Truyen3h.Co

MR. ANONYMOUS

Bab 1

karyaseni2u

"Akak ni biar betul, kak?" Aku sudah gabra yang teramat. Takkan dah sampai masanya? Biar betul?

Kak Win tercungap-cungap. Lenganku dipegang kejap. Kesakitannya aku tahan bila melihat wajah Kak Win yang sudah berkerut seribu.

"Ka... Kau ingat... Benda ni boleh main-main ke?" selar Kak Win berselang-seli dengan tarikan nafas.

Melihat peluh yang memenuhi dahinya, aku turut sama menitiskan peluh. Jari tanganku mengira waktu yang sepatutnya. Eh, bukankah ada masa lagi sebulan? Tak cepat sangat ke?

"Apa kau kira lagi tu?!" Kak Win terpekik kuat. Habis bergema suaranya memenuhi ruangan basement pasar raya. Aku yang tersentak cepat-cepat menyambut lengan Kak Win. Dia sudah seperti tidak dapat bergerak dengan betul.

"Habis, nak buat apa sekarang ni?" Kali ini aku hilang pertimbangan logik. Serba-serbi rasa tak kena.

"Hantar akak ke hospital la..." Kak Win bagi arahan. Nafas ditarik perlahan-lahan. Wajahnya sudah tidak berapa tegang lagi. Mungkin sakitnya sudah berkurangan dari tadi.

"Oh... Haah... Yalah... Okey, okey... Jom, cepat." Aku mempercepatkan langkah ke kereta Proton Saga milik Kak Win. Terasa jauh pula keretanya, sedangkan hanya beberapa langkah saja lagi yang memisahkan kami.

Tiba saja di kereta, Kak Win bersandar sebentar. Semua beg plastik berisi barang-barang yang aku dan dia beli sebentar tadi aku lambakkan di atas lantai. Tangan puas menyelongkar beg tangan Kak Win.

"Ya Allah, apa yang dicari tu? Cepatlah..."

Berdesing telingaku mendengar suaranya. Aku pandang sekilas wajahnya, merah padam wajahnya yang putih menahan kesakitan. Aik, tadi macam dah okey. Sakit balik ke?

"Okey, kak. Sekejap, kunci ni mana pula hilangnya?" Kunci ni pun satu, dari tadi aku cari tak jumpa mana pula di... Hah, jumpa pun. Tangan terus menekan penggera kereta, sekali gus membolehkan Kak Win masuk ke dalam badan kereta.

Tiba-tiba aku terfikirkan sesuatu. Kembali aku tarik lengan Kak Win, tidak benarkan dia masuk terlebih dahulu.

"Kalau akak duduk belakang, siapa yang nak drive kereta ni?" Aku tahu itu soalan bodoh pada waktu-waktu kecemasan begini. Tapi memang itu yang aku fikirkan sekarang. Siapa pula nak jadi 'pilot' darat?

"Kaulah... Ada lesen, kan?"

Aku menelan liur. Memanglah aku ada lesen tapi keretanya jenis apa pula? Manalah aku tahu bawa.

"Akak jangan cari pasal, kak. Orang tak reti bawa kereta manual ni. Mahunya tak bergerak kereta ni sampai esok pagi." Memang aku tak reti, takkan nak pura-pura tahu? Tak pasal-pasal aku masuk hospital sama nanti.

"Masa ambil lesen dulu kau guna kereta manual juga, kan? Takkan tak reti." Kak Win masih membalas. Kesian juga aku melihatnya, kudrat yang ada digunakan untuk berbahas denganku saat darurat begini.

"Memanglah kak, tapi tu bila? Masa orang lepas SPM. Sekarang ni dah berapa tahun? Dah banyak kali orang cerita kat akak kan, sejak dapat lesen tu memang orang dah tak bawa kereta manual. Orang kalau nak bawa pun kereta automatik aje. Kereta manu..."

Kak Win mengangkat tangannya padaku, arahan bukan lisan menyuruh aku berhenti bercakap. Aku ketap bibir, terlupa. Boleh pula aku membebel.

"Su... Sudah, sudah. Call... Ambulans?" sarannya.

Aku menepuk tangan.

"Haahlah, kenapalah tak terfikir? Kalau dari tadi terfikirkan sen..."

"Cepat..."

Aku terkejut.

"Okey, kak." Tanpa membuang masa, aku terus keluarkan telefon bimbit. Namun belum sempat aku mendail nombor kecemasan, kedengaran Kak Win mengerang lebih kuat. Kak Win sudah membongkok, menahan rasa.

"Astaghfirullahalazim... Dah tak sempat ni, kak."

Aku buat andaian sendiri apabila melihat ada air yang sudah membasahi kasutku. Air ketuban barangkali.

"Ya Allah, sakitnya..." Kak Win mengerang lagi. Dia hilang kawalan dan menyandarkan badannya padaku membuatkan aku terdorong dan bersandar pada kereta di parkir sebelah.

Mati kutu aku dibuatnya. Apa yang boleh aku lakukan saat ini? Tak sampai hati melihat Kak Win begitu. Takkan aku pula yang nak kena jadi bidan? Oh... Tidak!

"Kenapa ni?"

Suara yang menyapa menyebabkan aku menoleh ke sebelah kanan. Seorang lelaki bertopi kelabu betul-betul berada di sebelahku. Berkerut dahiku memandangnya. Bila masa pula dia terpacak di situ?

"Awak siapa?" soalku. Kak Win masih aku peluk erat. Kepalanya yang lentok di dadaku, aku biarkan.

"Kereta saya."

Aku memandang ke arah yang ditunjukkan. Nampaknya aku sedang bersandar pada keretanya. Kak Win mengerang sekali lagi berserta dengan tangisan kecil. Aku makin gabra, lelaki di sebelahku juga dengan tidak semena-mena terbabit sama. Dia turut tidak keruan.

"Kena bawa ke hospital ni," cadang lelaki itu.

Tanpa bertanya apa-apa, dia terus membawa Kak Win masuk ke dalam kereta Kak Win yang sudah sedia terbuka pintunya.

"Letak bantal dekat kepala dia," arahku selamba. Tanpa banyak bicara lelaki itu terus mengambil bantal yang sedia ada di dalam kereta dan diselitkan di bawah kepala Kak Win.

"Bawa masuk semua barang-barang kat luar tu."

Lelaki itu mengambil semua beg plastik yang berada di atas lantai dan diletakkan di bahagian penumpang hadapan.

"Cuba cari tuala dalam plastik tu," arahku lagi.

Aku sudah tidak peduli, tuala yang aku beli untuk kegunaan sendiri sanggup aku korbankan. Arahan yang aku berikan masih diikuti. Kini tumpuan penuh aku berikan pada Kak Win.

"Kak sabar, ya?"

Aku cuba menenangkan Kak Win walaupun aku sendiri tidak tenang. Tidak tahu apa yang perlu aku lakukan.

"Yang ni ke?" soal lelaki itu sambil menyerahkan tuala berwarna merah jambu padaku.

Aku mengangguk lalu menyambut tuala itu.

"Ambil tisu, lap peluh kat dahi dia."

Seperti tadi, lelaki itu menurut saja tanpa bantahan.

Kak Win mengerang lagi, kali ini aku turut mendengar Kak Win meneran. Aku bertambah gugup apabila kepala bayi sudah dapat aku lihat.

"A... Awak tahu drive, kan?" soalku gugup.

"Hah?" soalnya seperti kebingungan.

"Cepat drive ke hospital. Baby dah nak keluar." Aku campakkan kunci padanya.

"Okey," sahutnya apabila kunci sudah selamat mendarat di tangannya.

Ya Allah, minta-mintalah sempat sampai ke hospital, doaku dalam hati.

KAK WIN ditolak masuk ke dalam bilik bersalin. Sebelum sampai ke hospital tadi bayi sudah selamat keluar dari rahim Kak Win cuma tali pusat bayi yang masih bersambung pada uri, belum keluar dari rahim ibunya.

Aku tidak tahu apa tindakan doktor selanjutnya. Apa yang aku tahu sekarang bajuku sudah dipenuhi tompokan darah, menakutkan pula apabila melihat diriku sendiri melalui pantulan pintu kaca.

Aku mengambil tempat duduk yang tersedia. Mata dipejamkan seketika. Penat juga menjadi bidan terjun.

"Tak nak tukar baju dulu?"

Terbuka luas mataku mendengar soalan. Aku pandang lelaki tadi yang sedia terpacak di hadapanku. Bajunya turut terpalit darah. Mungkin berlaku sewaktu dia membantu mengangkat Kak Win sebentar tadi. Dia menghulurkan sebuah beg plastik padaku.

"Saya tak tahu ini dress baru awak atau puan yang dekat dalam tu. Tapi dress ni aje yang saya nampak tadi. Jadi saya ambil untuk awak sebelum turun tadi," katanya sambil tersenyum.

Aku sambut hulurannya. Kalau dress, memang bukan milikku. Itu baju baru Kak Win tapi nampaknya aku terpaksa menggunakannya terlebih dahulu. Tak sanggup pula aku nak mengenakan baju yang penuh dengan darah ini sepanjang petang. Nanti aku akan belikan yang baru untuk Kak Win sebagai ganti.

"Thanks," balasku berserta senyuman. Dia terus mengambil tempat duduk di sebelah.

Barang-barang yang berada di dalam plastik, aku belek. Mahu lihat apa lagi yang Kak Win beli selain dress tadi. Sayangnya hanya ada sehelai dress labuh berwarna navy blue di dalamnya. Kini aku pandang pula tudung di kepala yang berwarna hijau. Nasib baik tiada kesan darah. Jadi bolehlah aku mengenakan tudung ini semula. Tapi dress navy blue dengan tudung hijau? Erm... Lantaklah, janji aku tak pakai baju yang dipenuhi darah.

"Seronok juga jadi nurse tadi."

"Hah?" Aku terkejut apabila tiba-tiba sahaja dia bersuara.

Lelaki di sebelah mengangkat keningnya sambil tersenyum.

Berkerut keningku cuba memahami maksud katanya tadi.

"Oh... Pasal tadi tu. Sorry saya gabra sangat tadi tu. Saya memang tak boleh, kalau gabra semua benda saya redah aje. Sorrylah, tak pasal-pasal awak jadi nurse pula tadi. Tolong itu ini." Panjang lebar aku menjelaskan dengan sekali nafas.

Dia tertawa kecil dengan tingkahku, topi di kepala diperkemas.

"Tak apa, saya..."

"Abang Han." Aku terus bangun apabila terlihat Abang Han muncul dari jauh. Laju Abang Han menapak, menghampiriku.

"Awin macam mana?" Kelam-kabut dia bertanya.

"Kak Win okey, ada kat dalam. Sorrylah Abang Han, orang tak sangka pula nak jadi macam ni." Aku memang rasa amat bersalah. Kalaulah aku tidak menggatal ajak Kak Win keluar membeli-belah, tidak mungkin dia akan bersalin dalam kereta.

"Tak apalah, benda nak jadi. Abang nak pergi jumpa doktor."

"Nak ikut."

"Jom."

Abang Han terus berlalu.

Aku turut ikut langkah Abang Han. Namun seketika kemudian, langkahku mati apabila terkenangkan abang nurse yang menolongku tadi.

"Awak..."

Sebenarnya aku tidak tahu apa yang perlu ditanya dan dikatakan saat ini.

"Tak apa, saya pun nak balik dah."

"Oh, okey. Thanks sebab sudi tolong tadi."

Belum sempat mendengar balasan, aku terus berlalu. Lega, sekurang-kurangnya aku sudah berikan ucapan penghargaan.

Sekali lagi langkahku terhenti sebelum sempat kakiku menyaingi langkah Abang Han yang sudah laju ke hadapan. Dahi aku tepuk.

Bagaimana abang nurse mahu pulang sedangkan dia ke sini memandu kereta Kak Win dan keretanya masih diparkir pasar raya? Ah, sudah! Macam mana aku boleh lupa tentang hal itu? Terpaksa aku pusingkan badan semula. Perlu ada satu ikhtiar untuk menghantar lelaki tadi ke tempat asalnya.

Namun aku tidak jadi meneruskan langkah kerana dia sudah tiada di tempat duduknya tadi. Aik, lajunya abang nurse tu lesap? Berapa laju dia berjalan? Tak apalah. Bagus juga. Lantas aku berpaling semula mengejar Abang Han.

Abang nurse? Sempat nama itu mengundang segaris senyumanku. Suka-suka aku saja letak nama samaran untuk lelaki itu. Tak apalah, bukan aku akan berjumpa dengannya lagi selepas ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co