Bab 3
MUSTAHIL? Nampaknya tiada apa yang mustahil dalam dunia ini. Tika Allah menitipkan kun faya kun, maka jadilah sesuatu itu mengikut aturan-Nya.
Dua tahun! Dua tahun lalu mereka bertemu dan kini setelah dua tahun itu, sekali lagi dia bersabung mata dengan gadis ini. Gadis yang rupa-rupanya tidak pernah mampu dihambat bayangannya.
Sungguh, dia tidak pernah menjangkakan bahawa di suatu sudut kotak memorinya, setiap inci muka gadis ini masih lagi terlekat kemas. Fikirnya, wajah ini sudah pun dilenyapkan sama sekali. Namun ternyata dia silap. Sebaik sahaja mereka bertentang muka, automatik sahaja pertemuan yang cuma seketika itu menjelma kembali ke dalam akal fikiran. Aneh! Cukup aneh.
"It is you? Apa yang kau merepek ni? Aku tak kenal kaulah!"
Jerkahan yang menghentak gegendang telinga pantas membentuk senyuman tawar di hujung bibir Syafiq. Haruslah dia tidak dikenali. Hanya dengan pertemuan sebegitu, mustahil gadis ini masih mengingatinya.
"Saya..."
"Hei, kau dengar sini. Aku tak ada masa untuk layan orang gila macam kau. Dahlah kerana kau, jantan keparat tu lepas!"
Tersentap kuat Syafiq mendengarkan tengkingan gadis di hadapannya. Berderau air mukanya. Terasa sungguh tercabar. Ditambah pula dengan beberapa pasang mata yang mula memandang dan berbisik sesama sendiri. Ah, ego lelakinya bagai dipijak-pijak.
"Awak dengar dulu, boleh tak?" Syafiq cuba berkompromi sedaya mungkin, walau hatinya semakin menggelegak dengan larva kemarahan.
"Dengar apa? Dengar cerita macam mana kau ni pekak sangat masa aku suruh ke tepi tadi? Sampaikan aku tak berjaya kejar dia? Macam tu?!"
Telinga Syafiq berdesing. Tingkah gadis itu semakin menipiskan tahap kesabarannya. Sudahlah dia sendiri bukan baik orangnya, disimbah pula dengan tengkingan begitu. Kalau silap perhitungan, meletup Tuan Syafiq Tuan Haikal yang lama, yang bisa menjadi seorang manusia bertunjangkan kekejaman. Ah, perempuan ini benar-benar tidak kenal siapa aku dan apa yang aku mampu lakukan!
"Oh, sekarang salah saya pula? Awak yang tak tengok dulu mana nak pergi tu tak salah?" Kali ini Syafiq membidas kembali.
"Hei, suka hati akulah nak ke mana pun! Kau tu..." Muka Syafiq dituding dengan jari telunjuk.
"Jangan cuba halang jalan."
Lagi Syafiq tergamam melihatkan sikap kurang ajar gadis ini. Namun untuk sekejap cuma, kerana selepas itu dia senyum sinis. Perempuan ini memang sama. Terlampau sama dengan dua tahun lepas. Kasar. Dingin. Keras.
"Kenapa? Airport ni bapak awak yang punya?"
Terserlah air muka gadis tersebut yang berubah. Rahangnya terketap-ketap, seakan-akan menahan amarah.
"Kau... Jangan melampau."
Lagi bibir Syafiq tersungging dengan senyuman maha sinis. Sarkastik! Keningnya dijongket sebelah.
"Siapa yang melampau kat sini? Saya atau awak yang terlolong-lolong macam hantu, tengking saya di depan semua orang? Hah?" desis Syafiq dengan suara yang sangat mendatar.
Bulat mata gadis di hadapannya. Mungkin rasa terkejut. Mungkin rasa terhina dengan tutur katanya. Tetapi, ada dia kesah? Huh, perempuan serupa ini... Kasarnya sudah mengalahkan anak jantan.
"Kau..."
"Awak tak perlu susah-susah sakitkan jiwa awak dengan marah saya. I am leaving." Sebelum sempat bicaranya habis, Syafiq terlebih dahulu mencantas lantas mengangkat kembali kakinya. Namun, fikirannya tiba-tiba ditujah sesuatu. Automatik dia mematikan langkah dan berpaling semula.
"By the way, nah!" Selamba Syafiq menarik pergelangan tangan kiri gadis itu dan menujah telapak tangannya dengan sekeping not RM20.
"Duit baki. Saya tak nak terhutang dengan awak. Kenapa? Sebab, apa yang kau bagi, aku akan balas. So, kosong... Kosong." Kata-kata yang pernah dilemparkan kepadanya diulang kembali. Kemudian Syafiq memaling tubuh dan berlalu pergi. Riak wajah tanpa emosi terpancar di segenap muka.
Pergi! Ya, dia harus cepat pergi dari sini sebelum dia semakin dicucuk dengan rasa geram dalam jiwa. Sebelum dia kehilangan azamnya untuk menjadi lebih baik tadi. Sebelum dia kembali menjadi Syafiq yang bisa membunuh seseorang dengan kekejaman kata dan perilakunya.
PEDAL minyak Suzuki Swift milik Soraya ditekan kuat-kuat. Sesekali dia menyelit ke kiri dan ke kanan, melintasi kereta-kereta lain yang menyusuri Lebuhraya Elite. Merapati MUFORS Gallery, Adra memperlahankan sedikit kereta. Bukan dia tidak tahu kamera perangkap had laju yang seringkali dipasang di situ. Setelah memastikan jarak selamat, sekali lagi dia memecut laju. Hatinya yang benar-benar membara bergerak seiring dengan jarum di dashboard yang sudah menunjukkan 130km/jam.
"Arghhh!!! Bangsat! Kau memang jantan bangsat, Nizam!"
Suara lantang Adra membelah lebuh raya. Naik turun dadanya bersama dengusan nafas yang berkempul-kempul kasar. Genggaman pada stereng jadi semakin kuat dan mencengkam, sehingga dapat dia rasakan hujung kukunya yang semakin mencucuk-cucuk telapak tangan. Tetapi, dia tidak peduli. Ah, persetankan saja rasa sakit yang secebis ini! Kerana apa yang bersarang dalam hati dan jiwa kontangnya adalah beribu-ribu kali ganda lebih perit.
"I guess kau dah kembali. Lama kau lari, kan? Huh, kau ingat kau boleh lepas macam tu saja? Aku akan pastikan kau melutut di kaki aku nanti." Keras suara Adra yang dipanculkan dari sebalik bibir yang terherot dalam senyuman sinisnya.
Namun pelik! Apa yang tercetus itu langsung tidak selari dengan reaksi tubuhnya yang bergetar kuat. Adra menggigit bibir, menahan diri daripada terus menggeletar. Tidak! Dia tidak takut! Dia tidak mungkin takut kepada manusia keparat itu!
"Ah! Kau ni kenapa, Ara?!"
Drastik, Adra membelok ke kiri. Berdecit bunyi tayar kereta di sisinya yang terpaksa membrek secara mengejut. Bunyi hon saling sabung-menyabung, menandakan keadaan di jalanan yang mula kelam-kabut.
"Hoi!!! Gila ke?!"
"Nak mati ke?!"
Kuat jerkahan daripada beberapa pemandu lain. Namun, Adra hanya memekakkan telinga. Langsung tidak ambil peduli akan sumpah seranah yang bertubi-tubi kepadanya. Malahan, selamba sahaja dia memberhentikan kereta di tepi lebuh raya. Kepalanya dijatuhkan ke atas stereng, masih tetap dengan bibir yang diketap-ketap. Air jernih yang bertakung di tubir mata ditahan-tahan agar tidak merembes keluar.
"Kau tak boleh jadi takut, Ara. Tak boleh! Dia... Dia yang patut menderita, bukannya kau! Dia yang patut jilat balik atas apa yang dia dah buat kepada kau. Kau faham tak?!"
"TAK padan dengan perempuan. Bawa kereta macam pelesit!"
Birai mata Syafiq dilirik pada Suzuki Swift yang kini tersadai di tepi lebuh raya. Bebelan pemandu airport limousine yang dinaikinya dibiarkan tanpa balasan. Dalam hati, dia beristighfar berkali-kali. Terkejut juga dia dengan tindakan pemandu tadi. Seperti tidak sayangkan nyawa saja. Apa sudah lama hidup di dunia ini? Atau sudah bersedia menghadap hisab Allah?
Dalam Syafiq bermonolog sendiri, fikirannya kembali berlegar kepada pemandu wanita tersebut. Macam pernah dilihat saja? Kasar, ganas dan tidak reti takut. Eh, sekejap! Bukankah itu...
Pap! Syafiq menepuk dahi. Ah, apa lagi yang tak kena dengan dia tu? Dari Hong Kong hinggalah ke Malaysia, mahu tunjukkan perangai ganas? Malahan sekarang dah makin melampau dan mahu tunjuk gengster di jalanan pula? Harap imej sahaja yang bertudung manis, tetapi perangai macam orang gila. Huh, memang dasar perempuan pelik!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co