Truyen3h.Co

PERGI

Bab 12

karyaseni2u

DALAM perjalanan, Rabiatul Adawiyah banyak melayan perasaannya. Amsyar yang begitu petah berceloteh dilayan oleh Karmah. Karmah cuba melekakan Amsyar. Sekiranya tidak, Amsyar akan bertanya itu dan ini kepada sahabatnya itu.

Rabiatul Adawiyah memejamkan mata. Cuba membayangkan wajah-wajah yang baru ditemuinya tadi. Wajah yang amat dirinduinya sejak lima tahun yang lalu. Sesekali dia tersendu sendiri.

Emak... Andai kau tahu yang berhadapan denganmu tadi ialah anak kandung emak, adakah emak sudi memeluk tubuhku? Adakah emak mahu menyentuh tanganku? Adakah emak sudi berbicara denganku? Emak... Awiyah mohon ampun. Awiyah mohon ampun. Awiyah mohon ampun, emak...

Abah... Sesungguhnya anakmu ini sedang sakit. Sakit kerana terpaksa menahan diri daripada terus mendekati dirimu. Awiyah tak mahu jadi anak derhaka lagi, abah. Cukuplah lima tahun ini Awiyah jadi anak terbuang. Abah... Kalau abah tahu siapa yang bersama nenek, adakah kemarahan abah akan berkurang? Adakah abah akan mengucup dahi ini? Atau adakah abah akan halau diri ini seperti anjing kurap? Abah... Tolonglah dengar rasa hatiku ini... Awiyah nak balik rumah. Awiyah nak hidup seperti dulu. Jangan buang Awiyah lagi, abah...

Nenek... Maafkan Awiyah. Kerana Awiyah nenek jadi begitu. Andai masa boleh diundur semula, Awiyah akan dengar cakap nenek. Awiyah akan taat kepada abah dan emak. Maafkan Awiyah, nenek.

Adik-adik...

Rabiatul Adawiyah sudah tidak tahan lagi lalu membuka matanya. Dia mengurut dadanya tatkala dia terpandang wajah Amsyar yang begitu hampir dengan wajahnya.

"Kakak nangis ke?" soal Amsyar.

Karmah turut memandangnya.

"Kenapa Rabitah?" soal Kak Sulwani pula.

"Tak... Tak ada apa-apa, kak," bohong Rabiatul Adawiyah.

"Umi... Kakak ni memang nangis. Ada air mata kat mata dia," adu Amsyar.

Rabiatul Adawiyah buat-buat ketawa.

"Pandainya dia." Rabiatul Adawiyah mencuit pipi Amsyar.

Apabila memandang Amsyar, dia terkenangkan anaknya sendiri. Di mana hendak dicari lagi? Dia tidak mempunyai maklumat.

"Amsyar memang kena pandai. Kalau tidak, nanti siapa nak jaga umi dan abi? Kalau Amsyar bijak, Amsyar boleh jadi doktor," jawab Amsyar sambil tersengih-sengih.

"Mari main dengan akak. Jangan ganggu Kak Rabitah tu. Kakak tu tengah sakit kepala." Karmah cuba menyelamatkan suasana. Pandai-pandai dia mencipta alasan.

"Oh, kakak sakit kepala, ya? Umi kata, kalau kita sakit kepala, umi suruh baca inn-namaaa amruhuuu i-zaaa a-raada syai-an ay-yaquula lahuu kunn fayakun... Lepas tu usap tempat yang sakit tu. Lepas tu kita berdoa moga Allah sembuhkan. Dah habis doa barulah sambung baca fayakuun. Betulkan, umi?" soal Amsyar.

Kak Sulwani tertawa kecil. "Betul... Pandai anak umi."

"Pandainya Amsyar ni, Kak Su. Dia dah boleh baca al-Quran ke, kak?" soal Karmah. Rabiatul Adawiyah memasang telinga. Dia turut rasa kagum.

"Alhamdulillah, Karmah. Umur dia tiga tahun dah mula mengaji. Sekarang ni dah nak habis baca. Surah Yasin pun dia dah pandai baca. Syukur Allah kurniakan dia hati yang terang."

Sangat kagum! Alhamdulillah. Seronok rasanya kalau dapat anak seperti Amsyar. Jauh di sudut hatinya, Rabiatul Adawiyah terkenangkan anaknya. Adakah anaknya dipelihara dengan baik? Adakah dia sebijak Amsyar? Ya Allah... Walau di manapun anakku berada, tolonglah jaga dia untuk aku. Moga dia menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat. Jadikan dia orang yang menyanjung agama, menjulang al-Quran dan mengagungkan Allah dan rasulnya, pinta Rabiatul Adawiyah dalam hati.

"Bagusnya, kak. Kagum saya," puji Karmah.

"Akak berharap sangat dia jadi hafiz suatu hari nanti. Moga Allah lembutkan lisannya untuk terus menghafal kalam-kalam Allah."

"Insya-Allah, kak. Amin... Amsyar kena jadi budak baik, ya?" pesan Karmah.

Amsyar mengangguk.

"Amsyar, jawab apa?" tegur Kak Sulwani.

"Insya-Allah," jawab Amsyar.

AKHIRNYA sampai juga mereka di rumah. Lega! Itu yang Rabiatul Adawiyah rasakan. Dalam perjalanan, perasaannya berkecamuk. Memendam rasa itu terlalu sakit. Dia mahu meluahkan segalanya di rumah. Biar keluar segala kesakitan yang ditanggungnya.

"Lepas kita letak hantaran, kita balik teruslah," bisiknya kepada Karmah. Karmah hanya mengangguk. Faham dengan apa yang dirasakan oleh rakannya itu.

"Alhamdulillah... Sampai dah semuanya," sambut Mak Cik Soraya. Bukan main gembira lagi dia. Syakri pula menempel di belakang emaknya. Bukan main lebar lagi senyumannya. Maklumlah, sudah jadi tunangan orang.

"Nak letak mana barang hantaran ni, mak cik?" tanya Karmah. Dia membawa dulang yang berisi baju Melayu manakala Rabiatul Adawiyah membawa barangan wangian.

"Marilah masuk," ajak Mak Cik Soraya.

Mereka mengekori langkah Mak Cik Soraya. Syakri pula memeluk bahu Mak Cik Soraya.

Amboi... Bukan main manja mamat ni. Hai... Bertuahlah adik aku dapat bakal suami yang penyayang. Alhamdulillah... Sekurang-kurangnya aku dapat lihat siapa yang bakal jadi adik iparku. Abah memang pandai memilih bakal menantu. Aku aja anak terbuang. Rabiatul Adawiyah menahan sendu.

"Nak pimpin tangan kakak." Tiba-tiba Amsyar mengejar Rabiatul Adawiyah. Terkejut juga dia apabila Amsyar terus menyambar tangannya. Dia tersenyum. Baiknya budak ni.

"Eh, Amsyar tak malu ke nak pimpin tangan perempuan?" usik Syakri.

"Eleh... Kita kecik lagi. Abi Aki yang tak boleh pimpin tangan kakak. Umi cakap hukumnya haram." Amsyar lawan kata Syakri.

Syakri ketawa kuat sehinggakan Mak Cik Soraya menepuk bahunya.

"Abi Aki gelak macam apa aja. Tak baik tau gelak kuat-kuat."

Amsyar dengan Syakri memang pantang bertemu agaknya, asyik hendak bergaduh saja. Itu yang ada dalam fikiran Rabiatul Adawiyah.

"Jealouslah tu... Amsyar pegang tangan kakak. Abi Aki boleh pegang juga tapi pegang tangan nenek. Jangan jealous ya," usik Syakri lagi.

Kak Sulwani hanya menggeleng. Begitulah kalau sudah berjumpa, ada saja yang mereka hendak gaduhkan. Dia sendiri malas hendak menegah. Asalkan jangan Amsyar menangis sudah. Kalau sampai menangis, adik manjanya itu memang hendak kena!

"Nenek... Nenek..." panggil Amsyar. Mak Cik Soraya menoleh.

"Nenek jangan layan Abi Aki, ya? Boleh tak, nenek?" Amsyar mula mahu berpakat dengan neneknya. Mak Cik Soraya tersenyum.

"Kalau nenek ikut cakap Amsyar, apa yang nenek dapat?" soal Mak Cik Soraya pula. Syakri sudah menjongketkan keningnya.

"Nanti Amsyar bagi nenek gula-gula," jawab Amsyar. Rabiatul Adawiyah sudah menahan tawa.

"Hesy... Bukan tu rasuah ke? Hukumnya haram, kan?" sakat Syakri lagi. Amsyar menjeling.

"Kak... Habislah... Anak akak dah pandai amalkan rasuah tu."

Kak Sulwani tergelak besar.

"Umi... Betul ke berdosa?" Amsyar mula terkulat-kulat apabila dengar uminya tertawa.

"Ya, sayang. Mana boleh bagi nenek gula-gula. Tu namanya rasuah. Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan doa kita. Sedekah dan ibadah haji juga tak akan diterima oleh Allah SWT. Alangkah ruginya mereka yang melakukan perbuatan rasuah ini kerana ibadah dan doa mereka menjadi sia-sia dan takkan mendapat rahmat Allah SWT," terang Kak Sulwani. Amsyar terangguk-angguk.

"Maafkan Amsyar, nenek." Amsyar buat muka sedihnya.

"Alahai... Kesian cucu nenek. Kena buli dengan Abi Aki, ya? Meh sini, nenek peluk dia." Mak Cik Soraya mendepakan tangannya. Amsyar apa lagi, terus meluru ke dalam dakapan neneknya itu.

Bahagianya mereka, detik hati Rabiatul Adawiyah.

"Mak cik, kami balik dululah, ya." Karmah menyiku Rabiatul Adawiyah setelah meletak barang hantaran itu.

"Hesy, janganlah balik dulu. Penat mak cik buat kuih tadi semata-mata nak makan petang dengan kamu berdua. Duduklah dulu, kita bual-bual."

Mereka cukup serba salah ketika itu. Karmah memandang wajah Rabiatul Adawiyah. Mereka sama-sama menjongket bahu. Hendak menolak, rasa tidak sedap hati pula.

"Tunggulah sekejap Karmah... Rabitah. Kesian mak tu dah buat minum petang. Sekejap aja, ya?" pujuk Kak Sulwani pula.

"Yalah," jawab Karmah. Mereka duduk kembali. Amsyar pula tidak mahu duduk jauh dari mereka.

"Amboi... Manjalah konon dengan kakak-kakak tu." Syakri memang suka mengusik.

Amsyar jelir lidah. Sudahnya...

"NENEK Zulaikha tadi ingat Si Rabitah ni cucu dia, mak. Dia pegang aja tangan Rabitah," cerita Kak Sulwani.

Hampir sahaja Rabiatul Adawiyah tersedak. Dia mengurut dadanya. Syakri pula memandang tepat wajah Rabiatul Adawiyah. Apabila gadis itu merasakan ada yang memandang ke arahnya, wajahnya ditundukkan.

"Kesian dengan nenek dia tu. Cucu kesayangan dia pula tu yang hilang. Mungkin dia tak dapat terima kehilangan cucunya tu," tutur Mak Cik Soraya perlahan. Dia cukup simpati dengan bakal besannya itu.

"Siapa nama cucu dia tu, mak?"

Debaran di dalam dada Rabiatul Adawiyah semakin kencang. Sungguh! Dia tidak mampu hendak mendengar kisahnya dibincangkan oleh keluarga itu. Namun apakan daya.

"Menurut Saadiah, nama anak sulung dia tu... Hmmm... Rabiatul Adawiyah kut. Rasanya mak tak silap sebut namanya. Sebab nama dia sedap, kan?"

Si gadis tersedak. Biarpun bukan kuat mana, tapi dadanya terasa sakit.

"Batuk ke, Rabitah?" soal Mak Cik Soraya. Rabiatul Adawiyah hanya menggeleng.

"Apa sebabnya dia hilang, mak?" soal Syakri pula. Dia turut berminat hendak tahu tentang bakal kakak iparnya itu.

Mata Rabiatul Adawiyah spontan memandang wajah Syakri. Nampak lelaki itu cukup teruja ingin tahu. Mungkin selama ini Zulaikha tidak pernah cerita apa-apa tentang dirinya.

"Tak tahulah... Lepas dapat keputusan STPM, anaknya tu terus lesap katanya. Tak balik-balik sampai sekarang. Sebelum tu kata Saadiah, anaknya dimarahi oleh Tuan Jalal. Agaknya anaknya tu kecil hati. Itu yang tinggalkan rumah," cerita Mak Cik Soraya. Wanita itu tidak tahu yang empunya diri ada di situ.

Ya Allah... Begitu ke emaknya beri alasan? Maafkan Awiyah, mak. Mak sangat menjaga aib Awiyah biarpun emak berbohong. Awiyah tahu emak tak nak semua orang pandang serong dekat Awiyah. Awiyah rasa berdosa sangat, emak...

Wahai Allah... Kau kembalikan kebahagiaan ibuku kerana aku tak sanggup melihat dia menderita lagi kerana aku. Tolonglah, Ya Allah... rayunya berkali-kali dalam hati. Matanya kian panas.

"Tuan tu memang tegas. Mungkin adalah kesalahan anak dia yang dia tak boleh terima tu. Dalam kem dulu, semua orang suka dengan dia. Dia ambil tindakan kepada sesiapa aja yang buat salah. Biarpun orang tu baik dengan dia. Itulah Tuan Jalal," celah Pak Cik Hashim pula.

Allahuakbar! Abahku tak bersalah. Yang salah ialah aku!!! jerit batin Rabiatul Adawiyah.

"Eh, kita ni cerita pasal keluarga orang lain pula. Ni dah kira mengumpat ni," tegur Kak Sulwani. Baru tersedar agaknya.

Syakri sejak tadi sudah berubah wajah. Dia menjadi pendiam. Rabiatul Adawiyah menahan sendu yang kian menghimpit dadanya. Karmah pula serba salah. Dia menjamah kuih dan hidangan lain seberapa segera.

"Alhamdulillah... Mak bersyukur sangat sebab semuanya berjalan dengan lancar. Tak lama lagi, bertambahlah ahli keluarga kita. Kamu tak payah kerja luar lagi, Aki. Cari aja kerja dekat-dekat sini," luah Mak Cik Soraya.

"Ini dah perbincangan keluarga, mak cik. Kami minta diri dululah, ya." Karmah bertindak dahulu. Dia turut rasa tidak selesa.

"Hah, yalah. Terima kasih kerana sudi pergi tadi," ucap Mak Cik Soraya.

"Sama-sama, mak cik..."

Mereka bersalaman. Rabiatul Adawiyah turut bangkit, bersalaman dengan Mak Cik Soraya dan Kak Sulwani. Ketika Rabiatul Adawiyah bangkit, mata Syakri terus menyoroti langkah gadis itu. Dia tidak tahu kenapa, hatinya terus terikat dengan gadis berniqab itu.

SEMENTARA itu, di rumah keluarga Encik Jalal, nenek Rabiatul Adawiyah mula mencari cucunya.

"Mana Awiyah? Mana dia pergi?!" bentaknya. Dia bertanya kepada sesiapa saja yang dia jumpa.

"Mana ada kakaklah nenek ni!" marah Arbaiyah. Zulaikha turut menjeling.

"Ada... Tadi Awiyah ada. Dia kata nak jumpa aku. Mana dia? Dia kata nak tidur dengan aku. Aku dengar dia cakap!"

Arbaiyah mengeluh.

"Nenek carilah. Orang cakap tak ada tu, tak adalah," bebel Arbaiyah.

"Yang kau layan nenek tu buat apa?!" marah Zulaikha.

"Yalah. Dari tadi bising aja," balas Arbaiyah.

"Diam ajalah. Tak payah nak lawan cakap dia. Kalau kita tak layan dia, dia tak menjadilah," bidas Zulaikha pula.

"Kak ngah senanglah cakap. Tadi tu dia asyik pegang tangan salah seorang rombongan daripada pihak Abang Syakri, kak ngah tau tak? Tu yang dia kata kak long ada," cerita Arbaiyah. Berkerut dahi Zulaikha.

"Yang mana satu?" soal Zulaikha sedikit teruja.

"Alah, yang pakai tutup muka itulah. Sibuk cakap tu kak long. Sampaikan orang tu tak makan pun," tambah Arbaiyah lagi.

"Apalah nenek ni, buat malu aja." Kali ini Zulaikha pula rasa tidak senang hati.

"Habis kakak tu marah ke tak?"

Arbaiyah menggeleng.

"Dia orang baiklah. Tak macam kak ngah." Sempat lagi Arbaiyah mengata kakaknya itu.

Zulaikha menjegil matanya.

"Entah manalah kak long. Rasa rindu dekat dia," luah Arbaiyah perlahan. Khuatir didengari oleh abahnya.

"Tak payah kau nak sebut-sebut nama dia boleh tak? Menanah tahi telinga aku ni." Garang sahaja suara Zulaikha. Dia kurang senang apabila nama kakaknya disebut. Hatinya akan menjadi sakit secara automatik.

"Eleh, kak ngah tu... Entah apa nak marah dekat kak long. Dia dah lama tak ada dalam rumah ni, mestilah Yah rindukan dia. Dia bukan budak jahat, cuma dia tersilap langkah aja," balas Arbaiyah. Dia pun tidak tahu mengapa kak ngahnya menyimpan dendam kepada kakak sulung mereka. Emaknya selalu berpesan agar mereka tidak membenci kak long. Emak selalu puji kak long. Kak long bukan budak jahat.

"Kau budak-budak, mana kau tahu!" bentak Zulaikha.

"Orang dah tiga belas tahun, kak ngah. Bukan budak kecil lagi. Orang tahu cerita sebenarnya. Tak payahlah kak ngah nak simpan dendam sangat. Dia bukan buat jahat dengan kak ngah pun." Arbaiyah kurang senang dengan sikap kak ngahnya itu.

"Dia memang tak buat jahat dengan aku, tapi dia dah cemarkan nama baik keluarga kita. Nama baik abah tu. Orang semua hormat abah yang jadi imam. Semua tahu abah macam mana. Sampaikan kita terpaksa pindah ke sini sebab abah tak mahu ingat apa yang dia dah buat kepada kita. Itu pun kau nak sokong dia ke?!" marah Zulaikha.

"Eleh... Kak ngah tu yang tak betul." Arbaiyah tidak mahu kalah.

"Sudahlah. kau keluar sekarang. Memekak aja dekat sini. Jangan kau sebut-sebut nama dia lagi depan aku. Dahlah hari ni hari bahagia aku, aku tak nak dengar apa-apa tentang dia." Zulaikha melempar bantal kecil ke arah adiknya itu.

"Kalau dia ada, tak merasalah kak ngah bertunang dengan Abang Syakri tu. Mesti Abang Syakri bertunang dengan kak long." Mulut Arbaiyah tidak mahu diam.

"Kau jangan nak naikkan darah aku, eh! Karang mulut kau tu aku cili. Eee... Sakit pula hati aku ni!" Membuntang matanya memandang ke arah Arbaiyah.

Arbaiyah tersenyum sinis. Akhirnya dia dapat juga kenakan kakaknya itu. Menyampah dengan sifat diva kak ngahnya itu. Selalu tunjuk lagak kepada adik-adik yang lain. Mentang-mentanglah dia baru keluar dari universiti, ingat sudah bagus sangat agaknya.

Zulaikha terus melayan panas hatinya itu. Berbakul-bakul dia menyumpah kakak serta adiknya itu. Geram kerana masih lagi dikaitkan dengan orang yang selama ini telah menyakitkan hati abah dan emaknya. Bencinya kepada Rabiatul Adawiyah semakin menimbun!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co