Bab 5
KELAM-KABUT aku masuk pejabat. Lewat 10 minit. Masa aku sampai, Mia, Hisyam, Fatin dan Kak Ida sudah siap sedia di tempat masing-masing. Kalau begitu gaya mereka, alamat encik segak tu sudah sampai. Untuk menjaga hati, aku ke biliknya. Ketuk pintu namun tiada jawapan, jadi aku tolak pintu perlahan. Bilik Encik Faizal kosong.
"Bos mana?" soalku kepada Hisyam. Dia saja yang hampir dengan tempat dudukku.
"Tu..." Hisyam tunjuk isyarat mulut ke arah pantri.
"Aduh, dia ni tak reti nak minum air kat rumah ke?" Aku bebel perlahan sambil letak beg tangan ke atas meja. Kemudian terkejar menuju pantri.
"Selamat pagi, encik," ucapku perlahan. Ada rasa sedikit bersalah. Sikap tolak ansur Encik Faizal sebenarnya membuatkan pekerja lebih takut untuk membuat sebarang kesilapan. Tolak ansur yang menakutkan.
"Selamat pagi," jawab Encik Faizal. Dia toleh pandang aku. Lain macam saja cara renungannya itu. Tahulah aku datang lewat, tapi bukannya lewat setengah hari. Tak jadilah nak cakap pasal minta cuti. Nanti-nanti boleh cakap. Mungkin mood dia tengah tak baik. Karang silap cakap, habis kena sembur.
"Hmmm, awak nak minum?" soalnya selepas itu.
"Errr, saya dah minum. Teman lelaki saya sediakan sarapan tadi." Masih terbayang Karamel Kastard Kak Husna. Separuh loyang masuk perut. Sangat sedap. Makan pun serupa tak ingat orang. Bukan senang nak sarapan Karamel Kastard.
Aku tahu sepanjang malam tadi Kak Husna tak tidur. Dia kalau ada masalah begitulah. Pasti memasak. Yang tak seronoknya, dia akan paksa aku belajar masak dengannya. Itu yang buat aku pening setiap kali Kak Husna ada masalah. Mujur malam tadi dia tidak kacau aku.
"Oh, bagusnya. Beruntung awak dapat teman lelaki yang boleh sediakan sarapan pagi." Puji ke, kutuk ke, aku tak kesah. Tak jadi masalah pun. Janji aku boleh karang cerita karut yang membolehkan Encik Faizal percaya.
"Saya memang cari teman lelaki yang boleh sediakan sarapan untuk saya sebab saya malas bangun pagi," tipu lagi. Entah berapa bakullah dosa menipu sejak berboskan Encik Faizal. Tapi elok juga. Tahulah dia aku tak suka lelaki yang minum minuman 3 in 1 kat ofis setiap hari.
"Maaflah pasal malam tadi. Saya memang tak balik rumah." Satu poin lagi untuk perkara tak senonoh awak, Nurul. Memang bunyinya tak elok, tapi Tuhan tahu apa yang aku buat.
"Maaflah, bukan niat nak kacau awak." Ada nada sedih pada suara Encik Faizal. Tak tahulah kenapa.
"Tak apa..." Aku senyum tawar.
Encik Faizal pandang cermin dinding. Pandangan seperti serba mengelirukan. Seolah-olah jasad saja berdiri di sini tetapi fikiran entah melayang sampai mana.
Aku sambung jalan. Mahu tinggalkan pantri.
"Errr, awak tolong tengok kejap kertas usul saya tu. Kalau ada yang tak sesuai, tolong beritahu. Harap kali ni mereka terima. Penat sudah." Sempat lagi Encik Faizal keluarkan arahan.
"Okey, saya tengok nanti." Sambung jalan dan tinggalkan Encik Faizal habiskan minumannya. Aku ke tempat Encik Faizal. Ambil fail atas mejanya.
"Nurul, kau pernah pergi Bali?" soal Mia tiba-tiba. Aku baru letak punggung di atas kerusi, Mia sudah soal dengan soalan tidak-tidak. Sebenarnya tidak suka nak layan, tapi terpaksa layan demi menjaga hati. Lagi pula, rakan sepejabat semuanya okey dan satu kepala. Hanya sikap terlalu mengambil berat itu yang membuatkan aku tidak berapa suka.
"Pernah. Aku pergi dengan teman lelaki aku 2 tahun lepas." Memang betul pun. Aku pergi dengan geng SISTER.
"Best tak?" soal Mia lagi.
"Memanglah best. Syurga dunia pasangan yang tengah bercinta," jawabku. Masa itulah Encik Faizal sampai.
"Kau nak pergi ke?" soalku tanpa menghiraukan kehadiran Encik Faizal. Sambil itu, mata ligat juga membaca perkataan-perkataan yang tertulis.
"Ingat nak pergi," kata Mia.
"Hmmm, baguslah. Memang enjoy tempat tu. Sangat-sangat romantis." Aku mula baca apa yang Encik Faizal tulis. Cuba mencari kesilapan di mana-mana. Rasanya dah okey. Kemudian aku pandang wajah Encik Faizal. Kenapa wajah segak tu jadi keruh?
Aku senyum nipis dan Encik Faizal balas dengan senyuman yang serba tawar. Janganlah paksa senyum kalau awak tak nak senyum. Aku tak paksa pun. Tapi memang jelas ada yang tidak kena dengan wajah Encik Faizal.
Encik Faizal terus ke biliknya.
Aku bangun dan bawa semula semua usul ke bilik Encik Faizal.
"Okey, rasanya kali ni tak ada masalah. Saya nak ingatkan sekali lagi, hari ni encik ada janji temu dengan orang atasan."
Encik Faizal angguk tanpa bersuara. Apa kena dia pagi ni? Macam orang hilang semangat saja.
"Nurul." Dia panggil aku masa aku nak tarik pintu bilik. Cepat aku toleh pandang dia.
"Kita keluar makan tengah hari nanti. Boleh, kan?"
Aku angguk tanda setuju. Peliknya, selalu tu tak pernah minta izin pun. Hari ni pula nak minta izin.
"Kekasih tak marah, kan?"
"Kekasih?"
"Ya, kekasih." Dia tenung tajam.
"Oh, kekasih." Mujur aku teringat. Kalau tidak, memang habis aku.
"Tak marah. Dia tahu saya setia pada dia." Teruskanlah berlakon, Nurul. Mana tahu ada faedahnya.
Wajah Encik Faizal kembali berubah. Aku sambung melangkah.
AKU pandang saja wajah Encik Faizal yang tenang. Nak baca jampi serapah, satu jampi pun aku tak tahu. Tapi aku benar-benar berharap agar permohonan cutiku diluluskan. Kalau tidak, tentu Kak Husna bakal kecewa.
"Ya Cik Nurul, ada apa-apa yang tidak kena? Saya ajak awak temankan saya makan, bukan saya ajak awak tengok muka saya. Rasanya saya ni tidaklah sekacak teman lelaki awak untuk awak pandang-pandang. Tak takut jatuh cinta dengan saya ke?" Encik Faizal jeling sekali sambil pusing spageti.
Tak ada maknanya aku nak jatuh cinta dengan dia. Kalau aku tak ada hajat, jangan harap aku nak pandang-pandang. Jangan harap aku nak makan makanan macam ni tengah hari buta begini.
"Saya nak minta cuti selama tiga hari," kataku perlahan.
Encik Faizal diam. Sumbat spageti ke dalam mulut. Kemudian dia lap lebihan sos yang tertinggal di tepi bibirnya.
"Nak ke mana?" Dia jeling lagi.
Fikir Nurul kau nak pergi mana. Jangan cakap Cameron Highlands. Takkan kau nak pergi dating ke Cameron Highlands? Buat Encik Faizal gelak aje nanti.
"Teman lelaki saya nak bawa saya pergi Krabi," tipu lagi.
"Hmmm..."
Hmmm aje? Cakaplah boleh ke tidak.
"Boleh ke?" Terpaksa tanya sebab tak mahu berteka-teki sendiri. Gaya serupa tak benarkan aje. Takkan cemburu kut dengar aku nak makan angin dengan buah hati? Jadinya tak salahlah kalau aku perasan yang Encik Faizal ni serupa ada hati saja dengan aku.
Dia pusing lagi spageti dan tiba-tiba saja dia hulur seperti nak suap aku. Tanpa fikir panjang, terus saja aku buka mulut. Apa kes pula ni? Kau pun satu Nurul, main ikutkan aje apa Encik Faizal suruh buat.
Waktu aku lap bibir, aku nampak Encik Faizal senyum sendiri.
"Di mulut naga lagikan berani direbut, inikan pula di tangan orang." Aku dengar Encik Faizal bebel sendiri.
"Encik cakap apa?" Aku tanya sebab nak fahamkan apa makna bebelan Encik Faizal itu.
"Hmmm, okey..." jawab Encik Faizal tanpa mahu menjawab soalanku sebentar tadi.
Separuh perasaan lega, namun separuh lagi masih tertanya-tanya akan makna bebelan Encik Faizal tadi. Rasanya aku tak sebut langsung pasal naga, tapi macam mana dia boleh tersebut pasal binatang tu?
"Hmmm, pergi Krabi tu naik apa?"
Ada orang pergi Krabi naik rakit ke? Soalan memang tak menahan sungguh.
"Naik kapal terbang la. Takkan naik rakit? Agak-agaklah."
Dia tunjuk muka serius.
"Hmmm, awak nak pergi Krabi minggu depan, hari ni baru awak minta cuti. Bila masa awak beli tiket?"
Aku faham kini makna soalan Encik Faizal. Nampaknya otak Encik Faizal memang ligat berfikir.
"Teman lelaki saya beli tiket dah lama, cuma baru sekarang saya minta cuti."
"Misal katalah, saya tak benarkan awak bercuti, bagaimana?" Encik Faizal masih mahu bersoal jawab.
"Mungkin saya akan berhenti kerja kut," jawabku selamba."
Aku nampak Encik Faizal senyum nipis. Sakit hati ke? Buat apa nak sakit hati, bukan masalah dia pun.
"Hmmm, dah berapa lama awak dengan teman lelaki awak tu?"
"Lama juga, dalam tiga tahun." Hentam aje, karang dia tanya balik sah aku tak ingat berapa lama aku bercinta.
"Dia sudah melamar awak?"
"Belum." Aku jawab sambil geleng kepala.
"Sekali pun tak pernah ajak awak kahwin?"
Aku angguk.
"Tak pernah. Mungkin dia masih belum bersedia ke arah itu dan saya sabar menunggu." Betul ke aku jawab ni? Macam tiru dialog drama aje.
"Hmmm..."
Encik Faizal senyum nipis lagi. Pelik pula aku tengok cara dia senyum. Mengutuk aku ke?
"Kenapa encik senyum macam tu?" soalku.
Dia pusing lagi spageti. Jangan suap aku sudah. Tadi aku buka mulut pun sebab nak jaga hati dia. Takut cuti tak lulus.
"Kalau dia tak serius macam mana?" Encik Faizal tanya lagi dan tak sudah pusing spageti.
Ah! Peninglah kalau sembang benda yang susah aku jawab. Jadi aku putuskan aku tak mahu jawab soalan itu. Biar tak berjawab.
"Awak sayang dia?" Soalan lain menyusul walau aku berdiam diri.
"Mestilah sayang. Kalau encik ada teman wanita mesti encik sayang juga, kan?"
"Kan saya dah cakap saya belum ada teman wanita."
"Ya?" Soalan tak percaya. Sengaja nak panjangkan perbualan.
"Kenapa? Tak percaya lelaki kacak macam saya ni tak ada teman wanita?"
Ah! Kenapa dia ni perasan sangat? Macamlah kacak.
"Mestilah tak percaya," jawabku tenang.
"Percayalah. Tak ada siapa yang nak saya."
Ceh, dia tu yang memilih sangat.
"Kalau nak macam miss world, memanglah." Aku perli.
"Tak juga. Cukup sedap mata memandang jadilah. Tapi yang sedang mata memandang tu ada yang punya pula. Banyak betul halangan."
"Siapa suruh encik berkenan orang punya? Memanglah bermasalah."
"Habis, mata berkenan milik orang, nak buat macam mana."
"Oh, inilah kes, di mulut naga lagi direbut, inikan pula di tangan orang? Encik nak rebut juga ke?"
"Awak rasa macam mana? Saya ada peluang tak?"
"Selagi dia belum kahwin, encik ada peluang. Tapi encik kena berusahalah untuk memenangi hati dia. Lagipun perempuan ni mudah tertawan kalau lelaki tu layan dengan baik."
"Awak sokong?"
"Ya, saya sokong."
Lebar senyuman Encik Faizal. Macam puas hati benar dengan jawapanku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co