Truyen3h.Co

Permata Hati

Bab 15

karyaseni2u

LETIH menghadiri mesyuarat sana sini. Masa yang ada pun suntuk tapi kerja dia masih banyak berbaki. Nak duduk makan dengan aman pun, rasa tak selesa. Kejap temu janji di sana dan seketika nanti temu janji di sini pula. Ini pun selesai mesyuarat ke dua untuk hari ini dan sebaik saja dia keluar dari lif hotel, menuju ke lobby... Wajah gadis itu sedang tersenyum manis padanya. Melambai tangan dari jauh.

Bibir Aizudin semakin lebar koyak dengan senyuman. Lega. Setidak-tidaknya, setelah berpenat lelah menghadapi mesyuarat yang ada masanya tegang, ada senyuman seorang kawan yang menanti.

"Dah lama ke kamu tunggu?"

Sandra mengangguk sikit dengan bibir yang terjuih. Saja dia mengusik Aizudin.

"Sorry. Aku dah susahkan kamu dah..." Rasa bersalah pula dia. Patutnya dia berkeras agar Sandra tak datang menanti dia.

"Hey... Usah rasa bersalah. Enggak ada apa-apa kok. Kamu kan kenalannya Herman. Jadi, kenalan aku juga. Jadi, harusnya aku temani kamu..." Sandra senyum lagi. Lebih manis dan lebih lebar.

"Yeah... Teman tapi mesra, kan?" gurau Aizudin tanpa niat apa-apa. Dia hanya bergurau. Berada di bumi Indonesia, dia teringat akan tajuk lagu itu. Kerana itu dia saja menyebutnya.

Sandra ketawa galak mendengarkan gurauan Aizudin.

"Kamu ini sebutnya teman tapi mesra itu, serius atau canda?"

"Aku tiba-tiba teringat tajuk lagu itu. Di Malaysia lagu itu ramai yang suka..."

"Jadi, kamu juga suka?"

Aizudin senyum tipis dan menggeleng. Bukan dialah nak minat lagu-lagu begitu. Muda-mudi bolehlah. Dia dah lebih angka tiga ini, tak mainlah lagu begitu.

"Aku lagi suka orang Indonesia daripada lagu-lagunya..." Mata dikenyit. Sekali lagi dia mengusik dan kali ini, tawa Sandra berlarutan.

"Nyata ya... Kamu memang suka bercanda..."

Aizudin sengih.

"Okey. Jom kita..." Aizudin mempersilakan langkah Sandra dan dia juga turut sama menapak ke tempat letak kereta.

"Kamu ni temankan aku, tak ada orang lain bising ke?" soal Aizudin sebelum masuk ke perut kereta.

"Orang lain? Apa maksudmu?" soal Sandra buat-buat tak faham.

Dia simpan senyum pada hujung bibir. Menanti reaksi Aizudin yang seterusnya.

"Ya. Orang lain. Teman lelaki mungkin..."

"Teman lelaki itu pacar, ya?" soal Sandra kembali dalam dialek Indonesia yang pekat.

Aizudin ukir senyum senget. Buat-buat tak faham pula dia.

"Ya udah tentunya enggak ada. Aku ni single. Enggak punya pacar. Kamu tu, nun jauh di Malaysia pastinya ada yang sedang menanti kepulangan kamu. Ya, kan? Lagian, yang rapat sama aku hanya Yanny dan Herman. Aku ini bukannya daripada sini, Din... Enggak ramai teman. Aku asalnya dari Holland. Saja aja ke sini. I will go back to Holland eventually. My family are there. Harapnya yang ketiga itu adalah kamu."

Sandra menapak mendekati Aizudin yang sudah bersedia untuk masuk ke dalam perut kereta.

Tapi tingkah Aizudin mati bila nampak Sandra menghampiri.

"Ini rasanya bisa jadi tanda perkenalan kita. Atau mungkin lebih lagi..."

Senyuman Sandra pecah terburai. Dia jongketkan kakinya sedikit mahu mengucup pipi Aizudin.

Tindakan berani Sandra itu buat Aizudin telan liur.

"Hey, please don't..."

Aizudin laju mengelak. Dia... Seketika hampir kecundang dengan gadis cantik di depan dia sekarang.

"Enggak selesa?"

Aizudin senyum tawar.

"Jom," ajaknya menutup rasa canggung.

SOFIA menepuk bahu Aizudin perlahan. Melihatkan peluh kecil yang merenik pada dahi Aizudin, gamaknya suaminya ini sedang bermimpi ngeri. Buat pertama kalinya. Membuatkan telahan dia sebelum ini punya asasnya.

"Abang... Hey, kenapa ni?" Suara ditekan sedikit.

Mata Aizudin terbuka lebar. Dia terus menatap mata isterinya, Sofia. Ya, Sofia. Bukan Sandra. Dia dah lama lupakan nama itu tapi kenapa sehari dua ini, nama itu kembali mengusik letak duduknya?

"Sofia?"

"Abang?" Pandangan Sofia makin pelik.

"Sofia? Sayang? Sofia, kan?" Tubuh diangkat. Laju dipeluk Sofia.

"Hey, abang. Kenapa dengan abang ni? Abang macam ni buat Sofia risau sungguh. Tak pernah lagi abang mengigau macam ni? Takkanlah abang risaukan hal Lis sampaikan mengigau. Atau abang ada masalah lain? Cuba cerita," pujuk Sofia setelah bertanya beberapa soalan.

Bahu sasa Aizudin ditolak sedikit jauh. Diusap pipi suaminya.

"Abang okey. Abang akan okey selagi ada Sofia di sisi abang..."

Kerutan pada dahi Sofia semakin lebat. Tapi, jika Aizudin masih tak sedia bercerita, biarlah. Dia pun malas nak paksa. Boleh jadi sungguh semua ini kerana Lis.

"Abang..." seru Sofia manja.

Mata Aizudin memandang tepat pada wajah isteri yang sedang tersenyum lebar.

"Jom, alang-alang dah jaga ni... Kita solat sunat sikit. Moga Allah selamatkan keluarga kita dunia akhirat," ajak Sofia.

Mendengarkan ajakan itu, Aizudin senyum biarpun masih tawar. Inilah lebihnya Sofia. Setiap kali, tahu bagaimana mahu ubati resah dia. Tapi dia... Akan melukakan sekeping hati yang luhur ini... Andai segala mimpinya terlakar di realiti.

Mimpi itu menakutkan...

Tuhan... Jangan biarkan mimpi itu terzahir dalam kenyataan hidup ini. Tidak... Tidak mampu aku hadapinya, Allah...

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co