Bab 1
LELAKI itu berjalan perlahan melalui lorong kecil berturap tar hitam. Di sepanjang lorong itu ditanam pokok-pokok keladi renek pelbagai warna, tersusun rapi di dalam pasu yang agak besar saiznya. Di sekeliling kawasan itu juga ditumbuhi pokok pelbagai jenis, sehingga lorong itu teduh dari pancaran matahari. Raut wajah lelaki itu yang dibayangi keletihan, seakan-akan terhibur apabila dia melihat keindahan daun-daun keladi yang lebar dan segar. Sekali-sekala angin petang bertiup lembut lalu mengusik ekor serbannya yang terdampar di atas bahu. Dia mengeluh perlahan sambil berharap tenaganya yang mulai sirna itu akan pulih. Mungkin dengan secawan kopi hasil air tangan anak perempuannya Marjaan, mampu memberikan sedikit kesegaran.
Bau aroma kopi yang harum seakan-akan singgah di deria hidungnya membuatkan dia mempercepatkan langkah. Beberapa minit kemudian, dia sudah pun berada di hadapan sebuah rumah kayu sederhana besar. Rumah itu dibina beberapa tahun yang lalu, semasa dia memulakan rancangan mendirikan sekolah pondok di kawasan ini. Hutan hijau yang mengepung persekitaran amat disenanginya. Dia tidak sabar hendak membangunkan tempat itu menjadi sebuah sekolah pondok yang lengkap.
Sekolah pondok ini didirikan hasil duit sumbangan orang ramai dan juga hasil daripada tabungannya sendiri. Sekolah ini asasnya adalah pengajaran al-Quran, kitab tauhid, fiqah, ulumul Quran, hadis dan nahu. Ia didaftarkan di bawah kerajaan negeri dengan memberi nama Sekolah Pondok Al-Muhaimin.
Tanah seluas sepuluh ekar itu dihadiahkan seorang dermawan apabila dia mendengar rancangan Ustaz Hanafi ingin mendirikan sebuah sekolah pondok. Tanah yang terletak di tengah-tengah hutan, berhampiran dengan Gunung Stong itu amat strategik sekali. Di situ juga terdapatnya aliran anak sungai yang jernih berasal dari gunung.
Setelah lima tahun, barulah segalanya terbangun seperti sekarang. Dia tersenyum puas tatkala memandang rumah papan daripada kayu terpilih yang diramu dari hutan berdekatan. Kayu meranti, merapoh dan nyatuh menjadi pilihannya untuk mendirikan rumah itu.
Tiba di tangga, dia membuka sandal lalu menyingsing sedikit jubah putih yang menjadi pakaian hariannya sejak menjadi mudir di Sekolah Pondok Al-Muhaimin. Di sini semua pelajar mengenakan jubah putih, berserban dan berkopiah hijau. Manakala pelajar perempuan mengenakan jubah putih serta purdah dan niqab putih atau hitam. Pada hari-hari tertentu jika ada keraian, mereka diwajibkan memakai jubah serba hitam berserta niqab.
Daun pintu kayu nyatuh ditolak dengan tertib. Sebaik sahaja pintu dibuka, dia terdengar suara Marjaan yang lantang datang dari dalam kamar tidurnya. Spontan Ustaz Hanafi menggeleng-geleng kesal. Pasti anak gadisnya yang berusia sembilan belas tahun itu memakai headphone dan menyanyi seperti orang mabuk.
Pantas dia berjalan laju menghala ke kamar tidur anak perempuannya itu dan menolak pintu dengan keras. Tetapi ternyata pintu berkunci. Dia mengetuk dengan agak kuat sambil beristighfar menahan marah dan geram.
"Eh, babah dah balik," kata Marjaan sambil membuka headphone yang melekap di telinga.
"Jaan! Dah berapa kali babah cakap, jangan menyanyi kuat sangat macam tu! Kat sini Jaan harus jaga tingkah laku! Bukan macam kat rumah mama Jaan di Kuala Lumpur tu." Ustaz Hanafi berkata dengan suara terkawal meskipun rasa marah meledak dalam hatinya.
Marah itu daripada syaitan. Justeru itu orang yang sedang marah harus segera beristighfar dan berselawat, hati Ustaz Hanafi seolah-olah mengingatkan dirinya sendiri.
"Babah... Jaan dah buat air kopi babah," kata Marjaan lembut, ingin meredakan kemarahan bapanya. Haluan perbualan diubah segera.
Ustaz Hanafi mengangguk sahaja. Marjaan terus menuju ke dapur lalu mengambil cawan. Dia menuang kopi yang sudah suam ke dalam cawan berwarna putih bersih. Ustaz Hanafi duduk di hujung meja, tempat kegemarannya.
"Ada pisang goreng ni, babah," Kata Marjaan lalu menyuakan piring berisi pisang goreng yang dibelinya di kedai di hadapan surau.
Di situ terdapat sederet kedai yang menjual minuman dan makanan. Ada juga sebuah kedai runcit kecil dan kedai alat tulis. Namun begitu, barang-barang yang terjual agak terhad.
Ustaz Hanafi mengangguk sahaja.
Marjaan ingin beredar kembali ke dalam biliknya namun Ustaz Hanafi menahannya dengan berkata; "Kenapa pagi tadi Jaan ke kelas tak pakai niqab?"
"Rimaslah, babah. Macam tak boleh bernafas dibuatnya," jawab Marjaan.
Itu semua hanya alasan. Dia lebih suka menayang wajah manisnya. Matanya yang bulat dan besar serta iris mata yang hitam seperti arang akan membuat pelajar-pelajar lelaki di situ memandang dua kali. Bergoyang juga serban mereka. Bibir merah delima, sedikit tebal di bahagian bawahnya, kelihatan lembut seperti kelopak mawar. Itulah daya penarik dirinya selain hidungnya yang sederhana mancung. Masakan hendak ditutup semua kejadian Tuhan yang sempurna tu? bisik hati Marjaan.
Jika di Kuala Lumpur, dia melepaskan rambutnya yang terurai panjang. Tapi di sini tidak boleh. Ustaz Hanafi tidak akan teragak-agak menarik rambutnya itu sehinggalah dia menutupnya dengan tudung.
"Sebab tu Jaan harus biasakan diri. Lama-lama nanti Jaan akan rasa selesa dan akan segan jika menanggalkannya."
"Lambat lagi jawabnya, babah."
"Jaan, di sini babah sebagai mudir dan babah nak anak babah menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain. Jika Jaan buat perkara yang tidak elok, buruk nama babah. Tolong jaga reputasi babah di sini, Jaan," kata Ustaz Hanafi separuh tegas dan separuh memujuk.
"Alahhh... Babah. Kan Jaan masih lagi pakai tudung labuh macam kelambu tu. Hanya tak tutup hidung dan mulut aje. Karang Jaan buka semua biar nampak rambut, terbeliak mata semua ustaz-ustaz kat sekolah ni!" Marjaan separuh mengugut.
Tiba-tiba raut wajah Nawfal Husaini muncul dalam ingatannya. Ustaz yang pernah belajar di Mesir itu menjadi buah mulut pelajar perempuan di situ. Lelaki itu bukan sahaja kacak tetapi begitu baik dan alim. Lelaki yang menundukkan pandangannya daripada melihat kecantikan perempuan. Lelaki yang sentiasa berteman tasbih di tangan.
Hesy, dia belum tengok aku betul-betul lagi tu! Nak tundukkan pandangan sangat. Nantilah! bisik Marjaan, nakal.
Ustaz Hanafi jegilkan matanya ke arah Marjaan. Dia hilang kata-kata sejenak. Meskipun Marjaan nampak lembut tetapi kelembutannya itu akan bertukar dalam sekelip mata. Memang sejak kecil, dia merasakan kesukaran untuk mendidik Marjaan berbanding anak sulungnya, Khaidir. Dia hanya memiliki dua orang anak sahaja. Barangkali Marjaan menjadi manja dan kuat memberontak kerana satu-satunya anak perempuan.
"Kalau Jaan berani buat macam tu... Berani lawan cakap babah dan memalukan babah, babah tahu apa nak buat! Babah terpaksa hukum Jaan!" balas Ustaz Hanafi sambil merenung tajam ke wajah anak perempuannya itu.
Marjaan berdiri kaku di tepi meja. Bibirnya bergerak-gerak ingin melawan kata-kata bapanya itu. Namun dia rasa sedikit kecut perut mendengar ugutan Ustaz Hanafi. Marjaan baru sahaja sebulan berpindah ke sekolah pondok itu atas permintaan mamanya, Puan Mahani.
Kata-kata Puan Mahani kembali bergema di dalam kepala Ustaz Hanafi. Bekas isterinya itu meminta Ustaz Hanafi mendidik Marjaan kerana menurutnya, gadis itu menjadi semakin liar sejak kebelakangan ini.
"Keputusan SPM dia teruk sangat, banyak mata pelajaran gagal. Dia bukannya bodoh tapi dia jadi malas lepas bergaul dengan kawan-kawan tak guna itu. Sejak keputusannya keluar hari tu, sampai sekarang dia asyik bergembira sahaja dengan kawan-kawannya tu. Tak pernah fikir masa depan." Puan Mahani mengadu.
"Jadi Ani rasa lebih baik sekiranya dia sambung belajar di sekolah pondok abang. Kebelakangan ni juga, dia sudah pandai keluar malam dan balik pukul satu pagi. Ani risau, bang... Betul-betul risau. Kalau dia terus begitu, Ani bimbang dia akan hanyut."
"Hantarlah dia ke sini. Boleh mula belajar untuk sesi tahun depan. Sekolah pun tak lama lagi nak buka," kata Ustaz Hanafi ringkas.
"Ana akan cuba didik dia," janji Ustaz Hanafi.
Sememangnya sejak berada di situ, Marjaan kelihatan tidak betah. Ada sahaja yang ingin dilakukannya tanpa pengetahuan Ustaz Hanafi. Sifat memberontak dalam diri Marjaan yang selama ini diam seperti harimau ketiduran, kini mulai bangkit perlahan-lahan.
"Maafkan Jaan, babah," ucapnya perlahan tetapi jelas.
Marjaan tidak mahu terhukum. Entah apa bentuk hukuman yang akan dilakukan bapanya itu. Mungkin telefon bimbitnya akan dirampas. Dia amat takut kehilangan telefon bimbitnya itu. Mati kutu jadinya kalau dia tidak dapat berhubung dengan Atillya dan Zahra di Kuala Lumpur. Walaupun coverage telefon di situ selalu tersangkut-sangkut tetapi sekurang-kurangnya dia masih boleh berhubung dengan mereka di luar sana.
Sudah beberapa kali Marjaan memberitahu Atillya dan Zahra, dia ingin melarikan diri dari tempat itu. Namun tempat itu terlalu jauh dari pekan. Pekan terdekat ialah Dabong. Dia pernah mendengar ada pelajar lelaki yang melarikan diri dengan berjalan kaki. Mereka diam-diam keluar pada waktu tengah malam dan tiba di Dabong awal pagi. Jalan tar menghala keluar dari penempatan itu sempit dan dikepung hutan. Tiada lampu jalan langsung.
Kebanyakan pelajar-pelajar di sini tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit. Sepanjang masa mereka berdampingan dengan kitab dan hadis. Menghafal hadis setiap hari, setelah hafal akan terus diadakan ujian. Sesiapa yang gagal menghafal akan berdiri di hadapan kelas hingga tamat waktu belajar.
Marjaan jarang dapat menghafal hadis. Dan ustazahnya tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman walaupun dia puteri kepada mudir sekolah itu.
"Tiada pengecualian. Anak mudir ke, anak ustaz ke... Saya tak kira! Saya mahu lihat setiap orang menghafal satu hadis sehari. Kalau sebulan, dah 30 hadis yang kamu hafal," kata Ustazah Salmah.
"Gila. Ingat aku ni robot ke?" rungut Marjaan tanpa sedar, bagaikan dia masih berada di hadapan Ustazah Salmah.
Dia bernasib baik Ustaz Hanafi yang sedang meneguk kopinya, tidak mendengar rungutannya itu.
"Babah, Jaan masuk bilik dululah."
Ustaz Hanafi mengangguk sahaja.
Marjaan masuk ke dalam kamar. Telefon bimbit diintai. Tiada panggilan ataupun mesej ringkas daripada kawan-kawannya di kota. Dia duduk bersandar di kepala katil sambil berfikir dalam. Apa aku nak buat?
Marjaan terdengar bunyi telapak kaki bapanya yang baru keluar dari dapur, menghala ke ruang tamu. Dia tahu sebentar lagi pasti Ustaz Hanafi akan tidur sejenak sebelum mandi dan bersedia untuk ke surau semula. Ustaz Hanafi akan datang awal ke surau sebelum masuknya waktu maghrib. Waktu yang tersisa dihabiskan dengan berehat dan tidur.
Apabila bapanya sudah pun berbaring damai di atas kerusi malas, Marjaan tertenjet-tenjet keluar dari bilik tidur. Dia menghala ke dapur lalu membuka pintu dapur dengan perlahan-lahan. Dia tidak mengenakan tudung, hanya sehelai selendang panjang yang jarang menutup sebahagian daripada kepala. Dia berniat ingin ke tepi sungai tidak jauh dari rumahnya itu.
Anak sungai di situ datangnya dari air pergunungan di hutan. Airnya begitu jernih dan dingin. Ada bongkah-bongkah batu di tepi dan di tengah-tengah sungai. Marjaan suka mandi di situ sendirian. Kawasan itu biasanya tidak berorang langsung. Sebaik sahaja dia tiba di tepian tebing landai itu, dia terus melepaskan selendangnya ke atas tanah.
Namun dia terkejut apabila terdengar bunyi deburan air. Ada orang lain yang sedang mandi di tengah-tengah sungai. Dia bersembunyi dari sebalik batu yang agak besar dan nampak seorang lelaki sedang berenang-renang dengan bebas di dalam sungai.
"Ehhh, siapa pula tu? Berani pulak dia datang mandi kat kawasan rumah babah. Selalunya kalau pelajar-pelajar sekolah itu, tidak akan datang ke situ." Marjaan bercakap seorang.
"Hoi! Ni kawasan rumah Ustaz Hanafi lah. Tak boleh mandi kat sini!" jerit Marjaan dari sebalik batu besar. Hanya kepalanya sahaja yang terjongol. Lelaki itu terkejut mendengar suara Marjaan. Dia terburu-buru keluar dari pelukan air jernih itu dan menimbulkan diri. Dengan pantas meranduk air deras hingga tiba di tepi tebing.
Marjaan yang sedang mengintai, terkejut kerana melihat lelaki itu ialah Nawfal Husaini. Dia nampak lelaki itu memakai seluar trek dan tidak berbaju. Dadanya kelihatan bidang dengan rerambut halus di bahagian tengah dadanya.
"Ooo... Ustaz rupa-rupanya!" sergah Marjaan.
Nawfal Husaini tambah terkejut tatkala mendengar suara perempuan. Sesaat matanya memandang ke arah Marjaan yang tercegat di tepi batu sambil bercekak pinggang. Wajah gadis itu kelihatan serius. Marjaan hanya berpura-pura marah.
Amboi! Cekak pinggang kau, ya? Ingat pinggang tu ramping sangat? rungut Nawfal Husaini dalam hati sahaja. Dia terus tunduk mengutip tuala yang diletakkan di atas batu. Dia turut memakai kopiah putihnya dengan tergesa-gesa tanpa sepatah kata. Dia ingin segera berlalu pergi dari situ. Alangkah tidak manisnya jika ada yang melihat dia di situ. Lebih-lebih lagi jika dirinya dilihat bersama dengan Marjaan. Nama baik dirinya dan juga nama baik Ustaz Hanafi harus dijaga.
"Ustaz! Ustaz tak dengar ke apa yang saya cakap?"
Nawfal Husaini membisu. Dia terus berlalu pergi, meninggalkan jejak kakinya yang tidak berkasut di atas pasir di pinggir tebing landai. Agak laju dia berjalan menuju ke satu arah.
"Ustaz!" panggil Marjaan beria-ia. Panggilannya agak kuat.
"Ustaz, ada mende tinggal kat belakang ni, ustaz," katanya dengan sengaja agar Nawfal Husaini memandang ke belakang, tetapi lelaki itu langsung tidak berpaling.
Nawfal Husaini hanya berhenti berjalan dan bertanya; "Apa dia?"
"Kesan tapak kaki ustaz tertinggal," kata Marjaan spontan kemudian dia ketawa.
Bagai panah tajam, mata hitam lelaki itu menikam ke wajah Marjaan yang sedang tertawa. Merah padam wajah Marjaan tatkala bertemu pandang dengan mata lelaki itu. Jantung berdegup kuat seperti hendak putus. Tawa nakalnya terus terhenti. Dia nampak bibir Nawfal Husaini yang dikepung kumis dan jambang yang rapi sedang mengetap geram.
"Astaghfirullah!" ucap Nawfal Husaini Husaini perlahan kemudian terus berlalu pergi.
PETANG kian larut ketika Marjaan menapak pulang. Saat dia terpandang kesan telapak kaki Nawfal Husaini yang masih tersisa di pasir, ada debar tiba-tiba merentap jantungnya. Entah mengapa saat itu dia terbayang wajah Nawfal Husaini dengan matanya yang hitam dan tajam seakan-akan bercelak.
Eh, kenapa aku rasa lain macam pula? bisik hatinya sambil berjalan pulang ke rumah.
Malam itu dia tidak ke surau seperti biasa. Dia hanya menghantar Ustaz Hanafi yang ingin ke surau di muka pintu sahaja. Bapanya sempat berpesan agar dia tidak ke mana-mana.
Nak ke manalah malam-malam buta begini? Bukan macam duduk di KL dulu, rungut Marjaan sambil menutup pintu. Selepas bapanya pergi, dia masuk ke bilik tidur, meniarap di atas katil. Diari berkulit biru dicapai. Sudah agak lama dia tidak menulis apa-apa catatan. Sejak tinggal di situ, dia rasa seperti di penjara. Tiada sesuatu apa pun yang menarik untuk menghabiskan malam. Hanya mendengar lagu hingga bosan dan tidur untuk bangun keesokan hari. Bangun jam empat pagi sudah menjadi rutin. Selagi tidak bangun, pintu kamarnya akan digegar.
Namun malam itu dia ingin menulis. Ada ilham yang mengalir di dalam kepalanya saat itu. Diari itu dibuka lalu pen berdakwat biru mulai menari-nari membentuk perkataan dan ayat.
Sembilan belas tahun usiaku, inilah kali pertama aku merasakan jendela mataku terbuka luas untuk dimasuki lalu terus menembusi ke pintu hati. Entah mengapa aku berperasaan begini. Perasaan ini terlalu asing dan aku sendiri pun tidak mengerti.
Saat itu wajah Nawfal Husaini terbayang lagi di matanya. Spontan dadanya mulai diburu debar. Dia meletakkan telapak tangannya di dada.
Sudah! Berhentilah berdebar-debar, bisiknya sendiri.
Dia mencampakkan pen ke tepi, rasa tidak ingin menulis apa-apa lagi. Matanya dirapatkan tetapi dia masih dapat melihat bayangan wajah lelaki itu.
Bencinya! rungut Marjaan sendiri. Dia menyesali perbuatannya petang tadi kerana menegur Nawfal Husaini dan kini dia tidak dapat melupakannya walau sedetik. Mata itu mempunyai kilas pandang yang mulai menyeksa batinnya.
SUATU PENGAKUAN
Haruskah kukirim sebuah pengakuan
hatiku abu-abu kembali merah seperti
langit petang dicumbu malam
senja seperti perempuan belum
mengerti tentang lelaki.
As Rashid.
Kuala Lumpur.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co