Bab 1
Imbasan
Inspektor Ebrahim a.k.a abang pedas
Waktu rehat. Masing-masing dapat nasi bungkus. Sebotol air mineral. Sebiji epal merah yang besar. Sampai giliran aku, buah epal merah dah habis. Agak hampa tapi tak apalah. Aku berjalan menuju ke skuad aku tapi tak ada tempat duduk pula. Semuanya duduk bersepah-sepah di tepi jalan. Makan dengan berselera tapi selera aku hilang. Aku letak balik nasi bungkus dan mata masih berharap ternampak sebiji epal merah terselit di mana-mana di celah kotak.
"Dah habis epalnya, dik. Maaflah tak cukup pula," beritahu salah seorang koperal wanita yang bertugas membahagikan makanan.
"Tak apa, kak..."
Aku keluar dari pondok bit polis. Berjalan sambil meneguk air mineral di tepi jalan, menghadap lalu lintas yang dah agak lengang.
"Hei!"
Aku menoleh. Serentak dengan itu, sebiji epal dicampakkan kepadaku. Aku menangkapnya pantas. Dia berjalan tegap ke arahku. Tetap tak lekang dengan mata kumpuannya.
"Kenapa tak makan?" tegurnya bila melihat aku masih terkaku.
"Takut epal ni beracun?"
Epal itu diambilnya semula dari tanganku. Dilap ke T-shirt putihnya, dia gigit kemudian kunyah. "Tak ada racun. Rangup dan selamat. Enjoy it."
Epal itu terus ditekan ke mulutku kemudian dia berlalu. Aku spontan cepat-cepat memegangnya, takut terlepas. Aku menunduk melihat epal merah di tangan.
Ahmad
Pandanganku hala ke tepi tebing. Seperti biasa, ada ramai penjual jagung rebus, telur itik, ABC, sate, roti berdaging dan air tuak. Air tuak?! Ramai duduk mengerumun penjual air tuak dan seperti ada anak kecil persis Ahmad. Hatiku tertarik untuk mendekat. Aku meninggalkan restoran bot. Langkahku semakin hampir dan mata melilau mencari bayangan Ahmad.
Tiada. Aku beristighfar perlahan. Aku masih belum boleh melupakannya. Dan aku juga tidak mahu melupakannya. Sampai bila-bila. Pandangan mata pelanggan yang lain tidakku hiraukan. Aku berdiri kaku memerhati air tuak dituang ke dalam gelas buluh. Rasa perit di kerongkong. Kenangan Ahmad mula mendatang. Sampai bila aku tidak akan menjamah air ini? Ingatan kepada Ahmad boleh saja tetapi aku harus kuat. Aku harus minum! Aku ingin buktikan kepada Firman yang aku dah okey. Aku dah boleh mengatasi keenggananku.
Aku membuat isyarat tangan kepada penjual air tuak ini, seorang lelaki tua. Lelaki tua itu melihat aku dari atas ke bawah kemudian menggelengkan kepalanya. Aku hairan. Aku isyaratkan aku ingin meminum dan membelinya. Lelaki tua itu tetap berkeras dan menggoyangkan tangannya. Kenapa? Dia fikir aku tidak ada duit? Aku mengeluarkan beg duit kemudian menunjukkan US dolar beberapa keping. Dia tetap menggelengkan kepalanya sambil mulutnya berbunyi Cham! Cham!
Aku semakin hairan.
"Awak nak minum?" Satu suara menegur.
Mataku hala ke wajahnya. Seperti pernahku lihat di kampung, tetapi siapa? Mendengar dia berbahasa Melayu aku lega. Pasti keluarga atau orang kampung Firman. Beberapa orang lelaki berdiri di sebelahnya sambil tersengih-sengih.
"Ya... Tapi rasanya pak cik ni tak faham apa yang saya cakap. Mungkin dia ingat saya tak ada duit atau dia tak mau duit USD."
"Dia faham... tapi dia fikir awak keseorangan. Saya boleh belikan untuk awak jika awak nak. Satu gelas cukup?" Senyumnya begitu ramah sekali.
"Saya nak tiga gelas."
Kali ini aku betul-betul nak tamatkan fobia aku dengan air tuak. Mukanya berubah riak, terkejut. Tapi kemudian dia tersenyum lebar.
"Awak memang suka air tuak?"
"Ya..." jawabku, tetap terasa pedih. Tetapi aku nekad akan melawan kepedihan itu.
"Bagus. Tapi saya rasa satu gelas sudah cukup untuk awak. Silap-silap suku gelas pun awak tak mampu teguk."
Keningku terangkat. Ada unsur cabaran di situ.
"Saya biasa minum tiga gelas. Tapi saya yakin sepuluh gelas pun saya mampu habiskan."
Mulutnya terlopong, kemudian dia tergelak besar. Bercakap kepada rakan-rakannya yang lain. Mereka turut sama ketawa dan bertepuk tangan riuh. Suara dan gaya mereka mengingatkan aku. Mereka kumpulan pemanah tadi!
Aku mula tak sedap hati. Ingin berundur sebelum lenganku dipaut erat.
"Nanti dulu, sayang. Kita belum habis lagi. Saya belanja awak minum setiap gelas yang awak mampu habiskan. Kita beradu. Siapa paling banyak minum, tanpa muntah, dia menang. Jika dia kalah, dia harus tidur bersama orang yang menang. Sebenarnya saya kagum dengan awak. Tak sangka, perempuan daripada keturunan Haji Sulaiman minum air tuak yang memabukkan. Tak adalah kau orang ini suci sangat."
Aku mengerutkan kening. Air tuak yang memabukkan? Air tuak yang aku biasa minum tak mabuk pun. Aku terasa aku telah membuat langkah yang salah. Patutlah pak cik penjual air tuak enggan berjual beli dengan aku. Perkataan Cham yang diulangnya menandakan dia ingin memastikan aku seorang Islam Cham kerana dia mengenali aku daripada pakaian. Aku seorang Islam dan orang Islam dilarang meminum minuman yang memabukkan. Di sudut hati kecil, aku berterima kasih kepada pak cik itu. Berterima kasih kepada tudung dan pakaian yang tersarung di badan. Ia melambangkan agama yang aku anuti. Aku dilindungi Allah kerana tudung di atas kepalaku.
***
Suasana di luar sepi. Seperti tidak ada perbincangan apa-apa di antara Firman dan papa. Aku mengintai resah. Kenapa dua orang lelaki tersayangku membisu? Macam tak pernah kenal.
"Angkat air ni, Iris. Hati-hati. Langkah jangan buka panjang-panjang. Tunduk sambil berjalan dan jangan tersengih-sengih. Tunjuk malu sikit..."
Pesan mama cuba aku ikut sebaik yang mungkin. Kekok sikit berbaju kurung dan berkain sarung batik. Pilihan mama agar aku nampak sopan dan kecil langkahku. Kalau kain susun, langkahku besar dan nampak ganas. Ya ya aje mama, padahal selama ini aku berjalan dengan penuh bergaya dan berdiva. Mana ada ganas?
Aku mengekor mama dari belakang. Mama sungguh terpelihara adabnya mengangkat dulang berisi skon dan setnya dengan sopan. Sudah melanggar adat English ni, skon dan set English tea sesuai untuk minum petang. Tapi mama kata, pedulikan. Dia nak tayang koleksi terbaiknya kepada bakal menantu.
Dulang yang aku bawa agak berat. Terlalu berhati-hati menyebabkan berlaku sedikit kocakan. Berlaga cawan dan piring. Nasib baik air teh belum bertuang. Kalau tak, sampai di depan Firman, airnya dah tinggal separuh. Bila disuruh menjadi bukan diri sendiri, aku serba tak kena. Sehingga aku yang terlalu menunduk melihat isi dulang yang aku bawa, tersepak hujung karpet dan... aku melayang!
Semasa aku melayang, hanya muka Firman yang aku perhati kerana bila-bila masa aku akan mendarat ke atasnya! Mukanya pun terperanjat habis! Mendongak memandang aku dengan mata yang membulat! Adegan itu sempat aku hentikan sekejap! Aku sempat berfikir dan membuat pilihan! Jika aku terjatuh ke atas Firman, apa harus aku buat?
a) Berpura-pura pengsan?
b) Berpura-pura mati?
c) Gulung dan bakar karpet itu!
Memalukan umat aje! Masa Firman datang minta izin nak kahwin dengan aku ni la, karpet durjana ni nak mendajalkan aku. Seperti yang dijangka, aku mendarat selamat ke atas... Firman? Tidak! Dia sempat mengelak dan mukaku tersembam ke atas sofa! Aduh!
"Ya Allah! Set aku!" Kalau dah perempuan, perempuan juga! Bukan mama sibuk risaukan aku yang dalam keaiban yang amat besar, dia sibuk menerkam set English teanya.
Papa dan Firman kelam-kabut cuba mengangkatku tapi aku dah bangun dan duduk segera di atas sofa seperti tak terkesan. Pada masa yang sama, rasa sebal dengan Firman. Sibuk nak mengangkat aku konon, patutnya dia sambut aku masa nak jatuh. Ini dia mengelak pula! Lepas tu sibuk nak angkat. Berlakon di depan bakal bapa mertua. Sekarang dia sedang mengemam bibirnya menahan ketawa. Wacha sama dia!
Aku ditarik naik ke atas. Masuk ke bilik dan mama menanggalkan baju aku.
"Masuk mandi sekarang!"
"Mandi apa? Iris dah mandi."
"Mama terlupa nak cakap. Mandi pagi tak dikira. Kalau ada rombongan datang meminang, kena cepat-cepat mandi. Itu alamat rumah tangga yang bakal didirikan sejuk dan aman damai. Lepas tu baru keluar angkat air. Sebab tak ikut step tu yang sampai tersepak jatuh. Itu alamat yang tak baik."
"Mengarut la mama ni. Zaman ni mana pakai lagi Nujum Pak Belalang. Karpet tu yang sengal! Firman bukan datang meminang, dia..."
"Jangan banyak cakap. Pergi mandi sekarang!" Mama tolak aku ke dalam bilik air.
"Kita makan dulu. Nak cakap apa, tunggu petang sikit. Jangan matahari tegak atas kepala. Tak elok. Alamat rumah tangga panas dan sentiasa bercakaran laki bini." Macam-macamlah mama ni. Beria-ia dengar ceramah agama tapi pelik-pelik petuanya. Malas nak membantah. Mama isyaratkan aku melayan Firman makan. Hai laaa... Tugas berat. Lomah palo lutut den!
Aku mencedok nasi ke dalam pinggan Firman. Meletak satu sudu sayur bayam goreng, sedikit isi ikan terubuk bakar dan kuah masak lemak cili padi ketam. Firman makan dengan diam. Aku yang nak melalak melihat lauk itu! Ayam goreng kegemaranku tak ada tapi ikan terubuk bakar, ketam masak lemak cili padi dan kerang masak pindang sangat-sangat aku gemar. Mama kejam! Ini hujah-hujahnya di dapur tadi. Dia sengaja memasak semua lauk itu sebab:
"Ikan terubuk ni bagus. Ia membuat kita berhati-hati nak makan kerana tulangnya banyak, takut tercekik. Tak boleh gelojoh. Seorang anak gadis yang berhati-hati menarik dan membuang tulangnya kelihatan sangat bersopan dan beradab. Lemah lembut. Mama nak Iris kelihatan begitu depan Firman. Biar Firman nampak kelembutan dan kemanisan Iris." Mama! Uwaaa. Ketam pula mama?
"Ketam sesuai dihidang kerana tujuan yang serupa. Iris akan berhati-hati nak mematah dan mengeluarkan isinya. Tak boleh keluarkan sebarang bunyi, muka mesti tersenyum... Keras dan susah macam mana pun, senyum tu mesti maintain. Ambil isi ketam mesti dengan jari. Hati-hati dan lemah lembut. Jangan gunakan gigi dan mulut seperti yang Iris selalu buat. Jangan menyunyut, mama cubit mulut tu karang! Kalau Iris ikut apa yang mama ajar ni, berebut orang nak buat menantu." Yalah tu, mama.
"Satu lagi, guna satu tangan aje. Dilarang menggunakan dua tangan. Baru nampak lagi anggun dan ayu. Kerang pun sama. Gunakan satu tangan aje nak keluarkan isinya. Okey, sayang?"
Okey, mama. Macam mana aku nak makan tanpa bunyi jika berdepan dengan ketam?! Mana boleh nak makan dengan ayu jelita tanpa mematah, menggigit dan menyunyut? Sampai ke sudah aku tak sentuh lauk-pauk itu. Aku hanya mencecah celur keladi rawan dengan air asam. Tak kuasa nak berlemah lembut dan beradab bagai di depan Firman. Mana boleh makan ikan terubuk, kerang dan ketam tanpa bertae kwan do? Ia harus dimakan dengan penuh gagah perkasa baru terasa kesedapannya.
Matahari sudah condong. Boleh mula berbincang. Firman dengan tenang meminta izin untuk menikahiku. Dia mengharapkan mama dan papa membenarkannya membuat tiga adat sekaligus kerana keluarganya berada jauh. Majlis merisik, bertunang dan akad nikah dilangsungkan pada hari yang sama, dalam tempoh sebulan dari sekarang.
Kalau boleh dipercepatkan lagi bagus tapi mungkin prosedur memohon kebenaran untuk bernikah daripada pelbagai pihak akan mengambil masa. Jadi Firman sasarkan, sebelum sebulan, semua urusan selesai dan kami dah jadi suami isteri.
Orang yang aku sangka akan membantah keras tapi bersetuju dengan girang. Tanpa bantahan, mama. Rakan konspirasiku, papa, sangat mengejutkan. Papa menghulurkan sekeping surat. Aku dan Firman terpinga-pinga. Surat wasiat? Surat penyerahan segala aset? Atau surat perlantikan? Isy... Takkan papa begitu sayangkan aku, belum apa-apa, Firman dah dilantik sebagai CEO atau ahli lembaga pengarah di dalam syarikatnya?
Tapak tangan kananku sudah gatal. Ini alamat nak dapat duit. Harap-haraplah duit betul, karang dapat penampar, naya. Tapak kakiku juga gatal. Itu alamat nak dapat rezeki terpijak. Haraplah betul... Jangan dapat penyepak sudah!
"Sila baca dengan suara yang kuat." Kenapa papa lain macam ni? Bukan seperti papa yang aku kenal.
Firman membaca.
"Ke hadapan bakal suami anak aku..." Firman terhenti.
"Teruskan," arah papa tegas.
"Ke hadapan bakal suami anak aku.
Peraturan satu: Kalau kau sampai rumah aku, jangan kau nak hon sembarangan melainkan kau masuk, tekan loceng dan beri salam. Wajib hadap muka aku dan nyatakan apa hajat ke mari.
Peraturan dua: Jangan kau nak bonceng anak aku lagi melainkan aku duduk di tengah-tengah atau anak aku yang bawa motor, aku duduk di belakangnya. Kau di belakang sekali."
Di sini, Firman terhenti, menutup mukanya dengan surat. Tubuhnya bergegar. Menahan gelak.
"Peraturan tiga: Kau jangan nak pegang atau cium anak aku, di depan atau di belakang aku. Kau boleh pandang dia, hanya paras muka saja. Jangan mata kau nak merayau lebih-lebih. Kalau mata dan tangan kau tak boleh jaga, aku boleh tolong jagakan."
Memang dapat penampar dan penyepak betul! Bukannya dapat duit. Hai laaa... Apa hal la ni?
"Peraturan empat: Aku rasa kau ni handsome dan popular, tentu ramai perempuan tergila-gilakan kau, aku tak ada hal punya selagi anak aku okey. Tapi selagi kau couple dengan anak aku, kau jangan berani pandang perempuan lain selagi anak aku belum jemu dengan kau atau dia break off dengan kau. Kalau anak aku menangis, aku akan buat kau menangis. Dengan azab yang amat pedih.
Peraturan lima: Kau tentu nak kenal aku dengan lebih dekat. Biasalah nak sembang pasal ekonomi, politik, sukan atau isu semasa. Aku tak berminat nak dengar. Yang aku minat satu saja. Bila kau nak hantar anak aku balik? Jawapan yang aku nak dengar: Awal!
Peraturan enam: Kau mesti pakai protection bila nak bersama anak aku sebagaimana yang dikempen hebat di media massa. Kalau tak, kau akan kena AIDS. Sukacita aku ingatkan di sini, akulah protection untuk anak aku dan jangan kau berani nak sentuh anak aku selagi belum diakad. Niat pun tak boleh! Kerana aku akan mendatangkan azab yang amat pedih ke atas tubuh kau."
Aku dan mama dah saling berpandangan sambil menahan ketawa. Apa ke hal papa ni? Silap orang la nak beri amaran macam ni. Tapi Firman selamba aje membacanya cuma kadang-kadang nampak dia menahan rasa geli hati.
"Peraturan tujuh: Sementara menunggu anak aku bersiap, kau jangan nak mengeluh lambat. Kalau kau nak punctual, kau boleh dating dengan mat komando. Kalau boring menunggu kat luar, sila buat apa yang patut, basuh kereta aku atau cabut rumput."
"Pa..." Aku mula nak membantah. Firman mendiamkan aku. Dia terus membaca.
"Peraturan lapan: Tempat-tempat yang dilarang sama sekali kau orang pergi dating; tempat yang ada katil, ada sofa, ada rumput atau apa-apa tempat yang boleh duduk-duduk atau baring-baring. Tempat-tempat yang tak ada kehadiran orang tua, polis, tok imam. Tempat-tempat yang gelap. Tempat-tempat yang membolehkan kau orang berpegangan tangan, menari atau bersuka ria. Tempat-tempat yang panas sampai membuatkan anak aku terpaksa pakai T-shirt tak ada lengan, pakai mini skirt atau hot pants. Tempat yang sejuk sampai kau kena panaskan badan anak aku. Movie yang romantik, cium-cium tu elakkan. Movie pasal seksa kubur, azab neraka atau hari kiamat sangat digalakkan.
Peraturan sembilan: Jangan sekali-sekali menipu anak aku apalagi aku. Aku tau semua pergerakan kau daripada spy-spy aku. Dia orang tu bekas perisik komando. Kalau aku tanya apa, kau hanya ada satu peluang aje. Bercakap benar. Tak ada yang tak benar melainkan benar belaka. Kat belakang rumah aku, ada tanah tiga ekar, kalau aku ikat kau kat pokok atau kau hilang dalam hutan tu, tak ada siapa nak tanya. Jangan main-main dengan aku.
Peraturan sepuluh: Kau patut takut dengan aku. Lebih baik kalau sangat-sangat takut. Aku ni dok teringat lagi peristiwa Bukit Kepong. Jadi kalau orang datang rumah aku, bersembang senyap-senyap di depan rumah, aku mulalah cuak. Nanti aku suruh guard aku tembak sebab aku ingat komunis manalah ni. Nanti dah habis dating, buka pintu kereta, angkat tangan tinggi-tinggi dan jerit kuat-kuat, "saya hantar anak tuan pulang." Lepas tu terus blah. Jangan nak berlama-lama dengan anak aku. Jangan harap nak good night kiss atau hugs and kisses. Kalau kau ternampak kilauan di tingkap rumah aku, itu ialah teropong senapang sniper aku."
Aku dan mama tak dapat menahan lagi. Kami tergelak sampai nak terkucil. Hanya Firman yang mengemam bibirnya, menahan sedaya upaya. Muka papa serius!
"Peraturan sebelas: Sangat digalakkan dating dalam rumah saja, di ruang tamu dengan aku duduk di tengah-tengah. Isu yang boleh dibincangkan bebas kecuali isu yang membangkitkan hawa nafsu atau merangsang syahwat. Lebih afdal, semasa berbual, kau urut betis aku.
Peraturan dua belas: Kau kena adakan pemeriksaan kesihatan yang ketat sebab aku nak pastikan kau sihat, kuat dan bebas daripada sebarang penyakit. Aku nak kau tiptop untuk anak aku kerana anak aku sangat tiptop... Segala ratu di dunia semua TKO dengan anak aku.
Peraturan tiga belas: Kau jangan jadikan anak aku hamba abdi. Jadikan dia sebagai ratu. Jangan suruh dia memasak atau buat kerja rumah. Itu tanggungjawab kau sebagai seorang suami. Tapi kalau dia nak buat, tak apa.
Peraturan empat belas: Kau jangan jatuhkan tangan kau ke atas anak aku. Kalau kau ada apa-apa aduan tak puas hati dengan anak aku, sila beri laporan. Aku akan ajar anak aku.
Peraturan lima belas: Kau jangan harap nak madukan anak aku, kenyit mata kat perempuan atau simpan perempuan lain. Kalau aku tau, kau buat macam tu, kau boleh ucapkan selamat tinggal kepada dunia. Amaran paling keras, kau jangan buat anak aku menangis sedih. Menangis gembira, tak apa.
Peraturan enam belas: Tertakluk kepada perubahan dan mood aku. Bila-bila masa aku boleh tambah atau ubah isi perjanjian ini.
Jika kau setuju, sila sign dan turunkan sepuluh cap jari tangan kau. Jika tak setuju, kira hajat kau, aku tolak. Muktamad. Segala rayuan, surat-menyurat, telefon, e-mel dan Twitter takkan dilayan.
Sekian, daripada bakal bapak mertua kau yang belum tentu jadi.
Copy and paste daripada Ustaz Nasharuddin, Azalea dan Azella."
Copy and paste tu yang tak menahan. Sekali lagi aku dan mama tergelak keras. Azalea dan Azella jadi rakan sekutu papa pula!
Aku rasa papa aku nak menopaus kut ataupun kerana dia terlalu melindungi, dia bersikap kurang wajar. Tak sangka jutawan yang hebat dan berkarisma boleh membuat peraturan yang begitu kartun sekali! Tapi peraturannya walau seperti tak masuk akal, ada makna yang tersirat. Kan bagus kalau Aidan yang dikenakan syarat ini dulu.
"Kenapalah papa ni buat syarat berat-berat sangat? Merapu pun ada." Mama mengomel.
"Untuk anak kita. Saya tak mahu lagi jadi bapa yang dayus. Well, Firman. Any objections?" tanya papa.
"No objections. I agree with all the terms and conditions." Jawapan Firman memeranjatkan aku. Selalunya dia kaki bangkang dan tak mudah menerima cakap orang. Firman menurunkan tandatangan dan cop kesemua jarinya. Mama dan aku sebagai saksi. Rasa kartun tapi nampak macam semua orang ambil serius, aku mengikut aje.
"Okey Firman. Hajat awak diterima. Mas kahwin dan hantaran, seikhlas awak nak beri banyak mana, setakat yang awak mampu. Segala majlis kita buat di rumah ni saja. Sekali harung. Jalankan apa yang dirancang. Mudahkan, ringkaskan asal ikut syarak dan berkat. Awak mendapat restu daripada kami berdua. Semoga berbahagia dunia akhirat." Dengan itu, segalanya selesai. Aku dan Firman berpandangan sambil tersenyum. Alhamdulillah.
Bilik berkaca ini menjadi perhatian Firman. Lama dia duduk berteleku sambil mengusap perlahan jarinya ke lantai kaca, cuba memanggil dan bermain-main dengan ikan kap. Gaya seolah-olah mengusap ikan pun ada. Firman meminati ikan belaan juga?
Dia mendongakkan kepalanya, memberi senyuman kepadaku yang sedari tadi memerhati. Dia perlahan berdiri dan menyentuh daun bunga orkid. Halus juga jiwanya.
"Daun pokok yang ditanam dalam rumah elok dilap bersih. Lebih hijau dan segar." Aku mengangguk senang.
"Cantik bilik ni... Seolah-olah bersatu dengan alam. Tanpa sekatan dan batasan. Seperti terapung di atas langit dan berjalan di atas tasik. Lukisan yang dipasang di dinding, menampakkan skrin yang hidup. Memberi warna dan cahaya. Bijak orang yang memberi idea. Lagi bijak orang yang berjaya merealisasikannya." Skirt labuh turquoiseku menyapu lantai. Firman memerhati aku yang berjalan mendekatinya. Tenangnya merenung mata indah milik Firman.
"Saya minta maaf dengan perangai papa tadi. Awak jangan ambil hati."
"Kenapa saya nak ambil hati? Bukan saya tak biasa berdepan dengan keluarga Zakaria. Hari pertama jumpa anaknya di hotel di Kemboja pun saya dikenakan bermacam-macam syarat yang tak masuk akal. Jadi bila jumpa papanya, saya tak terperanjat. Like daughter like father atau mana yang lebih tepat, like father like daughter? Sepertinya Iris dengan papa, rakan karib. Tak tahu siapa mewarisi sikap siapa? Empat bulan bersama anaknya, saya sudah masak. Dah boleh agak keluarga awak macam mana."
"Macam mana?"
"Keluarga yang lucu, penuh kasih sayang dan sangat sporting." Kami sama-sama berdiri memandang ke luar. Hijau terbentang luas.
"Masya-Allah... Cantik," ujar Firman perlahan.
"Memang cantik." Aku mengiakan. Aku menoleh ke arah Firman. Terpesona dengan renungan matanya yang sentiasa memukau. Aku akan menjadi milik mata ini tak lama lagi.
"Maksud saya, awak yang cantik." Wo hooo! Terasa nak melompat dan merangkul lehernya erat. Tapi aku kontrol.
"Saya tak cantik tapi saya cute yang tak dibuat-buat. Ori."
"Ori macam mana tu?"
Pandangan mata Firman mula nak 'memedas'. Nakal nak mengena.
"Ermmm... Saya natural dan..." Aku menjawab dengan berhati-hati. Tapi entah kenapa, jadi malu pula bila nak puji diri sendiri. Dulu kemain lagi aku berlagak dengan kecantikan aku. Tak agak-agak nak angkat bakul kain sendiri. Galak sangat memuji, sampai habis semua bakul kain aku angkat termasuk bakul kain jiran seluruh Shah Alam ni. Tersenyum sendiri bila teringat sikap jahiliah aku dulu.
"Bertambah cantik bila sifat malu menghiasi diri..." Firman memuji aku. Senyum mengusik, tau aku malu.
"Awak tau, saya berjaya menyiapkan tiga puluh contengan dalam masa enam minggu. Terima kasih kerana membantu. Kalau tak, sukar untuk saya..." Aku ubah tajuk kononnya nak tunjuk tak hairan dengan pujian Firman. Riak Firman terkejut.
"Apa yang saya bantu?"
"Saya rasa kehadiran awak di samping saya. Awak sentiasa ada untuk saya. Menemani saya setiap malam. Memberi saya ilham. Ia memberi saya kekuatan untuk menyiapkan projek ini." Firman memberikanku senyuman lagi.
"Kekuatan itu daripada Allah."
"Saya nak tunjukkan awak sesuatu... Mari..." Aku membawa Firman ke bilikku. Pintu yang aku buka menebarkan bunyi dentingan loceng angin atau peranggu loceng angin yang berayun lembut. Rama-rama terbang berkeliling dengan beberapa batang logam bergemerincing menghasilkan bunyi yang mendamaikan hati kami berdua. Firman memasukkan kedua-dua belah tangan ke dalam poket seluarnya dan menyandar santai ke pintu.
"Pasangannya ada di sini rupa-rupanya," ucapnya perlahan.
"Mana satu lagi?"
"Di kondo. Setiap malam saya lena diulit bunyinya... Walaupun terkadang, terganggu... Tapi saya senang." Sama! Seperti apa yang aku rasa.
"Apa awak rasa ketika itu?"
"Tak rasa apa." Selamba aje dia menjawab. Aku hampa.
"Dentingannya adalah bisikan rindu saya kepada awak... Yang sentiasa mengalunkan nada merdu... Nama awak... Iris... Iris... Iris..." Firman bercakap satu-satu dengan nada lembut.
Cepat aku menoleh kepada Firman. Dia ingat apa yang aku cakap dulu?
"Awak rindukan saya?"
Firman mengangguk.
"Rindu... Sangat terganggu dengan rindu itu. Ia membawa saya mencari awak." Firman dah cakap semalam tapi aku tak puas. Ingin mendengar rindu itu seumur hidupku.
"Dentingannya juga adalah bisikan rindu Allah yang sentiasa menyeru, bangkitlah wahai anak Adam, sempurnakan hak Aku. Paling kurang, bangun berwuduk menunaikan solat sunat dua rakaat, lepas tu tidurlah semula. Sesiapa yang terjaga di tengah malam ia adalah anugerah daripada Allah, dikejutkan oleh malaikat, manusia terpilih... Yang dikasihi Allah untuk bangun bersama-Nya. Mencintai dan Merindui-Nya. Paling kurang, jika malas sangat, hanya sekadar berdoa walaupun sedikit. Cukuplah dengan beristighfar, alhamdulillah atau menyebut nama Allah. Rahsia salah seorang sahabat Rasulullah yang mempunyai wajah yang amat jernih dan dikagumi sahabat-sahabat yang lain sehingga salah seorang menumpang tidur di rumahnya kerana ingin mengetahui rahsia ibadah pemuda tersebut. Tidak ada apa-apa yang berlaku. Pemuda itu tidak bangun untuk qiamullail atau beribadah sepanjang malam... Dia tidur dengan nyenyak... Hanya sekali-sekala berkalih tidur. Setiap kali dia berkalih, pemuda itu akan menyebut Allah. Rupa-rupanya itu rahsianya. Esok pagi, sahabat ini bertanya kepada pemuda ini, apalagi yang kamu lakukan pada waktu malam. Jawab pemuda itu, tiada apa-apa hanya sebelum tidur, aku maafkan semua orang..." Itu rupa-rupanya... Kesal pula kerana membiarkan malamku berlalu begitu saja.
"Tapi saya hanya menangis kerana rindukan awak. Ruginya..."
"Iris buat apa selepas itu?"
"Untuk menghilangkan kerinduan, saya menconteng untuk projek kita." Firman tersenyum sedikit. Aku hairan.
"Itu lebih daripada cukup. Iris melukis kerana apa? Untuk membantu, kan? Itulah ibadah Iris. Ibadah ini luas bukan hanya solat, puasa, mengaji dan sebagainya. Ia juga usaha yang kita buat untuk kebaikan membantu diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Bekerja itu ibadah. Melukis itu ibadah. Semuanya ibadah dan semuanya indah jika diniatkan kerana Allah. Hanya kerana menyebut nama Allah saja, wajah boleh bertukar menjadi begitu jernih. Islam mudah, kan?" Tuhan. Terima kasih kerana mengurniakan aku Firman. Ia seperti aku sangat dekat dengan-Mu. Terkadang menyebut nama Firman, secara tak sedar, aku terbabas menyebut Firman Allah. Allah! Sudah jadi satu zikir untukku. Mungkin ini tujuannya mai tuan memberi nama Firman Ebrahim. Firman... Wahyu Allah. Titah perintah Allah. Mukjizat teragung yang hanya dijunjung oleh Jibril a.s untuk disampaikan kepada rasul pilihan. Ebrahim... Nama rasul. Nabi Ibrahim a.s. Bapa segala nabi-nabi. Antara nabi yang paling banyak diuji, paling sabar dan nama Baginda banyak disebut di dalam al-Quran. Api menjadi sejuk dengan titah perintah Allah ketika membakar Baginda a.s. Aku terpana sendiri.
Semakin mengenali Firman, aku semakin mengenali diriku. Semakin aku mengenali diriku, aku semakin mengenali Allah. Semakin mengenali Firman, aku semakin mencintainya. Semakin aku mencintainya, aku semakin mencintai Allah. Inilah nikmatnya. Inilah hikmahnya.
"Mengelamun?" Aku terkejut.
"Tak mahu masuk ke dalam dan tengok-tengok bilik saya?"
"Dari sini pun saya dah boleh tengok. Kalau saya masuk, belum tentu esok saya keluar." Kepalaku mula nak membiru.
"Kenapa?"
"Terlalu luas. Sebesar kondo saya rasanya." Kami tergelak.
"Cantik... Hitam putih. Nasib baik warna hitamnya kurang dominan. Kalau tak ia akan menyuramkan suasana. Katil dan cadar putih saya suka. Tapi kita takkan tinggal di sini. Awak akan tinggal bersama saya di Wangsa Maju selepas kita nikah."
"Wangsa Maju?"
"Ya, di kondo saya."
"Awak tinggal di Wangsa Maju rupa-rupanya. Patutlah kita jumpa dulu di sana dan... Jangan beritahu saya kapcai pink itu masih ada."
"Tentulah masih ada. Itu motor Fatimah."
"Motor Fatimah? Maksud awak Fatimah boleh menunggang? Habis tu, kenapa awak tunggang motor dia malam tu? Kenapa tak bawa Ninja aje? Saja nak aniaya saya..."
"Kapcai aje dia boleh. Motor dia habis minyak masa dia pergi beli Slurpee kat Seven-Eleven. Biasalah orang perempuan, naik aje pandai. Bukan peduli apa. Bila tak boleh jalan, dia called saya. Saya jemput dan hantar dia balik. Isi minyak kapcai dia. Lepas tu nak pergi Seven-Eleven semula. Bunyi kecoh dan awak terlanggar saya. Terkejut ingat ada orang nak pukul curi, saya terus tangkap dan kunci. Budak sengal ni rupa-rupanya! Baju seksa yang amat. Macam nak terlondeh. Macam manalah mama dan papa awak boleh izinkan awak keluar dan pakai macam tu? Hidup-hidup saya ingat awak dikejar perogol. Boy-friend lari lintang-pukang. Pakai macam tu, iman siapa tak tergugat."
"Awak memang panggil saya budak sengal rupa-rupanya? Dah la... Tak mahu cakap lagi. Tutup kes."
Panjang lebar pula dia mengingatkan kisah dolu-dolu. Malu aku belum terhapus lagi. Selagi hidup akanku ingat. Rasanya dah beberapa kali Firman panggil aku budak sengal semasa di Kemboja lagi tetapi malu punya pasal, saja aku buat isu! Tapi sebenarnya aku senang dengan panggilan itu. Rasa cute sangat! Muehehehe.
"Dah awak tanya, saya jawablah. Sengal dan nakal. Itu yang selalu saya panggil. Saya sengaja tak guna Ninja sebab nak kenakan awak yang begitu nampak perasan dan gedik bila nampak Ninja saya. Tersengih aje saya sepanjang jalan..."
"Firman! Awak lanun! Memang awak sengaja kenakan saya rupa-rupanya! Padanlah dengan muka, saya conteng Ninja awak."
"Ahaaa... Mengaku juga akhirnya! Saya memang tau awak punya kerja. Siapa lagi kalau tak budak sengal yang perasan lawa tu!"
"Firman! Jangan panggil saya budak lagi! Saya berusia dua puluh empat tahun dan dah cukup matang!" Kali ini panggilan budak sangat tak diva, okey!
"Walau berapa usia awak, awak tetap budak di mata saya kerana jarak umur kita jauh. Saya dah berumur lapan tahun ketika awak baru dilahirkan. Awak lapan tahun, darjah dua, saya dah berumur enam belas tahun, form four. Saya dah matang tetapi awak masih meleleh hingus..."
"Firman! Awak..." Aku tersenyap. Firman pun terdiam kemudian meledak ketawa kami berdua.
"Apa la kita ni... Kat Kemboja gaduh isu lain... Kat Malaysia isu lain. Nampak banyak betul isunya. Tak habis-habis nak bercekau. Jumpa aje, ada-ada aje yang nak perang."
"Siapa yang kaki lawan? Tak padan dengan kecik, silap sikit nak wacha orang, salah sikit nak wacha orang."
"Saya kecik?"
"Kecik la daripada saya. Hmmm... Nak gaduh pasal kecik besar pula? Tunggu kita nikah, tau la saya nak ajar macam mana kalau awak berani buka mulut nak melawan saya."
Mulut nak menjawab tertutup. Rama-rama semua seram di dalam perut bila melihat Firman tersenyum dan mengerling pedas.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co