Truyen3h.Co

Nefertiti

Bab 15

karyaseni2u

Yasmin Qawlah Azwar

Resah jiwa hilang kata, perasaan ini bukan biasa

Perasaan aku walang, kalbu aku sebu. Aku pulang ke rumah abah. Mencari ketenangan yang semakin kerap hilang. Aku mohon izin dari Tedung untuk pulang bercuti. Nama aje cuti, tapi cuma dapat pelepasan 12 jam saja. Tapi cukuplah untuk aku. Memandang abah, terasa terbang semua masalah. Mendengar suara abah, terasa sakit di dada bagai dibius.

Senja semakin jingga dengan serakan tembaga yang keemasan sewaktu aku sampai rumah abah. Macam biasa waktu begitu, abah tengah sibuk di kebunnya. Tak peduli pada abah yang berpeluh dan berkumal dengan baju kebunnya, aku terus meluru memeluk abah.

"Assalamualaikum, abah!"

"Eh, baru sampai? Cuti ke?"

"Tak cuti pun. Tapi saja balik kejap."

Abah meletakkan telapak tangan ke dahi aku. Terasa aku masih dianggap anak kecil sampai bila-bila di mata abah.

"Yasmin demam ke? Panas ni?"

"Taklah... Penat kut." Aku berdalih. Biar yang sebenarnya badan aku masih berasa tak sedap. Angin panas mengepung kepala aku.

"Jom, masuk rumah. Nak maghrib ni... Nanti abah goreng ikan sepat ni," ujar abah sambil menunjukkan baldinya yang penuh dengan ikan-ikan yang ditangguknya di tali air dalam kawasan kebunnya.

"Yasmin masak nasi. Nanti abah siap siang, goreng garing-garing, kita tabur bawang, halia, serai sama cili padi. Perah asam limau."

Memang kecur liur aku mendengarnya.

Selesai solat maghrib berjemaah, kami dua beranak pantas dan ligat di dapur. Masak pun cuma satu lauk itu saja. Tapi memang aku makan bagai orang yang lepas geram. Biar pedas berdesing, tapi seronoknya berpeluh-peluh makan apatah lagi bersama abah, perasaan itu sukar diungkap.

"Kenapa lebam-lebam kaki tu... Habis lengan pun birat?" Soalan abah buat aku tergamam seketika. Aku baru mahu menyapu minyak angin dan minyak zaitun pada tumit aku waktu itu. Tak sangka, mata abah cukup tajam. Memang tadi aku baru saja bubuh ubat luka pada betis aku. Semua itu kesan dan parut sewaktu aku meredah masuk Sorga Nefertiti.

"Eh, jatuh."

"Jatuh apa? Dari mana? Hah, Yasmin panjat pokok kelapa ke? Habis berlelas kulit sampai melecet."

Aku mengulum senyum sambil kepala ligat berfikir mahu menangkis soalan abah.

"Kalau rasa badan tak larat, lepas tu selalu stres, abah tak larang kalau Yasmin nak keluar dari kumpulan kerja sekarang."

"Hish, tak adalah, abah."

"Habis tu kenapa abah tengok muka pun macam orang sedih aje? Macam ada masalah besar."

"Tak ada apa, abah. Betul. Semua okay aje. Yasmin sayang kerja Yasmin."

"Alhamdulillah... Kita kerja biar ikhlas. Kalau terpaksa kerja kuat atau berkorban, jangan berkeluh. Nanti jadi tak ikhlas. Lagi satu pesan abah, jangan pukul canang mintak orang hargai kita. Kalau kita hebat, biar orang yang kata kita hebat. Jangan kita asyik nak mengangkat diri sendiri."

"Abah ni... Yasmin mana ada macam tu!"

"Abah tak kata Yasmin... Tapi abah cuma pesan. Abah pun pernah muda. Kadang-kadang waktu muda, cepat melatah, tak banyak pengalaman, kita asyik berkeluh aje. Kita nak kaya cepat, nak hidup senang sampai ambil jalan pintas."

"Itu orang. Bukan Yasmin." Aku seperti dapat mengesan kesedihan di sebalik pesanan abah itu. Aku tahu mungkin sebab itu juga, orang yang melahirkan aku, sanggup meninggalkan aku yang masih bayi dan menghumban abah dari hidupnya.

"Orang kalau hebat, kalau jujur dan ikhlas, ada waktu Allah s.w.t uji. Masa hidupnya mungkin orang tak peduli. Tapi bila dia dah tak ada, baru orang tercari-cari, terindu-rindu. Huh, orang kita kan selalu macam tu... Bila esok lusa, orang tu dah tak ada, baru nak disebut-sebut, diingat-ingat dan dipuji-puji. Tapi kalau sekali kita buat jahat, sampai ke lubang cacing orang selongkar jahat dan buruknya. Mintak simpang benda begini..."

Kata-kata abah itu buat aku semakin jauh terfikir sendiri.

"Macam mana kita nak tahu hati orang, abah?"

"Kenapa? Apa sebab Yasmin tanya macam tu?"

"Kerja macam Yasmin ni kadangkala buat Yasmin takut diri sendiri. Takut tersalah anggap pada orang. Takut tertuduh orang yang jujur. Takut terkelabu mata, orang yang berniat jahat tu pula Yasmin sangkakan ikhlas."

Spontan aku mengadu pada abah. Entah kenapa, memang sejak akhir-akhir ini banyak perkara menyesakkan kepala aku. Tugasan demi tugasan, risikan demi risikan dan operasi demi operasi yang dirancang, ada waktu membuat aku gementar dalam diam. Aku bukan pendeta yang mampu mentafsir tepat kata-kata orang. Aku bukan ahli sufi yang boleh membaca hati orang.

"Selagi Yasmin jujur, ikhlas dan yakin serta berserah diri pada Allah s.w.t untuk perlindungan, kejujuran dan keikhlasan tu akan kembali pada Yasmin."

Aku menghela nafas lelah mendengar nasihat abah. Huh, untuk capai ke makam hati yang begitu, rasanya aku jauh, jauh, jauh lagi kena belajar soal kehidupan ini.

Malam kian larut dalam kedinginan. Bulan yang diselindung awan, bertukar warna pinang masak.

Lewat malam, abah menghabiskan masa dengan membaca kitab tafsir al-Quran dan mengaji. Aku sendiri entah mengapa duduk diam dalam bilik bacaan, menyelongkar gambar-gambar lama kami. Rasa sebak sendiri melihat aku sewaktu kecil sentiasa dalam dukungan dan pelukan abah. Ya, abahlah syurga aku dunia akhirat. Aku miskin kasih ibu, tapi aku membesar dalam limpahan kasih abah yang tak tertanding biar langit dan bumi jadi sukatannya.

"Buat apa tu?" Tanpa aku sedar, abah sudah menjengah aku di bilik itu.

"Errr, Yasmin nak buat salinan gambar ni guna handphone. Kalau simpan gini, takut rosak dimakan bubuk."

"Gambar kita bertiga ada dalam kotak hijau."

Aku terdiam dan menelan liur kesat. Aku faham maksud bertiga. Itu maksudnya bersama perempuan yang melahirkan aku.

"Satu hari esok, Yasmin pun akan bernikah, ada suami, ada anak... Biar orang tak suka kita, asal kita tak membenci pada orang."

"Kita tak pernah buang orang, orang yang buang kita. Kita tak pernah benci orang, orang yang tak sudi dengan kita, abah."

Segera aku menjawab. Aku cuba kawal perasaan. Tak mahu terkasar bahasa dengan abah. Tak mahu abah tersinggung. Tapi kalau menyebut hal yang satu ini, hati aku selalu terluka sendiri.

"Jangan cakap macam tu. Itu dah takdir kita. Hidup ni kena reda, baru kita dapat pahala dengan segala ujian yang Allah bagi. Ujian tu nikmat sebab ujian tu mematangkan kita." Lembut abah memujuk.

"Huh, Yasmin sampai mati nak hidup dengan abah aje. Tak kahwin pun tak apa."

"Tak elok cakap macam tu. Abah doa siang malam, biar Yasmin dapat jodoh yang terbaik. Yang mampu jaga Yasmin dunia akhirat, yang sudi terima Yasmin dan keluarga kita yang serba kurang dan tak sempurna ni."

Bertakung air mata aku mendengar ungkapan abah.

"Sibuk-sibuk kerja tu, takkan tak jumpa jodoh?"

"Huh! Abah ni!"

Aku tergelak dalam muka yang berkerut tak selesa ditanya begitu. Abah sendiri berdekah ketawa. Bahagianya rasa waktu itu tak terucap. Kami kecil, kami tak ramai, kami tak ada sesiapa, tapi alhamdulillah, kami bahagia dengan cara kami.

Sebelum aku pulang ke base aku jam empat pagi, aku sempat bersolat tahajud bersama abah. Tenang rasa jiwa. Damai dan tenteram yang sangat luar biasa. Segala resah dan gelisah yang mengacau tidur dan jaga aku selama ini terus melayang ke langit terbuka. Aku berasa sangat lapang perasaan. Ada air mata yang deras mengalir di pipi tatkala abah mengucup dahi aku dan aku memeluk abah sambil berdoa semoga aku diberi masa yang lama untuk bersama abah.

"Jangan nangis. Benda yang sudah, jangan biar dalam hati. Nanti kita sakit sendiri. Lepaskan. Yasmin berhak untuk bahagia. Yasmin anak abah. Yasmin bidadari abah. Abah nak Yasmin hidup sempurna macam orang lain. Ada suami yang baik, ada anak-anak menyambung keturunan abah."

Terasa meluncur laju air mata. Oh! Abah selalu bikin aku sebak begini dengan kebaikan dan ketulusan hatinya.

"Doa jangan jemu. Biar ditemukan jodoh yang baik," bisik abah. Aku mengetap bibir.

Mahu saja aku mengadu pada abah. "Boleh tak abah doakan Yasmin... Dijauhkan lelaki yang memusang! Dijauhkan lelaki yang berhati keldai lagi baghal? Dijauhkan lelaki yang penuh dengan lagha dan maksiat. Yang hidupnya hanya tahu mencekik bangsa sendiri."

Tapi aku tak termampu mengucapkannya. Aku doa sendiri-sendiri saja. Mudah-mudahan Allah s.w.t jauhkan aku dari Ziyad El Zamri yang sentiasa mahu mencuba-cuba aku. Semoga doa abah mustajab dan makbul. Kalaulah Ziyad ada niat buruk pada aku, pinta aku hanya satu... Biarlah dia dapat musibah! Biarlah dia diberi hukum oleh Allah s.w.t.

Cukup-cukuplah dia selalu mengacau jiwa aku, mengganggu ketenangan aku dan sesekali dia memang datang menyergah dalam mimpi aku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co