Truyen3h.Co

Mr. & Mrs. Sweet

Bab 15

karyaseni2u

LAJU jari-jemari Iman berlari-lari di atas papan kekunci komputer. Sesekali matanya menjeling kepingan kertas di sisinya. Sedari pagi dia sibuk menyusun atur jadual mesyuarat dan janji temu bagi pihak majikannya dan sekarang dia bertungkus lumus menyiapkan dokumen untuk pembentangan pada petang nanti.

Mendengarkan pintu bilik bosnya bagaikan dibuka dari dalam, serta-merta kerjanya terhenti. Hariz melangkah merapati ruangnya kerjanya dengan penuh gaya. Handsome pula bos aku hari ni, desis hatinya.

Satu kotak bersaiz empat segi tepat berbalut cantik disorongkan ke arah Iman.

"For you."

Iman terkelu. Perlahan-lahan pemberian bosnya diambil. Matanya bersilih ganti antara hadiah cantik di tangannya dengan bosnya yang tersenyum penuh makna.

"Hadiah untuk apa ni, Encik Hariz? Birthday saya lambat lagi."

"Ni hadiah yang saya janjikan untuk awak kalau kita dapat tender hari tu." Lembut bicara Hariz. Sudah dua hari hadiah itu tersimpan rapi di dalam laci meja. Dia teragak-agak untuk memulakan langkah. Takut langkah yang diambilnya salah. Hari ini baru dia mempunyai kekuatan untuk memberikan kepada gadis idamannya. Itu pun dikarang alasan yang dirasakan lebih munasabah.

Iman beriak serba salah. Takkan aku sorang aje kut yang dapat? Kalau CNN tu dapat tau, masak aku dicanang satu bangunan.

"Takkan saya aje yang dapat, Encik Hariz? Macam tak adil aje untuk orang lain." Perlahan sekali patah kata yang keluar dari mulutnya.

Hariz tersenyum lebar.

"Jangan risau. Ini bahagian awak. Staf lain pun ada. Saya tak berat sebelah."

Iman menghela nafas lega. Sengihannya mula melebar.

"Haaa... Lega sikit saya dengar."

"Nanti tolong dapatkan saya senarai terbaru staf dari Account Department, ya?"

"Wah... Macam best aje bunyinya tu." Iman menjongketkan keningnya beberapa kali. Otaknya sudah terbayang mata wang Malaysia yang berkepuk. Dasar mata duitan betul!

Hariz tergelak melihatkan wajah comel Iman. Hatinya yang kesepian hampir tiga tahun kembali diketuk oleh bunga-bunga cinta. Telah lama rasa itu hilang dari hati semenjak kematian Rose Maria, isterinya.

"Saya keluar dulu. Anything, just let me know."

Iman mengangguk.

"Errr... Bos..."

Langkah Hariz terhenti.

"Thanks for the gift," ucap Iman lembut.

Senyuman menawan terukir lagi di bibir Hariz.

"Hope you like it."

Iman membalas senyuman bosnya. Diperhatikan langkah majikannya hingga hilang daripada pandangan. Hadiah kecil yang berbalut cantik dibuka perlahan-lahan. Mindanya cuba meneka-neka isi hadiah tersebut sebelum matanya terbuntang.

Seutas rantai tangan cantik terletak di dalam bekasnya. Mulutnya melopong. Pergh... Mahu beribu ni. Biar betul bos aku ni? Mmm... Dapat projek RM300 juta, apalah sangat rantai berlian yang baru beberapa ribu, kan?

Dengan penuh keterujaan, dia mula memakaikan gelang tersebut di pergelangan tangannya. Memang sangat sesuai! Beberapa kali ditilik rantai di tangannya. Belum pernah dia dapat hadiah semahal ini. Bibirnya tak habis-habis tersenyum.

Deringan telefon tiba-tiba mematikan lamunan dia. Dahinya berkerut melihatkan nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin iPhone 5 miliknya. Siapa pula ni?

"Helo?" Panggilan tersebut dijawab jua.

"Iman?"

"Ya." Perhatiannya mula beralih kepada pemanggil telefon. Suara macam biasa didengar.

"I tunggu you dekat bawah."

Iman terkedu dengan arahan yang tiba-tiba itu. Ewah, salam tidak, apa tidak. Tau-tau cakap tunggu kat bawah. Malaun mana entah! Tak ada sivik punya orang!

"Excuse me, siapa ni?!" Suara Iman mula naik satu oktaf.

"Zariel sini. Could you please come down now? I tak nak jadi perhatian kat sini."

Serta-merta darah Iman menyerbu ke muka. Rasanya kalau ditoreh memang dah tak keluar darah. Jantungnya mengepam laju. Lupa pula janji temu dia dengan Zariel.

"Iman, cepat sikit boleh tak?" Suara kasar lelaki itu menyergahnya. Jam dikerling. Dah pukul satu sepuluh minit tengah hari rupa-rupanya.

"Sabar sikit boleh? Saya turunlah ni! Huh!" Dalam telefon bolehlah dia nak berangin, cuba berdepan tengok! Baru Zariel menjeling, hatinya sudah kecut. Macam mana?

Beg tangan LV putih dicapai. Laju kakinya melangkah menuju ke pintu lif. Dalam hati berdoa agar tidak terserempak dengan sesiapa. Kecoh nanti.

Anak mata Iman meliar sekeliling. Mencari kelibat Zariel. Hati mendengus. Mana pula mamat ni? Tadi ya-ya aje cakap dah bertangga kat bawah. Badan panas, hati pun panas!

Pinnn!

Telinganya menangkap bunyi hon kereta. Mata dihalakan ke arah datangnya bunyi tersebut. Zariel buat isyarat dari kereta Maserati Ghibli putihnya. Kurang asam betul mamat ni. Nasib baik aku tak melatah beruk kat foyer ni! Sempat Iman membebel sambil langkahnya dilajukan menuju ke arah kereta mewah tersebut.

Tubuh kecilnya diboloskan ke dalam perut kereta mewah berhawa dingin tu. Gelap betul tinted kereta mamat ni!

Kereta mula meluncur keluar dari pekarangan bangunan pejabat. Iman menghalakan pandangannya ke arah Zariel yang kacak berkaca mata hitam. Memang betullah kata Karmila. Hanya orang buta aje yang tak jatuh cinta dengan mamat ni. Tapi aku tak buta, cuma hati aje tiada rasa. Hati kering bak kata Karmila.

Tiada sepatah ayat keluar sepanjang perjalanan. Sekadar melayan lagu di radio. Iman mati kata. Serba salah apabila encik drebar di sebelah membisu. Hala tuju pun tak tahu ke mana. Nak bertanya segan.

Mula sedar destinasi mereka apabila kereta Zariel membelok masuk ke pekarangan Le Meridien Kuala Lumpur. Hala tuju mereka adalah Favola, restoran mewah bercirikan Itali. Kakinya menyaingi langkah Zariel yang menonong berjalan meninggalkan dia di belakang. Langsung tak romantik!

Iman khusyuk memerhati dekorasi cantik dalam restoran tersebut. Dengan iringan muzik berentak jaz menjadikan suasananya begitu mengasyikkan.

Tumpuannya terganggu apabila pelayan yang berpakaian hitam putih datang mengambil oder. Lagi sekali terkilan apabila Zariel dengan penuh yakin mengoderkan makanan bagi pihaknya tanpa bertanya terlebih dahulu. Pergh... Ini sudah lebih! Dari tadi bukan main mengarah dan sekarang nak makan pun kena ikut tekak dia juga ke? Apa, dia ingat aku jakun sangat ke sampai tak reti oder sendiri? Hati Iman mengomel rancak. Riak muka tak puas hati ditonjolkan. Biar dia tahu aku tak suka!

Zariel memandang gadis di depannya tanpa perasaan.

"You tak kesah kan I oderkan untuk you?"

Dia bajet aku nak jawab apa? Baru sekarang nak bertanya. Kenapa tak esok aje? Huh! Sebal betul rasa hati.

"Tak kesah. Apa-apa pun I belasah aje." Nah! Ayat sopan tu juga yang terkeluar.

"Jadi, apa yang nak dibincangkan?" Iman memulakan bicara apabila melihat Zariel sedari tadi merenungnya. Mamat ni cuba nak merangka-rangka ayat ke apa? Rasa macam nak cungkil aje mata hazel dia tu!

Pesanan sampai. Dengan sopan, hidangan yang menyelerakan dihidangkan di depan mata. Bau spageti agak menyelerakan. Tak sabar nak menjamah.

"Enjoy your meal. I hope you will like it." Tutur Zariel sebelum menyuapkan risoto ke mulut.

Iman juga dengan tertib mula menjamu selera. Mujur dia penggemar spageti. Memang tiada masalah nak menelan makanan orang putih ni. Sedap!

"I rasa you tahu apa yang I nak bincangkan." Zariel bersuara tanpa memandang Iman. Laju tangannya menyudukan makanan ke mulut.

"I tak pasti apa yang you cuba nak bincangkan." Iman cuba mengawal suara. Hatinya berdebar menantikan bicara lelaki kacak tersebut. Kalau dibuatnya lelaki tu meroyan nak batalkan majlis, mahu dia pengsan. Air muka keluarganya di kampung macam mana? Saudara-mara dah dicanang. Malu ibu dengan abahnya kalau majlis tak jadi. Mahu bertahun orang kampung bercakap.

"Apa yang you fikir pasal perkahwinan kita ni?" Anak mata Iman ditenung tajam.

Iman teragak-agak. Bahu dijongket.

"Well, I tak tahu. You yang sepatutnya lebih tahu hal ni. Mommy Sue tiba-tiba datang jumpa famili tanpa pengetahuan I. Rasa macam I yang jadi mangsa kut."

"I pun tak tahu bila mommy pergi merisik you. Tiba-tiba mommy beritahu I kena bertunang dengan you. I was shocked!"

"Then, you nak buat apa sekarang? Nak batalkan?" Pandangan mata Zariel dibalas tepat. Wah! Ada kemajuan!

Zariel kelihatan mengeluh. Sisa makanan di bibir dikesat.

"You rasa?"

"Terpulang. Famili you yang datang rumah I, pinang I untuk you, tapi kalau you rasa you tak boleh teruskan, jadi lebih baik kita tamatkan awal-awal. I pun tak fikir yang kita boleh teruskan hubungan macam ni." Kalau itulah yang dimaksudkan oleh Zariel, dia reda. Lambat-laun keluarganya akan faham juga.

Iman menguis-nguis makanan di atas pinggannya yang masih berbaki separuh. Menantikan kata putus dari mulut Zariel ibarat menunggu hukuman pancung.

"I dah buat keputusan dan I harap you boleh terima."

Iman diam tak berkutik.

"Since semua dah diatur, semua dah dibuat, jadi I rasa kita teruskan perkahwinan ni."

Hampir tersembur keluar jus yang diminum. Nasib baik sempat dikontrol.

"Apa?!"

"Kenapa? You harap I kenselkan ke?" duga Zariel. Selamba sekali gayanya. Wajah Iman dijeling sekilas.

Iman terkedu. Perasaannya bercampur baur.

"Well, I wish I could but I kena fikir baik buruk tindakan I tu. The thing is, I tak mahu hampakan mommy. Jadi, kita kena berkorban."

Kenapalah mamat ni tampak tenang aje? Sedangkan pertaruhan ini melibatkan masa depannya sendiri? Atau dia cuba membusinesskan perkahwinan ni? Apa yang dia boleh dapat? Warisan harta?

"Tapi kenapa I? You ada girlfriend, kan? Jadi, kenapa you tak kahwin dengan dia aje? Kenapa mommy tak pinangkan dia untuk you?" Bertalu-talu soalan yang terhambur dari mulut comel Iman.

"You ingat I nak sangat ke kahwin dengan orang yang I tak kenal? Dan you, kenapa you sendiri tak menolak lamaran mommy hari tu?" Tegas kedengaran suara Zariel.

"Kenapa?" ulangnya.

"Sebab I tak nak hampakan orang tua I!"

"So do I!" tutur Zariel dengan suara yang cuba ditahan.

"You know what? Situasi kita sama aje. Kenapa I kena kahwin dengan you dan kenapa you kena kahwin dengan I, jawapan tu ada dalam diri masing-masing. Its all about our parents!"

Iman terdiam. Jauh di sudut hati, jiwanya terasa sakit dan sedih dengan apa yang terjadi. Takut dia nak memikirkan masa depan yang terpaksa dihabiskan di samping orang yang dia tak cinta.

Zariel menatap wajah sayu gadis di depannya. Terbit rasa kesian tapi apakan daya, dia juga tersepit dengan aturan hidup.

"Macam inilah." Nafas dihela.

Iman masih tidak berkutik.

"Kita kahwin seperti yang dirancang. Tapi status suami isteri hanya di depan famili kita aje. Selain itu, kita masih macam biasa. I tak akan ganggu privasi you dan you pun tak perlu ganggu urusan peribadi I. Orang lain pun tak perlu tahu status kita. Deal?"

Iman membalas pandangan lelaki di hadapannya. Dahinya berkerut. Ingat realiti TV ke apa? Adeh... Dia memicit dahi yang tiba-tiba berdenyut.

"I tak perlu pindah masuk rumah keluarga you?"

Zariel kelihatan teragak-agak.

"Well, buat sementara waktu, selagi mommy dengan daddy ada dekat Malaysia, you kena stay dengan famili I."

"Sebilik dengan you?" Iman cuak. Hesy... Jangan buat pasal!

"You have too. Nanti apa pula kata mommy bila tengok kita duduk bilik asing-asing. Kan I dah cakap tadi, depan famili kita berlakon."

"Apa? Hilang akal ke apa? Tak nak I sebilik dengan you!" Iman mencuka. Bibir dimuncungkan.

"Duduk sebilik tak bermakna kena tidur sekatil, Cik Iman! Pandai-pandailah bawa diri. Kenapa? You takut I apa-apakan you?" Zariel tergelak melihat wajah Iman yang cemberut. Nampak sangat cuaknya.

Iman menghadiahkan jelingan tajam. Kecik besar, kecik besar aje Zariel dilihatnya.

"Don't worry. I jenis gentleman. Kalau you tak nak, I tak paksa."

Mata Iman membuntang.

"You jangan sesekali fikir ke situ, eh!" Garpu dihalakan ke arah Zariel yang sedang galak ketawa. Wajah Iman membahang. Melampau betul mamat ni!

"Maaf. I gurau aje. Jangan risau. I tak akan buat apa-apa kat you. I tak akan lakukan tanpa rasa cinta," luah Zariel dengan ketawa yang cuba dibendung. Suka dia tengok wajah Iman apabila kemerah-merahan macam tu.

Iman mengetap bibir.

"Sampai bila?"

"Sampai mommy dengan daddy pergi Australia."

"Bila?"

"Mmm... Lepas kita kahwin. Tapi tak pasti bila."

"Berapa lama?" Iman masih tidak puas hati.

"Lama. Mungkin terus tinggal sana sebab daddy kena uruskan masalah famili kat sana. Lagipun grandpa dah tak sihat, jadi mommy pun kena jaga. Grandpa dah tak ada pewaris lain selain daddy."

Iman menghela nafas lega. Penjelasan itu sudah cukup melapangkan hatinya. Ingatkan setakat pergi bercuti seminggu dua aje. Masak dia terpaksa berkongsi bilik sepanjang hidup. Tak sanggup!

"So?"

Iman mengorak senyum tipis.

"Deal!"

Zariel turut tersenyum lega.

"Shall we go now? Dah hampir jam dua. I dah kena masuk ofis balik."

"Sure."

SUASANA kembali sunyi sepanjang perjalanan balik ke pejabat. Masing-masing melayan perasaan bertemankan lagu di radio.

"Terima kasih sebab sudi luangkan masa dengan I sekejap," luah Zariel sebelum Iman melangkah keluar. Wajah tanpa kaca mata hitam itu merenung Iman dengan pandangan lembut.

Iman membalas. Kali ni hatinya tidak lagi takut-takut untuk bertentang mata dengan mamat poyo tu. Tak adalah poyo sangat pun sebenarnya. Apabila dah kenal, baru tahu dia boleh bertolak ansur juga.

"I pun nak ucapkan terima kasih kepada you untuk lunch hari ni."

"Kita buat yang terbaik untuk famili kita. Masa depan kita masih jauh. Biarlah masa yang menentukan," sambungnya lagi.

Zariel mengangguk. Bibirnya mengorak senyuman tipis.

"Sebenarnya, I rasa bersalah sangat dengan you."

Dahi Iman berkerut. Zariel yang masih fokus dengan pemanduannya dijeling.

"Kenapa?"

Anak mata Zariel mengerling Iman sekilas.

"Mesti boyfriend you makan hati sebab tak dapat kahwin dengan you."

Iman tergelak kecil.

"You nak cakap you yang frust sebab tak dapat kahwin dengan girlfriend you sebenarnya, kan?"

"Jangan cakap you tak ada boyfriend."

"Kalau memang tak ada, kenapa? Bila dah jadi macam ni, I bersyukur juga sebab tak ada boyfriend. Sekurang-kurangnya I tak hancurkan hati sesiapa."

"You yakin you tak hancurkan hati sesiapa?" Zariel sekadar menduga.

"What do you mean?" Soalan dibalas dengan soalan. Iman masih belum mengerti.

"Memang you tak ada boyfriend, tapi I yakin ada orang yang sukakan you." Sinis senyuman yang terbit di bibir merah jambu tersebut. Petanda bebas dari rokok!

Kerutan di dahi Iman terpancar.

"Siapa?"

Senyuman Zariel semakin lebar namun masih tidak menjawab kepada persoalan wanita di sebelahnya. Kotak mindanya mula terbayangkan wajah seseorang.

"Hei! I am asking you. Siapa?"

"You will find out soon. But don't worry, hubungan kita tak akan lama. I tak nak seksa batin you lama-lama." Gelak besar terletus dari mulut Zariel.

Kurang asam mamat ni! Memang ada yang nak makan tapak kasut agaknya.

"Nonsense!" Bibir diketap geram. Segan apabila diusik begitu. Apatah lagi daripada mahkluk yang berlainan gender dengannya.

Kereta mewah Zariel berhenti betul-betul di hadapan bangunan pejabat Iman.

"Dah sampai kita."

"Thanks sebab hantar I balik."

"My pleasure."

Iman bersedia untuk keluar namun langkahnya terhenti apabila terlintas sesuatu dalam benaknya.

"Can I ask you something?"

"What?"

"Hafiz tahu apa-apa tak pasal kita?"

"Nope. Why?"

"Are you sure?" Iman mahukan kepastian. Wajah Zariel dipandang tepat.

"Yes. But why?"

Iman melepaskan nafas lega.

"Nothing. Well, drive safe. Bye!" Pintu kereta segera ditutup.

Zariel terpinga-pinga sekejap. Apa-apa saja minah ni! Mmm... Keretanya mula menyusur keluar dan meluncur laju membelah jalan raya. Pada saat itu, hatinya berasa agak tenang. Pertemuan dan perbincangannya dengan bakal isterinya berjalan seperti yang diharapkannya. Dia tahu Iman sudah cukup matang dan tidak akan melatah tak tentu pasal.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co