Truyen3h.Co

Nefertiti

Bab 8

karyaseni2u

Ziyad El Zamri

Neraka bernyala di hujung dendam

Kami di bilik kebal. Rasa terasing dan bagai terbenam di dalam dasar tanah secara harfiahnya.

"Ziyad, standby semua!"

"Baik, bos!"

Aku pastikan semua yang patut bernyala, terpasang dan live telecast bos aku dengan Datuk Syed Ehsan berjalan lancar. Sejak malam kelmarin aku tak lena tidur sebetulnya.

Suara Datuk Syed Ehsan bergema menyeru semua balacinya mengambil tempat. Aku, DA dan Datuk Taufan tak berganjak dari kedudukan masing-masing. Kami memandang skrin sebesar dinding di bilik kebal DA ini dengan penuh debar.

Dalam hitungan detik, aku rasa ada gemuruh di dada aku.

"Hold your fire! Hold your fire!"

Tiba-tiba kami mendengar suara Datuk Syed Ehsan sedikit gelabah.

"Ada halangan?" DA pantas bertanya. Matanya semakin mengamati skrin di hadapan kami. Jelas, kami seperti menonton wayang dan klimaksnya semakin dirasai. Segala yang berlaku di luar sana, dapat kami perhatikan dengan penuh terperinci.

"Ada yang cuba hack masuk!"

"Biar betul!" Datuk Taufan mula mencerlang matanya. Dia menghampiri komputer yang ada di hadapannya.

Pantas tangannya menekan kekunci, menggodek sesuatu. Aku sendiri mengawal dan menyelaraskan kamera video satelit yang menjadi lokasi pagi ini sebagai sasaran. Ya, wajah aku mungkin tampak tenang, tapi di dasar jiwa, aku saja yang tahu betapa segalanya berkecamuk.

"Jangan bertindak dulu, tunggu signal aku." Datuk Syed Ehsan memberi peringatan. Aku lintas langsung ke kawasan target. Semuanya tampak seperti biasa. Tiada sebarang yang mencurigakan.

"Apa dah jadi ni, Ehsan?" DA sedikit gelisah. Kalau perancangan ini gagal, bererti akan tertangguh segala perancangan yang lain.

"Ada yang cuba hack. Cuba alih perhatian kita, bos!"

Suara itu kedengaran cemas.

"Kita tak ada pilihan. Proceed!" tegas DA sambil mengamati segala butiran data di skrin Datuk Taufan.

"Ya, proceed atau ribut taufan amuk!" Datuk Taufan memberi amaran. Matanya memandang jam yang sudah pun menjangkau pukul 11.09 pagi. Aku menarik nafas berat.

Nampak dari skrin, satu pasukan tempur rahsia di bawah pengawasan Datuk Syed Ehsan, berada di dalam kabin. Mereka tampak bersiap siaga dengan segala kemungkinan dan sedang menunggu arahan.

"Mana lelaki tu?"

"Ada, bos. Belah kiri bos, kedudukannya jarum jam 11." Datuk Syed Ehsan memberitahu. Mata aku melirik. Oh, itu dia... Itu dia sudah menanti di situ. Aku menahan debar. Nafas aku terasa seperti tersekat di halkum.

Lelaki itu memakai kemeja berkotak, berseluar panjang, bertopi serta memakai cermin mata. Dia berulang-alik dan asyik memandang ke dalam bangunan pusat perubatan itu.

"Standby semua. Target Q berada 200 meter menuju sasaran." Suara itu mula menguasai ruang. Kami di bilik kebal terdiam tanpa siapa yang memaksa kami untuk senyap. Kala itu kalau angin menguis ranting dan daun, pasti jelas kedengaran. Mata kami pantas mengamati langkah target.

Kelihatan lelaki tua itu yang disebut sebagai Q aku lihat sedang berjalan ke arah parkir kereta.

Dari skrin dapat kami lihat, dia seperti terhenti dan berpaling ke arah seorang anak muda. Raut wajah mereka tampak mirip. Aku kira itu anak bujangnya. Kelihatan pemuda itu menggunakan kerusi roda. Mungkin baru sudah rawatan di hospital. Pergerakannya amat payah, sukar dan sulit. Ya, sesulit hati aku yang melihat.

Lelaki Q kulihat membantu menyorongkan kerusi roda itu. Aku tahu, itu memang anak bujang Q. Mereka bergerak bersama-sama. Tiba-tiba angin menderu, langit berubah mendung. Ada hujan yang dikandung awan. Kami terdiam menyaksikannya.

Lelaki Q seperti berkata sesuatu sambil terus menolak kerusi roda anak bujangnya itu. Aku mentafsirkan, Q meminta anaknya menunggu di wakaf berdekatan. Sementara Q menuju ke kereta. Hujan mulai merintik.

Dan langkah Q tiba-tiba dipintas oleh lelaki yang menunggu di bawah pokok. Lelaki penarik kereta yang memang sudah bersedia menanti mangsanya sejak tadi. Mungkin juga sejak sebelum subuh tadi dia sudah datang mengamati territorynya.

Aku terpegun memandang skrin.

DA tegak mengamati penuh taasub.

Datuk Taufan membuntang mata. Penuh obsess dan nafsu memandang skrin.

"Fire!!!"

"Shoot to kill!"

Satu ledakan peluru tidak mencukupi. Tembakan berkali-kali tepat di belakang badan Q. Dan seperti kantung berisi darah, belakang badannya bocor dan menyembur cecair likat merah. Dia rebah serta-merta.

Darah mengucur berserak. Aku nampak dengan jelas tubuh itu menggelupur dan menggelepar. Hujan bergerimis menyebabkan darah bagai mengembang dan melimpah pada bajunya.

Aku semakin terpukau memandang skrin. Aku kira bos aku turut mengamati susuk tubuh yang sama.

"Watch out that guy! Standby!" Suara Datuk Syed Ehsan memberi arahan.

Anak muda yang setia menanti kelibat Lelaki Q tampak terkejut dan longlai. Kami nampak jelas, dari gerak tubuh, dia meraung dan cuba memutarkan roda pada kerusinya itu menuju ke arah bapanya yang sudah terlentang.

Satu lagi tembakan meletus. Anak muda itu tersungkur apabila aku kira, menerima ledakan peluru di kakinya. Demi mahu mengelak keadaan yang mencemaskan itu, kerusi rodanya tertangkup dan dia jatuh tersembam. Menyembur darah dari kakinya. Paling-paling aku rasa, tulang kakinya bersepai. Jalan yang berdebu itu kini bersimbah dengan darah. Tubuh anak muda itu tampak seperti disentap-sentap. Pastinya menahan sakit. Dia terus mengengsot menghampiri tubuh kaku bapanya. Langit mendung bagai berkabung sama.

"Mission accomplished." Suara Datuk Syed Ehsan kedengaran amat lega.

"Confirm mati ke ni?" Soalan Datuk Taufan membuat DA tampak kaget.

"Dia tak mati, tak fasal-fasal kita yang mati!" ujar DA dengan wajah serius.

"Tiga tembakan yang masuk dari arah belakang badan mangsa dan empat tembakan masuk dari arah depan. Kami pasti, bos."

"Yakin?"

"Kami pantau dari jauh, bos. Organ dalaman yang tercedera tu jantung dan saluran darah utama. Luka tembus macam ni jantung confirm parah," sahut Datuk Syed Ehsan. Aku tumpang mendengar saja.

"Well done, boys! Bravo!!!" DA terus menarik kerusi dan tersandar dan terus bertepuk tangan.

"Jangan buang masa. Terus kabur!"

Datuk Taufan pantas mengingatkan. Ya, misi belum dikira selesai kalau jejak masih ada.

Dan hari ini, aku terasa bumi tanah yang kupijak ini terbelah pada dua musim. Di utara, menghala ke langit, ada cerita sedih. Ada roh yang terbang pulang sementara menunggu saat berhimpun di mahsyar. Tentunya entah berapa banyak air mata yang mengalir mengiringi pemergiannya.

Di selatan, di bawah langit, tempat Sorga Nefertiti tersergam indah, ada pesta yang menggila dan liar. Semua asyik maksyuk penuh ceria bahagia meraikan kejayaan siang tadi. DA, Datuk Taufan tentunya Datuk Syed Ehsan, menderam mabuk. Kejayaan disambut dengan pesta. Entah berapa tong arak disediakan. Kala ada keluarga bertalkin dan bertahlil, DA dan sahabatnya semua sakan menikmati kaviar yang ditempah khas.

Perempuan-perempuan muda, berskirt sontok, berbaju singkat, menunjukkan lurah yang membuak, menjadi tamu malam ini. Aku faham sangat. Mana-mana tamu lelaki yang tak membawa consort, boleh aje menikmati 'desert' yang disediakan oleh Datuk Syed Ehsan.

Datin Naila sendiri tak banyak soal. Alasan DA. "Kita perlu semua blondies ni untuk business!" Pilih saja mana mahu. Yang berkuku merah, berkuku hitam, bergincu ungu, rambut perang keemasan... Berdada seukuran mangkuk cendol atau buah tembikai susu, semuanya ada!

"Cheers!"

"Cheers!"

Gelas-gelas wain merah yang termahal di ibu kota berlaga dan berdenting-denting, sebelum ditogok rakus.

"No worries selepas ni, DA. Semua settle." Datuk Syed Ehsan dengan wajah yang merah padam dek terlalu banyak menelan sampanyi, bangga dengan usahanya.

Tiba-tiba aku nampak Datuk Taufan menjawab satu panggilan telefon. Wajahnya berubah serius, gelas di tangan diletak tepi.

Selesai di telefon, dia berbisik sesuatu pada DA. Terangguk-angguk bos aku itu. Macam ada hal penting. Dan tiba-tiba dia menggamit aku.

"Ziyad, kau uruskan apa patut. Beritahu orang-orang kita, Sheikh Aali kita beri penghormatan negara," ujar DA sambil matanya melirik ke arah Datuk Taufan.

Aku terkejut dengan arahan itu.

"Nanti hubungi kedutaan kita di Mesir. Sheikh Aali kita tolong hantar pulang, ya!" DA menepuk-nepuk bahu aku sambil angkat kening.

Aku mengangguk dan sudah mula terbayang sederetan tugasan yang terpikul di pundak ini. Malam semakin tua, Sorga Nefertiti kian hangat.

"Ayuh, malam ini kita punya. Kita nyanyi sampai pagi." Datin Naila dengan wajah baru dan penuh girang, mencapai mikrofon.

Dia kemudian memberi isyarat kepada pembantu peribadinya. Lagu minus one dipasang. Tentunya semua lagu-lagu oldies itu kegemaran Datin Naila.

Suara nyaring Datin Naila meleburkan sunyi malam. Ratu Nefertiti ini benar-benar berpesta. Aku sebenarnya tak sanggup mendengar tapi setiap kali Datin Naila habis menyanyi, aku dengan muka plastik harus bertepuk tangan.

Mereka yang lain terus mabuk dan tenggelam dalam keseronokan.

"Ziyad, come on... Takkan pandang aje?"

"Terima kasih, bos. Saya tak biasa. Takut termuntah."

"Bodoh!!! Benda mahal kau nak muntah! Pergi berambuslah... Tak mahu minum, kau boleh jalan!" Berdekah-dekah yang lain ketawa menganjingkan aku.

"Pirahhh! Minumlah sikit... Baru rasa syurga dunia!" Datuk Syed Ehsan mengejek. Lelaki itu serabai sungguh aku lihat. Mata sudah kuyu merah. Entah perempuan mana yang diangkutnya, duduk bertenggek di riba tuanya. Meluat aku memandang bonzer DA yang tua tak sedar diri ini.

Aku angguk biarpun mulut terasa ringan mahu menjawab. Tak mengapalah. Lebih baik aku pulang daripada aku disimbahnya dengan air kencing syaitan itu atau nasib tak baik, aku pula kena kutip, pikul ke kereta dan uruskan mereka pulang.

Ada yang sudah menangkup di meja, ada yang sudah meniarap di tepi kolam renang. DA sendiri aku lihat entah sudah berapa gelas diteguknya.

Aku perlahan-lahan menyusup pulang. Memulas deras Yamaha YZF-R15 aku, membuat aku terasa mahu terbang. Mahu aku hapuskan segala yang aku lihat siang tadi. Mahu aku humbankannya ke hujung dunia yang gelita tatkala ini.

Aku terasa semakin mual dengan semua manusia yang berperangai binatang ini.

Mudahnya ambil nyawa orang. Macam menepuk nyamuk yang berdengung di telinga.

"Bos kau tak ubah macam binatang sarkas! Kau sendiri tak penat ke jadi badut!" Bagai terdengar-dengar sindiran Yasmin tatkala kami terserempak sewaktu latihan menembak dua minggu sudah. Entah kenapa, kala begini aku rasa ejekan Yasmin ada betulnya!

Semoga semua ini cepatlah berakhir! Aku sendiri tak larat menengok perangai manusia berwajah anjing di sekeliling aku. Semua jadi rakus kerana nafsu. Merembat harta, kuasa dan nyawa orang tak berdosa, macam anjing menggonggong bangkai. Mudah-mudahan takdir jagat tanah bertuah ini menjadi lebih baik selepas ini. Mudah-mudahan akan ada petunjuk Tuhan untuk aku berbuat sesuatu!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co