Bab 13
Indonesia.
Wajah Herman resah. Sejak tadi, air muka tak pernah tenang melainkan kerutan timbul sana sini. Dia bersendiri di ruang pejabatnya yang hanya disimbahi lampu meja. Di luar juga sudah gelap.
Hari kian merangkak lewat malam tapi dia sepertinya terpaku di sini memandang pada surat di depan mata berkali-kali. Dibaca tanpa jemu namun masih sukar untuk dia percaya akan apa yang dibacanya.
Isi surat itu bagaikan satu beban. Seperti satu bongkah batu yang begitu besar menghempap diri. Herman meraup wajah berkali-kali. Tuhan... Apa yang sudah jadi ini? Kenapa baru sekarang, Sandra? Kenapa tidak daripada dulu? Apa mahumu?
Kebimbangannya menjadi parasit kini. Dia gementar. Bagaimana harus dia lunaskan permintaan Sandra? Seperti meretas kembali jahitan pada luka lama. Yang boleh jadi telah sembuh sepenuhnya.
Sekali lagi, dia baca surat itu tapi isinya tetap tak berubah. Tinta tangan itu masih seperti pertama kali dia membacanya. Cuma surat itu sudah nampak sedikit lusuh kini. Telefon bimbit dicapai. Pantas jarinya menari mencari satu nombor yang sudah lama dia tak hubungi. Boleh jadi sudah bertahun. Entahlah. Dia sendiri lupa.
Baru saja dia mahu tekan nombor berkod 60 itu, tingkahnya mati. Dia menggeleng sendiri. Telefon dicampak ke tepi. Dia tak punya kekuatan untuk rosakkan kebahagiaan orang. Namun, ini wasiat. Ini permintaan terakhir si mati.
Cuma, kenapa baru sekarang?
Itu yang menjadi persoalan.
WAJAH menekur ke lantai sebaik saja dia tamatkan kisah tentang Mala. Nak tak nak, bila papa dan mama datang mendekati dengan pandangan yang penuh syak... Lis terpaksa buka mulut.
Aizudin meraup wajah. Berkali-kali dia mengucap nama Tuhan. Tak sangka kawan baik anaknya sendiri yang terpalit akan masalah sebegitu.
Betullah kata sang alim. Ujian itu ada masanya, tidak langsung pada kita tetapi pada mereka yang ada berdiri di sisi kita. Orang-orang yang kita sayang. Rasa kesal juga dia. Patutnya awal-awal lagi dia tanya Lis tapi Lis memang anak yang baik. Malah, tak pernah lagi membawa masalah pada dia dan Sofia. Cumanya, dia kenal Mala tu. Tapi, tak tahu pula tentang apa yang telah dan sedang menimpa Mala.
"Tadi yang duk call berkali-kali lepas tu SMS masa dekat meja makan tadi, Mala la tu, ya?" soal Aizudin akhirnya.
Yang lain hanya diam. Tak tahu nak berkata apa. Biarlah Sofia dan Aizudin saja yang bersuara.
Lis angguk.
"Lis dah pesan dekat dia. Kalau ada apa-apa call Lis. Itu yang tadi Lis rasa risau bila tak dapat nak jawab call dia."
"Eloklah kalau Lis nak bantu kawan," ujar Lokman menyampuk. Nak tak nak, dia kena campur. Lis anak saudaranya. Zoey pula anak dia.
"Tapi, pak ngah setuju sangat dengan apa yang Zoey cakap. Dia kawan Lis. Tapi, kalau bab duit ni, Lis... Adik-beradik pun boleh bermusuh."
Mendengarkan kata-kata pak ngah, Lis sekali lagi perlu akur. Ada benarnya. Tapi, dia dah janji.
"Lis faham apa yang semua orang dan Zoey risaukan. Tapi, sekarang Lis memang betul-betul risau. Sekarang ni, Lis call dia balik dah tak dapat pula. Ini yang Lis lebih risaukan." Jari runcingnya terus menekan skrin. Panggilan masih dijawab oleh mesin peti suara.
Mala... Mana kau pergi ni? Jangan buat aku risau... Lis doa tak putus-putus.
"Lis... seru Sofia pula. Dia beralih duduk di sisi anak gadisnya itu. Bahu Lis dipaut erat.
"Dahlah tu. Jangan duk risau sangat. Dia dah besar. Dia akan call Lis balik kalau betul ada yang tak kena. Buat masa sekarang, kita doakan ajelah. Esok-esok, kalau dia call Lis, bagi tahu mama dengan papa. Jangan simpan sendiri macam ni. Mama tak suka. Tengok Lis kerut sana kerut sini, hati mama dengan papa resah, tahu tak?" pujuk Sofia perlahan.
Dia pandang Aizudin. Suaminya tersenyum tipis.
"Lagipun, macam yang Zoey cakap, mama setuju tu. Mama tak nak jadi apa-apa dekat Lis dalam pada Lis nak bantu dia tu. Niat Lis tu dah baik tapi biar kena caranya. Ya, sayang?" Kepala Lis diusap perlahan. Ditarik lantas dikucup seketika.
"Ma, jangan risau. Lis tahu jaga diri Lis. Apapun, Lis memang kena bantu dia." Pujuk Lis perlahan. Harap sangat mama dan papa mengerti. Tapi, nampak gaya macam memang mama dan papa berat hati.
Wajah Sofia resah.
"Mama bukan tak percaya dekat Lis tapi hati seorang ibu, memang akan risau bila anak terjebak dalam hal-hal macam ni... Budak-budak ni akan buat apa saja untuk senangkan diri. Please, Lis... Sebelum Lis buat apa-apa tu fikirkan mama dengan papa. Kami ada Lis seorang aje. Ingat Allah... Jangan sampai kita kehilangan semua, baru kita nak sedar. Itu yang mama tak nak. Itu yang merisaukan mama. Sekarang ni macam-macam boleh jadi. Dan mama tak nak niat baik Lis tu beri kesan buruk pada kita semua. Sayang faham, kan?" Seboleh-bolehnya Sofia berusaha memujuk Lis.
Bukan dia tak suka Lis menghulurkan bantuan tapi caranya nampak macam tak kena. Buatnya keluarga Mala salah faham dengan Lis, diapa-apakan Lis, macam mana? Bahu Lis sekali lagi dipaut dan diusap mesra.
Mendengarkan kata-kata Sofia, Aizudin tunduk. Ingat Allah... Jangan sampai kita kehilangan semuanya dan masa itu barulah kita nak sedar. Hati kecilnya terbersit. Fikiran menerawang jauh. Terlalu jauh kerana yang jauh itu adalah masa lalu. Masa lalu yang tak mahu dia kenang lagi. Malah, dia mungkin dah lupa walaupun ia hanyalah satu pembohongan pada diri.
"Abang?"
"Ya?" Aizudin terpinga-pinga bila Sofia menegur.
"Kenapa?" Bibir Sofia bergerak tanpa suara tapi Aizudin hanya senyum dan menggeleng.
"Lis, papa pun setuju dengan kata-kata mama. Take a good care of yourself, sayang. Ingat mama dengan papa sebelum buat apa-apa. Mana-mana keputusan yang berat tu, datang pada kami. Kita sit down, discuss... Macam biasa-biasa kita buat."
Kali ini, Lis angguk ikhlas. Terima segala pesanan orang tuanya. Tapi, risaunya masih tak pergi. Telefon digenggam kemas. Berharap sangat agar Mala menghubunginya semula.
"Lis, boleh uncle tahu... Berapa lama dah Mala tu kena dera?" Fandi memecahkan hening yang baru seketika.
"Mala kena dera tu, mesti bersebab kan, Lis?" Tak sempat Lis menjawab, Kemawati pula mengutarakan soalan.
"Bapak dia tu kaki judi. Lepas arwah mak Mala tu meninggal, bapak dia selalu biarkan Mala tu sendiri jaga adik-adik dia," jawab Zoey memulakan cerita.
"Ya Allah... Betul ke?" Kemawati tekup mulut. Tak percaya dengan cerita anaknya tapi itulah kenyataan. Hai... Tak sangka sungguh.
"Habis tu, sekarang ni bapak dia ada ke tidak dekat rumah tu?"
Lis dan Zoey angkat bahu serentak.
"Adalah tu gamaknya..."
"Kalau ada, dia balik juga ke?" soal Ziela ingin tahu.
"Kena balik, auntie. Nanti adik dia siapa nak jaga?" jawab Lis lembut.
Wajah masing-masing mencuka. Memikirkan akan cerita yang baru saja diterima. Nak diabaikan, Mala itu nampaknya begitu penting pada Lis.
Aizudin tersenyum. Bergerak sedikit menghampiri sisi tubuh Sofia yang masih tak lepas memeluk bahu Lis. Didekatkan bibirnya pada telinga Sofia.
"You know what, sayang?" bisiknya.
Sofia menoleh separa tapi memandang ke depan semula. Sengaja memberi laluan pada Aizudin berbicara dekat dengan pelupuk telinganya.
"Abang bangga anak kita begitu prihatin dengan kesusahan orang lain. Ada jiwa yang pemurah macam Sofia. Hati yang tabah dan baik. Abang bangga sebenarnya dengan anak kita."
Senyuman tergaris panjang pada bibir Sofia. Dia menoleh pada suaminya dan mengerdipkan mata sekali tanda setuju tapi kerisauannya itu tetap bertakhta.
"Apa yang buat Lis risau sangat sekarang ni, bukan pasal bapak dia tu ha..."
"Habis tu?" soal Aizudin bila Lis matikan pandangan dia dan Sofia.
"Sekarang ni, timbul masalah baru bila Mala tu baru kenal seorang lelaki ni. Lelaki ni kononnya mengaku kawan pada bapak Mala tu. Nanti dia boleh tolong Mala carikan kerja..." Ada keluhan pada hujung suara Lis.
Mata masing-masing membulat. Hanya Aizudin masih beriak tenang.
"Allah... Mak ngah bila dengar budak-budak ni cerita, duk terbayang budak-budak kena rogollah, lepas tu kena jual dijadikan pelacurlah. Hisap dadahlah. Aduhai... Berderau darah ni ha..." Kemawati melahirkan rasa hati.
Jujurnya, itu semua rasa hati semua yang mendengar. Siapalah tak risau bila anak-anak sendiri terlibat biarpun tidak secara langsung.
"Itulah, mak ngah..." Lis terpaksa bersetuju.
"Lis pernah nampak dia hisap rokok. Bila Lis tegur dia, jangan buat benda gitu, dia marah Lis balik. Dia kata Lis tak faham apa yang dia rasa. Apa yang dia dah lalui. Padahal Lis cuba larang dia daripada buat benda tak ada faedah. Merokok tu bukannya boleh bagi jalan penyelesaian. Dia kata nak cari ketenangan. Orang dah cakap, bukan tu caranya cari ketenangan. Dia masih dengan pendirian dia. Kata Lis tak faham dia."
"Sebab tu Zoey cakap, orang macam tu jangan dibuat kira. Dah dia kata kita tak faham, tak payah nak faham dia..." Zoey menempelak geram.
Mata Lis terus terjegil. Amboi... Dah mula jadi 'nasi tambah' pula dah. Hati orang tengah resah ni. Tak nak bantu, duk diamlah! Nak aje dia muntahkan kata itu pada Zoey tapi nanti, bukan hal Mala yang dibincangkan tapi hal mereka pula.
"Okey... Okey... Jangan nak bertekak pula... sampuk Aizudin bila melihatkan renungan Lis pada Zoey bukan lagi renungan biasa. Nampak bunga gaduh nak bertunas tu.
"Yang Lis jumpa dia siang tadi tu, dia bagi alasan apa?" Aizudin terus menyoal. Hal ini dah jadi hal mereka sekeluarga kerana ia melibatkan Lis dan Mala tu kawan baik Lis. Rasa tak molek kalau tak dibantu.
"Dia cerita dekat Lis yang bapak dia hantar adik-adik dia ke kampung. Rumah nenek dia. Sekarang ni, Mala baru nak start kerja..."
"Dengan kawan bapak dia tu ke?"
Bahu Lis terjongket. Dia kurang pasti yang tu.
"Gamaknya. Tapi, harapnya tidaklah, pa..."
Hilang kosa kata Aizudin dibuatnya.
"Habis tu, Mala tu tinggal dengan siapa sekarang? Ayah dia juga ke?" Ziela tak sabar nak tahu.
"Alamak..."
Lis tepuk dahi. Lupalah pula nak tanya tentang tu.
"Tak sure, auntie. Dia cuma kata dia tak nak jumpa bapak dia langsung walau apa pun terjadi. Patut Lis tanya tadi dia tinggal dengan siapa. Haih... Ini sebab ada orang tu la nak cepat aje. Orang tak dan habis cakap lagi, dia sibuk ajak balik..." Sempat dia sindir Zoey tapi Zoey begitulah... Dengan riak tenang, tersenyum tipis bagai tiada apa terjadi.
Mulut Lis nampak terkumat-kamit membaca jampi mantera pada Zoey, tapi sepupunya itu masih begitu. Kemudian, matanya terus turun menatap skrin telefon yang masih gelap.
Mala...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co