Bab 12
Yasmin Qawlah Azwar
Aku curiga tatkala kau tak pernah menghilang
Kami yang sedang tekun menyaring maklumat dan mengumpul data, melompat tangkas mengambil posisi masing-masing di bilik sederhana yang penuh rahsia ini.
"Perancangan bertukar. Siap siaga semua." Itu yang terpacul dari mulut Tedung sewaktu kami menghadapnya. Wajahnya tampak serius dan jelas sedang memikirkan banyak perkara. Sesekali Tedung bertukar maklumat dengan Dato Khan.
Skrin terpapar dan pancaran kilat berkilau menangkap pandangan mata.
"Zeus! Apa berita terkini?"
"Kita berpecah. Ada yang ke pelabuhan. Ada yang di Sorga Nefertiti. Jangan bertumpu di satu tempat. Mereka licik. Markas mereka di pelabuhan akan diberitahu kelak."
"Dapat maklumat lokasi tepat."
"Risikan dapati Prince Joni cuba seludup keluar segala bukti melalui darat ke laut."
"Siapa lagi terlibat? DA sendiri ada waktu tu?"
"Kita masih menunggu. Suspek macam kita jangka, gunakan perempuan-perempuan sebagai perantaraan."
"Operasi kita di Sorga Nefertiti macam mana?"
"Kita menyelinap dalam gelap."
"Di pelabuhan?"
"Sama. Selepas jam 12 malam. Hantar orang kita untuk undercover. Pancing puak mereka dengan buat tawaran."
Tedung memandang Dato Khan dan bos aku itu kemudian berpaling kepada aku. Dush! Huh! Terasa macam badan aku dibelah dua gara-gara si jejaka Raja Para Dewa, Penguasa Gunung Olympus, Dewa Langit dan Guruh!
"Kita bersedia."
Selepas Tedung memberi kata putus, kelibat Zeus terus hilang dari skrin. Aku dan beberapa orang kanan Tedung saling tersandar dan angkat kening. Tapi mulut aku tak dapat dikawal, ringan saja aku bertanya. "Kalau Zeus dah tahu semua, kenapa tak pilih dia untuk misi ni?"
"Kau tak berani ke?" soal Dato Khan.
"Kalau dia ada, bukan ke lebih mudah!" Aku sebenarnya dalam masa yang sama teringin nak tahu siapa Zeus. Lelaki itu penuh misteri sungguh. Susuk tubuhnya biar tanpa wajah bagai menggetarkan rasa.
"Dia aset kita. Kita tak tahu siapa yang jadi musuh kita, siapa yang boleh memberi maklumat. Zeus harus bergerak dalam kabur dan samar," balas Tedung. Aku terdiam.
"Kau kena faham. Ini isu risikan, ini isu taktikal. Nak serang musuh yang licik, kita tak boleh gempur dalam terang. Kena ingat, sekeliling DA ramai sangat benteng manusianya. Dia ada Prince Joni, ada Datuk Taufan, ada Datuk Syed Ehsan... Ada berpuluh, entah beratus lagi orang-orang yang sanggup jadi pencacai dia," ujar Tedung lagi.
"Jadi kita kena ada strategi. Tolak tepi rasa marah atau suka, dendam atau benci, kena bijak atur gerak gempur. Jangan campur adukkan dengan perasaan. Dan jangan cepat percaya orang."
Tak tahu kenapa aku rasa Tedung seperti menyindir aku. Eh, dia mengata aku fasal aku yang tak puas hati dengan Zeus atau fasal aku dengan Ziyad?
"Baik, bos. Saya cuba hati-hati. Tapi saya bertegur-tegur dengan Ziyad tu sebab dia pegawai khas DA."
"Kau perempuan, dia di pihak sana. Jangan sampai ada hati berbahagi kemudian ada rahsia yang terkongsi."
Terasa dilempang pipi aku.
"Baik, bos!"
Malu aku!
Terus terdiam dan wajah terasa panas pijar. Huh! Tak sangka bos besar tahu dan pantau hal aku yang kadangkala baik, yang kadangkala berkelahi dengan Ziyad kalau terserempak di lapangan.
Malam itu sewaktu kami sedang membuat rutin latihan di gelanggang khas kami, gempar dengan bunyi siren yang bergema dan nyaring.
Itu tanda tempoh siap siaga tamat. Itu tanda kami harus berkumpul di check point untuk taklimat terakhir operasi. Siren terus bergema selama lima minit.
"Bersedia semua untuk digerakkan. Kita dah dapat isyarat." Dato Khan memberi awal kata.
"Cobra-Cobra awasi Yasmin. Kita tak tinjau. Yasmin terus terjun dulu."
Gila! Macam kena rentap rasanya jantung aku. Haish, bos aku selalu macam tu. Ikut suka aje tukar arahan. Awal dulu kata Cobra jadi peninjau, line clear, baru aku terjun. Tapi macam biasa, aku tak berani banyak tanya. Apalagi nak bantah.
"Jam satu pagi semua bersedia. Siap untuk terjun." Tak banyak pesanan Tedung. Yang pasti kami akan digerakkan dengan helikopter dan pada saat pagi dingin mencengkam tulang itu kami akan terjun.
Tiba-tiba kepala aku teringat sesuatu.
"Bos, bukan macam ada ladang angsa ke dekat situ? Bising nanti?" Aku terbayang sekawan angsa.
"Ahli team MyJebat takkan takut angsa? Apa barang, Yasmin!" sindir Tedung.
Berdesing telinga aku mendengarnya.
"Kami dah bagi makan dedak, campur julap dengan ubat batuk pada angsa-angsa tu," tambah Dato Khan sambil angkat kening pada aku. Tak mampu bertanya, aku diam aje. Tapi kepala tetap ligat memikir. Bos-bos aku ni bergurau senda ke, memang betul dah jampi angsa-angsa tu kasi senyap! Tapi tak mustahil. Idea Tedung memang selalunya bombastic dan di luar kotak yang terpelanting jauh di luar pagar!
Sebelum jam satu pagi lagi, kami siap menyarung pakaian payung terjun, topeng pada wajah dan tentunya segala senjata yang tersisip tergantung pada harness, di pinggang, di kiri dan kanan. Pada paha aku pun terlekat beberapa peralatan kecil.
Jangan tanya aku berapa kilo senjata yang aku pikul. Tanpa rutin ketat dan latihan keras, memang rebah tak cukup nafas mengheret segala beban dan galas ini.
"Yasmin, sedia untuk terjun. Cobra-Cobra iring Yasmin."
Aku dan yang lain angguk.
"Op Nefertiti. Yasmin ambil posisi." Pemeriksaan pakaian dan peralatan payung terjun dilakukan sendiri oleh Tedung dan Dato Khan. Yang utama digalas di belakang badan, yang kedua untuk saat cemas, diikat di bahagian depan dada. Payung terjun utama dan kecemasan diperiksa dengan rapi. Dua bos besar aku ini memang jump master.
"Ketatkan helmet!" Tedung membetulkan helmet Kevlar aku.
"Tak ketat, helmet tercabut masa paracut kembang, kepala kau pun boleh tercabut."
Aku diam dan angguk. Bos menegur sebab sayangkan nyawa aku. Jadi kena maki begitu, telan saja.
Dinihari yang penuh gempar bagi aku. Wajah aku tatkala itu tentunya tiada riak dan emosi tapi geloranya hanya Tuhan yang tahu. Aku menggalas beban tanggungjawab besar. Jadi aku tak boleh menunjukkan rasa cuak. Nanti kepercayaan bos serta team Cobra boleh terjejas. Bunyi helikopter di luar pekarangan kami memberi tanda kami perlu berangkat. Tedung dari bilik kawalan memberi isyarat tangan melepaskan kami.
"Jumpa lagi lepas ni. Fail merah dalam tawanan kita!" Dato Khan menepuk bahu aku. Pantas aku angguk dan menunjukkan isyarat ibu jari tegak.
Libasan bilah helikopter menebas angin bagai melibas hati aku sebetulnya.
"Terjun pada drop zone. Kemudian mara ke tasik. Kemudian ke Sorga Nefertiti."
Aku dan kumpulan Cobra mengangguk.
Terjunan pada waktu malam bukan mudah. Tapi aku tahu, aku harus yakin. Tiada misi yang terlalu hebat dan tiada misi yang mustahil. Aku cuba psiko diri aku sendiri.
Aku penerjun pertama. Gelap. Hitam gelemat. Sambaran angin dingin terasa tajam dan menghiris diri sehingga ke lapisan terakhir kulit.
Detik yang ditunggu dan digeruni hati muncul. Dengan lafaz basmallah, selawat dan mengucap, aku terjun.
Ya Allah! Kurang ajar punya payung! Tak mahu bekerjasama pula paracut aku ni waku pendaratan. Paracut itu aku anjakkan menghala ke kiri sedikit untuk mengelak busut, tapi agak liar apabila disergah angin. Aku terjunam dan terguling pada busut dan tunggul kayu. Sengal dan sakit seluruh sendi tatkala bergulung macam kek Swiss roll. Mujur tak ada ranting atau dahan tajam mencakar mata atau mengoyakkan kulit.
Dalam masa yang terkekang, aku tanggalkan semua peralatan terjun aku dan sorokkan pada celah belukar. Aku memakai Night Vision goggle. Sekeliling aku tampak hijau. Langkah mula diatur. Tatkala itu deria dengar harus tajam.
Aku tahu kalau ada bunyi ranting patah atau dahan bergeser, itu tentu dari geng Cobra. Menghala ke tasik, aku harus merangkak memanjat teres bukit. Bersama beban tergalas di pinggang, peluh lencun di badan.
Aku terus bergerak pantas tapi hati-hati. Dalam masa yang sama cemas tetap tak dapat disingkirkan dari hati. Huh! Nak meredah tasik satu hal! Ada buaya kot! Kalau angsa dengan segala jenis burung kasawari dan burung unta, aku gagah lagi. Kot-kotlah kena hambat, mahu aku patahkan aje tengkuk semua tu!
"Tujuh minit ke Sorga Nefertiti." Telinga aku mendengar arahan Dato Khan.
"Ya, bos!"
Mahu tak mahu, aku redah tasik yang menghalang aku mendekati Sorga Nefertiti. Aku terjun perlahan. Tak mahu deburan dan kocak air kedengaran sangat. Selepas aku tercebur dalam tasik nan dingin itu, air terus berkocak dan beriak. Aku tahu, itu Cobra-Cobra yang menyusul. Sejuk bukan kepalang.
Sepantas yang mungkin aku berenang dan sesekali menyelam mengelakkan diri daripada disuluh lampu keselamatan sekeliling Sorga Nefertiti itu.
Sampai di tebing, aku beri isyarat. "Sorga Nefertiti di hadapan."
"Okey, sedia!" Suara Tedung berbisik di telinga aku.
Tepat seperti yang dirancang, kami nampaknya berjaya menghuru-hara dan mengharu-birukan keadaan dinihari itu. Kami kacau ketenangan malam. Kami punahkan mimpi orang-orang di Sorga Nefertiti. Jangan ingat bos besar DA dan bininya tak ada, semua pencacai boleh lena tidur.
Aku tahu Cobra sudah mula bekerja keras. Frekuensi tinggi ganggu binatang peliharaan di Sorga Nefertiti. Agaknya kalau ada ikan laga dalam balang kaca, mahu melompat dan kembang ekor ikan laga itu menahan tekanan frekuensi ini.
Riuh-rendah dan bising bunyi binatang sekeliling. Bunyi angsa seladang cukup bingit dan nyaring. Siren terus berbunyi. Kecoh seluruh Sorga Nefertiti.
"Sawa 1, Sawa 2, Sawa 3, Sawa 4, Sawa 5, lepas!" Arahan Tedung pada Cobra-Cobra dapat aku dengar dengan jelas. Lega mendengarnya. Itu tanda semua berjalan dengan lancar. Ular-ular itu sengaja dilepas untuk bikin kacau dan alih perhatian.
"Ya, masuk sekarang!"
Seluruh Sorga Nefertiti gempar dan havoc. Aku sendiri tak sempat ambil tahu berapa ramai pengawal keselamatan yang bergegas menuju ke arah ladang angsa. Misi kami alih perhatian penghuni Sorga Nefertiti sukses!
"Yasmin! Redah! Sekarang." Dato Khan bersuara garang pada earpiece aku. Aku menyusup masuk menggunakan taktik HALO, High Altitude Low Opening ke bilik kebal DA. Kepala aku tatkala ini memang macam Global Positioning System (GPS), yang menyimpan segala peta laluan rahsia dan misteri ke bilik kebal DA. Gambar fail merah pun dah terlekat dalam bayangan.
Terasa laluan aku diberkati Allah s.w.t. Terperasan sekejap, kerja aku dilindungi Tuhan! Allahu!
"Cobra-Cobra sedia laluan untuk Yasmin!"
Tak sampai lima saat aku dengar bunyi dentuman dan letupan. Tapi bunyi itu seperti terkepung dalam ruang yang kedap udara.
Mata aku sempat mengamati sekeliling. Berlapis-lapis pintu besi menghala ke bilik kebal DA. Tak cukup pintu besi, ada pula konkrit yang tebal. Aku akui, kalau tiada Cobra, aku tak mampu laksanakan tugas. Sistem pengesan haba tubuh manusia, sistem sekuriti berkomputer dan sistem hidraulik pada ruang itu memang luar biasa.
"Cepat! Pergi, Yasmin! Ada 60 saat aje di dalam tu." Suara Dato Khan bertingkah dengan suara Tedung menyergah aku.
Ini masanya! Ini saatnya! Tapi entah mengapa, aku terpaku dan terjeda.
"Yasmin! Cepat!" Cobra 1 menjerit ke arah aku apabila menyedari aku seperti tersihir sewaktu memasuki ruang kebal itu. Bukan aku sengaja atau mahu bermelankolik, tapi entah mengapa aku memang sangat terpegun. Bilik ini luar biasa. Skrin jernihnya yang aku kira umpama geluk sakti DA terbentang luas di dinding. Aku percaya dari situ DA mengawasi segala manusia yang menjadi tawanan dan takluknya. Di situ juga dia menyusun langkah menyeleweng kuasa untuk menawan dunia. Mengaut segala kekayaan selagi boleh.
"Yasmin!" Cobra 1 bertempik.
Aku angguk dan terus kembali pada akal waras. Fail merah! Fail merah, Yasmin!
Ada keringat dingin berbintik pada tengkuk aku. Dapat aku rasakan! Ada peluh pada telapak tangan aku. Huh, aku tak dapat zahirkan jenis kegugupan apakah yang sedang menjelir hodoh pada semangat aku. Mata aku terus tertangkap kabinet besi yang ada di satu ruang bilik itu.
"Cepat! 45 saat aje tinggal."
Menggunakan segala perkakas, segala gerudi tercanggih dan pemusnah nombor kod kabinet besi itu, aku terasa muka aku menyerap haba panas. Fail merah di hadapan aku. Aku ambil semuanya dan terus aku masukkan ke dalam jaket kalis peluru aku.
"Biar berkecai badan, biar kena cincang dan dikerat sepuluh, fail merah jangan lepas!" Terngiang-ngiang aku suara Dato Khan dan Tedung tatkala aku sudah memegang fail merah.
Tanpa berlengah, aku dan Cobra-Cobra yang menjadi benteng aku, segera mengatur gerak untuk keluar dari Sorga Nefertiti.
"CCTV, kamera semua dah dimatikan! Sistem dah dimusnahkan." Cobra 1 memberi laporan. Mengurangkan sedikit debar aku.
Baru separuh laluan kami redah, tiba-tiba siren berbunyi kuat sepanjang tempat kami meninggalkan jejak.
"Anak gampanglah! Ada kamera bersepah di bawah lantai ni!"
Cobra 1 sudah menjerit. Baru kami sedari kamera-kamera mikro cukup banyak pada lantai. Pantas geng Cobra menembak sampai berkecai dan berdebu lantai. Bau belerang dan peluru sangat menyengat.
"Cepat! Cepat!" Dato Khan memberi amaran pada earpiece.
Langkah digerak, pantas berdesup kami meredah debu-debu dan puing-puing di hadapan mata. Aku sendiri tak fikir benda lain kecuali harus segera keluar dari neraka dunia ini dalam tempoh yang singkat. Aku mahu cepat sampai ke penghujung sebelum melompat naik ke trak yang sudah menunggu kami.
Siren keselamatan Sorga Nefertiti terus bergema. Masa sangat suntuk. Sewaktu menyusup keluar itu, meledak tembakan dan peluru berdesing di telinga aku. Cobra-Cobra mendahului aku dan memberi isyarat tunduk. Peluru semakin menghujani laluan keluar kami.
"Ke kiri, laluan kecil turun tangga, terus ke pukul tiga." Cobra 1 sempat memberi arahan. Kami pantas beralih haluan. Aku rasa tanpa rompi kalis peluru ini memang berkecai tubuh kami. Sementara itu, aku sudah semakin terputus hubungan dengan Tedung dan Dato Khan. Earpiece sudah tak membantu.
Sewaktu semakin merapati laluan keluar, tiba-tiba langkah kami jadi terencat lima saat apabila mendengar bunyi dentuman dan dentingan besi. Kami saling berpandangan. Cobra 3 menunjuk isyarat belakang kami.
Gosh! Menceracak cerucuk besi dihempaskan sebagai penghalang dan penghadang laluan. Bunyinya mengerikan. Kami terus mengayun langkah. Laju dan langsung tak menoleh. Pandangan mata tiba-tiba berkepul-kepul asap keluar dari lubang-lubang udara di situ.
"Gampang!" Aku menyumpah. Pedih mata dan sesak dada aku memperlahankan langkah aku. Aku tak nampak laluan di hadapan.
"Yasmin, mana kau!"
"Yasmin, dengar tak?"
"Ada!"
"Yasmin, Cobra 1 sini!"
"Aku ada ni..."
"Mana kau? Kami dah di luar."
Celaka! Baru aku sedar aku tercicir ke belakang.
"Cobra 1, mana kau???"
"Cobra 1!"
Celaka!
Aku dengar bunyi derap kasut di belakang aku. Makin lama makin dekat. Jantung aku sudah dihempas ribut dan badan.
Aku memandang keliling. Tak nampak laluan kerana kepulan asap makin tebal. Pedih mata sangat menyakitkan. Bunyi derap kasut berjarak lima meter dari aku. Bunyi siren semakin bergema.
Aku meredah asap dan segala puing-puing habuk debu dalam laluan yang sebesar ukir lilit lubang kubur itu. Mengharapkan ada laluan keluar di hujung sana. Aku terasa aku terputus komunikasi dengan rakan yang lain apabila melihat telapak kasut aku. Ada kesan berserpih pada mikro cip pengesan gerakan aku.
Tapi tak semena-mena, aku bertambah bingung. Laluan di hadapan aku ini bercabang. Arah mana harus aku pergi, kiri atau kanan? Aku menoleh ke belakang, masih kabur dan sebelum sempat aku berfikir, tubuh aku direntap. Aku meronta dan melawan.
"Jangan bising, Yasmin! Ikut aku, cepat!"
"Kau!"
Tuhan! Mahu terlucut jantung mendengar suara itu. Amat aku kenali. "Cepat sebelum sekuriti sampai!"
Ziyad tak lepaskan tangan aku. Dia bergerak pantas, aku bagai patung bernyawa, akur tak semena-mena.
Kami berlari deras. Laluan di situ amat mengelirukan. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri dan ada ketika aku perasan, Ziyad bagai menolak beberapa tembok yang sebenarnya pintu rahsia. Siren terus menjerit nyaring dan aku tahu memang ada segerombolan yang sedang memburu aku di belakang.
Sebaik ternampak cahaya di hujung tembok yang ada pagar berjeriji, aku lega! Terasa nyawa dikembalikan biarpun nafas masih mengah naik turun.
"Pergi! Pergi cepat, Yasmin!" Ziyad mengarahkan aku keluar.
"Pergi cepat, kejap lagi semua sampai ke sini!" kerah Ziyad apabila melihat aku masih berdiri di depannya.
"Yasmin, pergi!" Dia menjegilkan mata.
Aku sedikit tergamam. Wajah Ziyad cemas. Dia toleh ke belakang. Asap pemedih mata masih berkepul.
Tanpa amaran, dia menarik lengan aku dan menolak aku ke luar.
"Pergi, Yasmin!"
Aku sudah lepas dari kepungan tembok neraka Sorga Nefertiti.
"Cepat, kau terus ikut arah bukit sebelah kanan ni. Situ tasik. Cari bangsal kuda. Belakang tu ada laluan keluar terus dari Sorga Nefertiti."
"Pergi, Yasmin! Cepat! Kalau mereka ada jumpa kau dekat sini... Aku tak boleh tolong."
"Kenapa kau tolong aku?" Aku mahu tahu itu. Aku mahu tanya itu saja. Tapi aku terpaku.
"Yasmin... Pergi!"
Aku tergagap-gagap, nak ucap terima kasih tapi rasa cemas dan takut membuat aku terkelu. Namun mengenangkan fail merah dalam sut baju kalis peluru aku, tak semena-mena aku jadi bimbang. Terbayang, kalau-kalau Ziyad yang licik arah aku tanggalkan pakaian aku untuk cari senjata.
"Pergi... Pergilah, Yasmin!"
Aku berfikir pantas lima saat. Oh, mamat ini sanggup khianat DA untuk aku? Aku cuba menghadam mengapa dan kenapa Ziyad bertindak begitu. Tapi aku sendiri tiada jawapan.
"Hei! Kau dengar tak? Cepat lari!"
Ziyad menyergah aku. Matanya membulat menghala ke wajah aku.
"Pergi!" Dia memberi isyarat muka.
"Terima kasih... Terima kasih, Ziyad!" Mulut susahnya hendak dibuka.
Dengan malu-malu dan penuh kepayahan, aku lafazkan juga ucapan keramat. Terasa lebur ego aku.
"Cepat pergi! Selamatkan diri. Aku nak jumpa kau lagi." Ayat hujung itu antara dengar dengan tidak. Hati aku bergetar. Matanya tampak jujur. Tapi kau orang DA, Ziyad! Hati aku berbisik. Untuk orang seperti aku, aku sedar aku tak boleh semudah ini percaya dan terpesona dengan pujuk rayu orang. Dan, untuk orang seperti Ziyad, dia antara lelaki atau manusia terakhir yang boleh aku percaya dan yakini.
"Yasmin!" Dia memanggil. Langkah aku terhenti dan menoleh ke arahnya.
"Hati-hati... Kawasan tu semua gelap." Aku mengangguk. Seluruh jelapang jiwa aku tersentuh. Terasa luar biasa perasaan ini apabila ada yang mengambil berat. Bagai ada yang menunjuk sayang. Tapi... Ahhh... Dia Ziyad El Zamri. Entah-entah semua ini hanya lakonan. Hanya satu kepura-puraan. Terbayang kelibat Ziyad sewaktu abah kemalangan dahulu.
Ziyad, kau lelaki penuh helah! Akal waras aku menggegarkan diri.
Aku berlari dan terus berlari dengan rasa terkilan lagi termengkal dalam hati. Pandangan mata Ziyad yang bening itu masih terbayang-bayang di hadapan mata. Aku nak jumpa kau lagi... Sebaris ayat itu cukup membuat aku terasa berat di dada. Apa maksud kau, Ziyad? Kalau kau mahu berhelah, pedayakan perasaan aku, kau silap, Ziyad! Apa-apalah, Ziyad! Yang penting, fail merah dalam tawanan aku.
Kaki aku terus meredah laluan yang hitam gelemat. Dada aku meronta dengan seribu persoalan. Terasa-rasa ada sepasang mata bening Ziyad pada segenap penjuru dunia ini merenung ke arah aku.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co