Bab 2
SEAWAL lima pagi Eiman bangun dan menyiapkan sarapan untuk keluarganya sebelum pergi ke kedai. Semuanya sudah siap hanya tinggal ikan bilis sahaja. Ketika sedang menggoreng ikan bilis, dia terkejut apabila bahunya disentuh dari belakang.
"Kak Dina!" Eiman bersuara. Dia mengurut dada beberapa kali. Ingatkan siapa tadi? Masa begini, penghuni di dalam rumah ini tengah tidur lagi. Dia melihat rambut Dina yang pendek itu berserabut.
"Dari malam tadi Kak Dina tak boleh tidur la," beritahu Dina. Kepalanya serabut memikirkan kebarangkalian ibunya membuka farmasi di situ. Dia terus menarik kerusi dan duduk.
"Kalau ibu nak buka farmasi kat situ, biar la. Lagipun bagus juga ibu buka kat situ. Tak dapat la Kak Dina buat kerja gila-gila lagi," kata Eiman seraya mengangkat ikan bilis ke atas pinggan. Api dapur ditutup.
"Amboi! Amboi! Cakap ikut sedap mulut. Ingat sikit, ibu memang tak suka Eiman buka kedai makan, kan? Lagipun ibu nak sangat Eiman sambung studi medic. Dibuatnya ibu sabotaj business Eiman, macam mana?" balas Dina. Ibunya memang menentang habis-habisan Eiman tangguh belajar dan membuka kedai makan.
Eiman terdiam. Air muka berubah. Sememangnya dia tak berminat dalam bidang perubatan.Ibunya memaksa dia supaya mengikut jejak abang dan kakaknya. Disebabkan stres, Eiman membuat keputusan untuk menangguhkan pelajaran dan memberi tumpuan pada bidang yang dia minat. Sejak kecil lagi dia memang suka memasak. Kos modal untuk buka kedai makan pun daripada ayah, abang dan kakak-kakaknya. Masa itu ibunya memang marah sangat.
"Kedai makan Eiman baru setahun buka. Sepanjang setahun ibu tak pernah datang, kan? Nampak sangat ibu marah lagi. Jangan nak syok sangat. Yang buat Kak Dina susah hati, lot kedai kat sebelah kedai makan Eiman kan dah kosong 2 bulan. Dibuatnya ibu buka farmasi kat situ, masak kita!" kata Dina. Kaki kanan mula bergerak tak henti-henti sambil berfikir.
"Habis tu kita nak buat macam mana?" tanya Eiman. Dia yang mulanya tak nak ambil tahu mula resah.
"Apa-apa pun kita mesti cari jalan supaya ibu tak buka farmasi kat situ. Pagi ini Kak Dina akan call owner kedai tu," kata Dina. Demi ketenangan hidupnya, dia kena berusaha keras.
SELEPAS menghantar Darina pergi kerja, Dina singgah di kedai makan Eiman. Dia melihat Eiman Kopitiam penuh dengan orang ramai. Rezeki Eiman memang melimpah-ruah. Tengok, meja kosong pun tak ada. Patutnya ibu dia datang tengok sendiri betapa majunya kedai makan Eiman. Asyik duk kondem anak sendiri, patutnya bagilah sokongan. Siap kata kedai makan Eiman takkan bertahan lama. Macam nak snap gambar bagi kat ibu. Biar ibu buka mata tu sikit. Asyik nak semua anak jadi doktor saja. Klise!
"Pssst... Pssst, busy ke?" tanya Dina sebaik saja menghampiri adiknya.
"Bagi lima minit, tengah siapkan last order," kata Eiman yang sedang masukkan kuah kari ke dalam mangkuk.
"Okey! Kak Dina tunggu kat belakang." Dina keluar melalui pintu belakang. Dia betulkan tudung bawal yang dipakainya selepas ditiup angin.
Selepas lima minit menunggu, Eiman muncul.
"So macam mana? Dah call?" tanya Eiman.
"Dah! Mr. Lim cakap dia dah ada penyewa tapi bukan ibu," beritahu Dina kemudian terus bersorak gembira. Memang seronok sangat-sangat. Macam nak melompat sampai bulan. Nampaknya plan ibu takkan menjadi.
"Betul ke?" Eiman tersenyum lebar. Dia bersyukur sangat. Bukannya apa, dia suka juga kalau ibunya buka farmasi kat sini tapi kalau ibunya ada agenda lain, susah hati dibuatnya. Dah setahun kedai makan ini dibuka malah pekerjanya juga ramai.
"Mr. Lim cakap, klinik gigi akan dibuka sebelah kedai makan Eiman nanti. So ini bermakna, kita bebas dari cengkaman ibu. Yes! Yes!" Dina tersenyum sampai telinga.
DINA melambai tangan kepada dua orang pekerjanya. Tepat pukul 6.30 petang, klinik ini ditutup. Hari ini ramai betul orang bawa kucing dan anjing datang ke sini. Mujurlah dia ada seorang lagi doktor haiwan.
"Dina, kau tak balik lagi ke?" tanya Noor. Dia melihat Dina sedang mengemop lantai.
"Sekejap lagi aku balik," jawab Dina. Noor merupakan kawannya semasa studi di UPM.
"Jangan lewat sangat. Dah nak malam ni, bahaya seorang diri kat sini." Noor mengingatkan Dina.
"Pasal aku jangan risau. Kalau ada orang berniat jahat kat aku, itu namanya salah pilih orang. Aku patah-patahkan kaki tangan dia orang nanti," balas Dina seraya menggunakan kayu mop yang ada di tangan dan menunjukkan cara bagaimana dia nak patahkan sesuatu. Maklum la dia ada black belt tekwando.
"Kau ni tetap tak ubah perangai, asyik nak belasah orang saja. Esok aku datang lambat. Pengasuh anak aku ada hal," beritahu Noor.
"Okey! Bye!" balas Dina. Dia menyambung semula kerjanya selepas Noor keluar.
Selesai kerja, dia terus menutup lampu dan kipas. Dia mencapai beg galas dan terus menutup klinik itu.
Langkahnya terhenti apabila terdengar suara orang bergaduh. Dia melihat ada lelaki dan perempuan bertikam lidah di hadapan lot kedai yang bakal menjadi klinik gigi itu. Semakin rancak pergaduhan mereka berdua.
"Ignore, Dina! Ignore! Kau nak cari masalah ke? Ibu dah warning, kan. Baik aku balik cepat-cepat." Dina mempercepatkan langkahnya. Sebelum masuk ke dalam kereta, dia sempat menoleh lagi. Dia nampak lelaki itu menepis tangan wanita itu. Dia memang pantang kalau tengok lelaki berkasar dengan wanita.
Tiba-tiba muncul wajah ibunya. Dina terus masuk ke dalam kereta. Enjin kereta terus dihidupkan. Sebolehnya dia tak mahu ambil tahu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co