Bab 4
HIDUP harus teruskan. Janda saja pun, apalah yang hendak ditakutkan? Sudut pandang manusia itu sangat berbeza. Ada yang pandang janda dengan pandangan menghina, menakutkan, bahaya dan macam-macam lagi. Terpulang. Mereka tak duduk di tempat janda, boleh kata apa saja.
Tapi bagi aku, janda bermakna aku sudah bebas dari sebuah kehidupan yang tidak menggembirakan. Bila sudah tidak gembira, lepaskan, lupakan dan mulakan sesuatu yang baru. Mana tahu bakal bertemu dengan jodoh yang lain pula. Bakal bertemu dengan lelaki yang mampu membahagiakan aku semula. Sesungguhnya, esok tiada siapa pun yang tahu. Dan hidup ini sukar dijangkakan.
Keluar dari kereta aku terus masuk ke bangunan utama menuju lobi di mana terdapat enam lif. Ramai pekerja yang sudah menunggu lif. Sibuk dengan hal masing-masing. Mujur juga tak ada yang mengenali aku. Kalau tidak, letih juga hendak menjawab.
Pintu lif terbuka dan aku masuk. Tekan butang enam dan tunggu lif naik. Keluar saja dari lif, aku menuju ruang pejabat dengan Fatihah binti Abu Nordin yang baru. Fatihah yang baru kehilangan cinta seorang lelaki yang pernah menjadi pendamping hidupnya. Fatihah yang pernah terluka hatinya dan kini makin sembuh. Yang penting, Fatihah tetap bersemangat.
Di tingkat enam ini terletaknya bahagian kewangan syarikat. Di bahagian ini ada dua belas orang pekerja yang ditugaskan menjaga hal ehwal kewangan syarikat. Tapi aku hanya rapat dengan dua orang rakan sekerja. Suriani dan Fuzah. Kami sebaya. Kebetulan, lima tahun lalu kami sama-sama temu duga dan ditempatkan di bahagian yang sama sehingga sekarang. Ini disebabkan kami sama-sama memiliki ijazah dalam bidang akaun. Jadi, kami bertiga ditempatkan di bahagian kewangan syarikat.
Khairul pula ditempatkan di bahagian yang melibatkan pelanggan di tingkat sembilan. Satu pejabat dengan bakal isterinya. Kakak Khairul pula di bahagian sumber manusia. Desas-desus yang menyatakan Khairul masuk syarikat disebabkan kakaknya bukanlah khabar angin semata.
Khairul mengaku, kakak dia yang tolong serapkan Khairul di syarikat. Dengan erti kata yang lain, Khairul masuk kerja menggunakan kabel kuat. Dan disebabkan itulah Khairul tidak begitu disukai sesetengah pihak. Pendek kata, Khairul banyak musuh.
Tak lama selepas itu aku bertemu jodoh dengan Khairul. Cerita cinta semuanya manis namun tak semua bakal berakhir dengan kemanisan juga. Semoga semua ini bakal menjadi pengajaran buat aku.
Suriani dan Fuzah datang menghampiri mejaku. Fuzah dulu peluk aku, kemudian Suriani.
"Kau orang ni. Aku okeylah." Lemas juga sebab kedua-duanya agak berisi badan sedang aku tinggal tulang.
"Kita orang risau takut kau bunuh diri," balas Fuzah. Gurau kasar nampak.
"Aku taklah sebodoh tu sampai nak bunuh diri. Bercerai aje pun. Bukannya bawa mati. Patah tumbuh hilang berganti."
Tapi rasa sakit dicurangi itu sudah tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Sangat-sangat sakit dan tak mampu untuk memaafkan.
"Ya, kami tahu. Kami tak naklah kau sedih. Kami nak kau ceria semula. Lupakan semua bab yang menyedihkan. Kau kena buka buku baru. Tutup buku lama dan jangan ingat apa-apa." Seperti selalu, Fuzah sentiasa memberikan kata-kata semangat.
"Betul tu. Kita orang nak kau kembali gembira macam dulu-dulu. Macam sebelum kau kenal jantan tak guna tu. Entah-entah dia yang mandul." Suriani juga tak kalah dalam bab mengutuk Khairul.
Dari aku tak menangis, mahu menangis dibuatnya. Dua orang rakan pejabat yang sangat ambil berat tentang aku.
"Insya-Allah, aku baik-baik saja. Aku terima takdir yang tertulis buat aku dengan hati yang reda. Mungkin ambil masa untuk aku pulih sepenuhnya tapi aku akan berusaha." Tak ada yang mustahil di dalam dunia ini dengan izin Allah.
"Alhamdulillah. Aku pun harap begitu." Suriani peluk aku sekali lagi. Sungguh, aku sangat perlukan sokongan ketika ini.
"Nanti balik kerja kita karaoke nak?" Fuzah buat cadangan.
"Gila, aku dalam idah."
"Dalam idah tak boleh karaoke ke?"
"Mana boleh. Kenalah jaga pantang larang masa dalam idah."
"Lelaki siap boleh kahwin lagi, kan?" tanya Fuzah.
"Hukum dah mensyaratkan begitu. Ikut ajelah. Habis idah nanti kita karaokelah sepuasnya."
Bukan seumur hidup pun sudah terasa peritnya. Asyik bertanya sendiri. Ini boleh buat ke, itu boleh buat ke. Memang rimas untuk menjaga idah dengan baik.
Dari pintu utama aku melihat Eja, seorang lagi rakan sekerja sudah sampai. Kemudian atur langkah menghampiri mejaku.
"Hurm, datang dah tali barut. Kita orang blah dulu. Malas nak layan."
Kalut Fuzah dengan Suriani tinggalkan meja aku. Mereka kembali ke tempat duduk mereka. Fuzah dengan Suriani memang tidak suka dengan Eja. Mulut Eja jahat dan Eja juga kawan baik isteri baru Khairul.
Eja antara manusia yang nak sangat rumah tangga aku runtuh dan menyokong kuat sahabat baiknya merampas Khairul daripada aku. Aku tahu semua tu tinggal lagi tak nak bergaduh dengan Eja. Bagi aku, hal rumah tangga aku dengan Khairul itu adalah hal yang sudah ditakdirkan. Tak perlu aku bermusuh dengan sesiapa.
Eja berumur dua tahun lebih tua daripada aku bermakna umur dia sudah tiga puluh.
Kami semua tahu Eja adalah kawan baik bakal isteri baru Khairul. Tak mustahil kalau dia jadi tali barut dan menyampaikan berita tentang aku kepada perempuan tu. Sebab itulah aku sangat berhati-hati dengan Eja. Bukan apa, bimbang aku cakap lain, yang disampai kepada sahabatnya lain. Huru-hara nanti. Kalau boleh aku tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
"Dah selesai ke?" tanya Eja. Muka dia yang tebal dengan solekan tak mampu menyembunyikan kegembiraan dia. Jelas nampak betapa gembiranya Eja bila aku sudah diceraikan.
Aku angguk. Walau aku tak suka, tapi hadap sajalah. Inilah masanya Eja nak tepuk tangan. Tinggal lagi dia tak tunjuk saja. Kalau boleh berkompang, mahu dia kompangkan aku. Tapi tak apa, Eja. Bergembiralah dulu selagi kau boleh bergembira. Sampai masa nanti aku nak tengok kau boleh tepuk tangan atau tidak.
"Nampak relaks aje. Tak macam kena cerai pun."
Habis, kau nak tengok aku gila meroyan? Nak tengok aku bunuh orang? Kalau nak tengok babak macam itu, tengok sajalah drama TV. Nak tunggu aku buat macam itu, silap banyaklah. Lantaklah apa nak jadi pun, aku tetap bertenang dan teruskan hidup aku. Aku takkan jadi bodoh hanya kerana aku kena cerai.
Agaknya tak puas hati tengok aku tenang-tenang? Dasar manusia hati busuk.
"Jodoh dah habis, kan. Aku pasrah dan reda. Lagipun kami bercerai dengan cara baik. Sebelum kami kahwin pun kami dah buat perjanjian. Kalau ada di antara kami tak bahagia, kami akan pilih jalan kami sendiri. Sebab itulah aku memang reda."
Aku jawab dengan yakin. Dalam hati rasa nak baling meja pun ada. Tak suka betul dengan manusia seorang ini. Bermuka-muka satu hal, dengki dan busuk hati satu hal. Memang letih nak hadap manusia macam ini.
"Padanlah kau tak kesah pun Khairul jatuh cinta dengan Delisha. Langsung kau tak kacau mereka, kan."
Agaknya dia harapkan aku cari fasal dengan menyerang Delisha. Selepas itu aku dikenakan tindakan tatatertib. Paling suka kalau aku kena gantung kerja. Namun, sepanjang tempoh ini, aku sangat tenang. Kerja pun tak terjejas. Malahan mendapat pujian dari ketua bahagian sebagai pekerja cemerlang dan berdisiplin. Itu yang buat Eja tak senang hidup.
"Sebab perjanjian sudah begitu. Khairul berhak hidup bahagia dengan sesiapa pun bila dia sudah tak bahagia dengan aku. Aku pun sama. Berhak hidup bahagia dengan pilihan aku. Hidup ni bukan susah pun. Jangan bimbanglah fasal aku. Aku baik-baik saja."
Makin sakitlah hati Eja mendengar jawapan aku. Mungkin tak sangka juga aku boleh setenang ini. Keinginan dia mahu melihat aku kecewa tak kesampaian. Jangan haraplah aku nak tunjuk sebarang kesedihan.
"Baguslah kau, Tihah. Berfikiran terbuka dan masih boleh bertenang. Kalau orang lain, penyondol tu dah lama kena. Gatal betul. Punya ramai lelaki bujang, laki orang juga yang dia nak." Fuzah menyampuk dari tempat duduknya. Rasanya Fuzah sudah hilang sabar mendengar kata-kata Eja.
"Laki orang kan segak. Duit pun banyak. Tak hairanlah ada yang nak menumpang senang." Suriani turut menokok.
"Dah nama pun penyondol. Kalau tak sondol memang tak sah," balas Fuzah.
Eja seperti tak keruan tapi percayalah dia takkan mudah mengaku kalah.
"Bila kau keluar dari rumah Khairul tu?"
Bukan ke aku dah cakap? Eja takkan mengaku kalah. Ada saja isu yang berbangkit.
Di sini ada tiga orang yang aku syak suruh Eja tanyakan tentang rumah Khairul. Pertama, bakal isteri baru Khairul. Kedua Ayuni dan ketiga Kak Diah, kakak Khairul. Tapi rasanya bakal isteri Khairul memandangkan kedua-duanya sangat rapat.
Dengan Ayuni pun Eja rapat sebab Eja baik dengan kakak Khairul. Mereka memang sepakat untuk menghancurkan rumah tangga aku dan menyokong kekasih Khairul. Salah satu sebab kenapa adik-beradik Khairul tak suka aku sebab aku kedekut dan jarang sekali ambil tahu hal keluarga Khairul. Aku bukan jenis kuat menjawab tapi aku balas dengan perbuatan. Itu yang mereka tak sukakan aku.
"Habis idah kut."
"Kenapa nak tunggu sampai habis idah? Dah bercerai, kenalah keluar dari rumah tu."
Susah kalau jenis tak tahu apa-apa ni. Karang aku buka hukum, tuduh bajet ustazah pula. Padanlah suami lari ikut perempuan seksi, bajet ustazah rupanya. Aku juga yang kena.
"Hukum yang mensyaratkan begitu. Wanita yang masih di dalam idah harus tinggal di rumah yang dia tinggal sebelum bercerai kecuali kalau bekas suami halau dia. Tahu ke tidak ni?"
Aci lawan kerat jari pun sah tak tahu.
"Sebab senang nak rujuk ke? Rasanya kalau kau tunggu nak rujuk, mustahil kut sebab Khairul dah nak kahwin dengan Delisha."
"Taklah. Tak tunggu nak rujuk tapi itulah. Kena ikut sama pantang dalam idah."
Sibuk pula suruh keluar. Macam rumah dia.
"Ini mesti penyondol tu suruh keluar, kan? Selagi tak kikis habis, memang tak sah. Dasar penyondol tak sedar diri. Haram jadah betul. Tak puas rampas laki orang, harta benda pun nak dirampas." Fuzah menyampuk. Agaknya panas hati mendengar kata-kata Eja. Mahu tak panas, memandai suruh aku keluar.
"Aku yang tanya. Sebabnya dah bercerai kenalah pindah. Tak ada kena-mengena pun dengan Delisha," jawab Eja dengan nada marah. Mestilah dia marah bila sahabat baik digelar haram jadah.
"Masalah sekarang ni ada kena-mengena dengan kau ke tidak? Kalau tak ada kena-mengena, tak payah kau nak menyibuk. Soal Tihah nak pindah ke tidak, pandai-pandailah Tihah uruskan." Suara Fuzah sudah lain. Bukti memang Fuzah tengah panas.
"Aku ingatkan aje."
"Tak payah nak ingatkan. Tihah tahu sendiri. Sibuk betul hal orang. Jaga diri sendiri dulu sebelum sibuk jaga hal orang!"
Kata-kata Fuzah membuatkan Eja melangkah perlahan menuju tempat duduknya. Muka dia haruslah masam gila. Tak siapa pun yang suruh cari fasal. Pagi-pagi cari penyakit, memang mendapatlah dengan Fuzah. Sudahlah kawan tu tunggu masa saja nak hamun Eja. Dah dapat peluang takkan dilepaskan begitu saja.
"Sibuk betul hal orang. Tak puas hati lagi ke jadi tali barut? Suka tengok orang lain menderita. Itu tandanya hati tak sihat. Bila hati tak sihat, itu yang tak fasal meroyan. Tihah yang kena cerai, kau pula kepanasan." Suriani juga panaskan keadaan.
Eja terus-terusan diam. Kalah teruk pagi ni. Siapa suruh cari fasal? Mendapatlah. Mahu satu hari kemurungan. Padan dengan muka.
"Entah-entah kau memang suka bila Tihah kena cerai. Tapi kau kena ingat, Eja. Kau jangan fikir kawan baik kau berjaya sondol laki Tihah dia akan bahagia. Dia tak kenal lagi Khairul tu macam mana. Takut meraung tak cukup tanah nanti." Fuzah membalas.
Aku tak mahu komen apa-apa tentang tu. Selagi tak hidup sebumbung, jangan banyak cakap.
"Tak payahlah kau nak burukkan Khairul. Dia memang lelaki yang baik tapi nasib dia kurang baik sebab dah tersalah pilih jodoh. Itu yang buat dia tak bahagia."
Bermakna aku adalah jodoh yang salah buat Khairul.
"Tak apa. Kita tengok saja nanti. Tapi kau jangan marah kalau kami tepuk tangan berjemaah. Jangan tuduh kami dengki. Kami dah bagi amaran awal-awal," jawab Fuzah.
Semua kembali senyap selepas itu tapi sungguh aku tak sabar untuk melihat betapa bahagianya Delisha di samping Khairul. Harap dia tak alami 'bahagia' yang pernah aku rasa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co