Truyen3h.Co

Oh, My Prince!

Bab 13

karyaseni2u

Awal pagi itu aku bangun apabila terdengarkan bunyi ayam berkokok di tepi rumah. Terasa hening suasana kampung ni pada waktu pagi. Aku mencapai telefon di sebelah bantal. Jam yang ada aku lihat. Sudah pukul lapan setengah pagi. Hai? Sunyi aje rumah? Takkan dia orang ni tak balik-balik lagi? Terpandangkan ikon mesej yang belum dibaca, aku membuka bahagian mesej. Dua mesej aku terima. Satu daripada Putera Danial manakala satu lagi daripada Hairi yang memberitahu dia sudah bertolak ke Hong Kong.

Aku membuka mesej daripada tuan putera. Mesejnya ringkas, sekadar bertanya khabar. Cukup menandakan dia risaukan keadaan aku. Putera Danial, lagi bagus kau risaukan rakyat kau, tahu? Tapi apa yang dia nak risaukan pun. Bukannya dia yang akan jadi raja nanti. Mesej dia aku biarkan tak berbalas. Malaslah nak merapatkan diri dengan putera tu. Nanti akhirnya aku yang terperangkap.

Aku bangun juga daripada perbaringan. Badan aku menggeliat sepuasnya. Ini kalau dia orang balik dan nampak aku masih bergolek di atas katil, mesti tak berhenti mulut Abang Hadi memarahi aku. Selesai membersihkan diri, aku ke dapur. Ingin melihat kalau ada apa-apa yang boleh dimasak untuk sarapan. Tiada apa yang boleh dimasak, aku mencapai roti gandum yang ada di meja makan. Jadilah daripada tak ada. Nak beli sarapan di luar, aku malas.

Hampir tiga jam juga aku bersendirian di rumah. Aku menghabiskan masa dengan mengemas rumah dan membasuh kain baju. Apabila jam menunjukkan hampir pukul sebelas, barulah aku mendengar bunyi kereta masuk ke pekarangan rumah. Aku mengintai dari langsir tingkap. Abang Hadi memandu kereta manakala ayah dan tiga lagi abang aku yang lain menjadi penumpang. Aku hanya mampu tersenyum tawar. Betullah tu ada program di madrasah.

"Assalamualaikum..." ucap Abang Hanif perlahan sebelum masuk ke dalam rumah diikuti Abang Harith dan Abang Hakim.

"Waalaikumussalam," balas aku lembut. Apabila Abang Hanif mengangkat muka, aku menghadiahkan senyuman nipis. Wajahnya sedikit terkejut melihatkan aku berdiri di hadapannya.

"Eh? Bila Hani balik?" soal Abang Hanif.

"Yalah? Tiba-tiba aje ada dekat rumah ni?" Abang Harith menyampuk.

"Ini mesti balik sebab perkara yang ayah cakap dulu kut?" teka Abang Hakim pula.

Aku hanya tersengih. Tak tahu hendak membalas apa. Kekok tiba-tiba.

"Abang Hadi telefon Hani minta balik cuti yang terdekat ni."

Ketiga-tiga abang-abang aku mengangguk.

"Tapi Abang Hadi tak cakap apa-apa pula dengan kami. Pukul berapa Hani sampai?" soal Abang Harith.

"Sebelas malam tadi. Tunggu juga kat stesen bas kalau ada orang datang ambil. Last-last naik teksi balik rumah," kata aku sambil meluahkan rasa. Mahu mereka faham.

Abang Harith menggeleng perlahan. "Abang Harith tak tahu langsung. Kalau Abang Harith tahu, Abang Harith boleh tunggu Hani dekat sana," katanya sedikit kesal.

"Nak buat macam mana. Abang Hadi terlupalah tu."

Abang Hanif cuba menenangkan keadaan. Tapi keadaan hati aku sikit pun tak tenang. Makin terasa lagi ada sebab nampak sangat perihal aku tak sepenting mana. Aku ni adik! Satu-satunya adik perempuan kau orang. Takkan sedikit pun tak boleh nak ambil berat? Takkanlah disebabkan aku belajar di universiti tu penyebab mereka tak nak ambil tahu langsung pasal aku? Itu tak adil bagi aku.

"Tak apalah. Lepas ni kalau nak balik ke apa ke, beritahu Abang Harith. Nanti ambil nombor Abang Harith. Abang Hadi pun sibuk sekarang. Dia nak sambung belajar lagi. Ayah pula nak lepaskan madrasah kepada dia." Abang Harith memujuk.

Aku menghadiahkan senyuman kepada dia. Sedikit gembira apabila dia mula menunjukkan keprihatinan dia kepada aku. Aku gembira. Sekurang-kurangnya, kepulangan aku kali ni ada sedikit perubahan. Cukuplah hanya dengan Abang Harith. Itu lebih baik daripada tiada.

"Assalamualaikum!"

Salam daripada Abang Hadi mengganggu perbualan kami. Abang Hadi melangkah masuk diikuti ayah di belakang. Terpandangkan aku, terus Abang Hadi meraup muka dia dengan tangan. Abang Hanif dan Abang Hakim sudah melangkah ke dalam meninggalkan aku dan Abang Harith di ruang tamu.

"Sorry, Hani. Abang betul-betul terlupa Hani balik."

Aku haya mengangguk. Malas mahu memanjangkan lagi isu ni.

"Bila sampai, Hani?" soal ayah.

Aku berjalan mendapatkan dia dengan tangan yang dihulur untuk bersalam. Buat macam mana pun, ayah tetap ayah. Tangan ayah aku kucup lembut. Terasa ayah sudah tua apabila melihatkan kedut-kedut di muka dan tangannya.

"Malam tadi."

Ayah hanya mengangguk sekali lalu sebelum dia mengambil tempat duduk di sofa. Nafasnya dihela perlahan. Melepaskan lelah.

"Sorry. Abang Hadi betul-betul sibuk semalam. Terlupa Hani ada mesej."

Aku hanya tersenyum tawar. Benda yang lepas, biarlah lepas, Adele.

"Jadi, perkara apa yang Abang Hadi cakap hari tu?" Lagi cepat dia cakap, lagi cepat selesai, lagi cepat aku boleh balik Amanjaya.

Ayah, Abang Hadi dan Abang Harith berpandangan sesama sendiri. Kemudian, Abang Hadi memandang aku dengan wajah yang menyimpan seribu satu rahsia.

"Nanti-nanti kita bincangkan. Abang Hadi belum dapat kata putus lagi dengan kawan Abang Hadi."

Aku mengerutkan dahi. Apa kena-mengena kawan Abang Hadi dengan urusan keluarga kami? Aku memandang pula wajah ayah yang tak beriak. Kemudian aku memandang Abang Harith yang baru keluar dari bilik selepas menukar baju. Cuba meminta jawapan. Kot-kotlah dia tahu apa-apa.

"Hani dah makan?" Abang Harith tiba-tiba menukar topik. Aku mengeluh. Tak apalah, cuti pun ada lagi dua minggu. Baru luak satu hari, hari ni.

"Tadi makan roti gandum aje. Tengok tak ada apa nak dimasak, Hani taklah masak apa-apa."

"La, ya ke? Kenapa tak cakap dengan Abang Harith?"

"Kan Abang Harith pun baru balik..."

"Pergi siap. Lepas ni kita keluar sekejap pergi cari makanan untuk makan tengah hari. Petang sikit kita keluar pergi pasar. Beli apa yang patut."

"Belikan sekali lauk untuk dimasak esok. Kalau tak ada masalah, abang suruh Adib datang esok," kata Abang Hadi kepada Abang Harith. Aku makin pelik. Siapa pula Adib yang dimaksudkan? Adib itu ke kawan Abang Hadi yang dia kata tadi? Banyak sangat misteri dekat rumah ni!

"Abang Harith, abang tahu apa-apa ke tentang perkara yang Abang Hadi cakap nak bincang dengan Hani?" Aku menyoal Abang Harith sewaktu bersama dengan dia di dalam kereta. Abang Harith memandang aku sekilas. Kemudian terdengar dia sedikit mengeluh.

"Hani tunggulah Abang Hadi dan ayah berbincang dengan adik. Abang Harith tak boleh nak masuk campur."

"Kenapa pula? Abang pun abang Hani, kan? Hani pun tanggungjawab abang. Kenapa Abang Harith tak boleh masuk campur?" Sengaja aku menekan perkataan abang dan tanggungjawab. Itu hakikat yang mereka sering lupa.

"Sebab ia urusan masa depan Hani."

Dahi aku semakin berkerut mendengarkan jawapan Abang Harith. Akhirnya aku mengeluh. Beginikah hidup aku? Semuanya mahu diatur oleh ayah dan Abang Hadi.

"Bab-bab hidup Hani, semua sibuk nak diaturkan. Tapi apabila melibatkan perasaan Hani, seorang pun tak ambil tahu," keluh aku.

"Hani tak minta banyak. Hani minta sikit aje. Tolonglah layan Hani macam Hani ni anak ayah juga. Sayang Hani macam adik-beradik yang lain. Tapi apabila melibatkan Hani, ayah selalu lepas tangan." Aku cuba untuk meluahkan apa yang aku rasa kepada Abang Harith. Tapi rasa susah sangat aku nak meluahkan.

"Hani tak tahu nak cakap macam mana. Tapi sejak kecil Hani banyak kecewa dengan tindakan ayah. Rasa macam Hani bukan anak ayah. Tak macam Abang Harith, tak macam yang lain-lain. Kenapa? Sebab ibu meninggal melahirkan Hani ke, ayah tak ambil tahu tentang Hani?"

Aku mula terbawa-bawa dengan perasaan. Akhirnya air mata yang aku cuba tahan jatuh lagi. Baru sehari balik ke kampung, aku dah menangis berulang kali. Lagi bagus aku habiskan masa di Amanjaya. Tak sakit hati, tak sakit jiwa dibuatnya.

"Hani..." Abang Harith memanggil aku lembut. Aku mengesat air mata dengan hujung baju. Panggilan Abang Harith aku biarkan tak berjawab.

"Ibu bapa selalu mahukan yang terbaik untuk anak-anak, Hani. Mereka sentiasa fikir apa yang mereka boleh bagi agar anak-anak dapat segala yang terbaik. Tapi, ibu bapa pun tak sempurna. Mereka juga manusia. Dalam nakkan yang terbaik itu mereka tak sedar mereka buat kesalahan. Maafkanlah ayah."

"Abang Harith pun tak tahu kenapa dia banyak biarkan Hani sendiri. Umur kita pun setahun aje beza. Tapi Abang Harith yakin, setiap tindakan yang dia ambil, mesti ada alasan dia. Alasan mahu berikan yang terbaik untuk Hani. Bukan senang untuk jadi mak dengan ayah ni..."

Aku hanya diam mendengarkan pujukan Abang Harith. Ya, bukan senang juga nak memujuk hati yang terluka. Bertahun-tahun aku menahan perasaan. Ini pun baru sekarang Abang Harith mula menunjukkan keprihatinan dia setelah sekian lama.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co