Truyen3h.Co

Menyayangimu

Bab 2

karyaseni2u

IMAN melirik jam tangannya. Sudah tiga kali dia melirik jam tangannya, namun bayang Taufik tidak juga kelihatan. Taufik selalu begini. Lelaki itu selalu lambat. Penjelasan lelaki itu cuma ada dua. Satu sebab tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Satu lagi sebab dipanggil menyertai mesyuarat pada saat-saat akhir.

Apa yang aneh, Iman selalu menerima penjelasan Taufik tanpa banyak soal, biarpun dia tahu semua itu sekadar alasan lelaki itu. Dia tahu Taufik tidak jujur. Cuma dia tidak tahu kenapa dia membenarkan Taufik terus bermain dengan pembohongan.

Cincin tanda milik Taufik yang menemani jari manisnya disentuh. Tinggal lagi empat bulan sebelum majlis nikah mereka berlangsung. Semakin dekat hari besar mereka, semakin bergelora emosinya. Dia sudah memilih Taufik, tetapi tak tahu kenapa keraguan itu masih wujud. Mungkin kerana dia pernah melakukan dosa.

Ada dua dosa silam yang Iman kesalkan. Dosa yang tak boleh dibawa berbincang dan dimaafkan lagi. Dosa yang tanpa penat mengejarnya setiap waktu. Jadi tidak hairan kenapa hatinya jauh dari perkataan bahagia. Dia hidup dalam keraguan dan penuh kesalan.

Dia membuka aplikasi WhatsApp. Dia mahu berkongsi gelisahnya kepada Inara. Namun hasrat tersebut tidak mampu direalisasikan. Dia telah membina tembok besar. Tembok besar itu jadi pemisah antara dirinya dengan Inara. Biarpun sejuta kali dia mencuba untuk merobohkan tembok tersebut, dia masih juga kecundang. Inara telah menutup semua ruang kemaafan.

"Awak dapat semuanya, Inara. Awak pandai. Awak jadi anak emas sekolah. Awak jadi anak kesayangan mama. Semua orang sayang awak. Abang Sharif pun sayang awak."

"What?"

"Don't what me. Apa awak nak, semua awak dapat. Semua orang jaga awak. Semua orang berebut nak ambil hati awak. Saya ni pula, cuma watak tempelan. Watak pengacau yang tak penting!" jeritnya sekuat hati.

"Awak dah salah faham, Iman."

Dia sudah lelah disogokkan dengan ayat 'dia salah faham'. Dia sudah muak mendengar ayat tersebut. Ayat itu sudah basi, sudah membusuk dalam hatinya. Dia bukan bodoh sangat sampai tidak dapat meneka mama lebihkan siapa. Semua orang pun nampak, antara dia dan Inara, mama lebih condong ke arah Inara.

"Saya tak pernah salah faham. Awak dengan mama yang tak pernah nak faham keadaan saya macam mana! Awak dengan mama tak pernah nak ambil tahu hal saya!" tempik Iman kuat. Kalau mama dengar, lebih bagus. Kalau mama mahu marah besar, dia sudah tidak kesah. Dia sudah biasa dimarah. Dia sudah biasa direndahkan oleh mama. Bagi mama, kalau dia tidak wujud pun tidak mengapa. Sayang dan cinta mama tumpah untuk Inara sahaja.

"Kakak tak faham bahagian yang mana? Sebab setahu kakak, mama sayang kita semua. Mama tak pernah lebihkan siapa-siapa."

"Sayang? Mama tak pernah lebihkan siapa-siapa? Awak buta atau buat-buat buta, Inara?"

Inara diam. Namun dia tahu, Inara sedang mengawal emosinya supaya tidak runtuh.

"Awak tahu tak, saya ni dah penat jadi bayang-bayang awak. Saya dah penat jadi anak tiri dalam keluarga ni. Mentang-mentanglah saya ni bodoh, tak cerdik macam awak, semua orang layan saya ni macam kain buruk."

Dia mendengar Inara mengucap panjang.

"Tak ada siapa pun dalam rumah ni yang layan Iman macam kain buruk. Iman saja yang rasa macam tu. Mama sayang kita berempat. Kita berempat nyawa mama. Kita datang dari kilang yang sama. Iman, Ilya dan Inaz, semua pernah tinggal dalam rahim mama."

Malas dia mahu mendengar penjelasan Inara. Bukan Inara yang melalui kepayahan yang dia lalui.

"Ya, memang betul kita semua pernah tinggal dalam rahim mama. Tapi boleh nampak mama lebih sayangkan siapa. Semua yang terbaik, awak dapat. Apa-apa hal pun, mama lebihkan awak. Saya ni ada ke, tak ada ke, sama saja. Saya ni tak penting. Saya tak sepatutnya lahir ke dunia ni."

"Iman, jangan cakap macam tu. Iman dah salah baca kasih sayang mama."

Dia tak pernah salah membaca kasih sayang mama.

Mama memberi gambaran jelas betapa dia ialah anak itik hodoh yang tersisih dan disisihkan. Anak itik yang hodoh pun ada pengakhiran yang baik, sedangkan dia, hanya ada kegelapan yang hampir memakan jiwanya.

"Hidup saya kelam. Saya rasa kosong. Saya terpaksa tersenyum, biarpun sebenarnya saya nak menangis. Awak takkan faham semua tu sebab awak tak pernah cuba berada di tempat saya." Iman meraup mukanya. Dia tidak mahu ada air matanya yang jatuh dan sampai pada penglihatan Inara. Dia tidak perlukan belas Inara.

"Saya ada hati, Inara. Saya pun ada perasaan. Tapi semua orang lupa tentang dua hal tu. Kadang-kadang saya rasa, lebih baik saya mati dari hidup dibanding-bandingkan dengan awak. Mama pun mesti lagi suka kalau pengacau macam saya mati."

"Iman!"

Dahulu kalau Inara sudah meninggikan suara begitu, dia akan mengalah. Namun tidak kali ini. Dia akan membuat Inara tunduk. Walaupun Inara ialah kakak, namun waktu yang menjarakkan mereka cuma dua minit. Mereka berkongsi uri dan berkongsi raut wajah yang sama. Jadi dia ada hak untuk melawan Inara.

"Saya benci awak, Inara. Saya dah tak anggap awak kakak saya. Sebab awak, saya kena lalui semua ni. Saya terpaksa hidup dengan bayang-bayang awak. Kenapa awak tak mati saja? Masalah hidup saya akan selesai kalau awak mati. Selagi awak hidup, takkan ada pengakhiran yang baik untuk saya!"

Dia tahu dia sangat kurang ajar. Ayat yang lahir tadi bukan datang dari hati. Itu ayat-ayat jiwa yang telah merana sekian lama. Dan Inara membalas hamburan perasaannya dengan menambahkan luka dalam jiwanya.

Inara menamparnya. Inara mengheretnya keluar dari bilik. Selepas itu, Inara tak lagi menegurnya. Biarpun dia cuba memulakan perbualan, Inara memilih membina jarak. Dia telah kehilangan Inara.

"Sorry, saya lambat. Ada meeting mengejut tadi."

Suara Taufik menghapus semua lamunan Iman. Dia mengangkat muka. Seraut wajah sedap dipandang Taufik menyapanya.

Inilah lelaki Iman. Lelaki yang berjaya membuat Iman bersetuju untuk dilamar. Dia seorang jurutera. Tinggi lampai dan segak orangnya. Cuma Iman pelik, dalam ramainya wanita yang lebih sempurna, kenapa Iman yang Taufik pilih?

"Kemudian masa nak ke sini, jalan jammed teruk."

Hari ini, Taufik menggunakan kedua-dua alasannya. Iman tidak memberi sebarang komen. Dia masih meneliti raut muka Taufik. Bila diperhatikan dengan teliti, dia mengesan kesan lebam di tepi rahang Taufik. Pinggir bibir lelaki itu juga ada kesan pecah.

"Awak kenapa?" Jari tangan Iman menunjuk rahangnya sendiri sebelum berakhir pada pinggir bibirnya.

"Tak ada apa."

"Macam mana boleh tak ada apa? Ketara sangat yang awak ni baru lepas kena pukul."

"Bukan hal awak. Jangan masuk campur bila hal tu bukan hal awak."

Taufik berjaya merobohkan ketenangan Iman. Taufik melayannya, seperti dia bukan tunang Taufik.

"Saya nak cakap sesuatu dengan awak. Sangat penting. Sebelum tu, saya nak awak bertenang."

Lain macam sahaja gaya bahasa Taufik, sehingga memaksa Iman membetulkan cara duduknya.

"Awak nak cakap apa?"

Taufik mengeluh. Kemudian menarik nafas panjang.

"Apa saya buat ni demi kebaikan awak."

Rasanya, dia tahu apa yang mahu Taufik luahkan.

"Saya rasa, awak tak sesuai untuk saya dan begitu juga sebaliknya."

Dia betul. Tekaannya tepat sekali.

"Saya tak boleh bersama dengan awak lagi, Iman. Saya nak kita putuskan pertunangan kita."

Perlahan-lahan Iman mengorak senyuman. Dia tidak bersedih, cuma dia terkilan Taufik mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan tersebut.

"Jangan senyum sebab saya tak bergurau. Saya serius. Hati saya bukan milik awak lagi." Suara Taufik bertukar serius, malah raut mukanya lebih serius.

"Iman, awak faham atau tak faham? Saya tak nak awak tersenyum. Sekarang bukan waktunya untuk tersenyum."

Senyuman Iman masih mekar.

"Awak tak patut tersenyum. Semakin awak tersenyum, semakin saya rasa awak tak ambil serius apa yang saya cakap tadi."

Barulah senyuman Iman lenyap. Sekarang dia menunggu penjelasan Taufik. Pandangan matanya seperti tidak berjiwa.

"Saya jatuh cinta pada perempuan lain."

Oh, ada orang ketiga dalam hubungan mereka.

"Saya tak nak awak salahkan dia. Dia tak bersalah dalam hal ini."

Cara Taufik bercakap, seperti Iman mengenali siapa orang ketiga tersebut.

"Siapa?" ajunya untuk kepastian. Sorotannya hanya milik Taufik.

"Janji dengan saya, yang awak takkan serang dia."

"Jangan risau. Saya tak berebut lelaki dengan perempuan. Istilah serang tu takkan wujud, melainkan dia serang saya dulu. Sekarang beritahu saya siapa perempuan tu?"

Berat hati Taufik mahu menyebut nama kekasih barunya. Lelaki tu nampak sangat resah.

"Siapa?" desak Iman.

"Ilya."

Gumpalan awan hitam berarak datang. Mungkin sebentar lagi hujan akan turun. Sama halnya dengan hati Iman. Lelaki yang duduk di depannya tidak lagi memberi nyaman. Taufik hanya membuat hatinya bersyair lagu tak berjiwa.

"Sejak bila?"

Dia melihat Taufik menelan liur. Taufik jelas enggan membuka mulut.

"Saya tanya, sejak bila? Kenapa susah sangat awak nak jawab?" Suara Iman sedikit keras.

Dasar Taufik keras kepala. Sudah didesak, tapi masih juga membisu.

"Kita dah sampai pada tahap tak dapat diselamatkan lagi. Dah tak ada guna awak nak sorok tembelang. Saya nakkan kejujuran awak."

Taufik meraup mukanya. Ketegasan Iman menggigit hatinya.

"Awak akan kecewa."

"Sekarang pun saya tengah kecewa. Alang-alang saya dah kecewa, lebih baik awak cerita semuanya."

Berat keluhan Taufik. Dia memandang Iman. Kemudian dia bermain dengan sepuluh jarinya.

"Sejak Ogos tahun lalu. Kami mula keluar bersama sejak Ogos tahun lalu."

Ogos tahun lalu? Jadi sudah hampir lima bulan dia ditipu bulat-bulat oleh Taufik dan Ilya?

"Saya dengan Ilya tak boleh sembunyikan hal ni lagi. Saya bimbang jadi perkara tak elok. Keluarga awak dan saya juga yang malu."

"Perkara tak elok yang macam mana?" desak Iman lagi. Hari ini, dia akan mengorek kejujuran daripada Taufik. Semuanya!

"Saya dengan Ilya hampir terlanjur..."

Ayat Taufik tidak habis. Mukanya telah disimbah dengan segelas jus oren milik Iman. Iman dan perkataan 'terlanjur' tak pernah sejalan. Perkataan 'terlanjur' selalu membuat Iman kalah mengawal emosinya. Api kemarahannya naik mendadak.

"Saya percayakan awak, tapi awak tipu saya. Malah awak hampir rosakkan adik saya."

Taufik meraih tisu. Wajahnya dibersihkan. Dia tahu banyak mata yang mulai memberi perhatian pada meja mereka. Namun dia takkan berganjak selagi dia belum menerima kerjasama Iman. Dia sudah berjanji pada Ilya.

"Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi, Iman. Tak adil kalau awak nak salahkan saya seorang. Ilya rela dan saya pun bukan maksum. Ilya benarkan saya sentuh tangan dia, peluk dia. Dengan awak, saya tak dapat semua tu. Awak anggap saya macam saya ni kala jengking berbisa. Awak mengelak bila saya cuba pegang tangan awak. Awak sengat saya dengan kata-kata beracun."

Iman mahu ketawa. Taufik sedang berdiri menyokong dosa. Dan sekarang lelaki itu menyalahkan Iman kerana tidak menyokong dosa. Kebodohan apa ini? Ajaran sesat mana yang Taufik pegang?

"Taufik, ada sebab kenapa nama saya Iman. Supaya saya selalu ingat yang saya ni masih ada iman."

Taufik menyandarkan tubuhnya. Dia tahu dia sudah salah memilih bahasa. Namun Iman mencabarnya dan ayat-ayat tersebut meluncur tanpa dapat dikawal. Padahal dia dan Ilya perlukan Iman untuk menyelesaikan masalah ibu bapa mereka. Emaknya mahukan Iman jadi menantu mereka, sedangkan keluarga Iman mahu melihat dia dan Iman hidup bersama. Tapi, apa mereka semua tahu tentang cinta?

"Saya minta maaf. Saya salah cakap. Tapi saya nak awak tahu, saya tak sengaja. Saya tak tahu macam mana saya boleh suka Ilya. Saya dah cuba melawan, tapi tak boleh. Aura Ilya tak boleh saya tepis. Hati saya dah diikat."

Taufik tak sengaja menyayangi Ilya. Lebih parah, lelaki itu pun tak tahu bagaimana hatinya boleh berputik sayang pada adik Iman sendiri. Jadi, Iman perlu memberi jawapan apa?

"Demi Allah, Iman..."

"Jangan sebut demi Allah, Taufik. Dulu pun awak sebut ayat sama. Dulu awak sebut ayat tu dan berjanji akan jaga saya seumur hidup. Tapi tengoklah sekarang... Pengakhirannya begini. Hati awak beralih arah."

"Awak selalu sibuk. Awak selalu tak ada masa untuk saya. Awak lebihkan kerja awak. Saya rasa tak disayangi. Saya kesunyian. Awak layan saya macam saya ni bukan siapa-siapa pada awak. Kalau awak perasan, kita dah semakin jauh. Kita jarang berjumpa. Saya ni nama saja dah bertunang, tapi saya hidup macam tak ada tunang."

Okey, sekarang Iman yang dipersalahkan atas kegagalan hubungan cinta mereka. Salah Taufik? Sebab seingat Iman, Taufik yang mengelak untuk bertemu. Ada saja alasan lelaki itu.

"Ilya tak sama dengan awak. Ilya selalu ada untuk saya. Dia selalu jadi tempat saya meluahkan keluh kesah. Dia beri saya makna rasa disayangi dan diperlukan. Ilya mengisi kekosongan yang awak tinggalkan dalam hati saya."

Iman mencari sorotan mata Taufik. Dia melihat Taufik melarikan pandangan.

"Awak ambil kesempatan pada kelemahan Ilya," tempelak Iman.

Taufik meramas-ramas tangannya.

"Macam saya beritahu tadi, awak tak boleh salahkan saya, Iman. Semua yang terjadi bukan kehendak saya. Awak yang menyebabkan saya pilih Ilya. Kalau awak jaga saya dengan baik, hati saya tetap dengan awak. Takkan beralih arah."

Iman tak pernah menyalahkan Taufik. Malah, Taufik yang menjatuhkan semua kesalahan pada Iman.

"Disenangkan cerita, awak dah tak nak ada hubungan dengan saya." Bukan soalan yang Iman lontarkan, tetapi fakta.

"Saya terpaksa buat keputusan ni."

Lagi-lagi Taufik membahaskan perkataan 'terpaksa'. Sebetulnya, Iman yang sedang dipaksa melepaskan lelaki itu.

"Ini yang terbaik, Iman. Kalau kita teruskan, Ilya akan terluka. Saya pun akan terluka."

Iman menanggalkan cincin tanda milik Taufik dari jadi manisnya. Penuh hati-hati, cincin tersebut diletakkan di depan Taufik. Taufik hanya kesahkan hati Ilya dan hatinya sendiri. Tidak mengapa hati Iman terluka. Sejak dahulu lagi hati Iman sudah biasa terluka.

"Terima kasih sebab pernah buat saya melihat dunia ni penuh warna."

Iman bangun. Perbincangannya dengan Taufik selesai. Taufik sudah memberi kata putus. Dia mengikut saja.

"Awak dah nak balik? Kita belum habis berbincang. Banyak yang perlu kita bincangkan bersama. Saya perlukan kerjasama awak." Suara Taufik cemas. Dia ikut bangun.

"Kita dah habis dan takkan ada sebarang kerjasama lagi antara awak dengan saya." Iman meraih beg totenya. Dia sudah tak mahu melihat muka Taufik lagi. Panggilan Taufik juga diabaikan.

"Iman!"

Kalau Taufik menjerit memanggil namanya sehingga keluar anak tekak sekalipun, dia tetap enggan peduli.

"Iman!" Lengannya disambar. Secepat itu juga dia merentap lengannya supaya bebas dari belenggu Taufik.

"Iman dah tak ada. Yang ada raksasa yang boleh telan awak kalau awak terus panggil nama saya."

"Dengar apa saya nak cakap dulu."

"Apa lagi awak nak cakap?"

"Awak mesti tolong saya dengan Ilya."

Taufik sudah gila agaknya.

"Saya tak nak. Awak pandai cipta masalah, pandailah awak selesaikan sendiri."

"Ilya masih adik awak. Takkan awak tak nak tolong adik sendiri? Lebih baik awak tak payah jadi kakak kalau tak boleh nak tolong."

Iman tidak suka cara Taufik meminta pertolongannya. Lirikan tajamnya singgah memberi amaran pada Taufik.

"Iman, please..." rayu Taufik. Redup matanya. Hiba raut mukanya.

Iman kembali melangkah. Taufik sudah membuangnya. Taufik gagal menyayanginya. Dia takkan merendahkan diri merayu pada lelaki itu, apalagi menolong lelaki itu.

"Awak tak boleh tinggalkan saya macam ni saja, Iman. Masalah kita belum selesai."

"Selesaikan sendiri. Saya tak nak ambil tahu."

"Jangan jadi macam budak-budak, Iman. Ilya tu adik awak. Dan awak pun kenal saya. Takkan awak langsung tak ada hati nak tolong kami berdua?"

"Kalau awak ada hati, awak takkan minta saya tolong awak."

Taufik kehilangan ayatnya dan Iman mengambil peluang tersebut untuk melangkah pergi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co