Truyen3h.Co

Nefertiti

Prolog III

karyaseni2u

Ziyad El Zamri

Aku mencintainya, biar musuh mencincang jantung ini

Susah untuk aku ceritakan detik-detik awal perkenalan aku dengan Yasmin. Banyak perkara yang aku tak boleh kongsikan. Ada seribu alasan yang memaksa aku menutup mulut. Nantilah, sampai masanya semua akan tahu. Termasuk Yasmin sendiri! Aku tahu Yasmin sendiri tertanya-tanya. Dia sendiri puas mendesak, tapi belum masanya untuk aku berterus terang.

Hati aku menjadi semakin pasti terhadap Yasmin apabila aku mengerjakan umrah di tanah suci.

"Siang malam aku seru nama kau, Yasmin. Aku doa tak putus untuk kau. Biar semua urusan kau Allah lindung. Aku sempat sebut nama kau di Raudah dan Multazam."

Payah sebetulnya untuk aku meluahkan dengan jujur. Tapi aku tak mampu berbohong. Apa maknanya doa aku itu kalau bibir aku berpura-pura?

Aku terasa halkum aku seperti naik turun. Aku benci sebetulnya kalau nak luahkan benda-benda macam ni pada Yasmin. Tiba-tiba aje rasa bebal dan dungu. Tak pandai nak susun ayat untuk sahabat yang seorang ini.

Ya, aku bersungguh-sungguh sewaktu dapat bersolat di Raudah. Sebaik kedua-dua belah kaki memijak kawasan hamparan hijau itu, aku gementar tidak terkata. Perasaan aku melayang dalam rasa sebak yang menghambat. Apatah lagi tatkala seluruh tubuh dan sendi ini tunduk penuh nikmat merayu Ya Rab.

Hilang keegoan aku. Aku terasa jasad ini umpama debu tatkala bersujud. Siapalah aku! Lelaki yang selalu dikejar dan mengejar! Lelaki yang hidupnya ada ketika bagai memejam mata melihat segala yang mungkar. Kalau melihat dari mata kasar, aku tahu, aku serba kekurangan apabila dibandingkan dengan Raid Arjuna. Ah, bukan takat serba kekurangan, aku serba tak ada. Keakraban kau Yasmin dengan Raid Arjuna, selalu membuat aku sedar diri. Tapi tak mengapa bukan, kalau aku menyimpan rasa ini dalam diam. Mencintai dalam diam itu lebih membahagiakan kerana aku tak perlu takut pada penolakan.

Aku kuatkan hati dan buang rasa malu menelefon engkau dari jauh, Yasmin.

"Betul! Aku memang doakan kau, Yasmin." Suara dari tanah air itu seperti tidak percaya.

Yasmin tergelak-gelak.

"Aku doakan kau hidup lebih tenang. Tak hidup macam zombie. Haha, tak perlu siang malam nak fikirkan macam-macam misi kau." Aku bersungguh-sungguh memberitahu. Sekurang-kurang, aku mahu Yasmin tahu, aku benar-benar ikhlas mahu bersahabat.

"Baiknya kau, Ziyad! Rasa macam aku ni banyak dosa dengan kau!"

"Sebab kau banyak dosa dengan akulah, aku payah nak lepaskan kau."

"Kau ni macam bos kau ya... Cakap bukan main. Tapi semua janji 'dinodai'." Sinis sungguh suara itu. Aku tak mahu beralah.

"Masa dekat Multazam, aku merayu pada Allah s.w.t, biar hidup kau dengan hidup aku ni lebih tenang. Mohon Allah beri jalan pada kita tiap kali kita nak selesaikan kerja."

"Kau tak doakan aku cepat kahwin? Doakan aku jangan goreng ikan hangus lagi. Doakan aku masak daging biar empuk. Tak liat macam tayar lori."

Suara itu mengekek gelak di hujung talian.

Aku sedikit berdebar apabila Yasmin menyebut hal jodoh, pantas aku menyampuk. "Dah tahu kau tak reti masak, buat apa doakan kau cepat dapat jodoh. Menyusahkan lelaki aje!"

"Kau memang tak senang hidup kalau tak dengki dengan aku!"

"Gosh! Aku lupa... Yalah, kau kalau malas masak, boleh aje kan pinjam orang gaji Si Raid Arjuna tu!"

"Haip!!! Kita sembang ni tak ada kena-mengena dengan Raid. Kau tu dekat Mekah, mulut jangan cabul. Nanti Allah bagi tunai! Nanti tak fasal-fasal ada yang kena ambush dekat sana."

Kami sama-sama tertawa. Dia di tanah air, aku masih di Mekah. Aku tak tahu di mana puncanya. Tapi aku terasa bahagia dalam debar untuk memikat hati beku Yasmin. Gadis ini tak mudah untuk menundukkannya.

Dan, ya... Aku sedar siapa aku! Aku sedar aku tak ada apa-apa untuk dibanggakan. Aku sekadar hidup makan gaji. Aku hanya menurut perintah. Aku selalu mengingatkan diri sendiri tatkala berangan-angan untuk bersama-sama Yasmin.

"Bila kau balik? Mak kau sihat? Kirim salam pada Mak Cik Minah nanti ya!"

Belum sempat aku menjawab, panggilan kami terganggu.

"Kau dengar aku tak, Ziyad?" Terputus-putus suara Yasmin.

Aku masih boleh mendengar tapi suara Yasmin macam bergaung. Ada ketika bunyi mendesah. Seperti ada orang mencari siaran radio. Dan sesekali bunyi bingit yang menyakitkan menghentak telinga aku. Pedih gegendang dibuatnya.

"Aku dengar kau cakap. Tapi kenapa suara kau macam kau bercakap dalam air. Kau tengah menyelam dalam sungai ke?" Aku separa menjerit. Kemudian tersedar di sekeliling aku ramai orang.

"Ziyad... Ziyad..."

Aku terasa ada sesuatu yang tak kena. Suara Yasmin bergema, kemudian tenggelam.

Dan terus perbualan kami terputus. Aku berasa tidak sedap hati. Aku tahu, orang tentu menuduh aku berlebih-lebihan kalau terasa ada mata yang mengekori. Memanglah di sini ada selautan manusia. Tapi aku tak tahu mengapa, detak hati mengatakan langkah aku di sini ada yang mengekori.

Ke mana aku pergi, terasa ada bayang bermata merah yang mengekori aku. Entahlah. Tapi ekor mata aku ini bagai dapat menangkap sesuatu.

Tiba-tiba belakang aku ditepuk. Mujur aku tak menyilang lengan macam biasa.

"Mak! Ya Allah!"

"Ziyad ke mana? Mak cari tadi," ujar emak yang tampak jernih air muka. Aku pula rasa bersalah. Leka berbual dengan Yasmin membuatkan aku nyaris terlupa janji pada emak. Mujur aku belum bergerak jauh dari pintu King Abdul Aziz.

"Lama ke mak cari? Ziyad telefon kawan tadi." Polos jujur aku mengaku.

"Dah janji jumpa dekat sini, tu yang mak terus ke sini. Nasib baik mak camkan Zamzam Tower. Telefon Yasmin ke?" Emak menebak.

Aku cuma mampu mengulum senyum. Tapi bersyukur sangat. Mujur Zamzam Tower yang begitu menjulang dengan tinggi 601 meter itu posisinya tepat di depan pintu King Abdul Aziz. Jadi kebarangkalian emak untuk sesat, kurang sedikit.

"Cuba lepaskan hal-hal dunia ni. Hal-hal kerja tinggalkan. Kita ke sini buat ibadat." Terasa tertampar muka sendiri apabila emak menegur.

"Tadi mak nampak macam ada orang pandang-pandang mak. Ingatkan dia kawan Ziyad. Sejak selesai solat tadi, mak terasa ada orang ikut."

Oh, kali ini aku tak mampu bersangka baik. Jantung terasa dilibas. Tapi aku cuba tunjuk muka tenang depan emak.

"Perempuan ke lelaki?"

"Kalau dah sembahyang sama dengan emak, perempuanlah."

"Berapa orang?"

"Dalam empat orang."

"Mana mak tahu dia orang ikut?"

"Entah, rasa tak sedap hati. Macam kena kejar pula tadi. Masa nak cari kasut tadi pun rasa tiba-tiba seorang yang badan besar, pakai niqab tu himpit emak."

Aku segera mengajak emak balik ke hotel biarpun asalnya hajat hati mahu menemani emak membeli barang.

"Eh, kata Ziyad nak cari jubah, nak cari minyak seribu bunga?"

"Lain kalilah, mak. Kita rehat dululah. Esok pun sempat lagi."

Di kamar hotel, sewaktu sedang membersihkan diri, telefon aku berbunyi lima kali. Nombor si pemanggil tidak muncul di skrin. Emak sudah menjeling.

"Sudah-sudah hal kerja tu, Ziyad. Kita selesaikan dulu di sini."

"Angkat pun tak berjawab, emak."

Emak berkerut mendengar namun aku tak mahu memanjangkan cerita. Aku capai minyak angin dan minta emak yang duduk di atas katil berlunjur. Aku picit betis dan kaki emak. Tampak bengkak sedikit gara-gara banyak berjalan.

"Syukur sangat. Allah s.w.t beri rezeki pada Ziyad. Muda-muda dah sampai sini dua kali. Tapi jangan ambil sambil lewa. Jangan anggap macam pergi melancong pula."

Aku angguk tapi bunyi telefon amat mengganggu. Baru aku capai untuk matikan terus, satu mesej masuk.

Aku bagi kau tiga hari. Kau jangan cabar aku. Kau jangan acah-acah nak tunjuk jantan kalau tak mahu nama kau ada gelaran arwah di depan. Kalau kau jadi arwah, aku pastikan sebelum nafas terakhir, biji mata kau tu aku korek dan kemudian aku keringkan tengkorak kau pula, sampai aku boleh buat hiasan tengkorak kau tu.

Aku delete mesej itu. Dada berat. Aku meraup wajah. Mohon kesabaran daripada Yang Maha Pengasih.

Berdenting lagi mesej masuk.

Aku kira kau faham amaran aku! Aku rasa kau tahu maksud aku... Atau kau nak rasa macam mana pisau jahanam ni tembus ke jantung kau kemudian terjulur di belakang badan?

Aku mula berpeluh. Tuhan, ini ke ujian aku di sini? Aku padam. Tapi mesej terus menggila.

Hoi! Aku tak main-main ya! Aku bukan acah-acah! Ni amaran keras, amaran berdarah, amaran maut! Kau jangan ingat kau hebat. Kau sentiasa dalam radar aku. Jejak kau tak pernah hilang, tak pernah kabur dari aku. Aku perhati dan tahu bila kau terlelap dan bila kau terjaga. Kau jangan main-main dengan aku. Kalau teringin nak tengok darah dalam badan kau tu kering, kau cubalah bergurau dengan aku.

Tipu kalau aku tak ternafsu untuk mencarut semula. Tapi kaki aku terpasung, tangan aku terikat. Aku di tanah suci. Allahuakbar!

Oh ya, aku tahu kau dengan mak kau! Tunggu dan lihat!

Aku baca, berkali-kali. Mata aku merah. Dada aku semakin sendat. Aku padam kemudiannya. Ya Allah, kepada Engkau aku berserah.

Fikiran aku mula jadi kacau-bilau. Mengapalah manusia jadi gila... Dan ramai yang gila? Aku di tanah suci bersama emak, mengapa harus diganggu?

Aku seperti dapat mengagak ini kerja siapa.

Setiap kali kaki melangkah, mata aku liar memandang keliling. Aku cuba untuk bersiap siaga namun dalam hati, aku akur. Hanya pada Allah s.w.t, aku bermohon, berlindung dan berserah.

Aku dan emak bergerak awal ke masjid untuk menunggu maghrib. Fikiran aku bersimpang-siur, perut aku sebu dan sengkak memikirkan.

Aku mendongak memandang ke langit. Satu pemandangan yang menggerunkan menanti di puncak langit.

"Subhanallah!" Emak sendiri berkali-kali melafazkan rasa takjubnya. Aku pantas memaut lengan emak. Entah mengapa, seribu perasaan bermain dalam jiwa.

"Ya Allah! Macam malam!" Aku sendiri menjadi pegun lima saat.

Aku memandang sekeliling. Jemaah umrah yang lain tampak sama memandang ke langit dengan raut wajah yang sukar ditafsirkan. Ada yang kagum, berzikrullah, ada yang berkerut gusar.

"Jom, emak... Nanti lambat." Aku mengajak emak meredah lautan jemaah menuju ke Masjidil Haram.

"Pinjam beg kecik mak tu."

"Nak buat apa?"

"Nak tumpang jam kompas ni."

"Barang kerja Ziyad tu, kan?"

Aku mengeyakan saja. "Ziyad letak dalam beg mak ya. Takut hilang simpan dekat hotel." Aku beralasan. Mak merenung tanpa sebarang syak melihat aku memasukkan jam kecil berbentuk rantai itu.

Langit terus berwarna aneh. Mula-mula berwarna tembaga sebelum beransur-ansur menjadi merah keemasan dan berubah memekat. Tidak sampai beberapa minit, berubah hitam gelemat. Allahuakbar, tipu kalau kata aku tak cemas.

Belum sepuluh langkah aku bergerak bersama emak, langit sebelah selatan, kedengaran bunyi angin meluru garang. Menderu-deru membawa pusaran pasir di atas kepala kami. Desir pasir menggerunkan. Bunyi berdesing bersatu dengan amukan angin.

Bumi terasa berulang-ulang ditusuk panahan petir. Cahaya kilat mencakar langit sesekali memercikkan warna merah. Aku bersama-sama jemaah lain spontan melaungkan azan. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Satu hembusan angin paling keras, muncul garang dan menyergah, membuatkan segala yang ada melata di sekeliling aku, bergulung dan berguling.

"Ziyad! Tolong mak!"

Bekalan elektrik terputus. Jeritan, tangisan dan teriakan yang maha dahsyat bergema di sana sini. Aku sendiri jatuh tersungkur. Fikiran aku hanya memikirkan emak.

Pusaran angin yang membawa debu dan pasir membuatkan pandangan mata jadi terhad.

"Mak!"

"Mak!"

Keadaan sangat kacau. Sungguh chaos! Jerit tangis orang tua dan kanak-kanak menguasai ruang di segenap penjuru.

"Mak!"

Aku bagai mendengar laungan emak.

"Ziyad!"

"Ziyad!" Suara emak semakin sayup dan hilang. Tenggelam dalam rengkuhan suara yang berbaur sekeliling aku.

Dengan seribu kepayahan aku cuba bangun. Aku cuba mencari emak. Buka mata luas-luas.

Mata aku pedih. Aku termakan pasir. Awan bukan lagi mendung tapi gelap gelita. Kelibat emak entah ke mana. Peluh resah lencun di belakang badan aku.

Telefon aku tiba-tiba berbunyi. Mesej masuk. Jantung aku terasa gugur.

Aku terasa mahu berlari di hadapan Kaabah. Berdoa untuk emak. Tapi dalam masa yang sama batin aku berbisik, Allah jaga emak! Dan kalau orang-orang itu sentuh emak, aku cincang seribu mereka. Kalau tinggal bekas pada emak, biar hanya bintat bagai digigit nyamuk, aku pecahkan kepala mereka!

Aku bersumpah, aku akan cincang kau, aku hirup darah kau! Kau mungkin tak nampak aku. Kau tahu... Benda paling manja aku buat pun, cabut kuku kau satu demi satu dengan playar. Kau cuba nak bermain dengan aku? Aku sentiasa ada di belakang kau, Ziyad! Bau aku kau tak kenal, macam mana kau nak mengelak? Aku datang dalam ribut. Aku pergi pun dalam taufan. Aku rentap engkau pun, kau tak rasa... Cuma alih-alih mungkin kau sedar bila kau dah berada di dalam kubur.

Aku terkedu dengan mesej itu.

Mak! Mak!

Suara aku tak lepas. Kesatnya liur aku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co