Bab 1
Prolog
Pagi itu dia hanya berkemeja putih polos, seluar khaki paras lutut sambil beg hitam kesayangannya diikat pada pahanya. Kalau yang lain selesa berbeg galas, dia lebih gemar begitu. Tak nampak serabut nak kena usung beg merata tempat. Dan apa yang lebih penting baginya, biar penampilan nampak kemas. Kemeja terletak elok. Tak tertarik sana sini. Di dalam begnya pun hanya barangan penting sahaja yang ada. Buku planner, wallet, pen, kalkulator. Senang.
Usai sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi, pesanan makanan dibuat. Cukup sekadar roti nan cheese garlic dan juga teh O suam. Dia lebih gemar begitu dari bersarapan berat nasi lemak dan yang sewaktu dengannya.
Sambil menunggu pesanan sampai, buku plannernya diselak sebelum dengusan kasar dilepaskan.
Job makin kurang bulan ni nampaknya dan dia tahu puncanya apa. Tak lain angkara si kembar yang lahir sama hari dengannya. Ah, tak mengapa. Itu pandailah nanti dia nak uruskan macam mana. Lagipun, kaki sailang ni biasanya tak ke mana. Rezeki sempit di kemudian harinya!
Siap sahaja dia menyimpan buku planner di dalam beg kakinya, telefon bimbit pula dikeluarkan. Sayangnya, skrin telefon bimbitnya gelap.
Ah, sudah. Kenapa pula dengan telefonnya ini? Habis ke baterinya? Seingatnya, baru malam tadi dicaj bateri dan sekarang dah habis? Biar benar?
Telefon bimbit diangkat tinggi. Sesekali ditelek ke kiri dan ke kanan. Mana tahu kalau silau dek cahaya lampu yang agak terang di dalam restoran itu walaupun pada siang hari. Tapi ternyata memang gelap jelaga langsung tidak menyala. Sekali lagi keluhan dilepaskan sebelum telinganya mendengar butir-butir perbualan dari meja di belakangnya.
"Alamak! Purse aku! Macam mana ni? Ini mesti tertinggal dekat atas almari kasut. Jerry la ni. Orang nak keluar, dia nak ikut sekali. Beria-ia sangat tadi nak halau dia masuk, haaa ambik. Mendapat! Alaaa... Macam mana ni? Nak bayar macam mana? Takkan nak kena cuci pinggan kut?" rungut suara di belakangnya.
Faheem tarik senyum. Tanpa menoleh melihat untuk siapa gerangannya, dia bingkas bangun dan menuju ke arah kaunter bayaran.
"Anney, resit. Kasi dua, ya? Meja saya dengan meja belakang. Saya bayar," ucapnya sambil tersenyum.
Pesan ibu, kalau kita mudahkan urusan orang yang dalam kesusahan, mungkin Allah akan permudahkan urusan kita pada kemudian hari.
Tapi siapa pula nak menyangka, kalau satu hari nanti dia jodoh yang dicari selama ini?
Eh macam berpantun pulalah, sama sahaja bunyi di hujungnya! Ah, mengarutlah kau, Faheem. Hendak tolong, buat cara hendak tolong. Tidak payahlah hendak berkira!
Bab 1
Lara pandang sekeliling berkali-kali. Sekejap dia toleh ke kiri, sekejap lagi ke kanan. Rasa cuak dalam diri dah tahap maksima, tak boleh nak kata apa. Ini kalau tahu dek peminat dia, mau hijau muka. Penulis yang agak terkenal seperti dia pergi turun sarapan pagi tapi tak bawa purse. Malu siut! Kalau kena viral dengan Blog hebat macam Pensel Merah ke, Naracantik ke, dijamin double malu dia dibuatnya.
Lara Amani minum maple tapi berhutang!
Lara tekup muka dengan tangan. Omooo. Tak sanggupnya rasa haih kalau terbaca headline gitu dekat mana-mana Blog. Lagikan pula kalau berita itu dikongsi dekat web muka buku dan kemudiannya jadi viral. Malu sey!
Untuk ke sekian kalinya, mata ditala ke sekeliling restoran itu. Tapi hampa bilamana semua wajah yang ada kala itu seorang pun tak ada yang menyerupai jiran setingkat ke apa. Allah, lupa! Hari ni kan hari kerja. Dah tentu-tentu semuanya keluar berkerja dan rata-rata yang ada di restoran sekarang ni tak lain kalau pekerja bangunan UOA Bangsar atau kawasan sekitar.
Tapi, kalau ya pun, takkan tak ada antara umat manusia yang tengah duk makan sambil sembang-sembang ni kenal dia? Ini Lara kut! Tahun lepas siap dapat anugerah lagi, Penulis Novel Drama Adaptasi Terhebat. Muka dia pun ada masuk surat khabar walaupun saiz gambar tu adalah sebesar lebar iPhonenya. Dramanya pun jadi topik hangat semua majalah yang ada bilamana heronya Alif Ba, heroin pula Mira Mirae. Memang terangkat habislah!
Tapi itu drama dari adaptasi novel tulisannya. Sekarang ni, masalah dia pasal duit. Bukan pasal novel, skrip atau drama. Tak berkaitan langsung hatta sebesar kuman. Hmmm. Agaknya kan, kalau dia buat muka tebal pinjam duit siapa-siapa dekat sini, aci tak?
Urghhh tidak. Hidup ini tak perlu meminta-minta wahai Lara Amani. Usaha selagi daya. Gambate kudasai!
Lara sudah mula membuat kira-kira fizik sendiri. Kalau ikutkan, jarak antara restoran dengan rumahnya tak adalah jauh mana. Tak kiralah sama ada ikut sasaran atau halaju ke. Masalahnya, mahu ke juruwang ni layan alasan terlupa bawa dompet yang bakal dia suarakan kalau sebelum ni dia pernah cari gaduh dengan mamat tu pasal caj GST dekat jus tembikai yang dia minum?
Apa tidaknya? Tak logik okey, jus tembikai pun kena GST. Buah tembikai kan made in Malaysia. Bukannya buah import pun! Bolehlah pula kan mamat bajet Salman Khan tu jawab dengan bersahaja, kalau macam tu adik manis blend sendiri tembikai kasi minum. Podaaa cit!
Isyhhh nak buat macam mana ni? Aha... Call Ruru! Tapi, butang end call ditekan bila ada individu yang tak dikenali serupa along yang menjawab panggilannya. Hmmm... Ini satu masalah kalau harapkan telefon aje pakai casing gempak konon tapi kredit expired!
Tak mengapa. Untuk manuskrip ataupun skrip yang akan datang, sudah diingatkan kepada diri sendiri untuk minta pada Datin Lulu supaya masukkan talian telefon secara percuma untuknya. Jadi, lepas ini tak payahlah dia gigih nak tambah nilai tiap bulan semata-mata nak hubungi Datin Lulu untuk diskusi status kerjanya. Okey. Itu kemudian cerita. Apa yang boleh dibuat sekarang adalah berdoa supaya Allah gerakkan hati sesiapa untuk telefon dia sekarang. Dalam ramai-ramai umat manusia, Ruru la orang yang paling dia harapkan.
Dan bagaikan doa tanpa hijab, tak lama lepas itu telefonnya lantas berdering minta disambut dan orang yang memanggil adalah Ruru. Lara rasa nak nangis masa itu juga. Cepatnya Allah makbulkan doanya. Takbir! Allahuakbar!
"Ruru, aku sayang kau!" jerit Lara gembira. Teruja.
"Tetiba? Apa hal? Kau ada buat salah dengan aku ke apa?" tebak Ruru.
"Bukanlah. Ru, tolong aku. Aku dekat kedai si cashier kerek ni. Lepas settle makan, aku baru perasan yang aku turun makan tak bawa dompet. Tolong aku, Ru!"
Tawa besar Ruru lepas bebas tanpa disekat. Sayup-sayup kedengaran bunyi mesin jahit sebagai muzik latar perbualan mereka. Ini tak lain mesti Ruru masih ada dekat kilang.
"Siapa? Si Izran Khan tu ya? Kerek bukan sebarang kerek tau. Hidung Shah Rukh Khan dia ambil tu," usik Ruru, giat. Bukan main suka dia. Asal datang lepak situ, memang tersipu-sipu Si Izran Khan tu dibuatnya sebab kena usyar dengan Ruru.
"Haah. Tolong perderas sikit misi memikat Izran Khan kau tu, ya? Mudah sikit lepas ni aku nak buat hutang dekat sini."
"Tak ada maknanya nak jalankan misi segala. Ni, Lara. Apa susah sangatnya? Kau pergilah naik atas, ambil purse. Kad akses kau bawa turun sekali, kan?" soal Ruru macam mudah sangat gayanya masalah besar Lara tadi.
"Memanglah bawa. Kalau tak, macam mana aku boleh naik turun lif? Masalahnya di sini, boleh ke aku keluar dari restoran ni dengan alasan tu? Bukan ke aku dengan Si Izran tu... Ruru! Ruru? Alahhh. Bateri pula!"
Lara rasa nak hentuk kepala sendiri dekat dinding bila terpandangkan skrin telefonnya yang gelap biar berapa kali ditekan. Cis sungguh. Dasar telefon buah. Saat genting macam ni bateri dia boleh kong? Hampeh!
"Macam mana ni? Alaaa..." rungut Lara lagi sambil seluk poket seluar Ali Babanya mana tahu kut ada duit yang tersorok dalam poket. Tapinya, kosong. Habislah. Habislah.
"Nah."
"Hah?" Lara angkat muka pandang ke sisi. Mamat berkemeja putih bersih di sisi mejanya dipandang tanpa kerdip sebelum pandangan ditala pada kertas putih yang dihulur kepadanya.
"Apa ni?" soalnya, polos.
"Tak pandai baca ke?"
Errrk! Lara cebir bibir. Dia? Tak reti baca? Silap besar. Pejam mata pun keyboard pada komputer riba dia boleh tekan, okey? Ini pula setakat nak baca tulisan. As easy as A to Z!
"Resit?" soalnya, nada sarkastik.
"Ooo... Kenal pun. Tahu pun membaca rupanya. Ingatkan tak tahu tadi."
Lara jeling sekilas. Hek eleh mamat ni! Pang karang, baru tahu. Terus boleh dapat free blusher dekat pipi dia tu.
"Saya bukannya buta huruf, tapi keliru. Awak nak saya buat apa dengan resit ni?" soal Lara lagi. Dah kenapa pula resit dia minum, nak suruh aku yang simpan? Atau, dalam resit ni ada nombor telefon dia? Wah! Dia nak try aku ke apa? Entah-entah dia kenal aku siapa tapi saja pura-pura kerek ala-ala watak hero dalam novel yang aku duk tulis tu. Terbaik. Gaya baru dalam agenda mengayat awek. Belanja awek minum lepas tu tulis nombor telefon siap-siap. Tebak Lara sendirian.
"Nak buat apa lagi, simpanlah. Ni resit makan dengan minum awak tadi," jelasnya.
Muka duk serius konon. Mata aje duk terarah ke atas meja, tala pada pinggan tose dan cawan berisi kopi O kaw yang dah kosong.
Lara baca sekilas. Laju-laju. Wajah yang berdiri tegak di sisinya kemudian dicuri pandang. Mamat ni belanja aku? Hati Lara menjerit kecil. Tu kan. Untungnya jadi orang terkenal macam ni. Bila susah aje, ada yang sanggup tolong. So, siapa yang duk kata novel tu sekadar fantasi ternyata salah sama sekali. Ada yang lojik, okey. Contohnya macam sekarang ni, kan? Tak pernah jadi, orang tak cerita. Tak diada-adakan.
"Awak belanja saya, ya? Alhamdulillah, terima kasih." Lara tarik nafas lega. Senyuman sehabis manis dihadiahkan. Hati peminat harus dijaga. Untung-untung lepas ni ada yang bermurah hati nak belanja LV ke, Prada ke.
Tawa bernada sumbang itu langsung mematikan angan-angan Lara. Hilang bayangan LV dan Prada.
"Belanja, ya? Awak ingat saya ni penyumbang utama mana-mana dana ke apa? Resit tu, simpan elok-elok jangan bagi hilang. Nanti senang nak bayar balik pada saya. Ni, saya dah catit dah dalam buku ni. Awak tolong tinggalkan nombor telefon awak dekat sini, ya? Senang saya nak hubungi awak nanti."
Apa? Resit untuk bayar balik? Lara dah rasa nak menangis sendiri. Ini macam punya orang pun ada ke? Sadisnya! Punah segala harapan ala-ala hero jadian atau rekaan dalam karya dia selama ni. Typical Malay man rupanya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co