Bab 9
Mujurlah tak jauh mana. Dari Gaya Bangsar ke pinggir Taman Tun adalah dekat 20 minit perjalanan memandangkan hujung minggu, kereta pun tak adalah sesak mana macam hari biasa. Yang sesaknya cuma nak cari lokasi tempat parking kereta.
"Bam, kau nampak sesuatu sangat malam ni. Kenapa, ya? Gogorn sangat!"
Faheem juling mata ke atas sambil tali pinggang keledar ditarik keluar. Dia mula dah mamat ni dengan bahasa-bahasa luar kamus dewan dia.
"Gogorn. Gogorn. Kau nampak kotak mekap ni? Meh, aku hempuk kepala kau tu biar lepas ni kau nampak jalan yang lurus sikit. Tak payah nak akak-akak sangatlah, Ogy. Tetap hari Jumaat kau sarung baju Melayu, pergi solat jumaat," balas Faheem bersahaja.
Ogy jelir lidah, tanda langsung tak terkesan dalam hatinya dengan perlian Faheem yang tak pernah tukar punchline tu. Benci tau! Nak puji pun tak boleh. Tapi memang dia tak tipu pun. Faheem memang nampak menyerlah sangat kalau berpakaian serba hitam. Menyerlah kulit cerahnya dari jauh. Ini pula kalau tengok dari dekat.
"Abam, aku rasa kan. Aku ni dapat merasakan yang malam ini kau bakal berjumpa dengan the other half kau. Ha. Gittewww."
Faheem cebik bibir.
"The other half aku atau kau? Apa pasal aku punya jodoh kau pula yang boleh rasa?" perli Faheem sambil langkah diatur laju. Jenuh juga kalau rumah dekat lereng bukit ni rupa-rupanya. Bila ada keraian, parking memang masalah.
"Eh, mak pula. Jodoh kau la Abam, kau tu lelaki. Aku ni..."
"Kau apa? Haaa? Jangan nak mulakan ya, G. Cepat mengucap. Mengucap cepat!" sergah Faheem dalam pada dia termengah-mengah memanjat bukit menuju ke arah rumah klien mereka malam itu.
Dia suruh mengucap la pula!
Ogy mendengus perlahan. Terkumat-kamit mulut dibuatnya. Sekejap mengucap dua kalimah syahadah. Kejap lagi istighfar.
Faheem ni memang tau! Suka potong mood. Baru nak jadi hakak-hakak, dah disuruh jadi abang. Benci!
"Wowww. Besarnya! Anak Dato mana kau dapat contact ni, Ogy? Terbaiklah. Kena buat kerja betul-betul ni. Majlis pertunangan ni, kita kasi mekap cun punya. Mana tahu, kalau majlis kahwin nanti kita dipanggil lagi? Baju pun kau yang design. Huyooo. Masyuk," angan Faheem, teruja.
Rumah banglo tiga tingkat itu dipandang sekeliling dengan penuh rasa kagum.
Bertunang sahaja pun dah ambil 5 kanopi. Kalau majlis kahwin nanti? Paling sikit 15 kanopi. Atau mungkin juga buat dekat hotel aje. Kereta dalam porch pun bukan calang-calang. Ada Audi, Porshe, Beattle, Smart For Two dengan Swift? Swift ni mesti untuk anak yang paling bongsu. Lepas SPM barangkali. Selalunya macam itulah. Rezeki orang have-have bak kata Ogy.
"Rumah Datuk Qaizer dengan Datin Ramona. Datin Ramona ni kan pengasas bedak yang kalau kita celup muka dalam air yang dititis pati apa entah tu, muka kita jadi berseri-seri. Datuk Qaizer pula..."
"Ni make-up artis yang nak solekkan Lani ke?" tegur seseorang waktu mereka baru nak melangkah masuk ke dalam pintu pagar laman banglo itu.
Lani? Ogy dan Faheem saling berpandangan seketika.
"Haah. Ya. Dialah orangnya," sahut Ogy. Sopan. Yakan sajalah. Takkanlah Datin Ramona nak bagi lokasi rumah orang lain. Kan?
"Lelaki, ya?" soal wanita separuh umur itu. Dari gaya macam sebaya ibunya, tebak Faheem sendirian.
"Ya, Datin. Saya lelaki. Kenapa, ya? Ada masalah ke kalau saya solekkan Lani? Datin lebih prefer perempuan, ya?" soal Faheem dalam nada menurun. Harapan nak ikat job malam ni sampai ke majlis kahwin rasanya macam tinggal harapan saja la kalau awal-awal lagi dah timbul soal ni. Bukan tak pernah dia disoal hal yang sama. Tak ramai yang boleh terima lelaki yang solekkan anak dara mereka.
"Eh, bukan. Bukan. Tak ada masalah. Saya cuma nak pastikan yang awak ni lelaki. Bukan Mat Yus macam dia ni. Oh ya, satu lagi. Saya bukan Datin. Saya ni, orang gaji Datin. Datin yang suruh saya call Mat Yus ni petang tadi."
Faheem tayang sengih. Laaa, orang gaji ke? Dressing ala-ala Datin tu! Agaknya Datin tu macam mana pula gayanya, ya? Sempat Faheem kerling sekilas pada Ogy di sebelahnya yang berkerut-kerut dahi menahan rasa. Senget-senget bibirnya yang dicolek LipIce itu. Tak lainlah tu, mesti tengah mengutuk mak cik depan ni dalam hati.
"Errr, Mat Yus tu apa, ya?" soal Faheem, polos.
"Alah. Mat Yus. Tak tahu? Si Lani itulah, duk suka gelar mamat kompius macam dia ni. Nak kata lelaki, cara bercakap lembut. Nak kata perempuan, dressing lelaki. Mat Yus le tu!"
Pecah tawa besar Faheem dibuatnya sebelum tawanya reda bila mata kecil milik Ogy tajam merenung ke arahnya.
"Ya Allah. Lupa! Ni, encik ni namanya apa, ya?"
"Faheem."
"Haah, Encik Faheem. Panggil Mak cik ni Mak Yah aje. Ni, Mak Yah nak mintak tolong sungguh-sungguh dengan Encik Faheem. Tolong panjat ikut balkoni, boleh?"
"Ha? Panjat balkoni?" soal Faheem sedikit terkejut campur tak percaya. Dia? Panjat? Ini job apa ni? Nak kena solekkan Rapunzel ke apa?
"Maaf tanya la ya, Mak Yah oiii. Tangga dalam banglo tiga tingkat ni semua dah runtuh ke apa sampai kami ni nak kena panjat balkoni segala? Kalau ikutkan dalam invois yang saya e-mel pada Datin sebelum datang sini, panjat balkoni tu tak termasuk ya dalam servis yang kami tawarkan. Tak ada tau! So, kena charge lebih ni. Dibuatnya kalau Abam ni jatuh masa panjat, camno? Mak Yah nak tanggungjawab ke? Boleh?" asak Ogy dengan harapan cadangan pelik tadi tu ditarik balik. Tak pernah dibuat selama dia berkecimpung dalam bidang ni, nak mekap atau dress upkan orang kena panjat balkoni dulu.
"Caj la berapa pun Mat Yus oi, Datuk mesti akan bayar punya. Jangan risau. Yang penting sekarang, tolong la siapkan dia sebelum pukul sembilan malam ni. Ni Datuk dengan Datin dah ke butik. Lani pula buat perangai dia, kunci pintu dari dalam. Kunci pendua pun dia ambil siap-siap. Kunci spare lain, Datuk yang pegang. Tolonglah ya, Encik Faheem?"
"Pula dah! Kena paksa tunang ke apa ni?" soal Ogy kepoh. Dah hilang mood rajuknya sebab digelar Mat Yus.
"Ha, apa lagilah, Mat Yus oi. Orang kaya gitulah. Dulu-dulu Mak Yah ingatkan dalam drama aje ada gitu. Rupa-rupanya luar drama memang ada! Yang Mak Yah tak fahamnya, anaknya si kembar tu tak mahu pula ditunangkan. Lani ni aje yang selalu kena match maker macam ni. Kesian dia tu Mak Yah tengok. Apalah nasibnya macam tu. Dari mak Yah kerja sini lagi dia selalu di anak tirikan. Kesian sangat," luah Mak Yah, sedih. Beria-ia lengan baju kebaya modennya ditarik dibuat lap mata yang tak ada manik jernih pun gayanya.
"Kisahnya. Jadi, kami ni nak kena masuk bilik melalui balkonilah ni, ya?"
"Bukan kami, ya? Encik Faheem sorang aje. Kau ni boleh ke panjat Mat Yus? Ha?"
Ogy ketap bibir menahan geram. Mak cik ni, kan? Very the over tau!
"Tak apa, G. Kau standby aje depan pintu bilik. Nanti aku bukakan pintu. Mak cik, tangga ada?"
"Ada! Ada! Ada dekat tepi tu. Meh ikut mak cik."
Lara mundar-mandir di dalam biliknya. Sekejap dia duduk di birai katil. Sekejap lagi bangun semula sambil sambung mundar-mandir tanpa tujuan.
Serius! Menyesal tak sudah dia balik ke sini tengah hari tadi. Ikutkan sangat rasa hati anak solehah kononnya. Asal papa panggil aje balik atas alasan ada hal penting nak dibincangkan, berdesup dia sampai. Usai saja enjin dimatikan, memang dah terdetik dalam hatinya nak bertanya pasal majlis yang bakal dilangsungkan di rumah itu. Mungkin esok majlisnya atau mungkin malam itu juga memandangkan kanopi sudah elok dihias cantik. Set-set katering pun dah terletak elok.
Bila ditanya pada Hayla yang kebetulan baru saja naik dari kolam renang dengan jubah mandi yang disidai bersahaja di atas bahunya tidak disarungkan, birthday party dia dengan Hayya. Tapi jadi pelik bila sebaik saja dia melangkah masuk, pintu utama rumah langsung dikunci. Dan bila papa turun dengan mama Mona, langsung berita tergempar itu disampaikan.
Again? Dia akan ditunangkan dan segala kanopi di luar tadi tu untuk majlisnya? Bengang sungguh dibuatnya. Nak saja Lara tumbuk muka Hayla yang tersengih-sengih mengejek bila papa tetap dengan perancangan nak tunangkan dia dengan anak Dato Rizwan atas alasan klise dalam novel-novel iaitu, business! Gilalah! Ini real life Lara okey, bukan dalam novel. Takkan nak kena paksa juga kut! Lamenya!
"Argh... Aduh!"
Lara lantas berpaling ke belakang. Keningnya berkerut panjang melihat kelibat lelaki serba hitam yang sedang cuba bangun dari mencangkung. Siapa pula ni? Takkan anak Dato Rizwan nak buat gimik kut!
"Siii... siapa tu?" tegur Lara. Tapi tegurannya tidak berjawab. Seketika susuk tubuh itu sudah berdiri tegak sambil mengemaskan pakaiannya barangkali. Sayang betullah mentol di beranda tu dah terbakar. Puas Lara cuba teliti gerangan orangnya tapi tak jelas.
"Siapa awak? Perompak? Atau prince charming? Awak jangan main-main. Ruru ya upah awak suruh buat macam ni? Hari tu saya gurau-gurau aje dengan dia pasal nak terima lamaran prince charming yang lompat masuk balkoni bilik saya ni. Awak bukan anak Dato Rizwan, kan? Awak siapa? Awak nak selamatkan saya, ya? Cakaplah!" soal Lara bertalu-talu tapi tetap tidak berjawab hinggalah wajah lelaki serba hitam itu mulai jelas bila dia mula melangkah ke dalam biliknya.
"Aaa... Awak? Awak buat apa dekat sini?" soal Lara terkejut. Matanya membulat, tegang. Tambahan pula bila wajah itu semakin mendekatinya dengan bibir tersenyum sinis dan mata tajam memandangnya.
"Adoi!" jerit Lara perlahan sebelum dahinya yang dijentik diusap berkali-kali menahan sakit.
"Saya tahulah yang awak ni penulis. Tapi agak-agaklah sikit, cik kak oi. Apa? Prince charming? Ni, cermin ada cermin. Nak terima lamaran prince charming panjat balkoni konon. Tuuu... Pintu bilik tu buka. Tak payah nak kurung diri, menyusahkan orang nak kena panjat semata-mata nak suruh buka pintu. Hisyhhh. Hidup dalam angan-angan tak sudah. Memang wajib kahwin dah ni," bebel Faheem sambil melangkah terus ke arah pintu bilik.
Dia kata apa? Wajib kahwin? Lara tarik muka panjang sambil berpeluk tubuh pandang tak puas hati pada Faheem yang bersahaja membuka pintu biliknya tanpa minta izin terlebih dahulu. Dah kenapa mamat ni pula yang ada dekat sini? Dia ke anak Dato Rizwan tu?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co