Truyen3h.Co

Pak Su Ammara

Bab 9

karyaseni2u

Sebaik sahaja kelas selesai, aku terus ke rumah Wafi. Hanya boleh ke rumah dia waktu Wafi bekerja memandangkan aku tak nak bertemu dengan Wafi. Kalau Wafi berkeras dengan keputusannya, aku juga akan berkeras dengan keputusanku. Aku tak sanggup hidup bermadu dan makan hati setiap hari. Biarlah aku beralah. Cukup sudah aku makan hati.

Selesai ambil semua pakaianku, aku tinggalkan rumah Wafi dengan perasaan yang benar-benar kosong. Tiga tahun menjadi isteri Wafi, aku rasa bahagianya tak sampai setahun. Dua tahun lagi tak sudah-sudah aku menjeruk rasa. Bersabar dengan kerenah Wafi dan Hajah Rubiah. Kali ini aku benar-benar mahu lepaskan segalanya. Aku memilih untuk membahagiakan hidupku dengan cara mengundurkan diri.

"Miza betul-betul nekad ke?"

Aku tak sedar kehadiran Ustazah Aishah ketika kalut menyusun pakaian ke dalam almari plastik yang baru aku beli. Almari yang sedia ada aku berikan kepada Kak Syarifah.

Aku balas dengan senyum hambar.

"Ya, ustazah. Saya dah nekad kali ni."

"Berdosa seorang isteri mahu bercerai hanya semata-mata suami mahu berkahwin lain. Selagi dia berkemampuan, tak salah kalau suami memiliki lebih seorang isteri."

Pandangan setiap orang itu berbeza. Aku bukan ustazah. Aku hanya manusia biasa yang punya rasa. Bila rasa itu sudah mula tawar, aku rasa tak guna aku menunggu lagi. Lebih baik aku mulakan kehidupan baru tanpa menjejaskan kehidupan sesiapa pun.

"Saya bukan seorang isteri yang baik, ustazah. Saya gagal untuk mendidik hati saya untuk terima kenyataan ni. Saya fikir, dari hati saya terus menjadi jahat, lebih baik saya berhenti setakat ini saja."

Aku sudah bayangkan bila aku bermadu kelak. Setiap hari aku bakal sakit hati bila membayangkan kemesraan Wafi dengan isteri barunya. Cemburu aku pasti menggila. Sampai bila aku mahu hidup dalam keadaan begitu? Sedang Wafi sangat berbahagia.

"Habis anak dalam kandungan Miza macam mana? Suami dah tahu?"

"Saya dah beritahu mak mentua saya, tapi tak tahulah dia bagi tau suami saya atau tak."

Naluri kuat menyatakan yang Hajah Rubiah takkan bercerita tentang aku mengandung pada Wafi. Kalau tidak, awal-awal lagi mesti Wafi sudah bertanyakan perkara tersebut. Ini langsung tak sebut hal kandunganku. Tak mengapalah kalau dia tak tahu. Lagi bagus.

"Kenapa Miza tak beritahu sendiri?"

"Entahlah, ustazah. Saya rasa macam tak boleh pandang langsung muka dia. Saya rasa benci dan meluat. Kalau boleh saya nak rahsiakan tentang anak saya. Cukuplah dia beri masalah buat saya. Saya tak nak ada masalah dengan anak saya pula."

"Tak baik begitu. Dia juga kena tahu tentang anak dia."

Aku buat-buat sibuk menyusun pakaian kerana aku tidak mahu mendengar sebarang nasihat lagi. Yang merasa kepahitan itu adalah aku dan yang menanggung semua derita juga aku. Orang lain hanya tahu memberi nasihat sahaja kerana mereka tak rasa seperti yang aku rasa.

Ustazah Aishah tinggalkan aku selepas itu. Faham agaknya aku kurang senang berbicara tentang hal ini. Terlalu peribadi dan tidak semua orang boleh terima untuk bermadu dengan mudah. Siapa saja boleh beri nasihat, tapi bila kena batang hidung baru tahu bagaimana rasa sakitnya.

Perlahan-lahan aku hela nafas.

Selesai mengemas aku ambil telefon. Mahu menghubungi mak. Rindu nak dengar suara emak. Mahu berkongsi rasa dengan mak.

"Assalamualaikum, mak."

"Waalaikumussalam."

"Mak macam mana?"

"Alhamdulillah. Kandungan Miza macam mana?"

"Alhamdulillah. Setakat ni tak ada masalah."

Selama ini mak tak pernah masuk campur dalam urusan rumah tanggaku. Bukan aku tak bercerita tentang hubunganku dengan Wafi juga tentang hubungan Wafi dengan perempuan lain. Semuanya aku cerita pada mak. Mak hanya cakap, buatlah yang mana terbaik untuk aku. Mak tahu, anak perempuan mak ini sangat tabah orangnya.

"Mak long macam mana?"

"Macam tulah. Sekejap baik, sekejap tak baik. Risau mak tengok."

"Abang Mizi ada cari mak?"

"Dia telefon marah-marah mak. Tapi mak buat tak dengar. Isteri dia dah kena buang kerja."

"Ya?"

Perlu ke aku tepuk tangan? Perlu. Sebab dia dah buat macam-macam pada mak. Jadi dia terima balasan atas semua perbuatannya.

"Itu yang Mizi marahkan mak. Sekarang ni Mizi kena tanggung semuanya. Makan minum. Susu anak-anak dia."

Baru Abang Mizi tahu tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dulu asyik mak saja yang bantu ringankan perbelajaan dia. Mahu terduduk jugak tu. Kenalah dia kurangkan aktiviti berhibur dia. Ah! Pandai-pandailah dia nak hidup.

"Pelik jugak. Takkan semudah tu kena buang kerja? Entah-entah sebab lain."

"Tak tahulah. Malas mak nak ambil tahu. Elok juga dia berhenti. Bolehlah dia jaga anak-anak dia sendiri."

"Mak lama lagi ke kat rumah arwah mak tok?"

"Kalau boleh mak nak tinggal di sini dulu. Mak dah daftar untuk mengaji pondok."

"Baguslah kalau macam tu."

Inilah masanya mak tumpukan sepenuh perhatian terhadap amal ibadah. Bukan lagi terkejar-kejar menjaga cucu. Masa untuk mak berehat juga. Mak sudah cukup letih.

"Miza dengan Wafi macam mana?"

"Wafi tetap nak kahwin dengan perempuan tu. Miza tarik diri, mak. Miza tak mampu nak bermadu."

"Mak tak boleh nak cakap apa. Mak pun tak boleh nak tolong Miza. Miza yang bakal tanggung semuanya nanti. Mak tahu Miza akan buat keputusan yang terbaik untuk hidup Miza. Mak hanya doakan semoga semuanya baik-baik saja nanti."

Itulah mak aku. Dia tetap akan menyokong aku kerana mak tahu, kelak aku sendiri yang bakal tanggung semuanya. Orang lain hanya mampu melihat dan beri nasihat saja.

"Terima kasih, mak. Miza sayang mak."

"Mak pun sayang Miza. Dah nak masuk asar ni."

"Yalah. Assalamualaikum, mak."

"Waalaikumussalam."

Gembira dapat mendengar suara mak. Seperti separuh semangatku pulih semula. Memang mak satu-satunya insan yang mampu membuat aku bersemangat. Mak seorang ibu yang sangat sabar dan seorang ibu yang sangat tabah. Aku akan mewarisi semangat mak untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup.

Ya, aku boleh!

LEBIH kurang pukul sepuluh malam, aku terima panggilan daripada Wafi. Rasanya dia baru perasan almari pakaian sudah kosong dan sebahagian barang-barangku sudah aku bawa bersama.

"Miza angkut kain baju Miza? Miza memang dah nekad nak berpisah dengan abang? Miza dah tak sayang abang ke?" Bertalu-talu soalan Wafi.

Soalan yang paling menyakitkan hati. Tak sayang lagi? Sedap saja mulut bertanyakan soalan seperti itu. Dasar tak mahu mengaku salah langsung.

"Siapa yang tak sayang siapa sekarang ni?" Aku jawab dengan soalan.

"Kan abang dah cakap, abang tetap sayang Miza. Kasih sayang abang pada Miza tetap takkan berubah. Kenapa Miza degil sangat? Kenapa susah sangat Miza nak percayakan abang?"

"Kalau abang sayang Miza, abang takkan berlaku curang terhadap Miza." Sekeras hati seorang isteri pasti tewas juga dengan pujukan suami. Mataku mula pedih. Wafi tak ada salah apa-apa cumanya aku sudah mengaku kalah dengan kehendaknya.

"Abang tak curang. Kalau abang curang, abang tak berterus terang dengan Miza. Abang akan sembunyikan semua rahsia daripada pengetahuan Miza. Dari mula lagi Miza memang tahu hubungan abang dengan Wardah, bukan?"

Susahnya lelaki hendak memahami makna curang. Aku rasa sehingga kini Wafi pasti tidak mengaku akan kesilapan yang dia lakukan terhadapku. Pasti dia rasa dia betul kerana dari awal lagi dia sudah beritahu aku hal hubungannya dengan wanita lain. Dan akulah pihak yang bersalah kerana tidak mampu menerima kenyataan.

"Tak apalah, bang. Abang teruskan saja niat abang tu. Biar Miza dengan jalan Miza sendiri. Miza ikhlaskan segalanya. Tak perlulah abang susah hati tentang Miza."

Aku gosok perut. Aku akan besarkan anak aku sendirian. Masih ramai ibu tunggal di luar sana yang berjaya membesarkan anak tanpa lelaki bernama suami bersama. Mustahil aku tidak mampu.

"Kalau dah betul Miza ikhlas kenapa tak boleh terima permintaan abang? Bukan susah pun."

Dasar tak ada perasaan. Langsung tak memahami keadaan aku.

"Sebab Miza ikhlaslah Miza minta abang lepaskan Miza. Abang pun susah sangat ke nak turutkan permintaan Miza?"

"Susahlah bercakap dengan Miza."

"Tak susah kalau abang ikutkan aje permintaan Miza. Abang pun pasti akan hidup dengan aman dan bahagia. Lupakanlah Miza, bang. Abang berhak hidup gembira dengan kekasih abang."

"Tapi abang masih sayangkan Miza. Sayang abang pada Miza masih seperti dulu."

Aku takkan percaya lagi. Masih sayang konon. Aku takkan jadi seperti Kak Syarifah dan mungkin aku juga tak sebaik dia.

"Tak apalah, bang. Abang serahkan semua rasa sayang abang buat kekasih abang. Miza tak perlukan lagi kasih abang. Okey, abang. Miza nak rehat ni. Assalamualaikum."

Wafi cakap apa pun tak guna sekarang ni. Keputusan aku memang tak boleh diubah lagi. Aku nekad. Apa pun yang bakal terjadi kelak, aku reda. Luka hati seorang isteri yang dikhianati adalah luka terbesar daripada segala luka. Sakitnya sudah tidak terkata. Dan bila hati sudah mula retak, susah untuk bercantum semula. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co