klinik Rian.

"Jumpa tak Rian?"

"Dia dalam bilik OT. Tapi saya dah sampaikan pesanan pada assistant nurse dia."

"So, awak nak balik?"

"Awak rasa?"

"It's your father. Not his. Awak kenalah balik."

"Tapi saya dah kena halau. Kalau saya tak datang dengan Abang Rian... Macam mana? Mesti papa lagi marah!"

Pula!

Apa hal sampai kena halau ni?

Complicated sangat ni...

Adakah sebab Helena kantoi kerana bercinta dengan orang lain belakang keluarganya dan menghancurkan harapan keluarga mereka nak menyatukan Rian dan Helena? Tapi Helena kan dah putus cinta! Apa masalahnya? Kahwin sajalah dengan Rian. Perkataan Mungkin lepas ini tu seakan-akan bermaksud, Helena sudah reda dan akan teruskan perkahwinan dengan Rian, kan?

Aku tak rasa kisah Rain dan Elena akan jadi sepayah ini. Aku ingat nak buat cerita romantik komedi biasa. Kenapa nak selit juga jalan cerita yang complicated macam ni?

Tak boleh...

Kisah Rain dan Elena hanya setakat mereka bertunang olok-olok dan Elena putus cinta. Sekarang, sewaktu Rain sedang bercinta dengan Nia, Elena muncul dan minta Rain serius dengan pertunangan mereka. Rain tersekat antara pilihan keluarga dan pilihan diri sendiri. Elena pula tahu siapa Nia dan mencuri manuskrip itu. Dia berikan pada Rain dan Rain memilih Elena.

Itu saja.

Elena tak kena halau.

Cerita tak complicated.

Tapi... Boleh jadi kena halau lepas Rain beritahu semuanya pada keluarga Elena kenapa dia lari ke Ipoh dan buat endah tak endah dengan pertunangan itu.

Kan?

Heh...

Nak juga kena halau!

Ops...

Fokus, Dian!

Sekarang cerita Helena dan Rian. Aku pandang Helena... Pelik. Banyak persoalan yang timbul dan aku mula mereka-reka plot.

"It's complicated, Dian."

Hidup kalau tak ada cabaran, bukan namanya hidup.

Macam aku... Yang nak kena cari cinta yang datang macam siput ni. Orang lain, nak dapat cinta senang saja. Aku? Nak kena bercinta dengan mamat gay semata-mata nak lepaskan manuskrip yang satu ni...

Haih.

Complicated sangat hidup aku!

"Saya tak nak complicatedkan keadaan yang sememangnya dah membebankan awak. Tapi saya rasa Helena, lebih baik awak balik tengok papa awak dulu. Kalau nak tunggu Rian ni, saya tak tahulah berapa lama. OT kan selalu berjam-jam. Jantung kan bukan benda main-main. Ada satu saja dalam badan. Awak lebih faham daripada saya. Kalau apa-apa jadi nanti, saya tak nak awak pula yang menyesal."

Helena memandang aku. "Betullah apa yang Abang Rian cakap pada saya... Awak memang baik. Saya datang sini sebenarnya untuk memujuk Abang Rian kembali pada saya. Kembali kepada pertunangan ini. Tapi, awak melayan saya dengan baik, saya tak sampai hati untuk putuskan cinta awak dan Abang Rian. Saya dah rasa peritnya putus cinta. Saya tak nak awak dan Abang Rian terasa peritnya. Lagipun, saya dah salah buat pilihan dan sudah terlambat."

Dahi aku berkerut. Aku tak faham. Apa hal masuk cerita cinta aku dan Rian ni? Bila masa aku dan Rian bercinta pula ni?

"Errr... Kejap!"

"Saya tahu Dian, awak bercinta dengan Abang Rian! Awaklah yang Abang Rian selalu cakap pada saya."

"Saya dan Ri..."

"Ena..."

Rian tiba-tiba muncul depan aku dan Helena.

"Abang dapat mesej Ena. Ena naik kereta atau tumpang Dian?"

"Kereta Ena. Kami datang asing-asing."

"Kita balik naik kereta Ena. Biar kereta abang kat hospital. Jom kita balik sekarang."

Helena mengangguk-angguk. Rian memandang aku. Dia menarik tangan aku dan meletakkan kunci rumahnya.

"Dian, ini kunci rumah saya. Awak tolong tengok-tengokkan rumah saya, ya? Pokok herba..."

"Ya, saya siramkan."

"Thanks, Dian."

Thanks, Dian?

Cinta apaaa?

Cinta celah mana? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co