Truyen3h.Co

Marjaan Permataku

Bab 7

karyaseni2u

BIARPUN jam sudah pukul sebelas pagi, tetapi Marjaan dan Zahra masih terbongkang tidur. Puan Mahani mengetuk pintu beberapa kali namun tiada sahutan. Dia cuba membuka pintu tetapi ternyata berkunci dari dalam. Puan Mahani hanya mengeluh perlahan kemudian segera beredar untuk ke butik.

Dia langsung tidak tahu-menahu, Marjaan keluar pada tengah malam dan pulang kepagian.

Sebaik sampai di butik, dia mendapat panggilan daripada bekas suaminya. Ustaz Hanafi bertanya mengenai Marjaan.

"Oh, Marjaan okey. Malam tadi dia lepak-lepak sahaja di bilik sambil baca novel. Mungkin dia tidur lewat. Pagi tadi sebelum ke butik, Ani ketuk pintu biliknya dia masih tidur."

"Baik. Ana hanya ingin tahu saja. Moga-moga dia dah berubah. Tidak berkawan lagi dengan kawan-kawannya yang liar itu," kata Ustaz Hanafi.

"Pagi semalam, kawannya Si Atillya dan Zahra ada datang. Tapi mereka tidak ke mana-mana, hanya melepak di bilik, bersembang," beritahu Puan Mahani.

"Ani janganlah pula terlalu sibuk dengan kerja sahaja. Perhatikan juga tingkah lakunya tu," pinta Ustaz Hanafi.

"Baik. Ani akan pantau dia. Petang ni Ani akan balik awal sikit."

Perbualan berhenti di situ sahaja. Puan Mahani termenung sejenak, kemudian dia bingkas bangun untuk memulakan kerja-kerja di butik miliknya yang terletak di sebuah kompleks beli-belah terkemuka. Seperti biasa, dia tidak ingat lagi dengan kebajikan anak perempuannya itu apabila sibuk melayan pelanggan hingga jam sembilan malam. Sebaik sahaja butik ditutup, dia terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya untuk pulang. Sekitar jam sepuluh malam baru tiba di rumah.

Di ruang tamu dia lihat Marjaan sedang duduk menonton televisyen. Gadis itu tersenyum memandang ibunya yang baru pulang.

"Jaan ke mana hari ni?"

"Tak ke mana-mana, melepak di rumah sahaja," kata Marjaan berbohong.

Padahal dia baru sahaja pulang selepas keluar dengan Atillya dan Zahra. Mereka 'mengukur' kompleks beli-belah di Bukit Bintang, dari hujung sini hingga ke hujung sana, dari belakang hingga ke depan. Mereka makan-makan persis anak orang kaya. Memilih kafe yang harga secawan kopinya tidak masuk akal.

"Wahhh... Aku sukalah kopi mocha kat sini. Sedap gila. Dah lama aku tak minum," kata Marjaan sambil menghirup minumannya. Matanya asyik memerhati sekeliling. Sudah lama dia tidak duduk melepak di kafe sambil memerhati orang yang lalu-lalang dengan pelbagai gaya dan fesyen. Selalunya pemandangan yang dilihat hanyalah hutan menghijau mengepung penempatan sekolah itu serta pelajar-pelajar lelaki yang berserban dan berjubah.

Mula-mula dia terasa pelik juga apabila hanya jubah yang dibenarkan dipakai di sekolah itu. Pakaian lain hanya boleh dipakai ketika berada di luar sekolah.

Marjaan menghirup lagi kopi mocha itu dengan penuh nikmat. Kopi mocha juga dipanggil macaccino di Itali. Kopi mocha adalah gabungan coklat, espreso dan susu panas yang diadun sempurna, digodak untuk mengeluarkan buih-buih lalu minuman itu menjadi ringan dan gebu. Mocha mempunyai beberapa lapisan. Lapisan paling bawah adalah kopi espreso, sirap coklat, susu dan krim putar. Kemudian kepingan coklat ditabur di atasnya.

Marjaan teringat semasa di rumah babah, dia tersilap membancuh kopi hingga bertukar gula dengan garam. Kopi itu hanya dijamah sedikit kemudian ditinggalkan begitu sahaja. Tiba-tiba Marjaan tergelak sendiri tatkala dia teringat sindiran Nawfal Husaini. Sengaja dia menunggu Marjaan keluar keesokan hari untuk menegur kekhilafannya itu.

"Eh, kenapa kau tiba-tiba gelak sorang ni?" tanya Zahra sambil menyiku Marjaan.

"Tak ada apa-apalah." Marjaan malu sendiri apabila kenangan itu tiba-tiba datang mengetuk pintu memorinya.

"Ni mesti teringat Ustaz Nawfal Husaini," usik Zahra.

"Ustaz Nawfal Husaini?" tanya Atillya sambil membelalakkan matanya.

"Handsomelah ustaz tu, Lya."

"Kau ada jumpa ke? Bila?"

"Malam semalam. Kau tinggalkan kami kat rumah Andy tu, siapa suruh? Kami kena kacau dengan orang mabuk. Marjaan call ustaz dia tu minta hantar balik. Macam ribut dia datang."

Atillya tersengih.

"Sorrylah! Aku tak datang semula ambil kau orang. Boyfriend aku tu... Hmmm... Faham-faham ajelah," kata Atillya sambil menunjukkan muka bersalah. "Jadi, dia baik? Handsome?"

Zahra mengangguk.

"Dia nampak caring sangat pada Marjaan. Aku rasa mamat tu suka kat Marjaan."

"Gilalah! Mana ada," bantah Marjaan sambil merenung wajah teman-temannya itu silih berganti.

"Marjaan!"

Marjaan diam sahaja. Dia masih tenggelam dalam angan-angan.

"Marjaan!!!" jerit Puan Mahani dengan agak kuat sambil menggoncang bahu anak gadisnya itu yang sedang berada dalam dunia khyalan.

"Eh, mama ni... Terkejut Jaan."

"Entah berapa kali mama panggil kau diam aje. Terpaksalah mama jerit," kata Puan Mahani sambil duduk di sebelah Marjaan.

"Esok, hari minggu. Apa kata kita keluar, pergi shopping. Jaan boleh beli apa aje barang yang Jaan teringin nak beli. Mama belanja."

"Betul ke, mama? Jaan dah lama tak shopping ni. Jaan nak beli skin care, alat solek," jawab Marjaan dengan cepat.

Dia teringat sesuatu. Ada rancangan yang bermain di dalam kepalanya. Camping dan mendaki Gunung Stong! Jadi dia harus cari baju, topi, jaket yang ada hoodie dan kasut.

Puan Mahani mengangguk sambil tersenyum.

"Boleh mama tambah duit poket tak?" tanya Marjaan sambil merenung mata ibunya.

Puan Mahani mengangguk lagi.

Marjaan terus memeluk ibunya dan mencium pipi wanita itu bertalu-talu.

"Dah... Dah... Mama tak mandi lagi ni," kata Puan Mahani sambil bangun.

"Jaan dah makan malam ke?" tanya Puan Mahani sambil berjalan ke arah tangga untuk naik ke tingkat atas.

"Dah, mama," jawab Marjaan sambil tersenyum lebar.

Oh, jarum masa, cepatlah beredar. Aku nak segera balik ke sana lebih awal seminggu. Aku tahu mereka merancang nak buat camping dan mendaki. Tapi hanya untuk pelajar lelaki sahaja. Aku tahu macam mana nak join nanti! bisik hati Marjaan sambil tersenyum lagi.

ATILLYA dan Zahra melambai Marjaan yang sudah pun berada di dalam kereta api. Mereka berdua masih berdiri di platform menunggu kereta api bergerak membawa Marjaan kembali ke sekolahnya. Begitu cepat masa beredar. Seminggu itu berakhir dengan pantas. Mereka bergembira hampir setiap hari dan malam. Namun hari ini Marjaan terpaksa mengenakan hijab semula.

Marjaan tiba awal pagi di Kota Bharu. Dia mengambil tren ke Dabong, kemudian menyewa teksi hingga tiba di sekolah. Sekolah masih lengang lantaran masih ada seminggu berbaki cuti persekolahan. Marjaan berjalan di lorong sunyi itu seorang diri sambil membawa beg yang agak berat. Dia tidak bertembung dengan sesiapa. Sebaik tiba di rumah babah, lelaki itu tiada. Kereta babah juga tiada di garaj. Bermakna lelaki itu keluar agak jauh meninggalkan sekolah. Mungkin babah ada urusan di luar sana.

Marjaan senang hati. Ustaz Hanafi tidak akan tahu dia sudah pun pulang ke situ. Sepanjang hari dia menghabiskan masanya di tepi anak sungai. Dia cuba untuk melukis dan menulis cerita pendek. Setelah keletihan, dia tertidur. Marjaan bergerak pulang sekitar jam dua petang. Dia teringat dia belum solat. Babah masih belum pulang. Marjaan hanya makan roti untuk mengalas perut. Dia malas hendak memasak. Semasa dia membuka peti sejuk, ada banyak bekalan makanan basah yang dibeli Ustaz Hanafi.

Malam merangkak datang, seperti raksasa hitam yang menelungkup bumi dengan sayap hitamnya. Seluruh kawasan gelap. Lampu-lampu solar di tepian jalan mulai menyala bagi menerangi sekeliling. Marjaan sendirian di dalam bilik tidurnya. Dia memasang lampu, tidak tahan berada dalam kegelapan dan kesunyian.

Ke mana babah pergi? Hati Marjaan mulai risau.Dia menelefon babahnya untuk mengetahui di mana lelaki itu berada.

Ustaz Hanafi menjawab panggilan setelah dia memanggil sebanyak tiga kali.

"Jaan, babah agak sibuk. Ada ceramah di Kota Bharu. Kenapa Jaan?"

"Babah sihat?" Dia bertanya menunjuk sikap prihatin.

"Sihat alhamdulillah," jawab Ustaz Hanafi.

"Jaan dan mama Jaan sihat? Dah seminggu balik ke KL, baru sekarang nak call babah?" soal Ustaz Hanafi sambil tersenyum kecil biarpun Marjaan tidak melihatnya.

Marjaan tersengih mendengar Ustaz Hanafi berkata begitu. Kalaulah Ustaz Hanafi tahu dia sudah pulang dan berada di rumah babah, entah bagaimana reaksinya.

"Jaan rindu babahlah, sebab tu Jaan call."

Ustaz Hanafi ketawa.

"Balik nanti Jaan nak balik sendiri dengan kereta api atau babah jemput?"

"Jaan balik sendiri," jawabnya dengan cepat.

"Jangan susah-susah, babah. Jaan dah besar."

"Tapi kau tu anak dara. Babah risau."

"Babah jangan risau. Okeylah, babah. Sayang babah. Assalamualaikum." Marjaan terus menutup panggilan.

Lega hatinya. Ustaz Hanafi tidak akan balik malam itu. Esok pagi-pagi dia akan keluar dan mengikut kumpulan pelajar lelaki yang akan mendaki Gunung Stong. Dia sudah merancang segala-galanya dengan baik. Tiada sesiapa pun yang harus tahu. Malah dia sudah pun menyediakan bekalan makanan untuk dibawa bersama nanti.

Sekitar jam tujuh pagi, dia mendengar suara riuh-rendah di hadapan sekolah. Pelajar-pelajar lelaki seramai 40 orang mulai berkumpul. Marjaan sudah pun bersiap-siap sebaik sahaja selesai solat subuh. Dia memakai seluar trek hitam dan baju T lengan panjang. Kemudian jaket yang ada hoodie di belakangnya turut dipakai di bahagian luar.

Marjan mengenakan serkup hitam di kepala bagi menutup seluruh rambutnya. Topi turut dikenakan. Kemudian hoodie dinaikkan ke atas menutupi topi tersebut. Kini hanya kelihatan muka sahaja. Marjaan berdiri di cermin, meneliti wajah yang langsung tidak bersolek dan berbedak. Dia mencapai mask lalu dipakai untuk menutup hidung dan mulut.

Okey... bisiknya sendiri. Sekarang tak ada orang yang boleh cam aku dah! Aku pun dah nampak macam budak lelaki. Katanya lagi sendiri sambil membelek-belek muka. Tapi matanya masih boleh dikenali orang. Bulu matanya lentik serta keningnya bagai dipantis celak. Hmmm, dia mengeluh. Lebih baik dia pakai cermin mata hitam! gerutunya sendiri.

Kemudian dia keluar dengan memikul beg sandang di belakang, berisi segala macam barang-barang keperluan. Agak berat juga barangan yang dibawa. Suasana di dalam hutan nanti pastilah sejuk pada waktu malam. Jadi dia perlu membawa selimut tebal, baju sejuk dan makanan. Khemah juga dibawa bersama. Paling penting membawa air minuman secukupnya.

Kumpulan pelajar yang berkumpul kedengaran masih riuh. Perlahan-lahan Marjaan mendekati mereka dan berdiri di barisan paling belakang. Seorang pelajar lelaki memandang ke arahnya tanpa suara. Marjaan buat tidak peduli sahaja.

Di hadapan kelihatan Nawfal Husaini sedang memberi sepatah dua kata sebelum memulakan perjalanan. Mereka akan mulai perjalanan dengan mengikut laluan anak sungai, mudik ke hulu. Jalan hadapan diterajui oleh Ustaz Wadie dan Ustaz Mansor. Ustaz Mansor yang berusia hampir lima puluh tahun, ingin turut serta walaupun dia mengalami masalah lutut.

"Kalau saya tak lepas mendaki nanti, mohonlah sesiapa yang badan kuat tu, dukung!" katanya cuba hendak melawak.

Perjalanan itu diketuai Nawfal Husaini yang bergerak paling hadapan. Semua pelajar mengekori di belakang. Diam-diam Marjaan mengikuti jejak mereka. Dia berada paling belakang sekali. Sekiranya Nawfal Husaini dapat mengesan kehadirannya, boleh dia cabut lari dahulu ataupun bersembunyi.

Dua jam kemudian, perjalanan mula melalui denai yang curam. Kebanyakan pelajar-pelajar mulai keletihan. Ada yang sudah pun meminta untuk berehat.

"Kita belum tiba di tempat rehat. Sabar semua!" kata Nawfal Husaini.

Akhirnya sekitar jam sembilan pagi mereka tiba di kawasan rehat pertama. Di situ terdapat kawasan lapang. Ada tunggul kayu untuk duduk. Semua mengambil tempat secara berselerak untuk duduk berehat, minum air dan makan apa jua yang dihajati. Suara pelajar-pelajar riuh bercerita sesama sendiri. Marjaan hanya duduk diam agak jauh sedikit dari kumpulan pelajar lelaki itu. Dia duduk di satu tunggul mati sambil minum air mineral dan memamah coklat.

Perjalanan diteruskan lima belas minit kemudian. Keterujaan makin terasa apabila angin dingin dari gunung bertiup lembut, membawa udara yang begitu bersih dan nyaman. Marjaan ralit mengambil gambar bunga-bunga hutan yang ditemuinya. Dia turut mengambil gambar pucuk-pucuk pokok tinggi menjulang, yang menutup matahari. Begitu indah pemandangan. Marjaan tidak sedar, dia sudah tercicir dari kumpulan pelajar-pelajar itu. Cepat-cepat dia mendaki denai dan mengikuti suara yang sudah jauh ke hadapan.

Alamak! Macam mana aku boleh asyik sangat ni? bisik hati Marjaan. Dia mendaki bukit itu dan di sebalik selekoh bukit, dia mendapati pelajar-pelajar sudah pun jauh turun ke bawah. Denai itu agak licin. Marjaan mempercepatkan langkahnya agar dapat menyaingi mereka. Akibat terlalu cepat ingin bergerak menuruni denai berbukit itu, Marjaan tergelincir. Tubuhnya meluncur di sepanjang denai curam itu kemudian terjatuh di tebing jurang.

"Tolong!!! Ustaz Nawfal! Tolong saya!" Suaranya bergema memenuhi perbukitan dan gaung.

Marjaan menjerit lagi sekuat hati apabila tubuhnya mulai melorot laju menuruni lembah yang ditumbuhi pohon-pohon hijau. Tubuh Marjaan mendarat di sebatang pokok, punggungnya terhentak kuat di atas sebatang dahan yang besar. Dia terasa begitu sakit. Beg sandang terjatuh ke bawah lalu terus hilang ke dalam gaung.

Nawfal Husaini terkejut apabila mendengar bunyi laungan meminta tolong. Dia terus berhenti melangkah. Semua yang ada di situ mendengar laungan meminta tolong dan panggilan nama Nawfal Husaini. Automatik dia berhenti melangkah. Semua yang ada di belakangnya turut berhenti.

"Dengar tak suara minta tolong tu?"

"Dengar! Macam suara perempuan," kata Ustaz Wadie.

Aku dengar macam suara Marjaan! bisik hati Nawfal Husaini. Aku dah gila ke dengar suara dia pulak? Tapi semua orang dengar jeritan tu tadi. Memang suara perempuan.

Nawfal Husaini terus berpatah ke belakang. Dia berlari tangkas mendaki bukit. Semua yang berada di situ berasa pelik apabila Nawfal Husaini memanggil nama Marjaan. Suaranya bergema kuat memecah di kawasan bergaung itu.

"Marjaan!!! Marjaan!!!"

Dia terus mendaki denai yang baru ditinggalkan. Di tepi tebing jurang, dia terlihat ada kesan-kesan tanah dan pokok yang dilanda sesuatu. Dia yakin, Marjaan terjatuh di situ.

"Marjaan!!!"

"Ustaz!!!" Suara Marjaan terdengar dari satu arah, agak jauh di tebing gaung.

Tangisan Marjaan perlahan tetapi jelas.

"Ustaz, tolong saya!"

"Marjaan, anti okey ke?"

"Saya okey, ustaz. Cuma saya tak boleh panjat ke atas."

"Anti bertenang. Ana akan hulur tali. Anti pegang tali tu dan kami akan tarik anti naik."

Beberapa orang pelajar datang membantu. Mereka bersama-sama menarik Marjaan naik ke atas. Wajah Marjaan comot, dipaliti lumpur dan kekotoran. Mask yang dipakai habis tercabut. Rambutnya juga terhurai sudah, terlepas dari kepungan topi. Namun Marjaan berusaha untuk melindungi rambutnya. Dia menangis sebaik sahaja tiba di tubir tebing gaung.

Nawfal Husaini menggeleng. Ustaz Wadie dan Ustaz Mansor diam tidak terkata apabila mendapati puteri kesayangan mudir mereka turut menyertai meredah hutan. Jikalau Ustaz Hanafi tahu, entah apa tindakannya? Pasti dia akan mengamuk.

"Apa kita nak buat dengan Marjaan?" tanya Ustaz Wadie.

"Biarlah dia ikut. Kalau Ustaz Hanafi tanya nanti, biar ana yang jawab," kata Ustaz Mansor membuat keputusan.

Marjaan tersengih biarpun tubuhnya masih rasa sakit akibat terhentak tadi.

"Jangan nak happy sangat!" sindir Ustaz Wadie sambil menjegilkan matanya ke arah Marjaan.

"Anti jadi tukang masak!" kata Ustaz Wadie seperti menjatuhkan hukuman pula.

"Aye captain!" jawab Marjaan sambil memberikan tabik tanda setuju.

Semua pelajar lelaki di situ tersengih gembira. Sekurang-kurangnya ada sekuntum bunga antara mereka. Pasti seronok dapat mengusik Marjaan dan merasai masakannya.

"Okey, gerak semula!" kata Nawfal Husaini.

Dia meminta Marjaan berjalan di hadapannya supaya senang untuk mengawasi keselamatan gadis itu.

"Degil anti ni. Ingatkan masih lagi di KL, rupa-rupanya dah balik senyap-senyap. Babah anti mesti tak tahu-menahu, kan?" soal Nawfal Husaini, mulai membebel.

Ustaz Hanafi sibuk memenuhi undangan ceramah di beberapa buah masjid di Kota Bharu sepanjang cuti sekolah. Dia memang terkenal di daerah itu.

Marjaan diam sahaja.

"Jangan buat masalah lagi lepas ni!"

"Baik," balas Marjaan sepatah.

"Macam mana anti tahu pasal rancangan camping hari ni?"

"Saya terdengar perbincangan ustaz dengan babah."

"Tak seronok pergi ke kelab malam dan meronda dengan kawan-kawan di shopping complex setiap hari?"

Marjaan menggigit bibir. Eh, macam mana dia tahu aku selalu meronda kat kompleks ni? Mama pun tak tahu! Boleh pulak dia tahu? Marjaan bersoal jawab sendiri.

"Kenapa cepat sangat hendak balik ke sini? Tempat ni bukannya seronok pun," kata Nawfal Husaini lagi. Marjaan merasakan kata-kata itu seperti satu sindiran.

Siapa kata tak seronok, ustaz? Lebih seronok lagi kalau selalu dapat bersama dengan ustaz. Walaupun ustaz membebel macam mak nenek, tapi aku dengar macam muzik. Dan aku nak menari-nari ni! bisik hati Marjaan lagi.

"Ha, kenapa diam?" soal Nawfal Husaini.

"Siapa kata tempat ni tak seronok, ustaz? Seronoklah. Alam yang menghijau, suara binatang-binatang liar... Bunyi air terjun. Macam muzik semua tu."

"Hei! Kita dah nak sampailah. Ni air terjun pertama Gunung Stong!" jerit Ustaz Wadie yang berada di barisan paling hadapan kumpulan itu.

Bunyi air terjun semakin jelas di telinga mereka. Semua bersorak gembira. Hilang kepenatan mendaki dan menuruni lembah dengan beban berat di belakang. Semua mencampakkan beg ke tanah lalu terus menghulur kaki ke dalam air.

Gunung Stong mempunyai tujuh lapis air terjun. Tingkat teratas adalah yang paling indah. Berada di puncak seolah-olah kita berada lebih tinggi daripada awan. Awan terapung-apung di bawah kaki. Marjaan tidak sabar hendak mendaki hingga ke tingkat paling atas air terjun itu. Dia akan merakam video dan gambar dari atas puncak gunung sebagai satu kenangan paling indah dalam hidupnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co