Bab 13
PERJALANAN menuju ke hutan Mukah baru sahaja bermula. Pemandu syarikat yang bernama Salleh menjemput Khaira Wilda di Hotel Riverside. Dia orang terakhir yang dijemput. Hayden Daniel duduk di kusyen hadapan bersebelahan dengan Salleh.
Hakimi dan Khaira Wilda duduk di kusyen belakang. Sejak masuk ke dalam Pajero tadi, mereka diam sahaja. Pajero terus dipandu menghala ke Mukah. Khaira Wilda memerhati ke bahagian belakang Pajero. Ada banyak bekalan makanan seperti beras, gula, biskut dan lain-lain. Pasti bekalan makanan untuk pekerja kontrak dalam hutan.
Di atas kusyen di tengah-tengah antara Hakimi dan Khaira Wilda, ada sebuah raga berisi beberapa bekas makanan bertutup rapat. Mungkin bekalan dari rumah yang dibawa oleh Salleh.
"Siapa yang bawa bekal ni?" tanya Khaira Wilda kepada Hakimi.
Hakimi hanya mengangkat bahu dan menunjuk ke arah Salleh yang tekun memandu Pajero.
"Lapar ke?" tanya Hayden Daniel kembali sambil berpaling ke belakang.
"Kalau lapar, makanlah! Pinggan kertas, sudu, garpu semua ada dalam raga tu."
"Tanya aje."
"Bekal tu mama saya yang suruh bawa tadi. Dia takut awak lapar. Beria-ia dia pesan, suruh saya ajak awak makan."
Khaira Wilda diam sahaja. Entah ya entah tidak... bisik hatinya. Dia tidak percaya bekalan itu disediakan untuknya. Mungkin sengaja hendak mengambil hati. Masih diingat tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Dia tidak terasa hati pun, lantaran tuduhan itu jauh dari kebenaran.
Cuma hati rasa tidak tenteram bila harus satu kenderaan dengan Hayden Daniel. Entah mengapa dada tak habis-habis berdebar. Hesy, cemuih betul aku! Setiap kali dia mendengar suara lelaki itu berkata sesuatu, debar memburu lagi. Benci... Benci! Aku bencilah perasaan aku yang muncul ni, dia bermonolog dalam hati.
Semua orang diam sahaja beberapa ketika. Hakimi memejamkan mata dan pura-pura tidur. Khaira Wilda memerhati ke luar tingkap. Pemandangan mulai berubah. Kelihatan rumah-rumah penduduk di sepanjang jalan. Dari kejauhan terlihat banjaran dan gunung-ganang.
"Pasang lagu, Abang Salleh. Sunyi sangatlah," kata Hayden Daniel.
"Maaf, Encik Hayden. Radio rosak."
"Hmmm... Pula."
Hayden Daniel mengetuk-ngetuk jari pada dashboard. Dia menyanyi perlahan untuk menghilangkan bosan. Semakin lama semakin kuat pula dia menyanyi. Hakimi membuka sebelah matanya, memandang Khaira Wilda. Dia senyum sinis sambil menjulingkan mata ke arah Hayden Daniel kemudian memejam semula.
Selesai satu lagu, Hayden menyanyi lagi.
"Desert loving in your eyes all the way.
If I listen to your lies would you say.
I am a man without conviction.
I am a man who doesn't know.
How to sell a contradiction.
You come and go, you come and go.
Karma karma karma karma chameleon.
You come and go, you come and go.
Loving would be easy if your colours were like my dream.
Red, gold and green.
Red, gold and green.
Didn't hear your wicked words everyday.
And you used to be so sweet I heard you say.
That my love was an addiction
When we cling.
Our love is strong.
When you go, you're gone forever.
You string along, you string along.
Karma karma karma karma chameleon.
You come and go, you come and go.
Loving would be easy if your colors were like my dream.
Red, gold and green
Red, gold and green."
Wilda, kau seperti sumpah-sumpah. Tunjukkanlah warna sebenar kau. Aku bukan saingan kau, Wilda. Aku tak mahu kita jadi saingan. Kita bukan musuh tetapi mengapa bila berhadapan kita seperti bermusuhan. Aku mahu...
"Pandai Encik Hayden menyanyi." Suara Salleh berkumandang, mematikan dialog dalam hati kecilnya.
"Boleh la nyanyi kat bilik air aje."
"Ada bakat juga. Boleh masuk rancangan Asia Got Talent."
"Tak adalah. Saya hanya pandai buat kertas kerja, mesyuarat, buat present, semua soal kerja. Perkara lain saya tak pandai."
Salleh ketawa perlahan.
"Patutlah Encik Hayden tak kahwin-kahwin lagi."
"Kahwin bukan senang kan, Abang Salleh? Abang yang dah lama kahwin, tentu tahu macam mana, kan?"
Abang Salleh ketawa sekejap kemudian berkata. "Kahwin ni punca ketenangan jiwa, Encik Hayden. Sebab tu la sabda Nabi, berkahwin dan kamu telah menyempurnakan separuh daripada iman."
Hayden Daniel hanya senyum kecil.
"Hai, senyap aje orang belakang," tegur Salleh.
"Tak ada apa nak cakap," jawab Hakimi yang sudah lama buka mata.
Tak boleh tidur bila dengar Hayden Daniel menyanyi lagu Chameleon.
Sumbang mambang! kutuknya dalam hati. Tapi kenapa nyanyi lagu Chameleon agaknya? Dia pandang Khaira Wilda. Gadis itu masih memandang ke luar tingkap, tidak berminat hendak menyampuk.
Ada seseorang yang tiba-tiba mengganggu fikiran Khaira Wilda kala itu. Dia benar-benar rasa kehilangan sejak kebelakangan ini. Hati mulai rasa sedikit selesa di bumi Sarawak. Dia ada kawan. Nelly semakin rapat dengannya. Hakimi walaupun suka menyakat dan mengusik, tapi boleh diharapkan juga sebagai rakan sekerja.
Khaira Wilda mengeluh. Dia merebahkan kepala pada cermin tingkap, lalu memejamkan mata. Akhirnya dia tertidur. Dia terjaga hanya apabila Pajero sudah pun berhenti. Cepat-cepat dia angkat kepala. Spontan menyapu bibir dengan tisu. Manalah tahu kalau-kalau ada air liur meleleh. Nanti kena ejek lagi dengan Si Jalut ni! Hakimi menjelingnya kemudian tersenyum kecil.
"Jangan bimbang. Nampak cantik!"
SALLEH sibuk menurunkan barang-barang makanan. Rumah pekerja kelihatan kosong. Hanya ada dua orang tukang masak yang duduk-duduk sahaja di hadapan rumah. Hari masih awal untuk memulakan kerja-kerja memasak. Mereka mendekati apabila melihat bekalan makanan tiba.
Hakimi mengambil backpack miliknya lalu menyangkutkannya di bahu. Dia mulai bergerak ke satu arah. Khaira Wilda mengejarnya.
"Kau nak pergi mana?" Pantas Khaira Wilda menegur.
"Aku nak pergi siasat kelilinglah. Kau nak ikut siapa? Kau nak ikut Hayden? Atau kau nak ikut aku?" Bernada sindiran kata-kata Hakimi.
Berkerut dahi Khaira Wilda.
"Apa kau cakap ni? Kenapa kau cakap macam tu?"
Hakimi hanya ketawa kecil. Ada rasa terbuku dalam dada.
"Aku ikut kaulah. Kan kita ada tugas kat sini? Apa barang aku nak ikut Hayden?"
"Aku rasa, dia tu suka kat kau!" bisik Hakimi sambil mendekatkan kepalanya ke arah Khaira Wilda. Mata sempat pula menjeling Hayden Daniel.
"Merepeklah!"
"Dia nyanyi lagu Chameleon tu khas untuk kaulah!"
"Hmmm... Dah... Dah. Jom kita gerak."
Hakimi memandang ke arah Salleh yang masih terus menurunkan barang-barang. Hayden Daniel sibuk membantu. Walaupun sibuk, mata sempat lagi mengawasi Hakimi dan Khaira Wilda.
Mereka berdua sudah pun bergerak menghala ke rimbunan hutan berhampiran. Hakimi baru sahaja mengeluarkan peta dari backpacknya. Jarinya dituding ke satu arah. Khaira Wilda kelihatan menganggukkan kepala lalu mereka terus berjalan meredah semak samun. Sebilah pisau Rambo disisipkan di pinggang.
Hayden Daniel terhenti daripada mengangkat barang. Matanya tidak berkelip memandang Hakimi dan Khaira Wilda. Di dalam kepala dipenuhi pertanyaan.
Ke mana mereka nak pergi? Apa tujuan mereka mengikut dia dan Salleh masuk hutan hari ni?
"Oi! Kau orang nak pergi mana?" jerit Hayden Daniel.
"Nak pergi cari gua tersembunyi. Mana tahu kot-kot ada harta karun," jawab Hakimi.
"Ahhh... Bullshit!" Rasa marah Hayden Daniel menggunung di dalam dada.
Setiap kali Hakimi buka mulut menjawab pertanyaannya, hati Hayden Daniel rasa sakit. Nampak sangat kau sengaja nak cari balah dengan aku.
"Bang, apa yang menariknya kawasan hutan ni, bang?"
"Tak ada mendalah, Encik Hayden. Tapi kat belah timur sana ada air terjun dan anak sungai yang mengalir terus ke laut. Agaknya dia orang nak pergi sanalah. Nak mandi kut?"
"Woi! Kalau nak mandi air terjun tu, bawalah raga makanan ni!" jerit Hayden Daniel.
Tapi Hakimi dan Khaira Wilda sudah semakin jauh. Tiada sahutan dari mereka lagi. Tubuh kedua-duanya sudah pun hilang dalam rimbunan pepohon menghijau. Sesekali dari kejauhan terdengar suara ungka dan monyet. Di atas dahan terlihat monyet-monyet bergayutan. Ada juga yang berani turun mendekati Pajero. Mengharap diberi ihsan dan dilempar makanan.
"Masuk dalam hutan hati-hati sikit. Sini ada beruang liar. Hari tu beruang bawa lari satu botol besar minyak kelapa," cerita tukang masak.
Salleh tergelak.
"Nak buat apa dengan minyak masak tu?" tanya Salleh.
"Minum. Agaknya ia ingatkan minyak kelapa tu madu."
Mereka ketawa serentak.
"Kena soroklah minyak kelapa ni. Hampir tiap-tiap malam beruang tu datang, ceroboh dapur. Ambil sebotol seekor, aniaya."
Mereka ketawa lagi.
"Banyak ke beruang tu?" tanya Hayden Daniel.
"Haiii... Dah kampung dia kat sini, Encik Hayden. Satu keluarga datang."
Barang-barang sudah diturunkan. Tukang masak mengangkat barang-barang masuk ke dalam dapur rumah kongsi. Tidak lama kemudian mereka mulai memasak barang-barang mentah yang dibawa bersama. Di situ tiada peti ais. Bahan-bahan mentah yang ada terus dimasak dan dimakan hari itu juga.
Salleh dan Hayden Daniel bergerak mencari jejak Hakimi dan Khaira Wilda. Setengah jam kemudian, mereka sudah tiba di kawasan air terjun. Bayang-bayang Hakimi dan Khaira Wilda tidak kelihatan. Hayden Daniel gelisah apabila mendapati mereka tiada di situ.
Ke mana dia orang pergi? Mengapa Hakimi dan Khaira Wilda nampak rapat akhir-akhir ini? Dah kenal lama ke? Atau aku yang ketinggalan kereta api? Dia resah gelisah sendiri sambil memandang ke arah air terjun. Air sungai amat jernih. Di bawah air terjun terbentuk seperti sebuah kolam besar. Aliran air terus mengecil menjadi anak sungai yang panjang dan tidak kelihatan penghujungnya.
Bunyi unggas dan pelbagai binatang lain terdengar sayup-sayup di telinga. Salleh sudah membuka baju. Hanya tinggal seluar pendek sahaja. Dia terjun ke air, menyelam dan berenang bebas. Hayden Daniel hanya memerhati sambil duduk di atas seketul batu besar.
"Tak nak mandi ke?" tanya Salleh.
Hayden Daniel hanya mengangkat tangan dari jauh.
"Mandilah! Rasa segar mandi," kata Salleh sambil berenang mendekati Hayden Daniel di atas batu.
Dia naik ke darat. Tubuhnya menggigil. Terus dia duduk berdekatan dengan raga dan mencapai flash air. Di dalam flash sudah siap dibancuh teh O panas yang dibawa dari rumah Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.
Hayden Daniel bangun. Dia mulai bergerak mengikut anak sungai. Salleh memerhati sahaja. Dia tidak tahu Hayden Daniel hendak ke mana.
"Jangan jauh-jauh sangat! Encik Hayden tak biasa kat sini." Dia berpesan.
Hayden Daniel cuma mengangkat tangan dan terus berjalan.
SUDAH jauh mereka berjalan, meredah hutan. Peluh mulai memercik di dahi. Hakimi berhenti melangkah, peta dibuka sekali lagi. Kompas juga diambil dari dalam poket seluar.
"Kita sekarang kat sini." Dia menunjuk arah di peta pada Khaira Wilda.
"Taman Negara 30 kilometer dari sini," beritahunya.
Apakah segala usaha hari ni sia-sia saja? Tak nampak sebarang laluan atau denai, bisiknya dalam hati sambil mata memerhati sekeliling. Di hadapan mereka kelihatan pokok-pokok yang semakin rapat. Daun-daun padat hingga suasana kelihatan suram dan gelap.
"Jadi kita nak teruskan menuju ke sana atau patah balik ke belakang? Nampak macam hutan makin tebal kat sini."
"Kita belok ke kirilah," cadang Hakimi.
"Kau ada bawa air mineral?"
"Ada, dalam backpack aku."
Mereka meneguk air mineral untuk menghilangkan dahaga, kemudian meneruskan perjalanan. Sejam berjalan, akhirnya mereka berhenti lagi melepas lelah.
"Kita patah baliklah! Aku rasa tak sedap hati. Takut sesat."
"Hesy, jangan cakap macam tu!" bantah Hakimi.
Khaira Wilda memandang ke sekeliling kawasan itu. Mereka berdiri di pinggir satu kawasan dengan pokok-pokok renek separas lutut. Luas juga belukar pokok renek itu. Khaira Wilda melangkah ke hadapan dan terasa dasar tanah terlalu lembut.
"Ehhh... Ehhh..." Dia hampir jatuh, dengan pantas Hakimi memegang tangannya.
Khaira Wilda cepat berdiri semula dan menarik tangannya dari pegangan Hakimi.
"Kawasan berpaya, tapi dah tumbuh pokok-pokok," kata Hakimi.
"Kita patah balik ke belakang."
Mereka berjalan kembali mengikut laluan jejak yang ditinggalkan tadi. Setiap kali melalui sesuatu tempat, sengaja dipatah-patahkan anak pokok yang menjadi laluan supaya mudah untuk mencari jalan balik ke kawasan rumah kongsi. Tidak jauh di hadapan mereka terlihat jalan denai yang agak lebar. Lantai tanah nampak seperti biasa dipijak dan dilalui orang.
"Eh, kita dah lalu sini tak tadi?"
Hakimi menggeleng.
"Belum."
"Okey, kita ikut aje denai ni. Mana tahu kalau-kalau jumpa sesuatu."
Mereka menyusuri jalan kecil itu sambil mata mengawasi sekeliling. Tiba-tiba tidak jauh dari arah belakang mereka terdengar bunyi kenderaan. Spontan mereka berdua masuk ke dalam semak di tepian denai lalu bersembunyi. Khaira Wilda dan Hakimi saling berpandangan apabila melihat sebuah Pajero lalu di hadapan mereka.
Kemudian dengan langkah pantas mereka mulai mengekori diam-diam dari belakang. Di penghujung denai kelihatan sebuah rumah papan dari kayu balak. Rumah yang sederhana besar. Pintu hadapan terbuka tetapi tingkapnya bertutup rapat. Halaman rumah itu kecil dan terlihat dua ekor anjing yang ditambat pada sebatang tiang.
Hakimi dan Khaira Wilda memerhati dari jauh sahaja dari celah-celah belukar. Kelihatan dua orang lelaki keluar dari Pajero lalu terus menghala ke pintu. Di muka pintu seorang lelaki lain berdiri di situ, menyambut kedatangan mereka. Mereka rancak bercakap. Perbualan yang tidak sampai ke telinga mereka. Hanya bunyi anjing yang galak menyalak melihat tetamu tidak diundang.
Salah seorang lelaki itu memaling badan, kembali ke Pajero. Ada sesuatu yang diambilnya dari dalam Pajero. Dari jauh Khaira Wilda dapat melihat wajah lelaki itu. Matanya terbeliak, terkejut.
"Razif?" soal Khaira Wilda dengan agak kuat.
"Shhh..." Hakimi menutup mulut Khaira Wilda kemudian mengheretnya dari situ.
"Hei! Kau ni! Lepaslah! Kenapa tutup mulut aku macam tu?"
Mereka kini berada di bawah sepohon pokok rendah agak jauh daripada kawasan rumah itu.
"Sebab kau mulut tempayan!" kata Hakimi.
"Aku nampak lelaki tu tadi... Macam kawan setugas aku di KL. Sebiji macam Razif."
"Memang tu Razif!"
"Apa? Kau pun kenal Razif?"
Hakimi mengangguk.
"Petang tu, sebelum kau berlepas ke sini, aku ada datang ke pejabat kau di KL. Razif pun ada sekali masa tu. Tuan Rosdi yang beri tugasan khas pada Razif, menyertai kumpulan mereka tu. Nampaknya Razif dah berjaya jadi sebahagian daripada mereka," terang Hakimi satu per satu.
"Mulanya tugas tu nak diberikan pada aku. Tapi sebab aku orang sini. Takut ada ahli mereka yang tahu siapa aku. Jadi Tuan Rosdi fikir, biar Razif yang masuk dalam kumpulan mereka untuk mendapatkan maklumat sulit. Dah sebulan Razif kat sini."
"Jadi, kau tahu semuanya?"
"Memang aku tahu. Cuma aku tak tahu lokasi tempat persembunyian mereka. Mungkin mereka ada di mana-mana. Sebab mereka bebas bergerak. Kumpulan tu sangat bijak."
Hakimi membuka buku catatan kecil dalam poket jaketnya dan mulai mencatat sesuatu. Khaira Wilda pula termenung panjang.
Patutlah mesej aku dia tak balas. Demi tugas, Razif sanggup bahayakan diri sendiri masuk dalam kumpulan tu? Tuhan! Peliharalah dia dan jaga dia dengan sebaik-baiknya, doa Khaira Wilda.
"Kita dah jumpa lokasi rumah tu. So, balik ke pejabat nanti aku akan buat laporan pada Tuan Rosdi. Tindakan selanjutnya biar dia yang tentukan. Tugas kita selesai di sini. Jom, gerak." Hakimi melangkah terlebih dahulu.
Dua jam kemudian, Hakimi dan Khaira Wilda sudah pun berada di kawasan rumah kongsi semula.
Salleh kelihatan tercangak-cangak sendiri di beranda rumah kongsi. Pekerja-pekerja kontrak kebanyakan masih di hutan, menebang balak. Terdengar bunyi jentera dan pokok-pokok yang rebah ke bumi. Sekitar jam lima petang barulah semua pulang ke rumah kongsi.
"Jumpa Encik Hayden?" Salleh terus bertanya sebaik sahaja nampak Hakimi dan Khaira Wilda.
Khaira Wilda menggeleng. Hakimi mengerut kening. Wajah Salleh berubah, cemas sedikit.
"Ke mana dia pergi?" soal Khaira Wilda sedikit cemas.
"Tadi dia ada sekali dengan aku kat kawasan air terjun tu. Lepas tu aku nampak dia bergerak ke hilir ikut anak sungai. Ingatkan dia pergi cari kau orang."
"Ehhh... Tak ada pun. Kami tak pergi ikut anak sungai. Kami menghala ke sebelah sana," tunjuk Hakimi ke satu arah yang bertentangan dengan sungai.
"Mana pula dia ni?" keluh Khaira Wilda.
Spontan berdenyut kuat dadanya. Jangan-jangan sesuatu berlaku kepada lelaki itu? Apa yang harus diberitahu kepada Tan Sri Anwar Karim El-Zahri nanti? Terasa kecut pula perutnya apabila memikirkan tentang rumah kumpulan penjahat itu yang berada tidak begitu jauh dari kawasan rumah kongsi.
"Jangan-jangan dia sesat," kata Salleh.
"Dah tiga jam lebih ni. Aku betul-betul ingatkan dia bersama dengan kau orang."
"Dah tiga jam? Hei! Dia sesat ni!" kata Khaira Wilda.
Semakin keruh wajah Khaira Wilda. Rasa bimbang menyelinap ke dalam hati dan dada. Matanya memandang tepat ke wajah Hakimi.
"Kita pergi cari dia."
"Okey, jom."
"Jangan berpecah," kata Salleh.
"Aku nak pergi panggil dua tiga orang pekerja. Nak ajak dia orang cari Encik Hayden."
Hakimi dan Khaira Wilda mengangguk, pantas bergerak menghala ke kawasan air terjun semula. Kemudian mereka menyusuri anak sungai, tempat terakhir Salleh melihat Hayden Daniel.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co