Bab 12
USAI solat isyak, Jazli bangun dan terus melipat sejadah. Dia duduk di sofa dan terus memandang siling bilik tidurnya. Dia melihat kipas yang berpusing. Bosan! Tak tahu nak buat apa selepas balik dari tempat kerja.
Kedengaran telefon pintarnya berbunyi. Dia pura-pura tidak dengar. Pasti panggilan daripada Ciara. Malas nak dengar tangisan dan pujuk rayu Ciara lagi. Semua itu takkan dapat mengubah pendiriannya. Mustahil dia akan jadi pak sanggup.
Panggilan telefon itu terhenti. Suasana sunyi sepi semula.
Kedengaran pula bunyi mesej masuk. Jazli biarkan saja. Yakin mesej daripada Ciara. Beberapa kali dia block nombor telefon Ciara tapi Ciara hubunginya dengan nombor telefon lain. Sebab itu kalau ada nombor telefon yang tak dikenali, dia takkan angkat.
Dahi Jazli berkerut apabila bunyi mesej masuk tak henti-henti. Mula annoying dengan bunyi mesej itu, dia pantas bangun dan berjalan menuju ke katil.
"Memang jenis perempuan tak faham bahasa!" marah Jazli. Ciara sikit pun tak takut dengan ugutannya. Tetap juga call dan mesej dia.
Mata Jazli terpaku ke arah skrin telefon yang berada di tangannya. Nombor telefon yang tak dikenali? Ciara lagi ke? Jazli terus membaca mesej.
Assalamualaikum, Jazli. Aku ni, Dina.
Kenapa tak angkat call aku?
Weh Jazli! Aku call kau banyak kali kenapa tak angkat? Mesej aku pun kau tak balas.
Jazli, kau jangan buat aku hilang sabar! Call aku balik!
Jazli, kau dah mati ke?
Selepas membaca mesej Dina, Jazli terus ketawa. Rupa-rupanya Dina. Perangai Dina tetap juga tak berubah. Dia menelefon Dina. Baru sekali saja bunyi, panggilan terus dijawab.
"Alhamdulillah! Aku ingatkan kau dah KO!" jawab Dina.
"Kau ni sejak dulu mulut memang celopar. Kita ni orang Islam. Dalam Islam, membunuh diri ini perbuatan dosa besar yang dilarang oleh syarak. Faham? Ah... Macam mana kau dapat number phone aku?"
"Aaa... Eiman bagi la. Jom keluar? Aku ada port baik untuk kita lepak sambil makan. Confirm kau suka. Cepat share location rumah kau. Aku pergi ambil sekarang."
"Sekarang? Dah malam kut!" Jazli malas nak keluar.
"Awal lagi la! Kau ni lelaki ke perempuan? Dah, jangan nak bagi alasan. Share location, cepat! Aku datang ambil kau," kata Dina sebelum mematikan talian.
Jazli menggaru kepala yang tak gatal. Ikutkan hati, dia memang malas nak keluar. Tak ada mood. Dah Dina ajak keluar terpaksa la ikut. Dia share dulu location sebelum menukar pakaian.
PUAN DARIAH baru saja pulang dari farmasi. Dia bertembung dengan Eiman di anak tangga. Ada segelas susu di tangan Eiman. Ini mesti untuk Eiyad. Sebelum tidur, Eiyad akan minum susu dulu.
"Dina pergi mana? Kereta tak ada kat garaj tadi?" tanya Puan Dariah. Rasa pelik apabila melihat kereta Suzuki Vitara tiada.
"Kak Dina keluar makan dengan Abang Jazli," jawab Eiman.
Puan Dariah terus terkejut.
"Abang Jazli?"
"Aaa... Doktor Jazli. Yang buka klinik gigi sebelah kedai makan Eiman tu," beritahu Eiman.
"Biar betul kakak kamu tu keluar dengan Doktor Jazli?" Puan Dariah terperanjat.
"Rupa-rupanya Abang Jazli tu kawan baik Kak Dina masa sekolah menengah dulu kat Ipoh. Ibu mesti ingat kan yang ibu dan ayah pernah kena panggil ke sekolah sebab Kak Dina belasah pembuli yang buli kawan dia? Kawan Kak Dina tu Abang Jazli la," cerita Eiman lagi.
Kelopak mata Puan Dariah terbuka luas.
"Maknanya Jazli tu anak Adiba la," kata Puan Dariah. Tiba-tiba dia teringat wajah ibu tiri Jazli, Puan Adiba. Orangnya peramah dan lemah lembut. Ada butik sendiri di Ipoh masa itu. Kalau tak silap, Puan Adiba anak orang kaya.
Dahi Eiman berkerut. Dia memang tak kenal siapa ibu Jazli. Tapi ibunya macam kenal dengan ibu Jazli.
Tiba-tiba saja Puan Dariah ketawa.
Eiman memandang ibunya dengan rasa pelik. Apa yang lucunya?
Kemudian sedikit demi sedikit senyuman terukir di bibir Puan Dariah. Peluang yang ada takkan dilepaskan. Pucuk dicita ulam mendatang! Dia terus mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.
JAZLI berdiri di luar rumah teres yang disewanya beberapa bulan yang lalu. Dia memilih rumah di kawasan taman itu kerana perjalanan ke klinik hanya mengambil masa 10 minit.
Langit gelap yang dihiasi bulan dan bintang dipandang sejak tadi. Tiba-tiba kedengaran bunyi hon lantas mengejutkan Jazli.
Kereta Suzuki Vitara berhenti betul-betul di hadapan rumah sewa Jazli. Cermin kereta diturunkan.
"Jom!" Dina tersengih.
Jazli terus membuka pintu dan masuk.
"Cepatnya kau sampai," kata Jazli setelah pintu kereta ditutup.
"Mana tak cepat sampai kalau taman kau bersebelahan dengan taman aku," jawab Dina.
"Ooo... Ya ke? Ni nak pergi mana?" tanya Jazli.
"Ala, ikut saja la. Jangan banyak tanya. Biar aku jadi driver kau malam ini," jawab Dina. Dia terus menekan pedal minyak.
Selepas dua puluh minit, mereka berdua tiba di destinasi.
"Dim sum!" Jazli membaca papan tanda kedai itu.
"Ya. Kat sini semua makanan sedap-sedap. Pau pun sedap. Kau kan minat sangat dengan pau. Lepas kau rasa pau kat sini, mesti kau nak datang lagi. Ini tempat kegemaran famili aku. Sebulan sekali kami makan kat sini. Kau patut bersyukur sebab kau kawan pertama yang aku share pasal kedai makan ni. Jom masuk!" ajak Dina.
Jazli mengekori Dina masuk ke dalam kedai. Dia melihat ramai orang memenuhi meja yang ada.
Pelayan kedai itu menyambut kedatangan Dina seolah-olah sudah lama mengenali Dina. Mereka duduk di meja yang bertanda reservation.
"Aku reserve awal-awal lagi sebab kau. Aku dah oder sekali," beritahu Dina sebaik saja duduk.
"Laaa... Aku nak juga tengok menu," kompelin Jazli.
"Ala... Makan dulu! Aku oder semua yang sedap-sedap kat sini. Top ten, tahu tak?" balas Dina.
Tak sampai lima minit menunggu, makanan dan minuman sudah sampai. Penuh satu meja dengan makanan yang dipesan oleh Dina.
"Banyaknya kau pesan," kata Jazli. Yang buat dia teruja apabila nampak beberapa jenis pau yang ada di atas meja.
"Makan saja. Aku belanja," kata Dina. Dia menadah tangan dan terus membaca doa makan.
Jazli mengikut Dina dan membaca doa makan. Dia terus mencapai pau ayam dan mengunyah perlahan-lahan. Jelas muncul senyuman di wajah Jazli.
"Sedap, kan? Kalau aku ajak kau keluar makan, aku akan bawa tempat yang sedap-sedap. Maklum la tekak aku ni cerewet sikit. Makan! Makan lagi." Dina gembira melihat Jazli begitu selera makan. Sudah tentunya pau pilihan hati Jazli. Dari dulu sampai sekarang, baginya Jazli tetap tak berubah.
"Terima kasih la sebab bawa aku kat sini. Selalunya malam-malam memang aku tak keluar langsung. Balik kerja aku terus tidur. Nak keluar pun tak ada kawan."
"Laaa... Lain kali nak keluar, kau boleh ajak aku. Eiman pun boleh tapi kalau kami keluar, akan ada plus one yang akan ikut."
"Plus one? Maksud kau, boyfriend kau ke?" Jazli terkejut.
"Bukan boyfriend la... Anak saudara aku, Eiyad," jawab Dina.
"Anak abang kau! Aku selalu nampak dia kat kedai Eiman." Jazli baru teringat kadang-kadang ada budak lelaki yang selalu bersama Eiman.
"Kami gilir-gilir jaga dia. Kadang-kadang ibu aku jaga."
"Boyfriend kau tak marah ke keluar dengan aku?" Jazli memberanikan diri untuk bertanya. Semestinya dia ingin tahu.
"Boyfriend? Kau nak buat lawak ke? Siapa lelaki kat dunia ni dapat handle aku? Cuba kau cakap! Ibu aku sendiri cakap yang aku ni spesies haiwan liar," balas Dina dengan selamba.
Jazli terus ketawa terbahak-bahak. Memang lucu.
Dina menghadiahkan jelingan maut. Amboi! Sakan gelakkan dia!
"Sorry! Sorry!" kata Jazli setelah berhenti ketawa.
"Makan!" kata Dina sebelum menyambung semula makan.
"Dina, thanks tau sebab bawa aku keluar malam ni. Aku tahu niat kau sebenarnya nak buat aku happy lepas apa yang terjadi hari ini. Thank you so much." Jazli tersenyum.
"No hal la. Malam ni aku nak kau makan puas-puas. For once, kau lupakan masalah kau sekejap. Makan kenyang-kenyang, lepas tu aku hantar kau balik. Sampai rumah nanti kau terus tidur," balas Dina. Dia meletakkan pau kacang merah di atas pinggan Jazli.
Jazli tersenyum memandang wanita bertudung litup berwarna biru itu. Dia bersyukur kerana dapat berjumpa dengan Dina semula. Pada saat dirinya bergelut dengan kemelut, Dina muncul dalam hidupnya. Pau yang diberikan Dina dimakan dengan perlahan sambil mendengar celoteh Dina yang tak henti-henti.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co