Truyen3h.Co

MISS CLEANER UNDERCOVER

Bab 7

karyaseni2u

DI LUAR, hujan sedang turun. Semua orang bergegas masuk ke lobi untuk mengelak dari hujan. Suasana di lobi agak sesak. Ada yang tumpang berteduh dan ada pula yang masuk ke pejabat masing-masing. Sekitar jam sepuluh, hujan baru teduh. Kesibukan di lobi sudah mula surut. Bila hujan, lantai cepat menjadi kotor. Sudah dua tiga kali mop masih ada kotoran yang dibawa kasut yang basah dari luar.

Cemuih betul aku, bisik hati Khaira Wilda. Entah berapa kali dia mengemop lantai, tetap ada kotoran yang melekat di mana-mana. Abang Buncit selalu mengawasi Khaira Wilda dalam diam. Pantang berehat, dia akan hantar mesej.

Nampak saja apa yang aku buat. Sepanjang masa duduk depan CCTV, rungut Khaira Wilda.

Tiba-tiba Khaira Wilda ternampak sesuatu. Sebuah briefcase hitam yang diletakkan di tepi pintu. Setengah jam tadi, masih ramai yang masuk berduyun-duyun. Tidak perasan pula beg siapa yang tertinggal di situ.

Khaira Wilda mendekati dan mencapai briefcase itu lalu membawanya ke meja penyambut tetamu. Ringan sahaja begnya.

"Beg siapa ni? Tertinggal kat pintu depan."

"Entah," jawab penyambut tetamu yang sibuk dengan interkom dan telefon.

Hati Khaira Wilda rasa semacam. Nalurinya menyatakan sesuatu. Briefcase itu sengaja ditinggalkan di situ. Dadanya mulai berdetak. Segalanya berkemungkinan.

Diam-diam dia mengambil briefcase itu lalu dibawa ke bahagian belakang. Langkah diatur memasuki bilik air. Tanpa disedari, langkahnya diekori Abang Buncit.

"Kau buat apa tu?"

"Huh! Terkejut saya!" kata Khaira Wilda sambil mengurut dada.

"Kau nak curi, ya? Kenapa kau ambil beg tu? Tinggalkan beg tu kat meja penyambut tetamu." Tegas arahan Abang Buncit.

"Saya curiga dengan beg ni."

"Banyak kau punya curiga! Engkau tu siapa, nak syak wasangka? Berlagak macam polis pula dah!" Marah betul Abang Buncit dengan tindakan Khaira Wilda.

"Pergi letak balik dekat pintu depan sana. Entah-entah tuan dia datang cari!" tegas suara Abang Buncit, dengan tangan terangkat menghala ke ruang hadapan.

"Kau nak kena tuduh mencuri ke? Ingat, semua perbuatan engkau dirakam CCTV."

Khaira Wilda mengetap bibir. Ikutkan hati, dia nak suruh Abang Buncit tutup mulutnya yang lebar dan besar macam ikan kaloi. Tapi bimbang temperature Abang Buncit naik hingga beratus darjah pula.

"Saya nak buka beg ni!" Khaira Wilda berkata, degil.

"Jangan degillah. Pulangkan beg tu ke sana!" Separuh menjerit, Abang Buncit bersuara sambil cuba merampas beg dari pegangan Khaira Wilda.

Dia benar-benar marah. Khaira Wilda cuba mengelak. Namun akhirnya beg itu terlepas dari tangan lalu jatuh ke atas lantai. Beg itu nyata tidak berkunci, ia terbuka dengan mudah.

Mata Khaira Wilda terbeliak melihat isinya. Bom jangka buatan tangan. Wayar berselirat di dalamnya. Sebaik terbuka, terlihat telefon bimbit di dalamnya yang dijadikan sebagai alat mengira jangka masa. Ia mulai berdetik sebaik beg itu terbuka.

"Ya Allah! Bom jangka ke tu?" Abang Buncit terkejut besar.

"Ya, nampak macam bom jangka."

Khaira Wilda memandang tepat wajah Abang Buncit.

"Apa???"

Abang Buncit terkejut, pucat wajahnya.

"Ada bom! Bom!!! Semua orang keluar!" Abang Buncit menjerit-jerit seperti histeria.

Dia terus berlari ke ruang lobi. Segera dia menghidupkan penggera dan menjerit meminta semua orang keluar dari bangunan itu. Sekelip mata suasana jadi kelam-kabut. Semua orang berlari-lari keluar dari bangunan. Suasana terdengar riuh laksana sekawan lebah yang terbang menuju ke sarang.

Khaira Wilda memerhati bom di dalam briefcase itu dengan mata tidak berkelip. Dia pernah mematikan bom dalam satu operasi tahun lepas. Saat itu dia bersama dengan Razif. Masih diingatnya kata-kata Razif.

"Kalau bom ni meletup depan kita... Kita akan mati bersama."

Mereka berjaya mematikan bom itu sebelum meletup. Kini dia sedang bersendirian. Dan tangannya mulai terasa dingin dan berpeluh tanpa sedar. Dia memerhati setiap wayar yang ada.

"Cik Wilda! Cik Wilda!" Terdengar suara Hakimi datang dari arah luar.

Tubuhnya segera muncul di muka pintu bilik air. Wajahnya jelas diwarnai cemas dan curiga.

"Betul ke dalam beg tu ada bom?"

"Ya, betul. Tolong pergi jauh."

"Kau pandai ke nak matikan bom tu?"

"Insya-Allah, aku boleh."

"Cik Wilda! Biar aku tolong kau."

Akhirnya lelaki itu berdiri di sebelah Khaira Wilda.

"Tak... Tak! Lebih baik kau pergi selamatkan diri."

Khaira Wilda berjalan pantas keluar dari bilik air. Dia menuju ke bahagian belakang bangunan. Kawasan itu lapang dan kosong. Tidak jauh dari situ terdapat satu tong sampah yang besar dan bertutup rapat.

Lelaki itu setia mengikutnya ke belakang.

"Kenapa kau masih ikut aku? Pergi selamatkan diri!"

Khaira Wilda mengamati bom jangka yang terdapat di dalam beg itu. Di tangannya terdapat sebilah gunting yang baru diambilnya dari dalam stor. Dia memerhati dengan tekun setiap wayar yang ada, memikirkan kemungkinan yang mana satu harus dipotong untuk menghentikan jangka masa yang terus berdetik.

"Tinggal berapa minit lagi, Cik Wilda?" Dia bertanya.

"Tiga minit lagi. Kenapa kau tak pergi saja?" kata Khaira Wilda sambil jarinya menyeka peluh yang mulai merenik dengan lebat di dahi.

Kau boleh buat, Aira. Yakin pada naluri kau. Bismillahirrohmanirrahim.

"Nanti dulu, sebelum kau potong wayar tu, aku nak beritahu kau sesuatu."

"Apa?"

"Nama aku Harith Hakimi."

Eleh! Ada aku kesah nama kau? bisik hati Khaira Wilda. Tumpuan minda lebih kepada bom di hadapannya. Tak ada masa hendak fikir tentang nama orang. Terasa amat janggal, tiba-tiba saja dia beritahu nama.

"Cik Wilda, kalau bom tu tak jadi meletup malam ni, aku belanja kau makan."

"Yalah, Encik Hakimi. Aku berbesar hati terima pelawaan kau tu," balas Khaira Wilda acuh tak acuh. Minda dan mata terus tertumpu pada bom yang masih terus hidup.

Khaira Wilda terus memotong satu wayar kuning.

Oh! Tuhan... Kelihatan jangka masa di skrin telefon terus bergerak.

Tangan Khaira Wilda tambah hebat menggeletar. Dia memotong satu lagi wayar berwarna biru setelah berfikir panjang dan membaca ayat Kursi berulang kali. Dia sempat bertafakur beberapa saat memohon petunjuk Ilahi.

Detik jangka masa di skrin telefon bimbit itu terus terhenti.

"Ya Allah! Berjaya! Alhamdulillah." Hampir terjerit Khaira Wilda.

"Amazing, Cik Wilda. Hebat!"

Mereka saling berpandangan dan spontan tertawa serentak.

Beberapa minit kemudian terdengar derap kasut dari kumpulan unit pemusnah bom yang bergegas datang mendekati Khaira Wilda dan Hakimi.

"Dah dimatikan," beritahu Khaira Wilda kepada ketua unit pemusnah bom.

"Okey, awak yang matikannya?"

"Tak, kami matikannya bersama-sama." Pantas Hakimi menjawab sambil tersenyum ke arah Khaira Wilda.

Huh! Nak tumpang nama nampak! Tapi tak apalah... Biarlah dia tumpang sekaki, bisik hati Khaira Wilda.

"Terima kasih, Cik Wilda dan Encik Hakimi."

Khaira Wilda tidak lagi rasa pelik bila ada orang yang tahu namanya tetapi dia tidak mengetahui siapa mereka. Yang pasti mereka dalam pasukan yang sama, penjaga keamanan.

"Kami nak bawa balik barang ni ke ibu pejabat."

"Okey," jawab Khaira Wilda.

Hakimi tersenyum pada Khaira Wilda dan menunjukkan ibu jari ke atas, tanda bagus. Khaira Wilda membalasnya dengan senyuman tipis. Rasa hatinya lega sekali. Semasa dia berjalan menghala ke lobi, ramai orang yang menunggunya. Dia menerima tepukan gemuruh. Dan beberapa orang mulai menjeritkan namanya diikuti sorakan gembira.

KETUKAN di pintu kamar mengejutkan Khaira Wilda. Dia baru pulang dan sedang enak bergolek di atas katil sambil menonton televisyen.

Hari ni penuh tekanan hebat, tapi petang tadi semuanya berakhir dengan manis, fikir Khaira Wilda. Sejak dia berjaya mematikan bom itu tadi, ramai yang mulai mendekati dan berbual dengannya. Mereka menggelarnya supergirl.

Tan Sri Anwar Karim El-Zahri memanggil Khaira Wilda masuk ke kamarnya tadi dan mengucapkan terima kasih. Jika dia tidak bertindak cepat dan menggunakan naluri keenamnya tadi, pasti bom itu sudah meletup di dalam bangunan Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad. Sudah pasti ramai yang akan terkorban. Mungkin Tan Sri Anwar Karim El-Zahri akan turut sama terlibat dalam kecelakaan.

Abang Buncit meminta maaf padanya kerana sempat marah-marah. Dia mengaku, dia memang tegas dan cepat naik angin. Khaira Wilda hanya tersenyum, walaupun hati terasa ingin menempelak. Tetapi tidak baik memulangkan paku buah keras.

Ketukan terdengar lagi lebih kuat. Khaira Wilda bingkas menuju ke pintu. Dia mengintai dahulu untuk melihat gerangan manusia di luar. Rupa-rupanya yang mengetuk pintu ialah staf hotel tersebut.

Pintu dibuka. Pemuda itu lalu menyerahkan sejambak bunga dan sebuah bakul kecil berisi buah strawberi yang merah dan ranum.

"Untuk saya?" Terkejut Khaira Wilda melihat hadiah yang diserahkan kepadanya.

Anggukan pekerja hotel itu membuat dia yakin. Lalu barangan pun bertukar tangan.

Ada secebis nota diselitkan di celah-celah bunga.

"Cik Wilda, kau hutang makan malam dengan aku."

"Ya Allah! Dia serius rupanya nak ajak aku dinner." Khaira Wilda menggeleng-gelengkan kepala.

Dia fikir, Hakimi main-main sahaja.

"Aku tunggu di lobi, jam sembilan malam ni." Dia membaca lagi nota yang ditulis oleh Hakimi.

Macam mana ni? Aku betul-betul malas nak keluar makan malam. Lebih-lebih lagi keluar dengan Hakimi. Kalau boleh, aku nak tidur sahaja. Rasa dah penat sangat sepanjang hari ni macam-macam hal yang berlaku. Akhirnya dia menelefon Hakimi.

"Sorry, malam ni aku tak ada mood nak keluar."

"No way. Kau mesti keluar juga. Kau dah janji," kata Hakimi separuh mendesak.

"Malam esoklah. Esok lusa masih ada."

"Memanglah ada tapi aku nak ajak kau malam ni juga."

"Okey, sepuluh minit lagi aku siap."

"Take your time. Sejam pun tak apa."

"Ahhh! Jangan nak perli!" katanya lalu terus mematikan telefon bimbit.

Dia menyisir rambutnya yang pendek dan kemas. Tak perlu beria-ia. Rambutnya jarang kusut. Sudahlah pendek, lurus pula. Amat senang diurus. Kalau bangun tidur pun tak perlu bersikat. Tetap elok.

Semasa tiba di lobi, dia mendapati Hakimi leka membaca akhbar. Dia memerhati lelaki itu dari jauh. Setiap sudut diperhalusi tanpa lelaki itu menyedarinya. Dia cuba 'membaca' tingkah laku lelaki itu. Serius, pendesak dan terlalu yakin pada diri sendiri, hatinya merumuskan sifat-sifat awal Hakimi. Hesy, jangan haraplah aku nak buat teman lelaki dia ni. Setakat kawan saja bolehlah.

"I am ready."

Hakimi mengangkat muka, memerhati Khaira Wilda yang sudah tegak di hadapannya. Ringkas pakaian gadis itu, hanya seluar trek biru, dipadankan dengan T-shirt putih dan jaket sukan yang mempunyai hud di belakang kepala.

"Hmmm... Gaya macam nak pergi jogging," komen Hakimi.

"Kalau kau banyak sangat komen, aku naik atas semula. Tidur."

"Okey, jom la..." kata Hakimi sambil bangun dan bergerak ke luar dari hotel.

"Ehhh, kata nak makan kat kafe hotel ni aje."

"Kita makan kat tempat lainlah. Kat tepi laut. Best sikit."

Khaira Wilda mengikut sahaja. Dalam hati tertanya-tanya juga. Kenapa baik sangat pula Hakimi malam ini? Hairan aku. Apa agenda kau, Jalut?

Khaira Wilda bergerak mengekori Hakimi. Lelaki itu terus berjalan mendahului, menghala ke kereta yang diparkir di hadapan hotel. Tetamu hotel penuh malam ini. Medan letak kereta yang luas itu tiada satu pun yang kosong. Hakimi meletak keretanya di kawasan yang tersorok dan sedikit gelap.

Mereka sama-sama melihat sesosok tubuh bersandar pada kereta Hakimi. Dari jauh sudah terhidu bau badannya yang hapak dan tengik dibawa angin malam.

"Hesy... Aku geram betullah! Setiap kali aku park kat sini, mesti orang gila tu duduk kat kereta aku," kata Hakimi dengan suara agak keras.

Setelah mendekat, Hakimi menghalaunya pergi. Lelaki gila itu selalu berkeliaran di kawasan hotel. Sejak kebelakangan ini, selalu ternampak kelibat orang gila tersebut, berpakaian kotor, mengenakan jaket lusuh dan buruk. Dia kerap kali meminta makanan daripada orang-orang yang lalu-lalang. Terkadang menyelongkar tong sampah di tepi pintu dapur hotel.

"Orang gila ni selalu berkeliaran kat Kuching ni. Merata-rata dia pergi. Jalan kaki pula tu. Siang malam, entah mana dia tidur," kata Hakimi.

Khaira Wilda diam sahaja, dia memandang simpati pada orang gila itu. Ahhh, bukan dia nak pun jadi gila gitu. Dah takdir dia gitu. Cuba kau yang jadi gila!

"Pergi sanalah!" Hakimi marah-marah apabila orang gila itu enggan beranjak dari sisi kereta.

"Mintak rokok sebatang, bang!" Dia meminta dengan suara yang serak, kemudian batuk-batuk.

"Nah! Sebatang aje! Mintak lebih-lebih karang, aku kerjakan kau!"

"Terima kasih bang!"

Pandai pula berterima kasih orang gila ni, bisik hati Khaira Wilda.

"Nak api, bang!"

"Dah nak api pula," rungut Hakimi.

"Lepas ni mintak apa pula?"

Lelaki gila itu ketawa mendengar kata-kata Hakimi.

"Nak ikut abang naik kereta. Abang nak pergi makan, ya? Saya dah tiga hari tiga malam tak makan, bang!"

"Ooo, nak naik kereta aku? Karang aku debik dengan penumbuk baru tahu!" Hakimi sudah menggenggam buku lima.

"Jangan, bang! Jangan, bang! Sakit... Sakit!"

"Hesy, belum kena lagi dah cakap sakit. Aku bagi betul-betul!"

Tanpa membuang masa, Hakimi melepaskan penumbuk ke muka orang gila itu. Terus terpelanting jatuh lelaki gila itu ke tanah. Dia cuba bangun dengan pantas.

"Heh, kenapa kau tumbuk dia? Kesian laaa..." kata Khaira Wilda.

Hakimi tidak peduli. Dia bergerak pantas membuka pintu untuk masuk ke kereta. Khaira Wilda masih berdiri di tepi kereta, memerhati orang gila itu yang sudah bangun sambil menggosok pipi. Dia bergerak ke satu arah kemudian hilang dalam kepekatan malam.

"Tak payah nak kesiankan dialah! Naik cepat!"

Khaira Wilda tidak begitu menyukai cara Hakimi. Sepanjang waktu makan malam itu hatinya tidak senang. Dia masih teringatkan aksi Hakimi yang bertindak di luar dugaan, menghadiahkan penumbuk pada lelaki gila itu.

Kalau Razif ada, tentu dia juga tidak setuju dengan tindakan Hakimi.

Ohhh, aku rindu kaulah, Razifah! Kenapa kau tak call atau mesej aku langsung?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co