Truyen3h.Co

Misi Terlajak Cinta

Bab 8

karyaseni2u

SELEPAS dahinya ditampal dengan Handyplast bercorak polka dot hijau pucuk pisang, tak tunggu lama, Teja terus keluar dari bilik air. Tak kuasa nak bertapa dalam bilik air yang besar gedabak itu. Kalah bilik air hotel lima bintang.

Selamba badak aje Teja menyelongkar bilik air Uqail tanpa izin. Dahinya yang luka dan berdarah itu wajib diselamatkan. Nasib baik darah tak banyak. Selamat dia terjumpa kotak first aid. Boleh juga membantu. Polka dot pun polka dotlah. Dah emergency! Bukannya dia ada pilihan lain. Kalaulah Uqail tahu dia menyelongkar bilik air lelaki itu, pasti lelaki itu akan bertukar jadi hijau. Barulah betul kau hijau!

Argh! Lantaklah. Uqail juga yang buatkan dahinya bertampal macam ni. Dah macam lanun! Janganlah dahi ni berparut! Hilang saham cantik tau! Tolak 10 markah!

"Huh! Nasib baik tak terkoyak dahi aku. Hesy! Hari pertama dalam misi dah bertampal-tampal dahi. Mahu waktu akhir misi nanti ada juga yang patah riuk. Adoi! Minta simpanglah! Kalaulah dahi ni bertanda. Mahu turun mas kahwin nanti," rungut Teja, perlahan. Sekali lalu, tangannya meraba dahinya yang masih berdenyut. Mesti cun dahi bertempek dengan benda alah polka dot hijau ni. Janganlah mak su membebel nanti! Harap-harap mak su tak perasan.

"Kenapa kau tak cakap?" sergah Uqail sebaik sahaja terpandang Teja yang keluar dari bilik air. Kedua-dua belah tangannya memeluk dada sambil tayang wajah nak makan orang. Dia rasa nak kunyah-kunyah Teja. Benci dan sakit hati.

"Oh! Kau hijau..." Teja yang terkejut spontan melatah. Apa hal main sergah pula ni? Kuat pula tu. Kurus semangat! Dalam masa yang sama keningnya sudah bercantum. Sungguh dia tak faham. Apa yang dia tak cakap? Wajah Uqail dipandang.

"Hoi! Kau pekak ke apa? Aku tanya jawablah! Yang kau terkebil-kebil kat situ, apa hal?" tengking Uqail. Panas hati melihat reaksi blur Teja. Mata sempat menangkap Handyplast polka dot hijau setepek pada dahi Teja. Tapi, sebesar kuman pun hatinya tak tercuit rasa simpati. Rasa makin sakit hati lagi ada.

Teja tercengang. Hesy! Memang mamat ni jenis suka tengking-tengking ke? Tak faham betullah! Tak sayang anak tekak ke? Terpelanting baru tau! Kat kedai spare part mana ada jual anak tekak tahu tak!

"Nama saya Teja. Teja Iman binti Tajuddin. Double D." Siapa yang pekak sebenarnya ni? Dari tadi tak reti-reti nak panggil nama aku. Asyik nak panggil orang pekak aje. Penat mama dan papa cari nama yang baik-baik. Susah tau nak cari nama unik bak srikandi Melayu macam ni. Satu dalam Malaysia rasanya!

"Aku peduli apa kalau nama kau Tun Fatimah sekali pun. Sepupu sepapat Tun Teja ke, Tun Mutakhir ke?" bentak Uqail. Bengang! Pandai pula minah ni menjawab.

Wah! Bulat mata Teja. Nasib baik Uqail cuma sebut Tun Fatimah, Tun Teja dan Tun Mutakhir sahaja. Buatnya susur galur semua Tun tu keluar tak ke haru. Memang Tan-Tin-Tunlah jadinya.

"Kenapa kau tak cakap dengan aku? Boleh pula kau berlagak bodoh macam tak tahu apa-apa! Stupid!" Uqail dah memetir. Penumbuk dilepas kasar ke katil. Kuat! Bergegar katil bersaiz king itu. Macam nak roboh bunyinya.

Kecut jantung Teja kerana terperanjat. Apa kes yang tetiba nak marah dan mengamuk pula ni? Suka-suka Uqail tu aje cakap dia berlagak bodoh. Dah tu asyik nak stupidkan orang aje kerjanya. Dahsyat betul mulut mamat ni tau! Dia ada buat silap lagi ke?

"Nak cakap apanya, Encik Uqail?" soal Teja dengan lurus bendul. Tak faham.

"Kenapa tak cakap pada aku yang kau sebenarnya perempuan tu!"

"Perempuan? Perempuan mana pula?" Teja makin blur. Makin tak faham. Hujung kening yang tak gatal digaru. Pening... Pening... Kepala siapa yang kena 'cium' dengan buku tadi, eh? Apa pasal Uqail tanya soalan yang pelik-pelik ni?

"Perempuan mana lagi kalau bukan perempuan yang aku selamatkan daripada kemalangan dua bulan lepas! Kenapa tak cakap yang perempuan tu adalah kau? Kau yang berjalan macam itik jawa pulang petang. Tak pandang kiri kanan! Main lintas jalan macam ayam! Konon nak catwalk kat tengah jalan tu! Dah tu sibuk sangat bergayut di telefon sampai tak perasan kereta nak langgar kau! Macam tak ada time lain kau nak bercakap! Kau ingat jalan raya di KL ni macam jalan kampung ke?" tembak Uqail berdas-das. Merah mukanya kerana terlalu marah.

Terangkat bahu Teja. Serta-merta terasa kepalanya seakan-akan dihempap bumbung banglo. Jantung yang kecut tadi seakan-akan tercampak jauh dan tak sempat nak kutip. Darah sudah turun hingga ke kaki. Rasa tak cukup nafas. Adeh! Disaster!

Ya Allah... Uqail ingat wajahnya? Tak sangkalah pula! Sangka Teja, lelaki itu tak perasan. Patutlah garang macam lepas makan tebuan tanah.

Sebenarnya, bukan niat dia nak berahsia dengan Uqail. Tapi hatinya belum cukup kuat untuk berterus terang. Nak berterus terang macam mana kalau Uqail pun macam lebah. Garang tak ingat. Buat masa ini biarlah dia diam dahulu. Dah tiba masa yang sesuai nanti dia akan buka mulut juga.

"Saya... Minta... Maaf..." ucap Teja sepatah-sepatah. Gugup! Dalam masa yang sama dia rasa gerun nak membalas renungan helang Uqail. Dia tunduk memandang ibu jari kakinya.

"Stupid! Kau ingat dengan maaf kau boleh tarik balik apa yang dah berlaku pada aku? Boleh bagi kaki aku semula? Betulkan saraf dan tulang belakang aku? Boleh buat aku berjalan dan berlari semula macam biasa? Aku cedera sebab nak selamatkan kau! Tahu tak? Nak. Selamatkan. Kau! Sepatutnya aku biarkan aje kau lintas jalan. Biar kereta hitam tu yang lenyek kau! Sepatutnya kau yang duduk di tempat aku sekarang ini! Kau yang rasa apa yang aku rasa sekarang!" Rasa marah dan kecewa yang dipendam selama dua bulan ini dilepaskan.

"Saya tahu..." Dada Teja rasa sempit seperti tak cukup oksigen. Sungguh dia tak mampu nak pandang wajah bengis Uqail. Gila seram! Setiap kali diherdik, bahunya akan terangkat-angkat terkejut. Seumur hidup dia tak pernah kena tengking. Hujung hati dah rasa semacam ni.

"Kenapa kau cuai? Kalau kau melintas jalan dengan hati-hati, pandang kiri kanan dan tak bercakap di telefon tu, dah tentu aku tak perlu tolong kau! Dah tentu aku tak kena langgar! Aku tak akan terkedang macam ni! Semua ni kau punya pasal! Puas hati kau sekarang? Dapat tengok aku keras macam ni! Tak mampu nak buat apa-apa! Kenapa tak bunuh aku aje? Kan senang!"

Teja gigit bibir menahan rasa pedih. Kepala dipanggung.

"Encik Uqail... Saya... Minta... Maaf. Honestly..." Langkah diatur perlahan mendekati Uqail. Wajah tegang Uqail cukup untuk menjelaskan tahap kemarahan lelaki itu. Gunung berapi dah meletup. Kau memang cari nahas Teja, oi!

"Stop! Jangan dekat dengan aku! Aku benci nak tengok muka kau! Keluar kau dari bilik aku sekarang juga! Jangan muncul depan aku sampai bila-bila! Aku benci kau! Keluar! Sebab kau aku jadi macam ni!" Mata Uqail sudah merah menyala.

"Encik Uqail..."

"Keluar!" Jari telunjuk dihala tepat ke pintu bilik yang sedia terbuka luas sejak tadi. Sungguh Uqail tak sangka akan bertemu dengan gadis yang diselamatkannya. Kenapa baru sekarang nak tunjuk muka? Kenapa selepas dua bulan baru nak rasa bersalah? Baru rasa nak bertanggungjawab?

"Encik Uqail, saya..."

"Keluarlah, bodoh! Tinggalkan aku! Sebab kau, aku lumpuh! Aku tak boleh berjalan! Aku hilang kepuasan hidup! Aku hilang kebebasan! Aku hilang segala-galanya! Puas hati kau?"

"Encik Uqail, jangan macam ni. Encik Uqail tak lumpuh..."

"Kalau bukan lumpuh, habis tu aku ni kenapa? Dah terang-terang aku tak boleh nak berjalan seperti biasa. Tak payahlah kau nak ambil hati aku!"

Nafas dihela perlahan. Tangan kanannya digenggam kuat. Cuba mencari kekuatan.

"Encik Uqail cuma hilang upaya untuk berjalan buat seketika. Encik Uqail akan berjalan semula. Percayalah... Semua ni takdir. Cuba encik beristighfar. Ingat Allah. Allah nak uji Encik Uqail. Allah sayangkan Encik Uqail sebab tu..."

"Tak payah nak tazkirah akulah, bodoh! Tak payah nak jadi ustazah celup! Tak payah nak tunjuk baik! Keluar! Pergi! Berambus! Get out!" Uqail memintas. Kasar!

"Encik Uqail, saya..."

"Please, Teja... Get out from my room. Now! Please go! Dan jangan datang lagi! Aku. Benci. Kau! Aku tak boleh tengok muka kau!" tutur Uqail satu per satu. Dia tunduk memandang comforter yang menutup separuh tubuhnya. Yang melindungi sepasang kaki yang kaku. Dia rasa mahu meraung. Besarnya dugaan yang dia perlu tempuhi. Sungguh dia rasa tak mampu nak hadapi semua ni. Hatinya begitu lemah dan rapuh tika ini. Kenapa Tuhan tak ambil nyawanya terus? Kan senang. Tak perlu dia hidup menderita macam ini. Mengharap belas ihsan dan simpati orang. Uqail Wasim yang berkarisma dah cacat!

Teja rasa sebak. Air jernih mengalir di pipi tanpa mampu ditahan. Perlahan diseka dengan ibu jari. Sayu melihat keadaan Uqail. Mak tok... Tengoklah apa yang Teja dah buat pada cucu orang ni. Kasihan dia, mak tok. Teja rasa bersalah sangat. Apa yang Teja nak buat? Mampukah Teja kembalikan cahaya bahagia kepada Uqail?

"Encik Uqail... Saya minta maaf. Kalaulah masa mampu diputar kembali. Saya akan lebih berhati-hati. Sungguh... Diluar kemampuan dan bidang kuasa saya, semua ini berlaku. Apa yang berlaku adalah takdir Tuhan. Saya juga kesal kerana kecuaian saya, Encik Uqail yang menerima bahana. Kalaulah diizinkanlah Allah, saya mahu gantikan tempat Encik Uqail. Saya sanggup merasa sakit dan derita asalkan Encik Uqail pulih dan sihat seperti biasa."

Uqail hanya membisu tanpa kata. Apa yang dituturkan Teja tak mampu memujuk hatinya yang terluka. Malah membuatkan dia semakin sakit hati dan benci. Seperti disimbah asid. Wajah Teja dipandang seperti mahu menelan.

Teja tarik nafas panjang untuk seketika. Mata dipejam rapat. Pilu hatinya melihat reaksi 'batu' Uqail.

"Please, Encik Uqail... Izinkan saya bantu Encik Uqail. Saya sanggup lakukan apa sahaja, janji Encik Uqail sembuh semula. Saya mahu Encik Uqail sihat seperti sedia kala. Semua ahli keluarga encik perlukan encik. Jangan biarkan mereka bersedih kerana kedegilan encik."

Uqail geleng kepala perlahan-lahan.

"No! Please go! Go away... Leave me alone! I hate you! Aku tak perlukan bantuan kau! Hidup aku dah hancur! Aku dah hilang segala-galanya! Aku dah cacat! Aku dah tak ada apa-apa!"

Sayu hati Teja. Nampaknya dia telah gagal pada hari pertama misi. Benar cakap mak su. Tak mudah untuk memujuk cucu lelaki Toh Puan Aminah. Betul cakap Sofea, skil memujuknya sangat teruk! Tumpul habis!

"Encik Uqail tak cacat. Encik Uqail boleh sembuh tapi Encik Uqail kena ikut fisioterapi berjadual. Saya akan bantu Encik Uqail. Tolong jangan patah semangat."

"Kau ni bodoh ke pekak? Aku cakap aku tak mahu buat fisio tu maknanya tak mahulah! Lagi pun aku tak perlukan bantuan kau! Dah, keluar sekarang! Jangan tunjuk muka kau kat sini lagi!" jerkah Uqail. Mata yang menghelang dipaku tajam ke wajah Teja yang basah. Pipi yang lencun itu sikit pun tak mencairkan hatinya. Buat dia marah dan benci lagi ada.

Buat seketika mata Teja bertembung dengan mata garang Uqail. Lama. Masing-masing tak ingin mengalah. Saat ini Teja dapat rasakan renungan tajam Uqail seakan-akan mencabarnya. Serta-merta terbang rasa sedih. Tiba-tiba hadir rasa mahu menguji sejauh mana kedegilan Uqail.

"Kau pergi baliklah! Aku tak kenal kau dan aku tak perlukan kau! Tak payah kau nak buat baik pada aku! Aku tak akan termakan dengan budi baik kau! Cukuplah aku dah musnahkan hidup aku kerana nak selamatkan kau! Kau yang buat aku jadi cacat macam ini!" Uqail memetir.

Teja telan liur yang semakin pahit. Ayat akhir Uqail buatkan dia rasa berdosa. Dalam masa yang sama, kedua-dua bahunya terasa memberat dengan tiba-tiba. Seperti diletak dengan bertan-tan batu.

"Keluar dari bilik aku sekarang!" Jari telunjuk Uqail sudah mengarah ke pintu bilik yang terbuka luas.

Teja tetap keras. Nafas ditarik lama. Nak ke tak? Ya Allah... Bagi aku kekuatan. Ingat Teja, dugaan kecil aje ni. Kau boleh lakukan. Jangan mengalah!

Argh! Buat ajelah. Orang macam Uqail ni kadang-kadang tak guna bertutur dengan lemah lembut. Memang tak jalan semua tu! Kena bagi sebijik! Biar kena atas batang hidung yang mancung tu. Biar dia sedar bahawa semua orang cakna tentangnya. Semua orang bersimpati dan mahu dia pulih. Semua orang sayangkannya!

Huh! Berdebarnya. Teja... Kau tak boleh mengalah. Pegang kata-kata tok ayah. Nabi Ayub diuji dengan kesakitan dan kepayahan. Nabi Isa diuji dengan kemiskinan. Nabi Sulaiman diuji dengan kekayaan dan Nabi Muhamad s.a.w. diuji dengan pelbagai rintangan ketika berdakwah. Jadi setakat mulut petir tu, tak payah nak touching sangatlah!

"Kau... Keluar!" Dengan muka bengis Uqail menghalau Teja.

"Saya tak sangka lelaki seperti Encik Uqail seorang yang lemah dan pengecut. Harap badan aje sasa macam gajah tapi hati kecik macam nyamuk! Cepat mengalah dengan dugaan! Inikah cucu kesayangan Toh Puan Aminah? Anak kebanggaan Datin Umairah dan Datuk Uwais? Apa pun tak boleh! Satu habuk pun tak boleh diharap!" tutur Teja laju. Dia pura-pura gelak jahat dengan niat mahu membakar hati Uqail. Biar Uqail bangkit apabila hati lelaki itu sudah terpanggang. Lelaki berkarisma dan hebat seperti Uqail sudah tentu pantang dicabar! Pasti ada egonya.

Buntang mata Uqail. Terkejut. How dare you! Damn! Giginya atas dan bawah sudah berlaga menahan marah. Sakit telinga mendengar gelak sinis Teja. Tutur Teja sebentar tadi seumpama api dan membuatkan hatinya terbakar hangus. Kurang ajar!

Ikutkan hati, Uqail rasa nak cekik leher Teja. Pipi yang putih bersih itu mahu saja ditampar berkali-kali sehingga gadis itu tak mampu membuka mulut lagi. Huh! Bisanya mulut kau, Teja. Mengalahkan ular tedung! Laser nak mampus! Serius... Memang melahar hatinya.

Teja melawan renungan helang Uqail. Kalaulah mata lelaki itu mampu mengeluarkan api, dah lama dia hangus terbakar dan jadi debu. Dia tahu Uqail sedang marah. Tapi dibiarkan. Sungguh dia tidak gentar dengan kemarahan Uqail yang sedang menggelegak itu. Argh! Uqail bukannya boleh bangun nak belasah dia pun. Mustahil Uqail nak campak almari pula kepadanya. Ada kuasa Hulk si hijau tu ke?

Uqail perlu disedarkan sebelum terlewat. Apa pun terjadi, dia akan pastikan Uqail menjalani fisioterapi. Dia mahu Uqail sihat. Dia tak akan mengalah untuk bantu Uqail. Dia tak akan patah semangat. Biarlah Uqail membencinya sekali pun.

"Keluar!" tempik Uqail. Lebih kuat dari tadi. Sekali lagi bilik tidur yang besar itu bergegar. Semua benda yang ada di sekitar, Uqail capai dan dicampak ke arah Teja. Sabarnya hilang. Dia terus mengamuk sebijik macam orang hilang akal.

Kelam-kabut Teja mengelak bantal, comforter dan buku.

Buku? Wah! Bulat mata Teja. Buku lagi? Nyaris buku setebal Kamus Dewan Bahasa itu mencium wajahnya buat kali kedua. Huh! Kurus semangat. Melampau! Kalau kena buku tu sekali lagi, memang sah dia stay hospital lepas ni. Kalau kena kepala boleh biul setahun rasanya!

"Keluarlah, bodoh! Aku tak nak tengok muka kau! Kau boleh berambus! Pergiii!!!" Uqail semakin mengamuk.

"Encik Uqail... Janganlah macam ni... Saya sebenarnya..." Teja sudah resah melihat keadaan Uqail yang sudah tidak terkawal. Apa yang dia nak buat ni?

"Pergi!!!"

"Uqail! Ya Allah... Uqail! Kenapa ni, cu?" soal Toh Puan Aminah yang kelam-kabut muncul di bilik Uqail. Dari bawah dia mendengar Uqail bertempik. Bergema satu banglo. Dipandang seluruh bilik Uqail yang berselerak.

"Apa dah jadi ni, Uqail? Kenapa mengamuk ni? Teja?" Wajah Teja dicari.

Teja telan liur.

"Nenek! Tolong halau perempuan mulut puaka ni! Uqail tak mahu tengok muka dia lagi! Dia yang buat Uqail cacat! Dia yang buat Uqail lumpuh! Halau dia dari rumah ni! Uqail benci dia! Dia yang buat Uqail merana!" arah Uqail. Air jernih sudah laju di pipi. Hilang semua segan dan malu. Tak dipeduli. Egonya sudah jatuh ke tahap negatif.

Teja keras tanpa kata. Kekuatan dan semangat untuk menguji sebentar tadi dah mencicit lari melihat amukan gila Uqail. Lidahnya kelu! Apatah lagi melihat air mata lelaki itu. Hatinya seperti dipijak-pijak oleh jutaan manusia. Sakit sangat. Ikutkan rasa, mahu saja dia memeluk lelaki itu untuk ditenangkan. Tapi apakan daya, niat tak menghalalkan cara. Yang haram tetap haram. Dosa!

"Ya Allah, Uqail... Sabar, cu... Ingat Allah. Kenapa Uqail lemah macam ni? Cucu nenek kan kuat semangat. Jangan macam ni, Uqail. Jangan risaukan nenek. Jangan buat nenek susah hati." Toh Puan Aminah meluru ke katil. Tubuh Uqail yang meronta-ronta dan menjerit-jerit itu dipeluk sekuat hati. Belakang Uqail diusap lembut untuk ditenangkan.

"Biarlah Uqail mati, nek. Uqail tak mahu hidup! Hidup Uqail dah musnah kerana perempuan tu! Semua orang benci Uqail sebab Uqail lumpuh! Semua orang tinggalkan Uqail..." rintih Uqail. Merenta-renta badannya.

"Teja... Tolong nenek. Ambilkan ubat dalam laci tu. Cepat..." arah Toh Puan Aminah. Kalut. Wajahnya terpalit resah. Sejak pulang dari hospital, Uqail tidak pernah mengamuk sebegini teruk.

Teja yang sejak tadi terpacak cepat bertindak. Laci meja ditarik. Pil di dalam botol kaca diambil. Sedatif? Ya Allah... Lemah lututnya. Sampai bila? Tuhan... Kasihani dia.

"Teja... Cepat!"

Teja tersentak. Sepantas kilat dia menghampiri Toh Puan Aminah. Botol mineral water di atas meja disambar. Dua biji pil dihulurkan kepada Toh Puan Aminah.

"Nenek! Tolong Uqail. Uqail dah cacat!! Semua orang benci Uqail! Uqail tak mampu buat apa-apa lagi..." Uqail mula meracau. Entah apa yang dilalutkan. Tenggelam timbul suaranya bersulam tangisan.

"Ya, sayang. Nenek memang nak tolong Uqail. Uqail makan ubat ni. Uqail tak cacat. Uqail tak lumpuh. Semua orang sayangkan Uqail. Semua orang nak Uqail sembuh. Percayalah, Uqail akan sembuh." Pil terus disumbat ke dalam mulut Uqail.

Sedaya upaya Uqail menolak. Tangan si nenek ditolak. Wajah dipaling ke kiri dan kanan. Dia tak sanggup nak menelan pil itu lagi. Dia akan rasa lemah dan tertidur bila pil itu bertindak balas. Sampai bila dia harus bergantung kepada pil itu?

"Uqail, jangan macam ni. Makan ubat ni. Teja... Tolong nenek. Pegangkan Uqail."

Teja akur. Sehabis kudrat dia memegang Uqail yang meronta-ronta minta dilepaskan. Sakit tangannya bila ditepis dan ditolak keras oleh Uqail.

Toh Puan Aminah menyumbat pil ke dalam mulut Uqail. Mineral water turut disua ke mulut.

Kelam-kabut Uqail menelan air apabila terasa ubat tersangkut di kerongkong. Tercekik.

"Nenek! Kesian Uqail! Uqail tak boleh buat apa-apa lagi. Uqail... dah... lum... puhhh... Uqail... dah... cacattt... Semua... orang... benci... Uqail... Amni... tak datang... tengok... U... qail... Amni... malu... ada... tu... nang... macam... Uqail... Mummy dan daddy... pun malu... ada... anakkk... macam... Uqa... il..." Semakin lemah dan perlahan racau Uqail. Sama perlahan dengan tubuh badannya yang longlai jatuh ke atas tilam dan terus tidak sedarkan diri.

Teja terduduk lemah dengan air mata yang melaju di pipi.

"Maafkan saya, nek. Saya yang salah. Saya yang jadi penyebab Encik Uqail jadi macam ni. Saya janji... Saya akan bantu Encik Uqail sampai sembuh. Bertukar dengan nyawa pun saya sanggup," ujarnya dengan bahu terhinggut-hinggut.

Hilang semua rasa kuat dan tenang Teja. Yang tinggal hanya rasa sayu dan sedih yang tak bertepi. Hanya Tuhan yang tahu isi hatinya ketika ini.

Hati Toh Puan Aminah dicuit pilu. Air jernih yang mengalir laju dikesat perlahan dengan hujung lengan baju kurung. Sebak.

Ya Allah aku tahu, cucu aku kerap melupakan-Mu. Andai ini salah satu kafarah atas kesilapannya yang lalu, aku reda, Ya Allah. Hamba-Mu yang kerdil ini memohon kepada-Mu, Ya Allah... Berilah dia peluang untuk kembali ke jalan-Mu. Berilah dia peluang untuk bertaubat. Izinkan dia sembuh dan bahagia seperti orang lain, doa Toh Puan Aminah dalam hati. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co