Truyen3h.Co

MR. ANONYMOUS

Bab 15

karyaseni2u

"Orang keluar dulu." Aku lambaikan tangan pada Hilman sambil berjalan ke arah pintu.

"Nanti dulu."

Tangan aku yang sudah memegang tombol pintu terhenti, pantas aku pandang Hilman yang berbaju Melayu dan berkain pelekat sedang berjalan menghampiriku.

"Dah solat maghrib?" soalnya.

Aku senyum dan mengangguk. Takkanlah aku nak keluar rumah sebelum solat maghrib, nanti terbabaslah maghribku.

Dia selak langsir tingkap yang berada di sebelah pintu.

"Aidil tu tak reti masuk dulu ke minta izin nak bawa anak dara orang keluar malam-malam macam ni?"

Habislah, apa aku nak jawab? Nanti mulalah taklimatnya yang panjang berjela kalau aku bagi jawapan yang tidak memuaskan hatinya.

"Aidil nak cepat, lambat kita orang sampai, lambat pula kita orang balik." Aku bagi alasan yang aku rasa sesuai.

"Apa salahnya masuk minta izin dulu. Bukan lama sangat pun."

Aku sudah garu kepala. Apa nak jawab ni? Bunyi hon kedengaran dari luar. Terkejut, terus aku memandang Hilman dan dia juga memandangku.

"Jom, orang nak jumpa dia sekejap." Hilman ambil alih tempat aku untuk membuka pintu.

Alamak, kenapa pula ni?

Bila Hilman sudah melangkah keluar cepat-cepat aku membuntutinya. Kenapa pula dia nak jumpa Aidil? Kan aku dah beritahu dia petang tadi malam ni keluarga Aidil buat makan-makan dan aku dijemput sama. Apa yang tak kena sebenarnya?

"Sebenarnya Hilman bagi ke tidak orang keluar dengan Aidil?" soalku bila sudah dapat menyaingi langkahnya.

"Kalau orang tak bagi pun Isya tetap nak keluar juga, kan?" Soalan juga ditujukan kepadaku.

Aku terdiam. Memanglah aku akan keluar juga sebab aku sudah berjanji dengan Aidil. Jarang sekali Aidil nak bawa aku ke rumah keluarganya kalau tiada majlis keramaian. Pasti ada sebab dia mahu aku ke rumah orang tuanya malam ini.

Nampak sahaja Hilman turut sama keluar rumah bersamaku, Aidil dengan pantas keluar dari keretanya.

"Assalamualaikum, Abang Man." Aidil menghulurkan tangan untuk berjabat.

Hilman menyambut tangan Aidil.

"Nak bawa Isya ke mana?" soal Hilman.

Terus mataku teralih kepada Hilman. Bukan aku sudah maklumkan pada dia ke destinasi aku dan Aidil malam ini? Kenapa nak ditanya lagi?

"Rumah mama. Malam ni mama ada buat jamuan makan. Tu yang dia orang jemput Isya sama." Aidil menjawab dengan penuh sopan. Nampak betapa dia menghormati Hilman.

"Tak elok bawa anak dara orang keluar malam-malam. Macam inilah, dah alang-alang nak ke rumah mama Aidil kan, bincanglah sekali pasal hubungan kamu berdua. Dah lama kenal, kan? Masuklah meminang cepat-cepat, lepas kahwin, kamu nak bawa dia ke Marikh pun boleh."

Aduh, malunya. Hilman ni pun, suka sangat buka kisah pinang-meminang depan aku dan Aidil.

"Insya-Allah bang, memang dah ada dalam perancangan," jawab Aidil.

Jawapan Aidil menambahkan rasa maluku. Kalaulah kulit muka aku ni putih melepak, mahunya merah padam jadinya kalau selalu sangat macam ni.

"Baguslah kalau macam tu. Abang bukan apa, umi dengan walid jauh. Abang kat sinilah jadi penjaga Isya. Abang nak yang terbaik untuk adik abang ni." Hilman memeluk bahuku.

Rasa sayu pula tiba-tiba dia kata begitu. Hilman memang abang yang baik dan aku tahu dia sayang aku sangat-sangat.

"Saya faham, bang. Saya pun nak yang terbaik untuk Isya." Aidil memandangku pula.

Aku hanya mampu tersenyum.

"Pergilah, jangan balik lambat. Sebelum pukul sepuluh abang nak Isya dah balik rumah. Boleh?" Dia bagi peringatan pada Aidil.

Aidil mengangguk laju.

"Boleh, bang." Aidil memandangku dan terus membukakan pintu kereta untukku.

Aku melambai Hilman.

"Tata... Tunggu sampai orang balik tau." Saja aku berjenaka. Tapi aku tahu jika tanpa pesanan aku pun dia tetap akan menunggu sehingga aku pulang, barulah dia akan masuk tidur.

"Tengoklah, kalau orang rajin."

Konon macam tak nak tunggu. Tapi tengoklah kalau Aidil hantar aku lebih dari jam sepuluh mesti dia sudah terpacak di depan pagar ni sambil mencekak pinggang.

Selepas Aidil menutup pintu kereta untukku dia berbual sekejap dengan Hilman sebelum masuk ke dalam kereta dan meneruskan pemanduan.

"Aduh, macam nak luruh jantung saya ni kalau bercakap dengan abang awak." Tangan kanan Aidil memegang dada kirinya dan tangan kirinya masih mengawal stereng kereta.

"Hilman tu baiklah, apa yang nak ditakutkan?" Tak tahulah kenapa dia takut sangat dengan Hilman.

"Memanglah baik. Tapi perasaan bila bercakap dengan abang awak tu macam saya tengah bercakap dengan bakal pak mentua pula. Takut."

Aku ketawa terbahak-bahak. Kelakar dengan reaksi yang dia tunjukkan. Penakut rupa-rupanya. Ingatkan berani sangat. Tu belum jumpa dengan walid. Kalau berjumpa dengan walid entah apa reaksi dia nanti. Jangan sampai terkencing dalam seluar sudahlah.

"Amboi, seronok ketawakan saya, ya?" Dia menjelingku.

"Dah kelakar ketawalah, takkan saya nak menangis pula." Masih ada saki-baki tawaku. Kalau betul dia terkencing dalam seluar, mahu tujuh keturunan aku ketawakan dia.

Tiba-tiba dia terdiam, aku berhenti dari tertawa. Aik, takkan marah kut. Aku main-main aje pun. Cepat sangat pula sentap malam ni. Selalunya tak macam ni, aku sakat macam mana pun dia kebal menepis semua sakatan aku.

"Marah ke?" Aku bertanya, tapi pertanyaan aku dibiarkan sepi.

Aku garu kepala. Takkan merajuk pula. Aku bukannya pandai sangat nak memujuk orang.

"Awak?" Aku petik jari di depan matanya.

"Hah?" Terkejut dirinya, cepat-cepat dia menoleh sekilas padaku.

"Kenapa?"

Mengelamun ke? Masa memandu pun boleh mengelamun? Biar betul!

"Marah sangat ke?"

"Marah? Marah siapa?"

"Marah sayalah."

"Oh... Taklah, mana ada saya marah awak."

"Habis tu, kenapa mengelamun tadi?"

Kalau dia tidak marah, kenapa dia mengelamun sehingga sebegitu sekali tadi?

"Oh... Tu... Erm... Teringat pasal majlis malam ni."

"Majlis apa ya malam ni?" Aku ingatkan makan-makan biasa-biasa aje malam ni. Ada majlis rupa-rupanya.

"Majlis kesyukuran." Lemah sahaja nada suaranya. Macam tak suka sahaja majlis yang bakal berlangsung.

"Majlis kesyukuran untuk apa?"

Belum sempat dia menjawab soalan, kami sudah sampai di depan rumah mamanya. Jadi, soalan aku dibiarkan tergantung begitu sahaja. Tidak mengapa, bila aku masuk sahaja nanti aku akan tahu majlis kesyukuran diadakan untuk apa.

Masuk sahaja rumah, seperti biasa mama dan papa Aidil menyambutku dengan penuh mesra. Sudah beberapa kali aku datang ke rumah ini dan setiap kali itu jugalah aku dapat layanan yang baik daripada mereka sekeluarga.

"Isya, duduk dulu ya, mak cik nak siapkan kerja lagi sikit."

"Isya tolong ya?"

"Eh, tak apa. Isya duduk aje. Tetamu mana boleh buat kerja." Mama Aidil melarang. Puas dia paksa aku duduk di atas sofa yang sudah diletakkan di ruang luar. Sebelah dalam rumah sudah dikosongkan dan dibentangkan tikar. Habis sahaja solat isyak sekejap lagi pasti ramai orang surau yang akan datang.

"Tak apalah..."

"Tak boleh. Duduk aje." Pantas mama Aidil memotong sebelum aku menghabiskan kata.

"Okey." Akhirnya aku mengalah. Kalau aku berkeras pun aku tetap takkan dibenarkan menolong.

Aku ambil tempat duduk di atas sofa tunggal. Aidil naik ke biliknya menyalin pakaian untuk ke surau taman perumahan ini. Belum ramai lagi yang sampai. Jadi hanya aku keseorangan di luar.

"Awak tak takut ke duduk luar sorang?"

Mata yang tadinya sibuk memandang bunga-bunga kesayangan mama Aidil kini beralih arah kepada suara yang menegur. Aku tersenyum panjang memandang orang di hadapanku sekarang ini.

"Bila balik?" soalku.

Berkerut keningnya.

"Eh awak ni, kan kita sampai sama-sama tadi. Kan saya yang ambil awak kat rumah awak. Takkan sekejap dah lupa."

Hai... Pandai betul berlakon.

"Tak payahlah nak kenakan aku. Kau ingat aku tak kenal kau?"

"What?" Kedua-dua belah tangannya didepakan. Bersungguh-sungguh nak meyakinkan aku.

"Encik Aiman, tak payah nak tipulah ya. Ingat aku tak cam muka kau ke?"

Meletus tawanya.

"Cam ke? Serius?"

"Mestilah. Dulu bolehlah nak kenakan aku, sekarang jangan mimpilah ya." Aku mengingatkan. Sekarang memang mereka berdua tidak boleh tipu aku lagi. Ya, memang mereka kembar, rupa paras yang sama. Jika orang baru jumpa mereka pasti tidak dapat membezakan mereka berdua tapi jika sudah lama kenal, mereka ada bezanya. Dan aku sudah dapat mengenali perbezaan mereka.

"Hebat."

"As usual." Aku berbangga diri.

"Berlagak!"

Aku dan Aiman sama-sama ketawa. Lama sudah tidak berbual dengannya. Lepas sahaja aku mula rapat dengan Aidil, Aiman sudah terbang ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

"Bila sampai? Balik bercuti atau balik terus ni?"

"Tiga hari lepas dah sampai. Balik terus dan esok dah mula kerja."

Bukan main senang Aiman dapat kerja. Maklumlah, pemegang anugerah dekan di universiti ditambah pula dengan lulusan sarjana luar negara. Semua syarikat berlumba-lumba mahu mengambilnya bekerja.

"Jadi, majlis kesyukuran ni untuk kaulah?"

Dia mengangguk.

Tapi sekejap, kenapa Aidil tidak memaklumkan perkara ini padaku? Aiman sudah pulang ke Malaysia pun tidak diceritakan. Apa masalah sebenarnya, mengapa macam mahu menyembunyikan kepulangan Aiman daripada pengetahuanku?

"Awak dengan Aidil macam mana, okey?" Kisah aku dan Aidil pula dibangkitkan.

"Macam mana apa? Okey aje. Kenapa?" Pelik dengan soalannya sebenarnya, tapi aku jawabkan juga.

"Tak adalah. Saja tanya. Nak tahu perkembangan abang kesayangan aku dengan bakal kakak ipar aku ni. Tu aje." Melirik senyumnya.

"Lepas ni, kalau ada rezeki kau kena panggil aku Kak Isyalah, kan?" Aku tunjuk lagak seorang kakak.

"Eh, tak naklah. Berakak-akak bagai. Tolonglah."

Mati-mati dia menolak permintaanku.

"Cuba jangan melawan. Derhaka tau namanya tu."

"Derhaka dengan kau tak apa," bidasnya.

"Jom."

Perbualan aku dan Aiman terbantut dengan kehadiran Aidil.

"Awak duduk rumah dulu, saya pergi surau. Kalau nak solat tumpang bilik tetamu, saya dah siapkan kain dengan telekung untuk awak dalam bilik tu." Aidil memberi penerangan bila sudah berada di hadapanku.

"Okey." Aku angkat ibu jari.

"Jom." Sekali lagi Aidil mengajak Aiman supaya bergerak.

"Sekejap lagi kita sambung tau," kata Aiman padaku.

Aku hanya mengangguk. Aidil sudah meluncur laju ke hadapan, membuatkan Aiman terkejar-kejar dari belakang.  

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co