Bab 5
PANTULAN wajahnya pada cermin diperhatikan. Dia puas hati. Dia tidak menemukan kesedihan. Itu yang terbaik. Dia tidak mahu Taufik melihat dia berkabung, apalagi keluarganya sendiri melihat dia murung. Dia tidak rugi apa-apa kalau bukan Taufik yang menjadi suaminya. Iman memegang prinsip kumbang bukan seekor di dalam dunia ini.
Dari dalam biliknya, dia mendengar suara mama menjemput Taufik masuk. Nampaknya, waktu telah tiba untuk keluarganya mengetahui cerita sebenar. Selepas ini, secara rasminya dia akan jadi bujang semula. Dia bukan lagi tunangan orang.
Iman keluar dari biliknya. Anak tangga dituruni satu per satu. Sebaik sahaja matanya bertembung dengan sepasang mata lelaki Taufik, dia melihat riak terkejut lelaki itu. Lebih teruk, pandangan mata Taufik langsung tidak beralih dari memandangnya. Iman pula yang diserbu rasa tidak selesa.
Sehingga dia selesai mengambil tempat di sisi mamanya, mata Taufik masih belum rela melepaskannya. Iman dapat rasa, sorotan tajam Ilya melekat pada Taufik.
"Semua dah ada." Iman memulakan perbualan. Dia harap Taufik berhenti memandangnya sekarang sebelum Ilya menjerit marah. Dia tak mahu terpalit skandal yang lebih buruk.
"Mama, Taufik dengan Ilya ada hal penting nak beritahu mama." Iman terus ke permasalahan utama. Dia tidak peduli kalau Taufik dan Ilya belum bersedia. Rasanya, mereka berdua takkan bersedia sampai bila-bila. Iman yang perlu memulakan langkah. Selagi Iman tidak membuka mulut, selagi itu mereka berdua menikus.
"Hal penting apa?"
Tumpuan mama silih berganti pada Taufik dan Ilya.
"Abang Taufik cakaplah," gesa Ilya setelah kebisuan yang mengisi suasana.
"Ilya cakap dulu."
"Kita dah setuju, Abang Taufik yang mesti mulakan dulu."
Berkerut seribu dahi Iman melihat gelagat Ilya dan Taufik. Masing-masing enggan membuka mulut.
"Ilya cakaplah. Nanti abang sambung."
Panas hati Iman melihat gelagat Ilya dan Taufik.
"Mama," sebut Iman setelah sabarnya hilang. Biar dia yang membuka pekung. Tangan mama diraih lalu digenggam dengan erat. Harapannya besar. Dia mahu mama tenang mendengar berita yang mahu dia sampaikan.
"Iman dengan Taufik tak jadi kahwin."
Tidak tahu berapa besar bukaan mata mama. Jelas sekali mama tidak dapat menerima berita yang Iman khabarkan.
"Kami dah putus, mama. Kami dah tak sehaluan. Iman pun dah pulangkan cincin tunang pada Taufik."
Mama memandang Taufik dan kemudian Iman semula. Setelah itu, pegangan tangan Iman dileraikan. Muka mama merah padam. Mama marah dan Iman telah bersedia menerima impak kemarahan mama. Dia sudah biasa dimarahi. Cuma sejak skandal yang melanda Inara sahaja, mama sudah berhenti memarahinya.
"Kenapa putus tanpa berbincang dengan mama dulu? Masa kamu berdua bertunang, penuh adat. Takkan bila putus, langsung tak beritahu mama?"
Iman diam kali ini.
"Mama Taufik dah tahu?"
Perlahan-lahan Taufik menggelengkan kepalanya.
"Ya Allah... Apa kamu berdua dah buat ni? Kenapa buat keputusan melulu? Iman dengan Taufik dah nak kahwin tak lama lagi. Barang hantaran semua dah siap beli."
"Keputusan ni tak melulu, mama. Hubungan kami berdua dah tak boleh diselamatkan lagi. Iman tak nak paksa Taufik. Iman tak nak Taufik ceraikan Iman selepas kami berkahwin nanti. Sebelum keadaan tu berlaku, lebih elok Iman cegah."
Mama terus bangkit. Tajam sorotan matanya menikam anak mata Iman.
"Mama tak sangka Iman macam ni. Mama kecewa!"
Mama memandang ke arah Taufik pula. Raut muka mama kecewa.
"Kamu pun sama, Taufik! Masa nak tunang dulu, bukan main lagi. Bila putus, putus macam tu saja. Ikut sangat dengan cara cowboy. Kamu berdua langsung tak fikirkan keluarga! Kami yang nak kena hadap buah mulut orang." Mama meluahkan kesalannya.
"Saya minta maaf. Tapi hubungan saya dengan Iman memang tak jadi. Kami dah bawa haluan masing-masing sejak semalam. Saya dengan Iman dah habis."
Mama semakin tercengang mendengar berita yang dikhabarkan oleh Taufik. Iman pula tenang, dia enggan menunjukkan emosi negatif untuk lelaki yang tidak menyayanginya lagi. Buang waktu dan tenaga.
"Kami dah cuba baiki hubungan kami, tapi kami makin renggang. Iman sibuk dengan kerja dia dan dia langsung tak ada masa untuk saya."
Taufik masih sempat meletakkan kesalahan ke atas bahu Iman.
"Lagipun saya dapat rasa, dia tak ikhlas bertunang dengan saya. Saya dapat rasa, dia tak sayangkan saya. Cuma saya yang beria-ia."
Untuk fakta yang satu ini, Iman tak membantah. Dia mengakui dia mempunyai keraguan semenjak dia sah menjadi tunang Taufik. Keraguan itu tak pernah hilang biarpun hari besar mereka semakin dekat.
"Iman, betul apa Taufik cakap ni?"
"Ya. Dua sebab tu yang menyebabkan Taufik duakan Iman." Iman membuka kebenaran. Dia sempat melihat muka Taufik seperti baru tercekik tulang dinasour. Dia juga sempat melihat muka cemas Ilya.
"Apa?!"
Suara mama seperti guruh dan petir. Ilya sudah merapatkan tubuhnya di sisi Taufik.
"Kamu curang, Taufik?"
Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Taufik diam membeku. Dia belum bersedia membuka cerita tentang kecurangannya. Iman terlalu awal membuka cerita tersebut.
"Mama tak perlu marah, Taufik. Dah ditakdirkan hubungan kakak dengan Abang Taufik tak berpanjangan." Akhirnya Ilya bersuara. Itu pun sekejap tenggelam, sekejap timbul suaranya.
"Kamu diam, Ilya! Ini bukan hal Ilya!"
"Ilya cuma cakap perkara betul. Mama tak boleh paksa Abang Taufik dengan kakak terus bersama. Hati Abang Taufik dah beralih arah. Kakak yang salah sebab tak jaga Abang Taufik betul-betul."
"Senang Ilya cakap. Mama dengan keluarga Taufik macam mana? Tinggal lagi empat bulan sebelum majlis nikah Iman dengan Taufik. Memanglah kad kahwin belum edar, tapi semua saudara terdekat dengan jiran-jiran kita dah tahu tentang majlis kakak kamu dengan Taufik."
"Taufik dah ada yang lain, mama. Ilya betul. Iman takkan paksa dia kekal dengan Iman bila hati dia milik perempuan lain."
Terang dan jelas sebutan Iman. Dia mahu mama faham punca sebenar hubungannya dengan Taufik retak.
Taufik bangun lalu melutut di depan mama. Raut wajah Taufik begitu kelam.
"Saya yang bersalah, mak cik. Kalau mak cik nak marah, marah saya. Saya yang tak setia."
Mama mengucap panjang. Mukanya diraup. Sedih benar raut muka mama. Iman ikut sedih. Namun apa lagi yang mampu dia lakukan? Iman cuma harap, kalau mama tahu dia masih berpeluang bermenantukan Taufik, sedih mama hilang.
"Mak cik jangan risau, majlis kahwin tetap akan berlangsung. Hantaran kita guna yang sama. Cuma tukar sikit," sambung Taufik. Suaranya sedikit bergetar.
"Apa kamu merepek ni, Taufik? Kamu dah tak jadi kahwin dengan Iman. Kamu nak guna hantaran untuk apa?"
Taufik meraih sepuluh jari mama. Erat pegangan tangannya.
"Saya akan berkahwin dengan Ilya. Hati saya mahukan Ilya."
Pegangan tangan Taufik terus mama rungkaikan. Mama bangun dari kerusinya. Raut muka mama terlalu keliru.
"Ilya? Kamu curang pada Iman sebab bercinta dengan Ilya?"
Perlahan-lahan Taufik menganggukkan kepalanya. Ilya juga menganggukkan kepalanya.
Membesar sepasang mata mama. Mama naik berang. Kemudian mama meluru ke arah Taufik, lalu pukulan bertubi-tubi mama singgah pada tubuh lelaki itu. Ilya sudah terpekik-pekik meminta mama berhenti memukul.
Iman kaku. Dia tidak tahu sama ada dia perlu memujuk mama, atau membiarkan saja Taufik terkulai menerima amukan mama. Namun atas dasar perikemanusiaan, dia bangun lalu menarik mama ke dalam pelukannya.
"Mama, cukuplah tu. Iman dah boleh terima. Lagipun kalau mama terus pukul Taufik, takkan buat Iman dan Taufik kembali bercinta. Taufik milik Ilya sekarang. Ilya dah jumpa Iman dan kami dah berbincang. Iman okey Taufik dan Ilya berkahwin."
Mama merungkai pelukan Iman. Sekarang mama meluru ke arah Ilya pula. Sekarang Ilya pula menjadi tempat mama melepaskan geram.
"Ilya minta ampun, mama. Ilya tak sengaja."
Aduh, Iman benci mendengar perkataan tak sengaja tersebut.
"Ilya sayang Abang Taufik, mama. Tolong benarkan Ilya kahwin dengan Abang Taufik."
Iman melihat Ilya menyusun sepuluh jarinya di depan mama. Dan mama memilih menepis tangan Ilya.
Amukan mama semakin menggila sahaja. Kegilaan mama hanya berhenti setelah Iman merangkul tubuh mama sekali lagi.
"Ingat Allah, mama. Allah pasti ada perancangan yang lebih baik."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co