Bab 7
Faheem bergegas keluar dari kereta. Laju langkah diatur, bimbang lewat. Awalnya memang dah berjanji nak ambil Paie dari rumah sewanya tapi sebab Ogy nak guna kereta, Paie minta kawan serumahnya hantar ke Restoran Pattaya dan dia pula Ogy drop dalam perjalanan dia ke IOI Mall. Mujurlah restoran yang dipilih Paie cuma tepi jalan saja. Turun kereta dah depan pintu masuk.
"On time!" tegur Paie. Tangan Faheem ditarik dan disalam hormat. Faheem tayang senyum tipis.
"Paie rindu sangat-sangat dekat abang! Abang makin kacaklah! Agak-agak tulang rusuk abang tu, sesuai tak dengan Paie?" usik Paie dengan tawa kecil.
Tawa Faheem terburai sama. Hamboi. Bukan main lagi tulang rusuk bagai.
"Tak payah nak tulang rusuk sangatlah, Paie. Apa barang doktor hebat macam Paie nakkan make-up artis cabuk macam abang ni. Dunia kita tak sama."
"Statement biased gila, okey? Apa? Ingat doktor sekarang sejenis yang spek mata tebal ke?" balas Paie, tak mahu kalah.
"Memanglah tak, tapi tetap hebat. Paling tidak otak geliga, kuat membaca. Term pelik-pelik yang tergeliat lidah nak sebut tu semua dalam kepala. Bukan macam abang ni. Malas membaca. Rajin menconteng muka orang aje."
"Okeylah. Okeylah. Paie dah tahu dah. Dari dulu sampai sekarang abang memang selalu nak rendahkan diri abang yang tinggi lampai tu. Kita pesan makanan dulu boleh, kan? Paie laparlah!"
"Okey. Boleh. Tapi, kejap!" Mata Faheem tak lepas dari memandang ke arah sudut tepi restoran itu. Matanya tak berkerdip sejak tadi sambil kening berkerut memikir gerangan tuan punya susuk tubuh yang sedang termenung sendiri sambil merenung telefon bimbitnya. Sesekali wajah polos itu mencebik dan kemudian tersengih. Langsung tidak dia perasan dirinya jadi perhatian.
"Paie, tunggu sekejap, ya?! Paie pesan aje apa-apa. Abang bayar. Make it two."
"Alaaa, abang ni. Abang nak pergi mana pula ni?" rengek Paie, manja. Tak sampai 5 minit, dah nak bangun? Rindu belum kebah lagi ni kut! Selama ni dia duk dengar suara dalam telefon, telek gambar dalam komputer riba aje. Mana cukup!
"Sekejap aje. Abang nak jumpa orang. Paie pesan makanan dulu, ya?" pesan Faheem yang sudah siap sedia berdiri. Mata tak lekang memerhati. Confirm, dia tak salah orang. Memang dia!
"Paie bukan orang, ya?"
"Paie..."
"Yalah-yalah," balas Paie sambil mencebik tapi tak diendahkan dek Faheem. Laju aje kakinya melangkah ke arah meja berhampiran tingkap itu.
"Duit?" soal Faheem tanpa salam pembuka bicara. Tangan duk elok ditadah depan muka yang tercengang memandang ke arahnya.
"Ni nak merompak ke apa ni?" soal si gadis sambil memerhati ke arah sekeliling. Tak ada pun konco-konco pakai sarung kepala hitam ke apa. Yang pakai helmet pun tak ada. Nampak tenang aje semuanya. Merompak versi baru ke ni? Terang-terangan tanpa hijab. Senjata pun tak ada.
"Pernah ke jumpa perompak handsome macam ni?"
Handsome? Lara pandang atas bawah berkali-kali.Handsome ke? Jambu aje lebih! Confirm bukan perompak ni. Muka pun tak ada muka perompak. Putih, mulus. Flawless gitu! Kalah muka dia sendiri yang kadangkala gunung berapi datang tak diundang. Tapi kan, jambu-jambu pun kumis nipis dia tu mengancam! Eh? Apa ni? Apa ni? Lara, istighfar!
"Apa pandang-pandang? Hutang bila nak bayar?" sergah Faheem.
"Ooo, awak ni along ke? Ingatkan perompak tadi. Eh, adik-beradiklah tu," balas Lara spontan.
Faheem buntangkan mata, rasa tak percaya. Along dikatanya aku? Kurang asam gelugur punya minah.
"Haah. Saya along pada empat orang adik perempuan. Puas hati? Eh, dahlah. Jangan banyak bunyi la, cik kak. Bayar aje hutang awak tu sekarang. Lepas ni, saya pun tak adalah rasa nak tegur atau jumpa awak lagi. Kita habis dekat sini aje, senang. Awak bayar aje, saya terus tutup buku. Sadakallahulazim."
"Bayar apanya? Saya tak fahamlah. Awak ni kan, entah dari mana datang entah tiba-tiba mintak duit dekat saya. Apa kes? Pembuli awam ke apa?"
Faheem tarik nafas dalam-dalam. Sabar Faheem, sabar. Tapi mana boleh! Dari perompak ke along dan sekarang pembuli awam? Melampau!
"Apa kes, ya? Ni. Ni apa ni? Cuba tengok," gertak Faheem sambil hulur buku yang dikeluarkan dari poket seluar khakisnya.
"Apa ni?" soal Lara, polos.
"Apa ni, ya? Tak reti baca ke, mak cik? Dressing baik punya, ABC pun tak kenal?"
Dressing baik punya? Lara pandang diri sendiri. Setakat tunic blouse, skinny jeans pun dressing baik punya? Apakah pembuli awam ni dah mula bertukar menjadi pengurat tegar? Lara tersengih sendiri.
"Hoi!"
Mati sengih Lara dibuatnya. Perlahan-lahan matanya melirik ke arah muka surat yang ditunjukkan. Aik? Macam kenal aje tandatangan ni.
"Ha, dah ingat dah? Alhamdulilah. Baguslah."
Lara pandang wajah putih bersih di hadapannya seraya menggeleng.
"Ooo... Awak ni peminat saya, ya? Maaflah. Saya tak ingat dekat mana kita jumpa. Awak dah dapat sign saya, kan? Awak nak apa lagi ni? Selfie? Sorry, ya? Saya bukan sombong tau tapi saya pegang janji saya pada arwah mak saya. Mak saya pesan macam ni. Lara, nanti kalau Lara dah terkenal macam mana pun, tak boleh tangkap gambar dengan lelaki yang tak dikenali ya, sayang? Haaa... Gitu arwah mak saya pesan. Tapi kan, kalau awak ada bawa sekali novel saya mungkin saya boleh pertimbangkan. Don't worry. Saya bukannya kekwat macam orang duk kecam saya tu."
Faheem menganga seketika. Selfie? Novel? Apa benda minah ni duk mengarutkan ni?
"Eh hello, mashmellow! Peminat kejadahnya? Penting ke awok ni, mok cik?" sanggah Faheem pantas.
Lara nganga. Eh? Bukan peminat ke? Lara rasa nak menyorok dalam gelas besar jus oren ni bila Faheem gelak besar beria-ia. Sempat juga wajah itu dikerling sekilas. Gelak nganga luas-luas sampai nampak anak tekak pun nampak smart. Biar benar kau ni, Lara? Isyhhh.
"Kesian, kan? Allah bagi mata bukan main bulat, cantik tapi tak boleh membaca dengan jelas," komen Faheem dengan tawa masih bersisa. Buku kecilnya dimasukkan semula ke dalam poket seluarnya tanda malas nak terus mengejar pemilik akaun yang seorang ni. Letih mengejar tapi tak membawa hasil. Agaknya minah ni ada penyakit hilang ingatan sementara kut. Sendiri yang tulis, sendiri yang lupa.
Lara senyum sendiri. Dia kata mata kau cantik kut! Alahai abang pembuli awam. Pujilah lagi. Pujilah.
"Eh, mak cik. Ginilah, ya? Memandangkan hari ni mood saya baik, saya halalkan aje duit tose dengan kopi O kaw awak hari tu. Tapi bersyarat, ya?! Duit yang saya halalkan tu, tolong buat modal pergi tempah spek mata. Boleh gitu? Hahaha. Orang macam ni pun ada rupa-rupanya. Hadap sangat nak glamour. Peminat konon!" luah Faheem sambil berlalu ke arah mejanya.
Tose dengan kopi O kaw? Dekat mana sebenarnya dia jumpa mamat ni? Arghhh. Kenapa Lara rasa macam dia hilang ingatan sementara aje ni?
"Abang kenal ke dengan awek cun tadi tu?" soal Paie sebaik sahaja kereta yang dipandu Faheem melalui jalan masuk pintu belakang Putrajaya.
Ogy yang tadinya ralit memerhati skrin telefon langsung angkat muka, tayang muka kepochi.
"Awek cun? Siapa, Paie? Siapa? Hamboiii kau, Bam? Sambil menyelam, kentut sekali ya? Untunglah."
Paie gelak gila-gila di tempat duduk belakang. Faheem pula hanya mampu menggeleng dengan fiil Ogy. Suka hati dia aje ubah perumpamaan sedia ada.
"Pengotor tau Abang Fauzi ni."
"Omooo. Fauzi de pogy apa ni? Ogy la! Sebut betul-betul. O-G-Y. Ogy!" Ogy gelak suka hati.
"Bongoklah kau ni, G. Awek mana ni, Paie? Ramai kut awek dekat restoran tadi tu."
"Alaaa... Yang abang pergi tegur tadi itulah. Yang cun tu. Glamour kut minah tu!" balas Paie, teruja. Seraya itu bahu Faheem jadi mangsa lepukan Ogy.
"Serius kau, Bam? Ya ke ni kau pergi tegur awek? Tak pernah alam dan manusia, seorang Faheem menegur awek di khalayak ramai tanpa asbab kukuh. Kuch Kuch Hota Hai kah? Atau Aa Ab Laut Chalen?" soal Ogy dengan kening yang dilukis pensel coklat dijongket berkali-kali.
"Yang kau ke laut sangat dah kenapa, G? Adoilah. Minah tadi tu siapa, Paie? Terkenal ke?" soal Faheem, polos.
"Entahnya, Paie. Siapa? Hijabista ke? Cer citer. Cer citer," soal Ogy dengan kepoh tak sudah. Suka hati dia aje tanggal tali pinggang keselamatan sambil badan duk hadap ke belakang, bersungguh menghadap Paie di belakang. Bingit satu kereta dibuatnya dengan bunyi alarm.
"Eh budak, duduk elok-elok boleh? Isyhhh, kau ni kan? Peninglah."
Ogy cebir bibir. Perlahan-lahan tubuhnya dipusingkan semula ke hadapan sambil mulut terkumat-kamit membebel. Tali pinggang dipakai semula, langsung alarm berhenti berbunyi. Benci tau Faheem ni. Orang nak story de mory pun tak boleh!
"Hijabista apanya, Abang Ogy? Pakai tudung pun tidak. Ala abang ni, takkan tak kenal kut? Drama dia meletup tu! Ummi dengan ibu pun duk layan tau. Kadang-kadang ummi siap datang rumah ibu tengok drama sama-sama secara berjemaah."
Faheem cebir bibir bila mendengarkan penjelasan Paie. La haih, artis ke? Patutlah perasan sangat dia tadi dengan pakej siap kekwat semacam. Kalau setakat jadi extra satu drama tak payahlah nak bajet semua orang kenal dan hadap sangat nak minta sign dan selfie dengan dia. Faheem yang kadangkala terlibat dengan produksi drama pun tak beria-ia mana nak minta selfie ke apa dengan artis.
"Abang tak rasa dia cun ke?" soal Paie lagi.
"Entah."
"Paie, Abam kau ni kan pengertian cun dia sangatlah meluas. Satu peta dunia pun belum tentu cukup."
"Diamlah, Ogy," sampuk Faheem.
Ogy cebir bibir. Marahlah tu orang duk buka rahsia hati dia.
"Kalau yang tadi tak cun, yang macam mana abang rasa cun?" soal Paie lagi. Dagu disangkut di hujung bahu kerusi bahagian pemandu sambil mata ralit memerhati wajah Faheem.
"Macam mana pun tak apa, Paie. Semua perempuan yang dilahirkan dalam dunia ni sebenarnya cantik dengan cara mereka sendiri. Cantik tu subjektif. Macam Ogy ni ha. Dia rasa dia cantik tapi Paie rasa macam tu tak? Tak, kan?"
Paie gelak besar. Wajah Ogy yang terkejut dipandang pula.
"Eh, ni yang abam nak marah ni. Dah kenapa abam pula jadi contohnya?" balas Ogy dengan nada serius.
"Tetiba bertukar jadi abam pula, kan?" usik Paie lagi sambil sambung gelak.
"Mak merajuk ni, Bam. Kau belanja mak Chatime kejap lagi. Sedih ni. Sentap. Hurt."
"Eh, mak pula! Abam sado mana pigi?" usik Paie tak sudah-sudah.
"Hoi!" sergah Ogy, bengang.
"Hahaha. Dah. Dah. Paie. Nanti, kulit putih mulus ni bertukar hijau lagi payah abang nak pujuk. Belum tentu semua cawan dalam Chatime tu boleh legakan kemarahan dia nanti. So, berbalik pada perkara tadi. Minah tu siapa sebenarnya?"
"Maksud abang, Lara?"
"Lara?" soal Faheem dan Ogy serentak.
"Lara ke Dora?" soal Ogy lagi.
"Dora mana pula ni, G? Kau kenal ke?" soal Faheem kehairanan.
"Alah, siapa tak kenal. Dora The Explorer! Dora! Boots! Come on, Dora. D-D-D-D-Dora! Alright!"
"Ogy! Mengucap, Ogy. Mengucap," sahut Faheem sambil geleng kepala melihatkan gelagat Ogy yang dah dirasuk mood Dora. Paie di belakang pula tak henti-henti gelak sampai keluar air mata. Kalau bertiga dengan Ogy memang tak kering gusi dia dibuatnya.
"Bukan Doralah, Abang Ogy. Lara. Lara ni penulis novel asal drama yang tengah hot sekarang. Nah, Ini Makan Dia! Best tau cerita tu. Lepas tu dengarnya, dia pun ada juga buat skrip drama santai."
Ogy gelak mengekek sambil tutup mulut, tersipu-sipu. Nah, Ini Makan Dia? Tak ada tajuk lain ke? Pelik tau, tajuk-tajuk sekarang ni. Orang letaklah tajuk yang mudah difahami macam Kasih Sayangku Setinggi Bukit Broga ke... Tak pun tajuk Hatimu Sesejuk Iceberg. Baru boleh feel.
"Drama pasal apa tu? Pasal masak-masak ke apa?" soal Faheem, polos. La haih, penulis aje pun.Orang belakang tabir. Gayanya tadi macam hebat sangat, ramai peminat. Macamlah dia tu Pandalela Renong yang dapat pingat emas sampaikan semua orang wajib kenal.
"Haaa ni mesti abang dengan Abang Ogy tak tengok cerita tu, kan?"
Ogy sengih.
"I tak layan drama Melayu. Drama Latin I layan."
"Eee... Gedik tau Abang Ogy ni. Dah abang conquer TV haruslah abang pun tak dapat tengok, kan?"
"Tolong-menolong sikit ya, Faizah oi? Abam awak ni, busy bee sentiasa. Tak ada maknanya dia nak layan drama makan dia ke, minum saya ke. Tak ada masa. Pula tu sekarang ni job asyik kena caras aje. Benci tau! Itulah kau, Bam. Ustaz dah suruh amalkan selalu solat duha biar mintak dimurahkan rezeki. Kau tak mau. Duk melalak pagi-pagi buta sambil cuci berus mekap tak mendatangkan faedah apa pun!" bebel Ogy sendirian.
"Ogy," panggil Faheem pendek tapi keras nadanya. Tak mahu menggeleng, bimbang Paie dapat agak maksud sebenar Ogy, hanya isyarat mata yang diberi.
"Abang Alan ke? Dia kacau abang lagi?" soal Paie, serius.
"Eh, tak adalah. Abang pun dah jarang sekarang ambil job majlis kahwin atau fashion show. Banyak ambil job drama pendek macam telefilem ke, cerekarama ke. Jarang jumpa dia dekat luar pun. Kan Ogy, kan?"
"Haah. Jarang sangat-sangat. Rindu pula dalam hati ini rasanya pada abam macho sado Paie tu. Sihat ke dia?"
Paie senyum hambar seraya jongket bahu.
"Entah. Paie pun jarang jumpa dia. Malaslah nak cakap pasal dia. Tak best!" balas Paie perlahan. Pandangan langsung ditala keluar jendela dengan wajah tidak beriak.
"Aik?"
"Ogy, cuba kau cek schedule kita minggu depan. Kalau ada jarak, aku ingat nak balik kampung kejap. Paie nak ikut abang?"
"Eh, nak! Nak! Boleh save duit minyak Paie," balas Paie ceria.
"Eee... Kedus! Tak helok tau, awek kedus. Kut kalau pakwe ada-ada, tak apa. Kalau yang tak ada-tak ada?"
"Tengoklah abang Paie siapa. Hahaha. Like brother, like sister."
"Tak payah nak brother sister sangatlah. Kau jangan Paie, Abam ni boleh jadi laki kau tau. Jangan duk ikut sangat perangai buku tiga lima dia ni. Kalau berjodoh, kasihan amat sama anak-anak kalian."
"Ogy!" jerit Faheem dan Paie serentak.
Dalam menjerit, hati Paie tetap berbunga bahagia. Cuma Faheem aje yang rasa macam nak stapler mulut bocor Ogy beria-ia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co