Truyen3h.Co

Marjaan Permataku

Bab 11

karyaseni2u

SURIANA belum selesai menaip segala kerja yang diberikan Azimah kepadanya. Sepanjang pagi itu, dia menyiapkan semua kerja hingga naik berpinar biji mata melihat tulisan dan angka. Beberapa kali dia membetulkan cermin mata yang tersangkut di atas batang hidung. Hatinya belum lepas daripada rasa hairan apabila Azimah menyediakan 'akaun backup'. Apa maksud dia? soal hati Suriana.

Namun Suriana hanya kerani yang bekerja di bawah seliaan Azimah sebagai ketua kerani di situ. Dia menurut sahaja. Dia amat berhati-hati meletakkan titik dan koma dalam setiap nombor-nombor yang tertera.Bimbang tersilap. Kelak dia juga yang akan dipersalahkan.

Tumpuan Suriana terganggu apabila Sabri masuk ke ruang pejabat yang kecil itu. Di situ hanya ada dua meja yang saling bertentangan. Di belakang meja terdapat sederet almari yang penuh berisi fail dan buku-buku. Sabri selalunya akan duduk di meja Azimah jika isterinya itu tiada.

Suriana tidak suka pada Sabri. Sabri suka memandang Suriana dengan mata yang terbelalak seperti ingin menelan orang hidup-hidup.

"Sibuk ke, Suria?" tanya Sabri.

Sabri bertugas sebagai drebar di sekolah itu. Selalu dia banyak masa terluang. Sebelah pagi dia agak sibuk sedikit membeli barang-barang keperluan lalu dihantar ke kantin. Biasanya pada waktu tengah hari membawa ke petang, dia tidak ada kerja yang khusus.

"Sibuk," jawab Suriana sepatah sambil jari-jarinya terus lincah menaip di atas permukaan papan kekunci komputer.

"Dah minum?"

Suriana tidak menjawab. Dia bosan mendengar pertanyaan yang sama berulang-ulang hampir setiap hari. Entah apa yang lelaki itu mahu daripadanya? Bukankah dia sudah beristeri? Kenapa harus sibuk dengan hal orang lain yang tiada kaitan dengannya?

"Belum lagi. Saya nak pergi minumlah sekejap," kata Suriana.

Ini peluang untuk Suriana pergi meninggalkan pejabat barang seketika.

Sabri diam sahaja apabila melihat Suriana bangun lalu mencapai beg tangannya. Dia hanya memerhati Suriana berlenggang menghala ke kantin. Semasa sedang minum jus epal, Suriana terfikir sesuatu.

Tadi aku dah kunci laci ke belum? soal hatinya sendiri.

Azimah ada menyerahkan sekeping cek atas nama sekolah dan satu sampul surat berisi duit tunai. Dia meminta Suriana pergi ke pergi bank lalu memasukkan duit ke dalam akaun sekolah. Hati Suriana rasa tidak tenteram. Dia segera menghabiskan minumannya dan kembali ke pejabat.

Ketika berada di muka pintu pejabat yang sentiasa dibiarkan terbuka, dia lihat Sabri sedang terbongkok-bongkok di tepi meja. Kelihatan lelaki itu seperti sedang cuba membuka laci meja Suriana.

"Encik Sabri buat apa tu?" tanya Suriana.

Sabri terkejut lalu terus menegakkan badannya. Cepat-cepat dia kembali ke meja Azimah lalu duduk di situ. Soalan Suriana terbiar sepi tidak berjawab.

"Peliklah orang tua ni... Entah apa yang dia cari kat meja aku." Separuh merungut, Suriana kembali ke mejanya lalu terus memeriksa laci.

Nyata ia berkunci rapat. Lega sedikit perasaannya. Dia buat keputusan untuk pergi ke bank walaupun agak jauh dari tempat itu. Namun amat berbahaya menyimpan duit yang banyak di dalam laci sahaja. Di bilik mudir memang ada peti besi. Tapi hanya Ustaz Hanafi saja yang menggunakannya.

Suriana mengambil beg tangan lalu memasukkan sampul surat berisi wang dan juga cek. Kemudian dia bangun meninggalkan meja. Sabri memerhati dan bertanya; "Awak nak pergi mana, Suria?"

"Saya nak pergi bank di Dabong."

"Kalau gitu, biar saya hantarkan. Nak naik van sekolah ataupun kereta saya?"

Suriana mengangkat bahu. Dia tidak akan menaiki kereta ataupun van berdua sahaja dengan Sabri. Walaupun usia antara mereka jauh bagai anak dan ayah, tetapi dia tidak ingin menghadapi keadaan yang boleh menimbulkan prasangka.

"Tak apa... Saya naik motor saya sahaja," balas Suriana sambil bergerak meninggalkan pejabat.

Selepas Suriana beredar, Sabri menelefon seseorang.

"Budak tu dah keluar bawak duit tunai. Banyak. Aku rasa ada lebih kurang lima atau enam ribu. Kau tahan dan samun dia kat tepi hutan tu nanti. Dia naik motor seorang diri." Sabri memberikan nombor plat motosikal Suriana yang sudah pun dia hafal di dalam kepalanya.

Sabri terus mematikan panggilan kemudian dia ketawa besar seorang diri.

USTAZ HANAFI sedang mengajar pelajaran Imlak di kelas tingkatan satu apabila seorang pelajar mengetuk pintu kelas dengan tergesa-gesa. Pelajar itu memberitahu Azimah ingin berjumpa segera di pejabat sekolah. Ada kecemasan. Ustaz Hanafi berjalan laju meninggalkan kelas lalu menuju ke pejabat. Azimah ada di pejabat. Wanita itu berjalan mundar-mandir di ruang pejabat yang kecil itu sambil tangan diletakkan di atas kepala.

Wajahnya yang cemas tidak dapat disembunyikan lagi. Beberapa kali dia mengeluh.

"Kenapa? Apa halnya?" tanya Ustaz Hanafi.

"Ustaz... Pasal... Pasal Suriana. Dia kemalangan, jatuh dari motosikal. Dia dirompak."

"Dirompak?"

"Ya," kata Azimah sambil menghempaskan punggungnya ke kerusi. "Pagi tadi saya baru bagi dia duit enam ribu dan beberapa keping cek. Saya minta dia pergi ke Dabong untuk bank in duit dan cek. Saya ingatkan dia pergi dengan suami saya, naik kereta. Tapi dia pergi sendiri naik motor."

Ustaz Hanafi tercegat diam. Tidak terluncur sebarang kata-kata. Kemudian dia bertanya; "Bagaimana keadaan Suriana? Cedera terukkah? Duit tu belakang kira. Saya ganti dengan duit saya nanti."

"Suami saya pergi ke sana dengan Ustaz Wadie. Dia terkedang seorang diri di tepi jalan, di hutan sana tu. Motosikalnya rosak. Dia pulak luka-luka di kaki dan tangan. Mereka bawa dia pergi ke klinik serta buat laporan polis."

"Baiklah," kata Ustaz Hanafi sambil mengangguk.

"Tak mengapalah. Apa yang penting, Suriana tu diselamatkan dulu, dapatkan rawatan daripada doktor," kata Ustaz Hanafi membuat keputusan.

Azimah tersenyum sedikit. Lega mendengar kata-kata Ustaz Hanafi. Dia bimbang jika dirinya dipersalahkan kerana menyerahkan duit itu ke tangan Suriana.

"ANTI okey ke, Suriana?" tanya Ustaz Wadie sambil menjeling ke tempat duduk belakang.

Sabri yang memandu kereta hanya diam sahaja. Dia tekun memandu pulang ke sekolah. Mereka sudah pun membawa Suriana ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Motosikal Suriana juga sudah pun dibawa ke bengkel.

Suriana membisu sahaja. Lengannya terseliuh akibat terjatuh. Mujur tidak patah. Dia memakai anduh. Motosikalnya terbabas. Mujur dia jatuh di atas rumput. Tapi kakinya tergesel juga pada batu jalan yang mengakibatkan luka. Peristiwa yang baru berlaku terasa seperti mimpi. Begitu pantas sekali segalanya terjadi.

"Suriana!" seru Ustaz Wadie lagi apabila dia melihat Suriana memandang ke luar tingkap kereta seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

"Saya okey, ustaz." Akhirnya Suriana menjawab.

"Anti ada syak sesiapa ke?" tanya Ustaz Wadie.

"Maksud ustaz?" tanya Suriana kebingungan.

"Siapa yang tahu anti bawak duit banyak semasa keluar dari sekolah? Mungkin ada orang nampak. Kemalangan tu macam dirancang orang. Mereka sengaja tahan anti sebab tahu anti seorang diri dan bawak duit pula."

"Entahlah, ustaz." Suriana menjawab dengan keluhan.

"Kebetulan aje tu, ustaz." Sabri tiba-tiba menyampuk. "Memang kawasan tu ramai penjahat yang cari mangsa. Samunlah... Rogollah. Maklumlah kawasan terpencil, hutan sekeliling."

Ustaz Wadie diam mendengar kata-kata Sabri. Mereka juga sudah membuat laporan tentang rompakan dan kemalangan tadi ke balai polis di Dabong. Biarkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka, fikir Ustaz Wadie.

"Anti bertenang sahajalah, Suriana. Anti balik, berehat. Doktor pun dah bagi anti cuti sakit."

Suriana mengangguk sahaja. Tiba di sekolah, Ustaz Hanafi dan Marjaan menunggu Suriana dan Ustaz Wadie. Suriana membisu sahaja apabila Ustaz Hanafi meminta dia menceritakan semula kejadian semasa diserang perompak. Dia hanya menggeleng dan beberapa titis air matanya mengalir. Marjaan mengajak Suriana pulang ke rumah yang terletak berdekatan dengan kantin. Di situ ada rumah dua pintu yang dihuni oleh dua orang guru. Suriana tinggal di salah satu bilik di rumah Ustazah Suhaila.

"Kak, tak perlu cerita kalau kakak rasa masih trauma," ujar Marjaan semasa mereka sudah pun berada di hadapan pintu rumah.

"Babah kata, duit yang hilang tu dia akan ganti. Kakak tak usah risau. Kakak tak perlu pun bayar ganti rugi. Bukan kakak yang minta perkara ni berlaku."

Suriana mengangguk sahaja. Badannya masih terasa lemah dan semangatnya hilang. Di matanya masih terbayang-bayang bagaimana dia tiba-tiba diserang. Dua buah motosikal menghimpitnya di kiri dan kanan. Dia hilang kawalan lalu terbabas. Motosikalnya meluncur laju ke arah semak samun berdekatan. Dia pula terjatuh dan dihempap motosikal. Terkial-kial dia cuba untuk bangun. Namun tangannya sangat sakit akibat tertindih badan sendiri.

Ketika itulah dua orang yang memakai mask, mengambil beg tangannya yang tergolek di atas rumput. Mereka mengeluarkan sampul surat berisi duit tunai kemudian melemparkan semula beg tangan ke arahnya. Sepantas kilat kedua-dua lelaki itu beredar dengan menggunakan motosikal mereka.

"Kakak berehatlah."

Suriana masuk ke rumah lalu terus menuju ke bilik tidurnya. Dia merebahkan tubuh di atas katil dengan tangan bersilang di atas dahi. Peristiwa dia kemalangan pagi tadi kembali datang menghantui. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Rasa takut menghambat diri sehingga dia tidak dapat tidur sepanjang malam. Jika diikutkan hati, dia ingin berhenti kerja dan meninggalkan tempat itu.

Tiga hari kemudian, dia kembali bekerja. Sebaik masuk ke pejabat, dia disambut Sabri dan Azimah. Pasangan suami isteri itu memandangnya silih berganti. Dia merasakan pandangan mereka berdua penuh dengan keanehan.

"Kau ni tak boleh dipercayai," kata Azimah. "Entah-entah kau berpakat dengan boyfriend engkau, pura-pura suruh mereka merompak kau."

Suriana terkejut mendengar tuduhan Azimah.

"Mulai hari ini aku takkan benarkan kau pegang duit cash lagi. Kau juga tak perlu pergi ke bank seperti biasa. Ustaz Hanafi pun dah setuju. Urusan pergi ke bank biar suami aku yang uruskan," kata Azimah.

"Suka hati kakaklah," jawab Suriana ringkas.

"Saya pun bukannya nak sangat kerja kat sini."

"Eh, kalau tak nak kerja, berhenti ajelah," sindir Azimah.

Sabri hanya tertawa kecil mendengar sindiran pedas isterinya.

Entah mengapa dalam hati Suriana mengesyaki sesuatu. Dia merasakan pasangan suami isteri itulah yang merancang semuanya sehingga dia menghadapi kemalangan. Jika difikirkan memang mustahil, bagaimana orang boleh tahu dia bawa duit tunai? Sedangkan dia tidak pernah beritahu sesiapa. Dan hal itu bukan pertama kali baginya pergi ke bank dengan menaiki motosikal sendirian. Kawasan tempat kejadian dia diserang itu sudah biasa dilaluinya hampir setiap hari.

Suriana mengambil keputusan untuk terus bekerja di situ biarpun hatinya semakin meluat melihat wajah Sabri dan Azimah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co