Bab 1
AKU pandang saja penuntut lain yang datang dan pergi di ruang kafeteria kolej. Masing-masing nampak kelam-kabut dan sibuk. Perasaan yang berserabut, jadi bertambah serabut apabila melihat keadaan begitu. Bersesak-sesak lagi rasa kepalaku. Waktu ini, aku sudah tidak boleh fikir apa-apa dan tak mampu buat sebarang keputusan juga. Semuanya seakan-akan kabur dan tidak membantu langsung.
"Dengar ke tidak ni?" Ray tanya lagi apabila aku buat tak dengar. Sakit telinga mendengar suara dia. Kalau tak memekik, gamaknya tak sah. Suara sudahlah tak sedap. Ingat status teman lelaki saja. Kalau orang lain, sia-sia makan penampar. Aku sudahlah serabut semacam. Dia pula main jerit-jerit. Macamlah aku duduk sebatu, walhal sebelah dia saja.
"Awak, saya dengar. Saya belum pekak lagi. Suara awak tu sebatu pun boleh dengar. Tak payahlah nak jerit-jerit." Geram sudah. Sejak akhir-akhir ini, Ray sangat mendesak. Jadi lelaki yang suka menguasai. Aku kena ikut cakap dia selalu. Dia saja betul. Aku semua salah. Dengan erti kata yang lain, aku tidak punya hak untuk bersuara. Jauh sekali berkongsi pendapat.
"Habis tu, macam semut tercekik gula-gula getah aje kenapa?" Ray gelak. Kemudian dia letak tangan di atas bahu. "Relaklah, sayang. Fikir positif saja. Selagi awak tak fikir secara positif, selagi itulah awak hanya fikir yang buruk-buruk saja."
Aku rasa nak tarik saja rambut ala-ala Jerry Yan itu. Boleh lagi dia gelak? Dia ni sayang aku ke tidak? Serupa tak sayang saja. Kalau sayang, bukan begitu caranya. Bukan sekali dua aku rasa tidak dihargai, bahkan sudah acapkali namun kerana sayang, aku bertahan.
"Awak, saya tengah serius nak terima kerja ni ke tidak. Boleh tak jangan main-main?" Aku tolak kasar tangan Ray. Boleh lagi dia suruh aku bertenang dalam keadaan macam ni. Tak membantu langsung. Jauh sekali nak memahami keadaan.
"Sayang, praktikal aje, kan? Paling lama pun enam bulan. Tak payah fikir apa-apalah. Terima aje kerja tu. Lagipun semua ni pihak kolej yang punya kerja. Awak tak boleh membantah. Kalau awak cakap lebih-lebih, nanti dituduh pula awak banyak songeh. Tak pasal-pasal pula karang kena tendang."
"Tapi kenapa saya kena buat praktikal kat sana? Macamlah tak ada tempat lain. Kan banyak lagi syarikat yang boleh buat praktikal? Kenapa harus syarikat rakaman? Saya tak berapa suka dengan syarikat yang terlibat dengan dunia hiburan ni. Saya tak tahu apa-apa. Kosong." Aku mengeluh. Bukanlah nak cakap dunia hiburan itu tak baik atau tak bagus, tapi aku malas mahu berurusan dengan manusia-manusia glamor. Payah nanti. Pasti selalu saja akan sakit hati.
"Semua orang pun bermula daripada kosong. Sebab itu namanya praktikal. Kalau terus-terus berpengalaman, itu memang luar biasa."
Adoilah, susahnya bercakap dengan orang tak faham bahasa ni. "Ray, masalahnya saya tak nak kerja kat situ. Saya nak kerja tempat lain. Awak faham ke tidak ni?"
"Saya faham. Kat mana pun bukan masalahnya. Yang penting pengalaman bekerja tu. Belum kerja lagi awak dah merungut bagai. Cuba dulu, barulah nak cakap banyak."
Aku pandang muka Ray. Hampir tiga tahun kami bergelar pasangan kekasih. Dan sudah tersenarai antara pasangan yang paling hangat di kolej. Beza umur kami hanya tiga tahun. Ray menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi. Maklumlah, bakal mewarisi perniagaan keluarga.
Tak malu juga mahu mengaku, Ray antara penuntut paling glamor. Faktor segak pasti saja membantu Ray mendapat gelaran tersebut. Digilai sebahagian penuntut perempuan. Tapi entah kenapa, dalam ramai perempuan yang terkejar-kejar akan dirinya, Ray pilih aku yang biasa-biasa saja. Ramai yang terkejut dengan pilihan Ray. Tapi nak buat macam mana apabila mamat ni bersungguh merayu.
Aku pula cakap, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kalau ada yang suka mahu serahkan hati, takkan nak tolak pula? Aku juga ingin menikmati rasa cinta. Tidak mengapalah kalau tidak kesampaian nanti kerana cinta itu juga tidak menjamin kebahagiaan yang kekal. Sesungguhnya, kesudahan yang gembira sesebuah cerita cinta itu sebenarnya adalah permulaan untuk cerita baru. Mungkin cerita bahagia... Mungkin cerita derita... Sebagai manusia, apa pilihan yang kita ada selain menerima apa yang sudah tertulis.
"Awak tak takut ke kalau-kalau ada artis yang berkenan kat saya? Manalah tahukan..." Aku cuba buat Ray cemburu walaupun memang mustahil Ray ada rasa begitu. Bukan dia orangnya jika mahu cemburu bagai. Sudah faham benar dengan perangai Ray.
"Awak, tak ada artis yang berkenan kat awak tu. Kalau ada pun, sah artis tu hilang skru. Percayalah, selain saya, tak ada sesiapa pun yang sanggup ambil awak jadi kekasih." Ray gelak lagi. Gelak jahat sebenarnya.
"Kejam!" Aku jeling tajam. Melampau punya kenyataan.
"Sayang, hanya saya saja yang nampak keistimewaan awak. Orang lain tak akan nampak apa-apa." Ray cakap sambil memandang wajahku. Gelaknya bersambung. Macam lucu benar.
"Tak lawak, okey." Aku jelir lidah. Sakitnya hati. Berlagak betul Ray sekarang ni. Macamlah aku ni tak laku benar.
"Saya seorang saja yang sanggup sayang awak." Ray tolak rambutku yang menutup dahi. Hari-hari biasa memang aku tak kisah, tapi hari ni memang betul-betul Ray buat aku terasa. Seperti murah benar aku ini di mata Ray.
"Tapi awak jangan menyesal nanti." Aku masih nak ugut Ray.
Ray gelak dengan kuat selepas itu. "Jangan nak perasan lebih-lebih. Tengok cermin dulu kalau masih tak sedar diri. Lawak betullah awak ni," kata Ray. Memang mamat ni tak teragak langsung nak bercakap. Suka hati mak bapak dia aje.
Aku meraup wajah. Menahan sabar. Untuk bersama Ray, seharusnya aku perlu kuatkan semangat dan tahan dengan mulut celopar Ray. Betul juga orang kata, perempuan akan bertahan selagi kekasihnya tidak curang. Setakat ini, Ray tidak pernah curang lagi. Jadi, tiada alasan untuk aku berpisah dengan Ray.
"Tabahlah, sayang..." Ray gosok belakang badanku pula. Konon nak bagi semangat, tapi rasa macam dia minta penampar saja. Sakit betul hati.
"Awak nak kutuk saya, bukan?" Aku jegil mata.
"Kutuk apa pula? Saya tak ada pun niat nak kutuk awak," kata Ray. Kemudian ketawanya pecah lagi.
"Dahlah. Malas nak cakap dengan awak. Tidak memahami langsung." Aku bangun. Kemudian bergerak perlahan meninggalkan ruang kafeteria kolej. Baru beberapa tapak aku melangkah, aku menoleh ke belakang. Mencari Ray. Saat ini aku sangat-sangat perlukan pujukan dan kata-kata semangat yang boleh memberangsangkan perasaanku. Namun tersangat hampa kerana Ray sedang bergelak ketawa dengan teman-temannya yang lain pula.
Kenapalah aku boleh menerima cinta daripada seorang lelaki seperti Ray? Sedangkan satu kolej sudah tahu perangai Ray itu. Panas baran, kepala angin dan cenderung kepada hiburan. Tapi aku tetap terima dia.
Di sana, Ray seperti tidak mengendahkan langsung akan diriku seolah-olah aku ada atau tiada, memang tidak memberi apa-apa makna buatnya. Memang tak boleh diharap langsung. Kecewa betul dengan sikap Ray. Nampak dia lebih mengutamakan teman-temannya daripada aku.
"Mak cik..." panggil seseorang yang aku kenal. Haslinda binti Ahmad Fuad, tapi aku panggil Lin saja. Sahabat daripada semester satu lagi.
"Ya, auntie." Aku pandang muka Lin. Gadis tinggi lampai dan berkulit hitam manis itu datang memaut bahuku.
"Apa pasal? Muka macam asam kecut saja? Bergaduh dengan dia tu ke?" soalnya sambil memuncungkan bibirnya ke arah Ray.
"Pasal praktikal tu la..."
"La, jangan banyak songeh sangatlah. Nama pun praktikal. Bukannya kerja tetap."
"Masalahnya, aku bakal terjebak dalam dunia glamor."
"Dahlah, jangan susah hati bagai. Jom temankan aku pergi butik kakak aku kejap. Mak aku ada kirim buah sikit."
"Malaslah..."
"Jomlah..." Lin tarik tanganku dan paksa aku bergerak menuju ke keretanya. Apabila malas menguasai segalanya, semuanya jadi tidak bermaya. Kalau boleh, mahu pulang ke rumah dan tidur. Habis cerita.
SAMPAI saja di butik kakak Lin dalam pukul empat petang. Ada pasangan mungkin bakal pengantin sedang mencuba pakaian pengantin. Songket berwarna ungu jadi pilihan. Si perempuan nampak sangat anggun dan jelita. Lembut saja wajahnya. Si lelaki tak nampak pula mukanya. Daripada susuk tubuh badan, rasanya padanlah dengan si perempuan. Sama cantik, sama segak.
Kak Ain datang dengan membawa air kotak lalu dihulurkan kepadaku. "Hmmm, perempuan tu anak Dato', lelaki pula anak Tan Sri," bisik Kak Ain. Mungkin sebab perasan aku asyik memandang kedua-dua pasangan tersebut. "Dua-dua cerewet amat." Lagi perlahan suara Kak Ain tapi aku dengar dengan jelas. Merungut juga Kak Ain ini.
"Padan pun," balasku sambil memasukkan straw ke dalam lubang kotak minuman. Kemudian aku sedut minuman tersebut. Mata masih memandang pasangan sama cantik, sama padan itu. Aku nak sangat tengok muka si lelaki tapi dia masih tidak menoleh. Apa yang nampak hanya rambut paras bahu. Macam rambut Ray saja? Ke memang aku ni jenis suka tengok lelaki berambut panjang?
"Jom kita balik," kata Lin sambil mengangkat kotak sebesar kotak TV 14 inci. Kata Lin tadi, kiriman buah rambutan dan langsat. Rezeki nak makan buah rupa-rupanya.
"Balik dulu, kak," kataku sambil menghulurkan tangan. Memang sudah biasa dengan Kak Ain. Kadang-kadang kalau cuti semester, aku selalu juga tolong Kak Ain untuk majlis perkahwinan. Dapat juga duit poket.
Lepas bersalaman dengan Kak Ain, aku terus membuntuti Lin. Sebelum menolak pintu, aku pandang sekali lagi pasangan yang nampak romantis itu. Semoga mereka bahagia hingga ke akhirnya.
"Weh, kau ni kenapa?" soal Lin.
"Aku tengok bakal pengantin tu. Nampak romantis sangat."
"Kau dengan Ray pun romantis juga."
"Tapi Ray tak macam tu. Tak romantis langsung."
"Tapi yang tu juga kau tergila-gila sangat," balas Lin selamba.
"Dah sayang, nak buat macam mana."
"Nasiblah sebab dah sayang. Jom cepat, jangan nak pandang-pandang orang. Lagipun tu golongan kaya. Aku pun fikir sepuluh kali nak guna khidmat kakak aku kalau kahwin nanti. Kalau free tu lain ceritalah."
"Aku bukan apa, suka tengok pasangan yang nak kahwin. Masa tu mesti perasaan berbunga-bunga. Masing-masing tak sabar nak bergelar suami isteri. Masing-masing impikan rumah tangga bahagia."
"Kalau macam tu, suruh Ray pinang kau cepat," balas Lin lagi.
"Gila kau. Belajar pun tak habis lagi."
"Apa susah, Ray kan anak orang kaya."
"Yang kaya mak bapak dia."
Kami sama-sama berjalan menuju ke kereta Lin yang diletak betul-betul di hadapan butik. "Tapi kau kena hati-hati sikit. Ray tu top studen. Ramai aje yang tunggu peluang."
Aku masuk ke dalam kereta. Kata-kata Lin sebenarnya berbekas juga. Memang aku bimbang dengan keadaan Ray. Menjadi teman wanita kepada lelaki yang digilai wanita merupakan satu cabaran terbesar buatku dan kadang-kadang buat aku rasa sangat tertekan.
"Mungkin aku kena bersedia untuk kecewa," kataku ketika Lin sudah duduk di tempat pemandu.
"Bukanlah maksud aku minta kau berpisah, tapi risiko Ray dirampas tu sangat tinggi. Itu maksud aku. Aku tak nak nanti kau tak boleh berhadapan dengan semua tu. Sebagai kawan, pasti saja aku nak kau bahagia."
Aku faham maksud Lin. Dia bimbang tapi aku rasa dia kurang percaya dengan cinta Ray. Lin orang pertama yang membantah hubungan aku dengan Ray. Macam-macam dia hasut, tapi aku degil juga. Masih mahu memberi peluang buat Ray. Entahlah, mungkin Ray antara yang terkacak kut dan mungkin juga Ray anak orang kaya. Faktor mahu menumpang senang sangat menguasai perasaanku ketika itu walaupun aku bukanlah jenis mata duitan.
"Kenapa diam aje? Kau terasa ke?" soal Lin.
"Taklah. Apa yang kau cakap tu memang betul. Aku tak nafikan. Aku pun tak tahu sampai bila Ray akan setia. Walau apa pun yang terjadi nanti, aku akan terima dengan reda. Ray memang istimewa dalam hidup aku. Dan aku akan ingat dia sampai bila-bila." Aku pandang ke depan. Lin sudah mula memandu. Perasaan aku mula berlari mencari Ray. Entah dengan siapa dia sekarang ini?
"Dengan perangai tak serupa orang dia tu. Eh, sampai bila kau akan tahan? Kalau aku, dah lama aku blah. Tak sanggup aku nak tunggu lama. Kalau ya pun sayang, jangan sampai hati dan perasaan terluka." Lin masih lagi berpandangan negatif terhadap Ray. Tapi segala hasutannya selama ini nampaknya tidak mendatangkan sebarang hasil. Mungkin hati aku jenis hati kering agaknya.
Aku diam saja. Malas nak membalas kata-kata Lin. Pastinya aku juga yang tak betul. Perasaan aku sedikit terbuai dengan lagu nyanyian Fynn Jamal. Lagu ini memang sesuai untuk aku dengan Ray. Saya kenal sayang saya. Ya, hanya aku yang tahu Ray itu orangnya bagaimana.
Telefon bimbit di dalam beg galas berbunyi galak. Cepat-cepat aku keluarkan telefon bimbit lantas menjawab panggilan daripada Ray.
"Helo." Aku jawab dengan suara lemah.
"Eh, awak kat mana ni?! Main blah macam tu aje!" Ray sudah bertempik.
"Awak, dah empat jam saya tinggalkan kolej, baru sekarang awak sedar saya tak ada? Eh, kalau harimau makan saya, dah tinggal separuh tahu tak?"
"Harimau pun tak teringin makan awak yang kurus cekeding tu. Hmmm... Malam ni temankan saya makan. Saya ambil awak nanti."
"Awak, saya penatlah. Awak ajak orang lain ajelah." Aku cuba tolak pelawaan daripada Ray.
"Saya hanya ada seorang saja teman wanita. Kalau ada dua tiga orang tu, boleh juga bergilir. Saya tak kira, saya nak awak temankan saya makan. Lagipun malam ni kita makan dengan mama."
"Awak..."
"Jangan bagi saya alasan apa-apa. Awak tu teman wanita saya dan bakal jadi isteri. Jadi, saya nak awak ikut cakap saya. Saya tak suka awak membantah sebarang keputusan saya."
"Yalah, yalah." Malas nak bertekak. Aku tetap kalah.
"Tunggu saya malam nanti," ucap Ray lantas menamatkan panggilan. Kemudian aku tarik nafas panjang. Bukan tidak selesa dengan mama Ray, tapi aku rasa terasing di tengah-tengah keluarga Ray. Mama Ray okey walaupun dalam kelasnya tersendiri. Untuk menyesuaikan diri dalam keluarga Ray, aku rasa aku perlukan lebih banyak masa.
"Kenapa?" soal Lin.
"Ray mintak temankan dia makan."
"Hmmm, no komenlah. Asal makan ajak kau temankan. Dah faham sangat."
Aku senyap. Tak ada komen juga.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co